“Betoi…ikan Pontian ni mahal nak dibandingkan di Mersing. Kebanyakan ikan Pontian dihantar ke Singapura. Rasa dia memang lain.”
PAK MAUN FAMILIA
“Betul… contohnya kat Johor. Ikan dari Pontian vs ikan dari Mersing. Ikan Pontian menang.”
AMIN SHUHAIDI
“Mungkin betul sebab arus Selat Melaka lebih laju daripada Laut China Selatan. Otot-otot ikan di Selat Melaka lebih sado sebab berenang di arus yang lebih laju maka rasanya lebih sedap.”
AZURA MANAS
IKLAN
“Yang pasti ikan semilang Pontian paling sedapppppp…!”
ABASMURSEE
“Sila bandingkan udang gred A perairan Selat Melaka dengan udang di perairan lain… hahaha!”
MOHD AMIRUL
“Aik… bukan ikan Laut China Selatan ke lagi sedap daripada Selat melaka?”
MUHAMAD FIRDAUS
“Bagi aku sama saja rasa ikan dari LCS dengan Selat Melaka… janji ikan tu fresh baru naik dari laut dan pandai masak.
IKLAN
Kalau ikan lama dan kalau tak pandai masak… bagi pi la ikan yang paling sedap pun boleh jadi rasa tak sedap jugak… hahahaha.”
MUHAMMAD SUHAIL
“Nak tau yang mana sedap… try makan ikan tenggiri Laut Selat Melaka n Laut China Selatan. Anda boleh tentukan sendiri.”
AHTERQ ARAB
“Ikan pontian AA… sembilang, merah, kerapu, jenahak, unga memang isi champion. Sebab apa? Sebab ikan duk kat lumpur tapi makan takda la berlumpur.
Sebab belah-belah Pontian laut selat pasir campur lumpur.”
IKLAN
HAFFIS BASREE
“Biasanya ikan di kawasan berkarang lagi sedap dari kawasan berlumpur. Mungkin kerana faktor habitat dan diet ikan. Bukan LCS atau SM jadi ukurannya.
Pendapat saya ler… kalau salah tolong betulkan.”
MOHD NADZRIL AB RAHIM
“Ada kajian ke…? Statment je siapa-siapa pun boleh buat. Ada jugak la seorang insan tu pernah cakap benda ni kat aku.
Tapi apa yang aku pelik… aku mancing dapat ikan Selat Melaka & Laut China Selatan, bagi kat dia… dia ambik je. Takde lak complain.
Bila lepak sembang dia boleh cakap lak ikan SM lebih sedap. Bagi free sedap saje…!”
FIQ HADY
“Betul tu… daripada pengalaman memancing saya boleh dapat rasa. Ikan Selat Melaka memang sedap!”
Drop shot adalah satu teknik ikatan perambut mata kail yang dihasilkan dengan kaedah simpulan dropper loop.
Drop shot ini lazimnya digunakan bagi pancingan menggunakan gewang tiruan soft plastic. Soft plastic akan dilekatkan pada mata kail dan dimainkan bagi memancing ikan bass.
Di negara kita, ia sesuai untuk memancing ikan raja atau peacock bass.
Langkah 1
Masukkan tali perambut ke dalam cincin mata kail. Pastikan kedudukan mata kail itu berada di tengah perambut.
Kemudian silangkan hujung perambut dan mata kail kelihatan berada di dalam satu lingkaran.
Langkah 2
Masukkan hujung perambut ke dalam lingkaran satu persatu. Setelah masukkan hujung perambut di tangan kiri, masukkan pula hujung perambut di tangan kanan.
Langkah 3
Untuk memudahkan pintalan, anda boleh melakukan dengan pusingan jari atau masukkan pen di ruang tengah pintalan.
Langkah 4
Buat pintalan sekurang-kurangnya sepuluh lilitan sehingga ruang tengah pintalan menjadi kecil.
Pastikan ruang ini tidak terlepas pegang kerana pintalan akan terlerai atau sukar untuk mencari titik tengah pintalan.
Langkah 5
Pegang kedua-dua bahagian hujung pintalan dan masukkan mata kail sepenuhnya ke ruangan tengah pintalan.
Langkah 6
Tarik kedua-dua bahagian hujung simpulan dan pastikan mata kail tidak terkeluar dari ruang tengah tersebut.
Langkah 7
Sebaiknya basahkan dulu pintalan ini sebelum menariknya sehingga ketat. Dalam masa sama pastikan simpulan terbentuk dengan kemas tanpa bertindih.
Kemudian barulah mengetatkannya sekuat mungkin.
Langkah 8
Ikatan drop shot yang siap untuk dipasangkan soft plastic.
Bagi kebanyakan para pemancing, masih ramai yang tidak tahu spesies lintah bulan ini kerana tiada info yang memaklumkan spesies ini boleh dijadikan umpan memancing yang mana ia digemari oleh sang sembilang.
Bagi mereka yang telah menggunakan umpan ini pasti berpuashati kerana hasil yang diperolehi amat berbaloi.
Lintah bulan ini merupakan diet makanan ikan-ikan dasar seperti ikan duri, belukang, mayung dan sembilang.
Ia juga digemari oleh pengacau umpan seperti sesirat. Harus diingat juga, di mana ada sesirat pasti ada sembilang kerana kedua-dua spesies ini mendominasi persekitaran yang sama.
Menggunakan tali berkekuatan 30lb sudah memadai. Mata kail bersaiz 6 atau tidak terlalu kecil kerana sembilang bermulut besar, andai mata kail kecil khuatir mata kail akan rabut dari mulut sembilang.
Boleh menggunakan Teknik batu hidup dan batu mati. Jika memancing di atas bot atau rumah rakit, teknik batu mati amat sesuai kerana pemancing tidak perlu lontar, sekadar hulur umpan ke bawah.
Cangkuk mata kail di bawah badan lintah bulan yang lembut (badan atasnya yang kasap) kerana boleh memanjangkan hayatnya.
Ia juga membantu mata kail untuk mudah tercangkuk dalam mulut ikan.
Bagaimana mencari lintah bulan?
Antara lokasi mencari lintah bulan
Ia mudah dikesan melekap pada celahan batu atau lumpur pantai sewaktu air surut atau melekap pada pangkal-pangkal pokok bakau atau pelepah pokok nipah.
Pemancing boleh mencari di perairan pantai berlumpur seperti tebing sungai, melekap di pangkal pokok bakau, pelepah nipah, di bawah batu-batu atau di atas lumpur berpasir.
Waktu sesuai untuk mencarinya ialah ketika air surut. Ia juga boleh didapati semasa air gerak pasang kerana ia akan bergerak mencari tempat kering dari air laut walaupum habitatnya di tempat lembab.
Pastikan juga anda membawa bekas umpan hidup bagi memastikan umpan lintah bulan dibawa pulang dalam keadaan sentiasa hidup dan segar.
Dan waktu paling sesuai untuk mendapatkannya dengan banyak adalah pada waktu MALAM HARI… sesuai dengan namanya lintah bulan. Maka luangkanlah masa pada waktu malam untuk mencari lintah bulan ini.
“Kita pergi unjam satu lagi 3 batu dari sini,” ujar tekong memberi cadangan. Kami hanya mengangguk kepala sahaja.
Bila tiba di lokasi, apa yang kami lihat hanyalah 2 biji pelampung putih kecil dengan sebatang buluh kering di permukaan air. Biasanya unjam dipenuhi dengan beberapa biji pelampung dan semakin banyak pelampung bermakna gugusan unjam pun banyak. Namun kami terima apa yang ada sambil aktiviti mencari umpan hidup dipersiapkan sebaik sahaja sauh mencengkam dasar.
Ketika itu tiada tanda-tanda kehadiran belitong, namun usaha mendapatkan ikan hidup diteruskan. Anak ikan semakin galak menyambar mata apollo yang mungkin memberi makna tiada ikan predator berkeliaran. Sejam berlalu barulah kami ternampak percikan air berdekatan dengan dua biji pelampung kecil dan samar-samar terpandang ikan berwarna terang sedang mengejar anak ikan.
Apa yang perlu ditunggu lagi, anak ikan selayang dan selar hidup mula dihanyutkan ke belakang bot. Belitong pemangsa yang kadang-kadang pemalu pada peringkat permulaan. Sesetengah kes ia datang meninjau umpan dengan jelas di hadapan kami, mencium umpan kemudian ditinggalkan begitu sahaja.
Sejenak kemudian ia datang lagi berlegar di sekeliling umpan dan dengan tabiat sama, umpan disapa kemudian ditinggalkan sekali lagi. Bila masa ia datang kembali dalam jumlah melebihi sekor, kumpulan belitong akan melewati umpan hidup kemudian berpaling dan terus menerkam umpan berkenaan.
Sebab itu hidangan dengan ikan hidup dapat membuka selera belitong dengan cepat, umpan jarang-jarang ditolaknya lebih-lebih lagi ia berkumpulan.
Bila masa ia rakus, begitu cepat umpan dijamah tanpa menolak lagi. Sekelip mata kekili berdesing, tali keluar dengan laju sekali, sehingga mengejutkan pemancing yang terleka mahupun terlena menunggu sentapannya.
Buat yang pertama kali merasai rempitan belitong akan mudah kehilangan ikan. Belitong walaupun rakus ia tetap culas mengenai umpan yang cuba dikeluarkan dari mulutnya. Pada peringkat permulaan, belitong sebenarnya hanya menggonggong seketika umpan (belum ditelan lagi) semasa membuat pecutan.
Bila masa umpan ditelan dan masa yang sama ia merasai ada kekangan larian dikenakan ke atasnya masa inilah belitong akan membuat loncatan di permukaan buat kali pertama. Inilah masa yang sesuai untuk mengetatkan sistem tegangan kekili sambil membalas joran bagi meningkatkan kadar hook up.
Banyak kes hilang ikan apabila pemancing terlalu cepat dan gopoh ketika larian peringkat permulaan oleh belitong. Gopoh, mungkin juga dalam situasi terkejut dan belum pengalaman sepenuhnya mengenai ‘peel’ belitong adalah lumrah kali itulah sejarah tarikan belitong yang buat pertama kali dalam hidupnya. Sebab itu penulis gemar mengikuti trip dengan ahli yang baru dan kurang pengalaman.
Masa terbaik melihat gelagat pemancing. Malah di kala rasa pening dan muntah tapi tangan masih menggenggam joran. Semangat begitu pejal tanpa mempedulikan perasaan pening dan muntah akibat mabuk laut. Sikap yang boleh dipuji kerana pemancing ini tidak mengalah kepada persekitaran, memancing tetap diteruskan.
Nasib selalunya dipihak pemancing kerana belitong bukanlah spesies yang cepat serik, mana mungkin pemangsa lupakan mangsa yang terhidang. Rabut satu, kejap lagi yang lain pula datang menghambat umpan. Bila serangan belitong bertali arus. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh ahli trip.
Masing-masing akan mengambil giliran menghulur umpan ikan selayang hidup menghanyut di belakang bot. Lepas satu demi satu dapat merasai keperitan menahan asakan belitong. Peringkat permulaan masing-masing berebut untuk hulurkan umpan, lama kelamaan tenaga semakin berkurang, dan kini masing-masing menolak apabila joran yang mengena belitong cuba dihulurkan kepada mereka.
Ia tidak boleh berterusan, dapat dan layan kemudian berehat melegakan sengal otot dan tulang sebelum menyambung kembali. Bila dah mahir dari joran aksi menengah, joran aksi ringan pula dicubanya. Nak merasai pertarungan yang lebih mencabar lagi. Janji dapat layan dengan lebih lama apabila semakin kecil saiz tali dan joran yang digunakan.
Bila hari menggamit senja kelibat belitong turut tenggelam. Umpan ikan selayang hidup tidak lagi dijamahnya. Ini memaksa kami mencari kepuasan yang lain pula. Tekong kemudiannya mencadangkan agar bergerak selepas beliau menyiapkan masakan malam kami. Sebab itu ada juga yang memilih untuk beradu di suasana yang nyaman tanpa mempedulikan lagi sebarang aktiviti memancing yang berlaku di birai bot.