Ikan pun macam manusia jugak ada masa berubah diet. Ada masa nak udang… ada masa nak makan sotong… ada masa nak makan cacing. Kalau guna umpan cacing masa dia nak makan udang maka kumpau la sudahnya.
Salah satu ilmu memancing yang perlu dipelajari adalah mengenal diet pemakanan ikan yang hendak dipancing. Contohnya kalau nak pancing ikan toman, kenalah tahu toman makan apa. Kalau guna umpan yang sama macam nak pancing ikan patin maka sampai berjanggut la tak berhasil.
Bila dengar orang cakap casting guna gewang boleh dapat ikan, kita pun gunalah gewang untuk pancing ikan patin. Korang faham tak apa yang admin nak sampaikan ni?
Ads
Sepatutnya guna teknik casting pasal ikan kat lubuk tu jenis rakus menyambar tapi kita pergi memancing guna teknik bottom. Bila guna gewang pun rendam macam pancing bottom. Mana nak dapat ikan!
Tak ambil peduli sama ada umpan masih ada atau sudah habis dibelasah anak ikan. Ikan walau lapar tahap kebulur sekali pun takkan nak bukak mulut makan mata kail kosong.
Ads
Kalau dah bising tahap macam kenduri kahwin, mana maunya ikan nak makan umpan. Jangan kata nak makan umpan, nak stay kat lubuk tu pun belum tentu.
Ikan ni pun ada waktu makan tersendiri. Kalau dah tau ikan gemar makan waktu pagi, kalau pergi memancing waktu tengah hari dengan matahari terpacak atas kepala, dapat rentung je la.
Ads
Kalau semua dah betul setting dan umpan pun power tapi tak dapat jugak ikan, maknanya bukan rezeki kitalah namanya. Sabar dan reda je la dengan ketentuan tersebut.
Sebaiknya sebelum memancing di mana-mana saja lubuk, elok pantau dulu ada ikan atau tidak. Jangan main terjah aje walaupun tempat tersebut kolam memancing ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kuasa larian, henjutan padu dan kelicikan menjadikan ikan ini sebagai musuh yang sukar ditewaskan, namun inilah musuh yang sering didambakan kaki pancing. Menjadi satu kebanggaan dan trofi peribadi apabila gerila lautan ini dapat ditewaskan dengan set pancing.
Selalunya, pancingan gerepoh di Malaysia boleh dilakukan dalam beberapa keadaan dan teknik. Antaranya ialah pancingan dasar, jigging atau jig-cast untuk gerepoh bersaiz juvenil dan menggunakan gewang. Paling memberikan kepuasan pastinya jika menggunakan gewang top water dengan teknik popping.
Setup
Jika anda memancing spesies ini yang bersaiz besar dan menggunakan popper atau pencil, anda perlukan set dengan kekili yang kuat atau set konvensional yang mampu membuat balingan gewang ini dengan jauh.
Jika teknik popping dan memburu gerepoh bersaiz besar, kekuatan tali utama sekitar 100lb dan leader monofilament kekuatan 200lb.
Andai memancing dari tebing dalam keadaan kawasan berbatu, anda boleh gunakan kekili konvensional dan rod panjang untuk jarak lontaran lebih jauh.
Pastikan kekili anda mampu membuat isian tali yang banyak kerana anda terpaksa kekal di tebing ketika memancing.
Namun di Malaysia, tersangat sikit kawasan padang pancing sebegini sekali gus ia tidak popular.
Apa pun pilihan set pancing anda, pastikan semuanya berada dalam kondisi terbaik. Jika terdapat kondisi tidak baik pada mana-mana peralatan tak kira kail, split ring, ikatan atau tali, pertarungan anda mungkin selesai dalam masa yang singkat.
Umpan Alami
Dalam pancingan dasar, gerepoh tidak cerewet membaham umpan. Anda boleh menggunakan ikan tamban atau selar hidup dengan teknik dasar atau separuh air. Udang hidup juga mampu menaikkan spesies ini terutama jika pancingan di kawasan yang lebih hampir dengan muara atau pesisir.
Umpan Tiruan
Tak dinafikan, melihat popper anda dihentam sang gerila tropika ini cukup memberikan kepuasan. Selain itu anda juga boleh menggunakan pencil popper dan stickbait. Ketika popping, cuba gunakan beberapa variasi kelajuan ketika karauan dan karauan popper menggunakan hujung rod agar popper menghasilkan percikan yang menarik perhatian.
Ketika karauan persembahan, berikan masa ketika pause untuk memberi ruang sang gerepoh melakukan serangan. Selain itu, teknik light jigging dan jig-cast juga sesuai untuk perairan cetek terutamanya ketika memburu gerepoh bersaiz juvenil.
Pelbagaikan warna jig dan cuba pelbagaikan rentak kayuhan jig. Anda juga boleh mencuba sesudu kerana potensinya juga tinggi di kawasan perairan cetek.
Jika dibuat perbandingan antara buah sawit segar dengan buah sawit yang telah diperam, kelah lebih memilih untuk mengambil buah sawit peram. Oleh yang demikian, sebaiknya gunalah umpan sawit peram. Tapi bagaimana nak menghasilkan sawit peram? Ini dia petua dan teknik yang kami kumpulkan sebagai perkongsian untuk anda.
Kaedah Memeram Sawit
Dapatkan buah kelapa sawit yang dah masak sebanyak mungkin. Buah sawit yang betul-betul sudah masak adalah buah yang gugur di pangkal pokok. Atau cari saja buah-buah lerai berdekatan dengan kawasan pokok.
Bungkus semua buah sawit dengan kertas surat khabar. Pastikan semua buah dapat dibungkus dengan sempurna. Selepas itulah ikat bungkusan dengan apa-apa tali bagi mengelakkan bungkusan tersebut terburai.
Seterusnya masukkan sawit yang dibungkus surat khabar itu ke dalam beg atau karung plastik yang besar dan tahan koyak. Pek plastik beras 5kg atau 10kg amat sesuai digunakan. Atau pek plastik pampers bayi pun bagus sebab tahan lasak. Bungkus dan ikat dengan ketat supaya udara tak boleh masuk.
Selepas 7 hari atau seminggu, buka ikatan dan tengok hasilnya. Lazimnya surat khabar yang membungkus sawit akan jadi basah atau lembab kerana proses pengewapan. Jadi, gantikan kertas surat khabar ini dengan kertas yang baru. Kemudian ulangi semula proses sama dan peram lagi selama seminggu.
Selepas minggu kedua, biasanya sawit sudah lembut dan sesuai untuk jadikan umpan. Tapi jika inginkan aroma sawit yang lebih dan buahnya lebih lebih lembut, boleh ulangi proses menukar kertas surat khabar dan bungkus atau peram untuk tempoh seminggu lagi.
Walaupun bukan berstatus temoleh liar, ia tetap pengalaman yang cukup manis apabila berjaya mendaratkan beberapa ekor temoleh yang hidup subur di sebuah kolam ternakan ikan yang keluasannya mengatasi kolam-kolam pancing yang ada di Malaysia ini.
Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke kolam Seri Bayu Batangsi yang terletak di Semenyih pasti akan akui keluasan dan tahap kualiti air takungan di kolam ini.
Untuk makluman sekalian pemancing sukan, kolam ini masih dalam proses meningkatkan tumbesaran ikan-ikan predator dan belum bersedia untuk beroperasi.
Toman, sebarau, peacock bass, siakap air tawar, baung ekor merah Asia, patin Chaophraya, Amazon redtail catfish dan beberapa lagi spesies ikan penyambar gewang sedang membesar dengan agresif.
Begitu juga dengan spesies herbivor dan omnivor seperti. Termasuklah 50 ekor ikan temoleh.
Menurut Abang Amin, pemilik kolam tersebut, ketika melepaskan anak-anak ikan temoleh pada Disember 2017 lalu saiz-saiz ikan tersebut sekitar 6 hingga 8 inci saja.
Dengan mengamalkan sistem pemakanan yang konsisten, ikan-ikan tersebut membesar dengan produktif sehingga mencecah 5kg untuk tempoh kurang satu setengah tahun.
Begitu juga dengan spesies yang kuat makan seperti Amazon redtail catfish dan longfin catfish (patin Chaophraya).
Setelah beberapa kali dipelawa oleh Abang Amin untuk datang bersantai dan memancing di atas rumah rakit yang didirikan di tengah kolam tersebut, hanya baru-baru ini saya berpeluang untuk menjejakkan kaki bersama dua rakan.
Menurut Abang Amin lagi, kami perlu berpenat lelah casting keliling kolam untuk mencari strike. Banyak ikan berlegar di sekeliling rumah rakit menunggu makanan.
Perkara itu jelas terbukti apabila Abang Amin menabur pelet makanan ikan di suatu sudut di luar kawasan sangkar.
Pelbagai jenis ikan muncul dengan galaknya mengutip biji pelet, terutamanya spesies baung ekor merah Amazon yang sememangnya pelahap.
Kami yang hadir dengan membawa kelengkapan casting mengambil kesempatan menghulur gewang namun agak kurang menggalakkan pula sambutannya.
Kemudian saya menukar teknik mengilat kepada mengunjun umpan soft plastic. Meniru aksi slow pitch jigging di lautan, ia segera berhasil.
Umpan saya dilarikan dengan agresif ke bawah sangkar. Untuk mengelak ia bawa lari lebih jauh, saya memberikan sedikit tekanan dan akibatnya leader 16lb putus di bahagian sambungan snap.
Saya segera memasang soft bait worm hook yang baru tetapi kali ini saya hanya mencangkukkan pelet makanan ikan.
Setelah agak lama saya sekadar melepaskannya hingga ke dasar tanpa sebarang respon, saya gantungnya kira-kira satu pusingan penuh BC yang digunakan.
Tidak sampai seminit pun berbuat demikian, pelet itu telah diragut dan dibawa lari dengan kepantasan yang berbeza.
Pecutannya umpama larian rohu yang tercangkuk mata kail. Sekali lagi perambut putus di bahagian ikatan snap.
Kecewa dengan leader yang mungkin sudah hampir reput itu saya potong dan ikat mata kail direct pada tali sulam yang menjadi tali utama.
Saya ulangi lagi teknik yang sama dan sepantas kilat ia berhasil. Percubaan kali ketiga ternyata berkesan. Saya sangkakan ia angkara pacu atau rohu, rupanya si temoleh.
Malah Abang Amin sendiri teruja melihat ikan yang jarang dinaikkan itu serta saiznya. Kata Abang Amin, kali terakhir ikan tersebut berjaya didaratkan beratnya sekitar 1kg saja.
Terkesan dengan apa yang saya peroleh, kedua-dua rakan meniru teknik yang saya mainkan.
Namun, nasib mereka agak tertangguh sehinggalah saya berjaya mendaratkan temoleh yang ketiga.
Menjelang senja dan selepas temoleh ke-6 yang berjaya didaratkan (dipercayai sekurang-kurangnya 3 ekor lagi temoleh yang berjaya meluruskan mata kail kami) tiada lagi kelibatnya.
Sebaliknya diganti pula dengan Amazon redtail catfish pelbagai saiz pula yang galak membaham umpan pelet.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...