Pada satu petang kami berehat di sebuah jeti nelayan selepas menikmati juadah tengahari. Pada masa yang sama terdapat tiga orang pelancong sedang leka memancing kawanan anak ikan yang bermain di bawah jeti berkenaan. Lama juga saya perhati gelagat mereka itu.
Di tengah keriuhan mereka, dua orang daripadanya kelihatan sering menggeleng kepala dan merungut akibat sering putus mata apollo dan terlucut apabila disentap ikan yang lebih besar. Apollo yang digunakan tidak dapat bertahan disentak ikan biasanya melulu ke bawah jeti sebaik sahaja menyambar umpan.
Ads
Pada mulanya mereka memancing ikan gombeng dan anak ikan bayan iaitu sejenis ikan karang berwarna warni dan mudah di jumpai bermain di jeti-jeti dan dermaga. Pada masa yang sama pancing mereka sering digasak oleh kumpulan ikan leper yang berada di bawah kawanan ikan gombeng terbabit.
Saya yang sekian lama memerhati tingkah laku mereka lalu mendatangi dan menawarkan diri untuk menjinakkan ikan terbabit. Saya guna apollo buatan sendiri saja. Apollo buatan sendiri itu dipasang umpan hirisan ikan kecil tanpa pemberat.
Ads
Ads
Memandangkan kumpulan ikan gombeng dan kumpulan anak ikan bayan terlalu banyak, maka dengan mudah umpan dikikis sebelum sempat dijamah spesies yang dihajati. Menyedari teknik demikian tidak akan berhasil, saya pun menukar saiz umpan lebih besar lagi dan apollo dipasang batu ladung nombor 3.
Ternyata teknik ini berjaya melabuhkan umpan tepat ke wilayah ikan kitang lada menurut panggilan tempatan dan membuahkan hasil. Ia cukup menggembirakan pelancong tersebut. Apollo itu saya hadiahkan kepada mereka dan sebelum beredar sempat juga saya pesan cara pengendalian ikan yang memiliki duri berbisa pada sirip tajamnya itu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pari sungai atau pari air tawar adalah spesies yang kian terancam dan hanya terdapat di dua buah sungai utama di Semenanjung, Sungai Pahang dan Sungai Perak. Namun ia masih boleh ditemui di perairan Sungai Pahang seperti Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh.
Ketika air surut jernih di Sungai Jelai, Kuala Lipis memang waktu terbaik untuk memancing udang galah, ikan kerai dan juga tengalan. Tetapi siapa yang dapat menyangka pari sungai
yang menyentap dan memakan umpan yang dipertaruhkan seperti cacing air dan anak udang sungai.
Sesetengah orang luar dari kawasan Pahang masih tidak percaya tentang kewujudan pari sungai. Mereka beranggapan ia adalah pari tuka, akan tetapi bukan ikan tuka.
Ikan ini merupakan speisis pari air tawar yang bersaudara dengan pari air tawar gegasi yang terdapat di Thailand, bukan semua tempat ada ikan pari air tawar.
Tempat saya memancing iaitu sungai jelai sangat jauh beratus kilometer dari laut dan air masin.
Pari sungai banyak terdapat di Sungai Jelai, Sungai Jerantut dan juga Temerloh. Habitat atau lubuk yang disukainya ialah kawasan berpasir.
Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar dengan mengunakan umpan cacing dan anak udang.
Dalam pancingan ikan pari, joran akan melengkung apabila ditarik pari. Adakala ikan pari akan mendap atau masuk ke dalam pasir menyebabkan sukar untuk bawak naik .
Kalau sudah berjaya didaratkan, haruslah berhati-hati kerana bisa pari sungai juga adalah sangat berbisa dan bahaya seperti pari air masin.
Badan pari sungai juga sangat berlendir berbanding pari laut. Bagi orang Kuala Lipis, isi pari sungai sangatlah sedap.
Menu biasa bagi saya orang Kuala Lipis adalah ikan pari masak tempoyak.
Sungai Timun, Linggi sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing udang galah. Sama ada ia udang galah, sepit biru atau jenggo, ia sememangnya spesies yang seronok dipancing dan sedap dimakan.
Selain udang galah, sebenarnya Sungai Timun lebih dikenali dengan kehadiran sang bedal aka buaya.
Mungkin juga dengan kehadiran sang bedal ini maka populasi si sepit biru terkawal di Sungai Timun.
Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang.
Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun.
Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal.
Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang.
Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Hasil seharian memacing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni.
Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan mmemasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera.
Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga.
Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
Kuala Kubu Bharu adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Hulu Selangor.
Pada awalnya bandar ini dikenali sebagai Kuala Kubu sahaja dan diletakkan di bawah pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan kemudiannya Edward Maxwell.
Ketika itu, Kuala Kubu merupakan jalan masuk utama ke negeri Pahang.
Oleh kerana banjir besar yang melanda pada tahun 1883, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.
Pada tahun 1975 pula, Majlis Daerah Hulu Selangor ditubuhkan dan dipertanggungjawab untuk mentadbir dan membuat perubahan di dalam kawasan yang merangkumi dari
Serendah, Batang Kali hinggalah ke kawasan Felda Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa dan sekitarnya.
Banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan kemudahan penduduk.
Pekan Kuala Kubu Bharu yang dahulunya yang sunyi kini bertukar corak menjadi pekan yang ceria, bersih dan indah dengan landskap yang menyejukkan mata memandang di samping mengekalkan seni bina awal tahun 1900.
Potensi Spot Pancingan
Di Kuala Kubu Bharu sendiri terdapat sebuah empangan yang membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk sekitar Lembah Klang.
Tadahan air ini terletak di kawasan Pertak yang menjadi penghubung jalan ke Bukit Fraser dan Raub, Pahang.
Sejak ia beroperasi sepenuhnya, empangan ini telah menjadi salah satu spot pancingan pilihan kaki-kaki pancing di sekitar Lembah Klang kerana jarak pemanduan hanya lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur.
Antara spesies-spesies ikan buruan yang terdapat di empangan ini adalah sebarau, baung, jelawat, tengas, patin, toman, lampam, haruan dan juga tilapia.
Bagi kaki-kaki pengilat yang sentiasa mendambakan tarikan padu sang sebarau, banyak terdapat spot menarik yang boleh diduga di sekitar empangan ini.
Namun untuk memasuki empangan ini menggunakan bot amatlah dilarang sama sekali oleh pihak pengurusan empangan.
Bagi kaki-kaki bottom pula, antara spot kegemaran mereka ketika paras air tinggi sudah pasti di atas jambatan panjang yang berdekatan dengan kampung orang asli Pertak terutamanya pada sebelah malam setiap hujung minggu.
Sang Merak
Selain empangan tersebut, taburan lombong di sekitar mukim Ampang Pecah dan Rasa juga turut mempunyai potensinya yang tersendiri.
Sedar tak sedar, rupa-rupanya telah lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies peacock bass (PB) yang diketahui umum banyak merajai lombong-lombong di Perak.
Ramai pengilat tempatan rata-ratanya telah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini sejak beberapa tahun yang lepas.
Sama situasinya seperti saudaranya di Perak, PB di sini tidak segan silu menghentam gewang permukaan seperti pencil dan popper berukuran 5-7cm.
Ada ketikanya, ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air.
Namun, saiz yang diperolehi masih belum dapat mengatasi skala-skala mega yang biasa didaratkan di spot-spot lazim seperti di Air Kuning dan Malim Nawar.
Apa pun juga saiznya, pada saya ia tetap mengujakan dan tidak perlu untuk memandu jauh hingga ke Perak.
Mukim Serendah
Satu lagi spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif.
Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja.
Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing.
Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan.
Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah.
Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Kegembiraan bersama rakan tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...