Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing.
Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini. Menurut Vincent, pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Ads
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Vincent mengatakan Greenway Fish Farm ini telah ditranformasi sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing. Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini. Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
Ads
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah. Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Ads
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih. Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut. Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan. Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.
Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.
Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.
Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.
Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.
Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.
Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.
Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.
Apa lagi, kami pun menurunkan set appolo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.
“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.
Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.
Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.
Apabila rakan-rakan dalam `Grup Temoh’ sesekali mengadakan trip meruan atau memancing haruan ke sebuah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan di Temoh, Perak, saya gemar untuk turut serta dalam trip tersebut. Walaupun memancing haruan merupakan misi utama trip namun saya lebih menggemari aktiviti santai pada waktu tengah hari iaitu memancing ikan puyu.
Sebagaimana ikan haruan, puyu turut sama merupakan spesies pengacau yang tidak dikehendaki kewujudannya di kolam ternak tersebut. Justeru saya diberikan lesen penuh malam penyelia kolam ternak tersebut turut sama menyertai saya memancing puyu. Seperkara lain, saya lebih seronok menguji keberkesanan sesuatu umpan yang digunakan berikutan kolam ternak tersebut dihuni pelbagai jenis ikan air tawar.
“Umpan apa pulak kali ni, Mang?” tanya Halim, penyelia kolam ternak tersebut apabila melihat saya mengeluarkan kelengkapan dan peralatan untuk memancing puyu.
“Palet, bang… nak test palet khas untuk puyu ni. Katanyalah… tapi palet senang ni nak pakai, terus cucuk kat mata kail tak perlu nak rendam atau campur bahan-bahan perisa lain lagi,” jelas saya panjang lebar sambil menghulurkan bungkusan palet kepada Halim. Tanpa bertanya lebih lanjut lagi, Halim segera mengambil tempat dan memancing bersama. Namun beliau tidak menggunakan palet tersebut, sebaliknya menggunakan umpan yang biasa digunakan, cengkerik.
Ketika kunjungan kami ini, kolam sedang berhadapan dengan masalah cuaca panas yang menyebabkan penurunan paras air dan banyak juga ikan peliharaan yang mati. Ikan-ikan turut menjadi kurang aktif. Ini boleh dilihat dengan lambakan sayuran di dalam kolam yang lazimnya habis dalam masa singkat.
Namun nasib saya agak baik juga kerana masih ada ikan yang sudi mengambil umpan yang saya gunakan tanpa menunggu lama. Dan lebih menggembirakan saya, spesies yang memakan palet tersebut adalah puyu. Begitu juga dengan spesies kedua dan ketiga yang saya berjaya daratkan. Semuanya puyu walaupun pelbagai spesies diternak termasuklah spesies pelahap seperti tilapia dan lampam.
Setelah melihat beberapa ekor puyu yang berjaya saya naikkan, Halim mengarau kembali kekilinya dan menukar umpan cengkerik yang langsung tidak disentuh oleh apa-apa jenis ikan kepada palet. Tidak lama kemudian, beberapa orang pemancing tegar haruan yang berteduh kepanasan, seorang demi seorang keluar dari pondok dan menyertai kami memancing puyu.
Begitulah Whatsapp teks daripada si Nam tatkala saya sedang asyik casting siakap di Sungai Tengulian.
“Dilayan bah kalau kau,” jawab saya membalas.
Lantas keesokan harinya saya terus berkunjung ke sebuah kedai pancing yang ada di Beaufort, Sabah ini untuk membeli senjata untuk dibawa berperang di pelantar minyak memandangkan inilah kali pertama saya turun ke pelantar minyak.
Sebelum ni pengalaman saya cuma memancing sekitar Pulau Tiga, Bagang dan muara sahaja.
Seawal jam 5.30 pagi saya sudah pun siap berkemas dan menunggu si Nam untuk menjemput di rumah memandangkan kami bercadang menggunakan sebuah kereta. Jimat minyak lagi pun rumah kami berdekatan saja.
Sampai di Pekan Membakut, Si Nam menyatakan seorang lagi kawannya nak ikut, Cikgu Ali yang last-minute berubah fikiran dan membatalkan percutiannya bersama keluarga untuk ke Sandakan semata-mata trip pelantar minyak ni.
Jadi kami bertiga pun bertolak dari Membakut ke Pekan Weston yang jaraknya dalam 40km.
Setiba di Pekan Weston, kami terus menuju ke jeti Weston Wetland Park. Di sini sudah terpacak dua orang yang memang aku kenali, Aim dan Cikgu Alai.
Rupa-rupanya trip ni adalah trip cikgu-cikgu sekolah, memandangkan Si Nam pun seorang cikgu. Cuma saya seorang saja yang bukan cikgu.
Sementara menunggu bot sampai, kami sempat juga bersarapan kebetulan ada gerai jual nasi lemak di tepi jalan menuju masuk ke Jeti Weston Wetland Park.
Sambil menikmati sarapan tadi, kami sempat juga berborak-borak tentang cara pancingan, jenis-jenis ikan yang ada di pelantar minyak ni.
Mendengarkan pengalaman dan cerita dari Cikgu Alai, saya jadi begitu excited untuk menewaskan ikan pelantar minyak kerana inilah kali pertama saya dengar ikan ceramin-ceramin atau ebek kapak boleh mencecah berat 10kg!
Lebih kurang jam 8.30 pagi, kelihatan kelibat tekong Riki dengan bot bersaiz 30 x 8 kaki dengan enjin 60 kuasa kuda menjemput kami. Besar dan selesa bot ni. Kami pun mengangkat dan memunggah peralatan kami ke dalam bot.
Kami kemudiannya menuju ke muara Sungai Weston. Tujuannya mencari nelayan yang memukat udang untuk dibeli sebagai bekalan umpan pancingan dasar nanti.
Setelah umpan dirasakan cukup, tekong pun terus memecut menuju ke pelantar minyak yang jauh perjalanan ke sana memakan masa 45 minit.
Pelantar Minyak Haji Richard.
Lebih kurang jam 10.30 pagi, kami tiba di pelantar minyak tersebut. Riki mengarahkan supaya mengikat tali bot pada kabel besi yang menghala ke timur dan besarnya seperti batang kelapa.
“Kalau kamu mau tau, pelantar minyak ini namanya Pelantar Minyak Haji Richard,” ujar Riki kepada kami. Saya terus ketawa sebab nama tu lucu. Bukan apa, Richard tu kan nama orang putih, kenapa ada Haji pula?
Apa pun sebabnya, ternyata Pelantar Minyak Haji Richard memang lubuk terbaik. Belum pun sempat saya memasang joran, Si Nam orang pertama yang menurunkan jig Storm 80g warna hijau, sudah dibaham rakus oleh sang ikan.
Melentur joran miliknya mencecah laut diasak ikan. Namun, ikan berjaya melepaskan diri. Seolah-olah ini petanda adanya ikan monster!
Saya pun cepat-cepat mengenakan jig Bakau 40g warna pink dan hanya beberapa henjutan saja, ikan telah mengena! Melentur joran Dam Hypron saya dibuatnya.
Hanya dengan beberapa pam saja, tali sulam Kirin berkekuatan 20lb mengendur, ikan terlepas! Lemah saya dibuatnya. Selang beberapa saat saja, giliran cikgu Ali pula strike. Tetapi ikan begitu ganas sehingga Storm light jig 20g putus dari perambut.
Terpinga-pinga kami memikirkan ikan di sini yang pandai meloloskan diri. Lalu saya segera menukar set dari yang ringan kepada yang berat.
“Kali ni kalahlah kau ikan” saya berkata dalam hati kerana geram ikan terlepas tadi.
Dalam pada saya sibuk mencari alatan dalam kotak pancing saya, berdesing kekili Banax Cikgu Alai dipecut oleh sang ikan. Dengan pantas Cikgu Alai melayan tarikan ikan tersebut.
Beberapa minit kemudian, ceramin-ceramin bersaiz 1.5kg pertama trip Pelantar Minyak Haji Richard dinaikkan.
Belum pun sempat saya mengambil gambar Cikgu Alai dengan ikannya, giliran Riki yang berada pula di belakang terkial-kial bertarung dengan tarikan ikan yang agak kasar. Dengan tenang dia melayan sang ikan tersebut.
Kali ini, ceramin-ceramin bersaiz 2.8 kg berjaya dinaikkan, lantas membuat saya terbakar untuk menaikkan ikan yang lebih besar. Tanpa membuang masa saya pun jigging dengan bersungguh-sungguh kerana tidak mahu kalah dengan Cikgu Alai dan Riki.
Tidak lama selepas itu, Si Nam pula kelihatan sedang melayan tarikan ikan yang terpedaya dengan jig Storm 80g.
Rupa-rupanya anak tenggiri dalam 1 kg lebih dan merupakan tenggiri tunggal dalam trip ini. Bikin panas hati saya, makin laju henjutan jig dengan harapan ikan besar sudi membaham jig Opass 60g warna pink!
Kali ini joran Cikgu Aim pula tunduk hormat didera oleh sang ikan. Melihatkan gaya larian ikan tersebut, saya sudah dapat meneka ikan apa yang membaham, ceramin-ceramin tetapi kali ni saiznya tentu gadang!
Lebih kurang 7 minit bertarung, akhirnya Cikgu Aim berjaya juga menaikkan ceramin-ceramin dengan saiz 5.8 kg berumpankan udang hidup. Saya makin tertekan kerana belum lagi berjaya mendaratkan ikan buruan begitu juga dengan Cikgu Ali.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...