Ada juga kategori pemancing yang mahu menangkap ikan dengan banyak. Saiz bukanlah ukuran, yang penting ikan yang didaratkan adalah dalam jumlah yang banyak. Mereka tidak pentingkan spesies, asalkan yang boleh dimakan atau dibawa pulang. Sementara itu, ada juga dikalangan mereka yang mahukan ikan yang banyak, tetapi membawa pulang hanya beberapa ekor sahaja (mungkin bawa pulang 2 atau 3 ekor), yang selebihnya dilepaskan semula ke dalam air.
Mereka dalam kategori ini adalah pemburu ikan yang sebenar. Mereka hanya inginkan ikan bersaiz mega. Peralatan memancing yang digunakan juga merupakan yang kuat, tahan lasak dan biasanya berjenama. Mendapat ikan yang besar merupakan ganjaran paling tinggi yang ingin dicapai oleh pemancing kategori ini.
Ads
Pemancing dalam kumpulan ini adalah sangat spesifik. Mereka memancing hanya untuk mendapatkan spesies tertentu sahaja. Sebagai contoh pemburu toman atau pemburu kelah. Mereka ini sangat spesifik, bukan sahaja dari segi spesies yang dimahukan, malah peralatan dan kelengkapan juga adalah yang khusus untuk menangkap spesies tertentu sahaja.
Mereka juga arif dan mahir dengan selok belok habitat atau lubuk bagi spesies buruan. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan ‘pemancing veteran’, iaitu mereka yang telah lama memancing, berpengalaman serta mempunyai pengetahuan luas dalam aktiviti memancing. Kadangkala, mereka melepaskan semula ikan yang ditangkap ke habitat asal.
Ads
Sudah pasti, pemancing keluar memancing bukan hanya dengan satu tujuan atau matlamat. Sebaliknya, mereka memancing dengan pelbagai tujuan dan kadangkala tujuan mereka boleh menjadi begitu kompleks.
Oleh itu, tujuan memancing bagi kebanyakan pemancing boleh dikatakan mempunyai unsur ‘kombinasi’ kepada kategori yang dibincangkan di atas. Tambahan pula, manusia ini berubah-ubah, ada waktu kita mahu bersendirian, ada waktunya kita mahu bersama keluarga.
Ads
Begitu juga, ada waktu kita mahu menangkap ikan yang banyak, ada waktunya kita tak kisah dengan hasil tangkapan. Malah, tujuan memancing juga dipercayai berubah mengikut ‘situasi’ dan ‘lokasi’. Jika memancing di waktu hujan, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing di waktu panas.
Begitu juga jika memancing di atas bot, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing dari tebing. Pendek kata, pemancing merupakan insan yang mahukan kelainan dan kepelbagaian dalam mencari ‘keseronokan’ dan ‘kepuasan’ semasa memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sejak kebelakangan ini, Tasik Kampung Beng yang terletak di Lenggong memang menjadi buah mulut di kalangan kaki pancing terutama kaki mengilat.
Saban minggu, ada sahaja kaki pancing yang berkunjung ke sini untuk menduga pelbagai spesies ikan seperti peacock bass (PB), toman, sebarau dan lain-lain.
Selain kaya dengan pelbagai spesies ikan pemangsa, keadaan tasik yang mempunyai banyak suak kecil ini membuatkan lokasi terpencil ini mendapat gelaran “Mini Amazon”.
Reputasi “Mini Amazon” ini turut menarik ramai pemancing dan tester produk memancing untuk menjadikan Kampung Beng sebagai spot lapangan ujian. Tidak terkecuali ialah produk Rasengan Limited, produk gewang yang semakin menjadi rebutan di kalangan caster-caster tegar.
Gewang Rasengan Limited semakin mendapat permintaan di kalangan kaki pancing. Dengan talaan warna dan sentuhan cat kemasan baru, gewang Rasengan Limited ini menjadi produk fenomena kaki casting untuk dijadikan koleksi mahupun gewang killer.
Tambahan pula, keluaran gewang ini secara terhad menambahkan lagi keunikan Rasengan ini.
DUGA POTENSI RASENGAN
Trip Rasengan Expedition ke Kampung Beng kali ini sebenarnya lebih kepada menguji potensi gewang Rasengan dalam menggoda spesies ikan pemangsa. Dek kerana lapangan tasik dan suak di sini dikatakan semakin menggila dengan PB kebelakangan ini, maka spesies ikan cichlid ini menjadi target buruan utama untuk digoda menggunakan gewang Rasengan.
Tugasan menguji potensi dan kemampuan gewang Rasengan pula digalas oleh tujuh orang caster iaitu Mazuan, Justin, Luffy, Mie, Hassan, Faiz dan Syafiq.
Rumah inap konsep homestay milik Abang Roslan yang terletak di Kampung Beng menjadi tempat menginap sepanjang trip berlangsung.
Malah, Abang Roslan turut bertindak sebagai tekong trip ini. Trip sehari setengah ini digunakan sepenuhnya dengan tiga kali sesi boating menjelajah suak-suak di tasik ini.
Tiba seawal jam 4 pagi di Kampung Beng, kesemua ahli trip sempat melelapkan mata seketika sebelum bersedia turun ke gelanggang. Rumah Abang Roslan yang terletak betul-betul berhadapan dengan tasik menambahkan lagi keterujaan kami yang telah siap siaga dengan set pancing masing-masing.
Usai sarapan pagi sambil menikmati keindahan Tasik Kampung Beng, kami berpecah kepada dua kumpulan dengan setiap bot dibekalkan dengan gewang-gewang Rasengan yang bakal teruji.
JENGAH SUAK TASIK KG. BENG
Tidak sampai 5 minit berlepas dengan bot, Abang Roslan singgah di spot pertama. Suak kecil yang dipenuhi samai ini dilihat berpotensi ada penghuni di dasarnya. Apatah sesekali timbul boiling di permukaan air. Beberapa ketul gewang Rasengan meluncur laju bak peluru yang ditembak ke arah samai yang tebal.
Mie yang asyik membuat lontaran ke spot yang sama beberapa kali, tiba-tiba mendapat sambaran pertama yang agak kuat, namun ternyata dia bersedia sepenuhnya dan mengawal asakan pemangsa sebaik mungkin sebelum mendaratkan seekor PB bersaiz 41cm hasil lenggokan gewang Rasengan jenis sinking pencil.
Beralih ke suak berhampiran, Luffy yang menggunakan sinking pencil hasil talaan warna Rasengan tidak menunggu lama untuk menyambung aksi strike seterusnya. Setelah beberapa kali membuat lompatan akrobatik, PB saiz 43cm ini akhirnya tewas.
Belum apa-apa, giliran Syafiq pula datang. Juga dengan gewang Rasengan sinking pencil, hentaman rakus kali ini pula datang daripada seekor sebarau saiz juvenil yang selamat didaratkan. Mazuan juga tidak ketinggalan mendaratkan seekor PB juvenil.
Beralih ke suak yang lebih jauh, banyak sambaran diperolehi namun beberapa kali rabut, malah mata kail patah akibat sambaran juga beberapa kali terjadi.
Hanya beberapa ekor PB juvenil. Sahaja berjaya didaratkan sebelum sesi pertama disudahkan oleh Syafiq yang berjaya mendaratkan seekor bujuk yang terpedaya dengan pencil yang ditala dengan warna Tigris daripada Rasengan Limited.
SESI RENTUNG
Sesi kedua yang bermula selepas makan tengah hari bermula dengan agak perlahan. Dengan cuaca yang panas terik, masing-masing renting apabila tiada sebarang strike sehinggalah Syafiq berjaya memujuk seekor PB sekitar jam 4 petang. Selepas cuaca agak redup, barulah strike semakin rancak apabila hari menuju ke senja.
Hassan dan Justin yang memilih Rasengan Flutter berjaya mendaratkan beberapa ekor PB. Cubaan memujuk mama toman tidak berjaya, hanya beberapa ekor toman jalur yang berebut mahu menjamah gewang. Strike tidak banyak berbanding waktu pagi, namun beberapa ekor PB masih berjaya didaratkan.
Malam itu kesemuanya tidur lena kerana kepenatan, apa lagi Abang Roslan menyediakan menu istimewa kaloi dan tengalan bakar sewaktu makan malam. Memang mencakup. Habis makan malam dan berbual kosong seketika, seorang demi seorang naik mencari bantal.
Keesokannya, sesi terakhir bermula awal pagi. Mungkin kerana penat yang belum hilang, sesi boating kali ini lebih santai. Sekitar jam 9.30 pagi barulah Hassan mendapat strike daripada seekor PB menggunakan Rasengan Flutter.
Sesi terakhir ini nyata milik Mie dan Syafiq yang berada dalam satu bot apabila beberapa kali mendapatkan strike yang agak kasar. Beberapa ekor PB sekitar 40cm berjaya dinaikkan sebelum menamatkan trip Rasengan Expedition ini.
Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.
Sungai Selangor
Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil. Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.
Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia. Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.
Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.
Sungai Bentong, Pahang
Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.
Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur. Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.
Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai. Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang. Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami. Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.
Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.
Sungai Tekai, Pahang
Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini. Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.
Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan. Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi. Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!
Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway. Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler. Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.
Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai. Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.
Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan. Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.
Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini. Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.
Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami. Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami. Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan.
Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!
Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya. Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit. Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.
Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan. Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.
Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya. Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.
Jika ikan yang dipancing terlalu kecil atau masih juvenil, kendalikan dengan cermat dan lepaskan kembali dengan cara berhemah. Sebaiknya dilepaskan kembali di kawasan di mana ikan itu dinaikkan. Yang tak eloknya, anda kecewa ikan tu kecil, main sentap je nak cabut kail sampai koyak mulut ikan tu. Lepas tu campak merata.
Sebaiknya jika anda dalam situasi boating, proses nak cabut mata kail daripada ikan dilakukan di dalam air. Tak perlu nak naikkan keluar daripada air nak timbang berat ke. Ikan kecik memang tak berat pun. Disebabkan kecil maka ia tidak mempunyai ketahanan tinggi untuk berada di luar air walaupun bagi tempoh singkat.
Bila situasi anda mancing tebing atau dalam bot tapi susah nak keluarkan mata kail, dibolehkan angkat naik ikan tu. Tapi jangan terlalu lama, segera lepaskan kembali. Tak perlu nak selfie dengan ikan tu.
Semasa kendalikan ikan, pastikan tangan anda dibasahkan sebelum memegang ikan untuk mengekalkan lendir ikan pada sisik atau badannya yang merupakan antara sistem pertahanan diri bagi ikan. Jika risau tangan anda hanyir, boleh gunakan sarung tangan yang basah.
Jika mata kail ditelan, langkah terbaik ialah putuskan tali perambut anda. Jangan cuba cabut secara paksa ke, suruh ikan tu luah balik ke, malah jika anda seorang doktor bedah sekalipun, jangan cuba-cuba nak jalankan pembedahan ke atas ikan tersebut itu. Cukup dengan putuskan perambut, ikat mata kail baru.
Proses nak cabut mata kail perlu dilakukan dengan cermat untuk elakkan ikan cedera teruk atau jari anda cedera akibat tercangkuk mata kail. Sebenarnya banyak kemalangan berlaku ketika mengendalikan ikan kecil berbanding ikan besar.
Jika ikan bersaiz kecil kerap dinaikkan semasa anda memancing, tukar mata kail kepada saiz yang lebih besar. Selain mengurangkan peratus ikan kecil tercangkuk, langkah ini juga mampu kurangkan stres anda setelah asyik-asyik ikan kecik je naik.
Langkah terakhir paling senang. Anda hanya perlu lepaskan kembali ikan kecik tu untuk masa depan ikan tersebut dan masa depan kita. Ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri dan teruskan memancing sampai naik ikan besar sebesar toman 55kg.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...