Jika ikan yang dipancing terlalu kecil atau masih juvenil, kendalikan dengan cermat dan lepaskan kembali dengan cara berhemah. Sebaiknya dilepaskan kembali di kawasan di mana ikan itu dinaikkan. Yang tak eloknya, anda kecewa ikan tu kecil, main sentap je nak cabut kail sampai koyak mulut ikan tu. Lepas tu campak merata.
Sebaiknya jika anda dalam situasi boating, proses nak cabut mata kail daripada ikan dilakukan di dalam air. Tak perlu nak naikkan keluar daripada air nak timbang berat ke. Ikan kecik memang tak berat pun. Disebabkan kecil maka ia tidak mempunyai ketahanan tinggi untuk berada di luar air walaupun bagi tempoh singkat.
Bila situasi anda mancing tebing atau dalam bot tapi susah nak keluarkan mata kail, dibolehkan angkat naik ikan tu. Tapi jangan terlalu lama, segera lepaskan kembali. Tak perlu nak selfie dengan ikan tu.
Ads
Semasa kendalikan ikan, pastikan tangan anda dibasahkan sebelum memegang ikan untuk mengekalkan lendir ikan pada sisik atau badannya yang merupakan antara sistem pertahanan diri bagi ikan. Jika risau tangan anda hanyir, boleh gunakan sarung tangan yang basah.
Ads
Jika mata kail ditelan, langkah terbaik ialah putuskan tali perambut anda. Jangan cuba cabut secara paksa ke, suruh ikan tu luah balik ke, malah jika anda seorang doktor bedah sekalipun, jangan cuba-cuba nak jalankan pembedahan ke atas ikan tersebut itu. Cukup dengan putuskan perambut, ikat mata kail baru.
Ads
Proses nak cabut mata kail perlu dilakukan dengan cermat untuk elakkan ikan cedera teruk atau jari anda cedera akibat tercangkuk mata kail. Sebenarnya banyak kemalangan berlaku ketika mengendalikan ikan kecil berbanding ikan besar.
Jika ikan bersaiz kecil kerap dinaikkan semasa anda memancing, tukar mata kail kepada saiz yang lebih besar. Selain mengurangkan peratus ikan kecil tercangkuk, langkah ini juga mampu kurangkan stres anda setelah asyik-asyik ikan kecik je naik.
Langkah terakhir paling senang. Anda hanya perlu lepaskan kembali ikan kecik tu untuk masa depan ikan tersebut dan masa depan kita. Ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri dan teruskan memancing sampai naik ikan besar sebesar toman 55kg.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hujan yang turun pada awal pagi hari tersebut menyebabkan beberapa buah bot memancing menangguhkan seketika aktiviti memancing di perairan Teluk Kemang. Hujan sebenarnya bukanlah menjadi penghalang sebaliknya angin yang bertiup agak kencang bersama hujan itulah yang menyebabkan para tekong tidak berani untuk mengambil risiko membawa pemancing ke laut. Setelah cuaca mengizinkan barulah para tekong bersedia membawa kami mencuba nasib.
Saya bersama tiga orang rakan memancing hari itu turut sama turun memancing dengan menggunakan khidmat tekong tersohor Teluk Kemang, Shariman atau lebih dikenali dengan nama Apex Kecil. Berikutan cuaca yang masih berangin, kami sepakat sekata untuk tidak pergi memancing jauh ke tengah laut. Justeru cadangan tekong untuk jigging spesies senangin di dalam kawasan teluk segera dipersetujui oleh kesemua ahli trip.
Hampir setengah jam berjigging, nasib ternyata menyebelahi saya apabila jig slow pitch 80 gm disambar pemangsa sekitar beberapa kaki dari dasar. Setelah melayan pecutan dan lariannya seketika, akhirnya seekor senangin berskala saiz sederhana berjaya didaratkan.
Kejayaan itu sedikit sebanyak merangsang semangat kami untuk kekal lebih lama di teluk tersebut. Tidak lama kemudian giliran tekong pula mempamerkan kehandalannya. Namun nasib lebih menyebelahi senangin apabila berjaya meloloskan diri dari mata kail sejurus tiba di permukaan air untuk didaratkan.
Setelah beberapa kali berhanyut di spot yang sama, saya berjaya menerima strike namun pemangsa yang dipercayai adalah senangin ghaib ketika dalam pertarungan. Nasib yang sama turut dialami oleh tekong. Malah ia berlaku lebih dari sekali. Ketika seperti hampir menjadi mangsa buli senangin, muncul Shahrul menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya mendaratkannya setelah turut sama dibuli sebelumnya.
Episod dibuli senangin semakin berterusan apabila Shahrul berjaya mendaratkan seekor lagi senangin. Selepas itu hampir kesemua ahli trip hanya sempat merasai jig disambar pemangsa sebelum rabut begitu sahaja.
Dan kemuncak kami menjadi mangsa buli senangin apabila seekor senangin bersaiz kasar yang menyambar jig saya melakukan aksi akrobatik di hadapan mata kami semua dan berjaya memutuskan tali utama.
Selepas kejadian itu tiada sambaran yang kami terima sekali gus mengakhiri pemburuan kami. Walaupun kami berjaya mendaratkan tiga ekor senangin namun pembulian hampir sepuluh kali yang kami terima benar-benar menguji kesabaran kami. Sekaligus menjadi trip yang meninggalkan memori manis buat kami berempat.
Sesi pancingan di rumah api Permatang Sedepa atau One Phantom Bank (OFB) masa kini mungkin tidak semeriah beberapa tahun ke belakang.
Saya sendiri agak terlewat untuk mengutip pengalaman meski sudah lama didendangkan dengan kemahsyurannya.
Pada kali pertama menjejakkan kaki di OFB kira-kira 7 tahun lalu, dikatakan ia sudah tidak semeriah sebagaimana beberapa tahun sebelumnya.
Saya menyertai sekumpulan pemancing yang menyasarkan dua famili ikan ratfish dan rabbitfish. Waktu siang mereka akan memburu ikan kecil yang sebenarnya merupakan sasaran utama iaitu ikan dengkis.
Pada waktu malam pula memburu spesies pematah joran, si telinga gajah. Sementara saya pula lebih berhajat untuk menawan ikan-ikan predator yang agak sinonim di sini seperti tenggiri dan talang.
Sementara mempertaruhkan umpan ikan hidup disambar pemangsa, saya meluangkan masa untuk belajar teknik pancingan ikan dengkis dari mereka yang pakar.
8 daripada 10 ahli trip ini adalah pemancing berbangsa Cina yang amat menggemari keenakan daging ikan dengkis ini apabila dijadikan sup.
Maka tidak hairanlah mereka bersungguh-sungguh untuk mendaratkan seberapa banyak ikan yang mampu.
Bahan umpan yang disediakan amat ringkas. Bancuhan dedak itu kemudiannya diuli dan digentel kecil pada mata kail perambut apollo buatan sendiri.
Perambut apollo 3-5 mata kail itu diturunkan ke dalam air pada takat mata kail paling atas sekadar mencecah permukaan air.
Batu ladung yang digunakan tidak dilabuhkan ke dasar kerana ikan dengkis lazimnya mencari makan di permukaan dan pertengahan air.
Ikan dengkis tidak memberikan cabaran untuk mendaratkannya tetapi menunggu kemunculannya itulah yang memberikan cabaran.
Lebih sukar jika gerombolannya tidak kelihatan berlegar-legar dari permukaan. Mereka perlu berpusing keliling di atas rumah api itu sehinggalah umpan menerima getuan yang dinantikan.
Dalam pada menanti dengkis pertama didaratkan, pancing berumpankan tamban hidup saya menerima sambaran.
Setelah bertarung beberapa minit, seekor talang bersaiz sederhana berjaya `dilifkan’ ke tingkat atas bangunan 40meter rumah api baru berkenaan.
Melihat pada hasil tersebut, rakan lain mula memasang joran tambahan disamping ikan dengkis terus menjadi buruan utama.
Apabila ikan dengkis mula muncul dan memakan umpan, saya turut sama menyertai pemburuan yang kelihatan begitu menyeronokkan.
Walaupun bukan bersaiz besar, dengan menggunakan peralatan ringan, terasa juga keseronokan melayan larian dengkis ini apatah lagi yang bersaiz agak kasar melebihi lebar tapak tangan.
Meskipun jumlah penangkapan dengkis tidak sebagaimana yang mereka harapkan, sesi memancing pada hari itu sama sekali tidak membosankan.
Selain dengkis dan beberapa ekor talang, tenggiri, kerapu, alu-alu, serta ikan-ikan pelagik hasil apollo agak memuaskan hati.
Menjelang senja dan apabila ikan dengkis semakin menyepi, mereka mula persiapkan peralatan pancingan malam memburu ikan telinga gajah pula.
Pencarian awal telinga gajah memperlihatkan cabaran tersendiri apabila joran aksi berat salah seorang ahli patah ketika sedang bertarung.
Gerun pulak rasanya kalau telinga gajah menghentam umpan set pancing aksi sederhana yang saya gunakan.
Namun selepas kejadian joran patah tersebut, telinga gajah amat perlahan memakan umpan. Sehingga ke lewat malam hanya beberapa saja telinga gajah yang berjaya didaratkan.
Sebelum kembali ke darat tengah hari keesokan harinya, saya tingkatkan pencarian ikan dengkis. Namun hanya beberapa ekor saja yang berjaya diperoleh.
Saya bercadang untuk dimasak singgang ikan-ikan tu. Masak singgang lebih kurang masak sup juga.
Dengan cara masakan begini kita akan dapat menilai rasa sebenar ikan tersebut. Dan ternyata isi ikan dengkis memang mantap! Teksturnya lembut dan manis.
Bagi mengekalkan keenakan rasa ikan, team pemburu dengkis ini mendedahkan satu petua penting.
Sejurus ikan dengkis didaratkan, jangan terus masukkan ke dalam kotak penyejuk. Biarkan ia mati begitu saja.
Setelah itu barulah disiang dengan membuang isi perutnya. Paling penting hempedu ikan ini dikeluarkan cermat.
Menurut mereka, jika tidak disiang dengan segera hempedu itu berkemungkinan besar akan pecah dengan sendirinya dan akan meresap ke bahagian daging yang akan mempengaruhi rasa ikan tersebut.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Makan minum disediakan percuma sepanjang tempoh memancing. Yuran memancing pun percuma bagi sesi memancing selama 8 jam.
Lebih hebat lagi para pemancing akan diberi duit raya bernilai RM 10 sebagi setiap ekor ikan melebihi 8 kg (diturunkan ke 6 kg pada 3 jam terakhir) yang berjaya didaratkan!
Dan ia merupakan jemputan umum secara terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menyertainya.
Pernah tak korang menerima tawaran pakej open house raya macam tu? Memang susah nak jumpa punya. Tauke balak, tauke lombong kaya raya pun takde buat pakej open house macam tu.
Tetapi itulah yang telah dijayakan oleh pemilik kolam memancing, Kolam Mancing Harmoni yang terletak di Pulau Meranti, Puchong.
Menurut pemilik Kolam Mancing Harmoni yang lebih senang dikenali dengan panggilan Wak Sani, beliau hanya berniat untuk bersedekah dengan mengadakan majlis tersebut.
Satu kepuasan dan kegembiraan pada beliau apabila melihat pemancing secara beramai-ramai memancing dengan santai dan mesra di kolamnya.
Majlis rumah terbuka, memancing dan pemberian duit raya itu ternyata mendapat sambutan meriah dari pemancing tetap kolam, pemancing setempat dan jauh, juga pemancing yang baru pertama kali menjejakkan kaki.
Biarpun dikunjungi ramai pemancing namun suasana atau sesi memancing berlangsung dengan selesa dan mesra.
Bagi kebanyakan pemancing yang hadir, kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkenalan antara satu sama lain serta mengeratkan silaturahim.
Ia turut memberi peluang kepada pemancing memperkenalkan kelab memancing yang mereka naungi. Sementara pengusaha umpan memancing pula tidak melepaskan peluang mempromosi produk yang ditawarkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...