Hadiah bernilai RM165,000 menanti peserta pertandingan memancing Igloo Surfcasting Challenge 2018 di Pantai Remis, Ahad ini.
Pertandingan memancing itu anjuran bersama Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL-Igloo), pengedar barangan Igloo di negara ini dan Wakjali Event Management. Pertandingan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.
Hadiah wang tunai yang ditawarkan berjumlah RM146,500 manakala selebihnya ialah barangan Igloo yang bakal menjadi hadiah iringan dan hadiah cabutan bonanza kepada peserta yang mengambil bahagian.
Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM80,000 naib juara RM13,000 dan ketiga RM5,000.
Ads
Pemenang keempat dan kelima akan menerima RM1,000 setiap seorang, keenam hingga ke-40 menerima RM500 setiap satu manakala pemenang ke-41 hingga ke-99, masing-masing menerima RM400.
Bagi peserta yang menduduki ranking ke-100 hingga ke-150, penganjur menawarkan hadiah saguhati wang tunai RM100 setiap satu.
Selain hadiah wang tunai, penganjur turut menawarkan 20 hadiah cabutan bonanza barangan Igloo kepada peserta bertuah.
Ads
Setiap pendaftaran dikenakan bayaran RM100.00 untuk satu joran dan peserta boleh mendaftar dua joran atau lebih. Setiap peserta boleh menang lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.
Penganjur turut menyediakan 1,000 kemeja-T kepada peserta yang mendaftar awal. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 12.00 tengahari, Sabtu ini.
Sempena dengan pertandingan ini juga, UFL-Igloo menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada peserta pertandingan untuk pembelian barangan terpilih. Peserta boleh membuat pembelian sama ada di lokasi pertandingan atau membuat pembelian secara atas talian.
Ads
Bagi peserta yang membuat pembelian atas talian, pihak UFL-Igloo akan membuat penghantaran terus ke rumah peserta dengan kos penghantaran ditanggung syarikat.
Pantai Remis adalah lokasi terbaik bagi penganjuran pertandingan memancing kategori pantai di Lembah Klang Lokasi ini sangat kaya dengan spesis ikan khususnya semilang, duri, belukang, gelama dan juga pari.
Lokasi ini dilengkapi dengan kawasan parkir yang luas, tandas awam yang sempurna, surau dan gerai makanan serta homestay dan hotel.
Pengarah Urusan UFL-Igloo, Datuk Radha Krishnan (kiri) dan Pengerusinya, Datuk Malek Noor (tengah) dan Pengurus wakjali Event, Md Zali Kasran, mempamerkan poster Igloo Surfcasting Tournament 2018 ketika sidang media baru-baru ini.
Gimik pelancaran Igloo Surfcasting Tournament 2018 disempurnakan Pengarah Urusan UFL-Igloo, Datuk Radha Krishnan (kiri) dan Pengerusinya, Datuk Malek Noor.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tidak jauh dari Air Kuning, iaitu di Tronoh Mines terdapat sebuah lombong persendirian yang agak besar, di mana lombong yang berada di tanah miliknya dijadikan kolam ternak untuk rohu, jelawat, patin, tongsan, tilapia, lampam jawa dan sebagainya.
Di dalam lombong tersebut terdapat banyak PB dan ikan berkenaan bukanlah ikan dalam senarai ternaknya dan menariknya, ia meminta rakan saya, Zul untuk mengeluarkan ikan tersebut dari lombongnya.
Ini kerana, PB yang ada di dalam kolamnya telah mendatangkan ancaman kepada benih-benih ikan baru yang dilepaskan di dalamnya. Sebagai seorang yang meminati teknik casting, kebenaran tersebut diibaratkan Zul sebagai bulan jatuh ke riba.
Jadi beberapa trip telah dibuat olehnya dan hasilnya memang cukup menyeronokkan. Dalam satu trip sahaja tidak sampai sehari, tidak kurang dari 20 kg PB berjaya dikeluarkan. Hinggalah saya dan enam orang rakan yang lain turut serta dalam salah satu trip. Apa lagi bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal kerana dapat memancing dengan izin empunya tuan tanah.
Awal pagi sebaik sahaja tiba, sebaik sahaja gewang yang dilontarkan, pasti sahaja. Disebabkan lombong ini berkeluasan hampir menyamai keluasan tiga buah padang bola sepak, kami bebas memancing dan menyusuri sepanjang tebing lombong yang di kelilingnya ditanam dengan kelapa sawit.
Kesemua PB yang diperolehi kami berikan kepada Zul, kerana menurutnya PB tersebut dijadikan pekasam oleh keluarganya. Bagi saya, ikan PB yang banyak kami perolehi tidaklah dibuang begitu sahaja seperti yang diminta oleh tuan empunya lombong ini. Setidak-tidaknya dapatlah juga memberi pendapatan sampingan buat Zul dan keluarganya.
Cerita Zul lagi, disebabkan lombong ini besar, setiap kali untuk menuai hasil, tuan punya lombong akan menyewa pukat tunda untuk kerja-kerja menjaring. Jadi walaupun PB akan terperangkap sama, bukan semuanya akan dapat dikeluarkan dan PB pula adalah jenis ikan yang cepat membiak sekaligus memberi ancaman kepada anak-anak ikan yang baru dilepaskan pada pusingan berikutnya.
Tidak hairanlah, hampir kesemua PB yang kami perolehi itu rata-ratanya lebih kurang sama sahaja saiznya iaitu antara 35-40cm. PB yang terbesar diperolehi adalah 47cm.
Sebelum trip, rakan saya ini juga memberitahu, agar membawa set pancing yang light sahaja bagi menambah keseronokan memancing. Manakala untuk umpan, apa sahaja jenis umpan sama ada hardlure atau soft lure yang dihulurkan mudah sahaja mendapat strike.
Disebabkan lombong ini dipenuhi ikan lain, kami tidak terkecuali memperoleh tangkapan bukan ikan sasaran, antara jelawat, lampam jawa, talapia dan rohu. Malah ikan tongsan pun terkena gewang pada badan dan ekornya.
Jadi mana-mana geng yang berjaya mendapat ikan selain dari PB walaupun tidak ‘bol’ pada mulutnya memang kecoh dibuatnya. Maklumlah dapat lesen ‘rare’. Jadi semasa memancing, riuh rendah jadinya bila ada yang sedang strike ikan ini. Mana yang dapat bersaiz besar terutama rohu, letih jugalah melayannya.
Lewat petang, selepas menamatkan sesi pancingan tersebut dalam keadaan hujan renyai-renyai kami berjaya memperoleh kira-kira 40kg PB yang kesemuanya dikumpulkan oleh Zul untuk dijadikan pekasam. Siapa sangka, ikan PB yang dahulunya tidak dihiraukan, hanya diberi sebagai makan kucing dan dianggap mendatangkan ancaman kepada ikan tempatan, kini tetapi telah berubah gara-gara si ikan pekasam.
Kami memulakan perjalanan dari bandar Mukah setelah kesemua ahli komplot berkumpul. Setelah menikmati teh tarik di Open Air Mukah sekitar jam 10 malam, maka perjalanan ke Tasik Bakun sejauh lebih kurang 400 km bermula.
Sekitar jam 4.20 pagi, kenderaan 4×4 kami sampai di Simpang Sungai Asap iaitu tempat pertemuan dengan guide, Richard Kiin yang juga rakan pancingan kami bertanggungjawab mengepalai sesi pancingan selama 2 hari 1 malam nanti.
Sebelum trip lagi saya telah dimaklumkan oleh Richard Kiin bahawa paras air di Tasik Bakun mengalami penurunan hampir 20 kaki dari paras normal. Cuaca panas dan kurangnya hujan menyumbang kepada penurunan paras air yang amat drastik.
Sesungguhnya keadaan ini amat tidak menyenangkan Richard Kiin. Ujarnya, kebanyakan spot pancingan terbaik banyak yang telah terjejas dek kerana paras air yang rendah. Namun atas minat serta keghairahan untuk menjerat penghuni tasik terutamanya semah trip ini tetap kami teruskan juga.
Sampai saja di boathouse, Richard Kiin terus menyediakan sedikit sarapan sebelum kami memulakan sesi pancingan pada hari pertama tersebut. Perjalanan ke lubuk pertama yang merupakan aliran keluar air dari sebuah bukit cuma memakan masa sekitar 10 minit.
Percubaan kami spot pertama kurang memberangsangkan. Cuma beberapa kejadian miss call berlaku. Setelah mencuba dalam masa lebih kurang 20 minit, yang dicari tetap enggan memunculkan diri. Kami sepakat untuk mencuba lubuk yang seterusnya pula.
Kali ini spot yang dipilih betul-betul di sebuah kuala sungai dan dipagari kayu mati, kira-kira 20 minit perjalanan dari spot pertama. Richard Kiin sempat `menabur racun pekat’ kepada kami dengan mengatakan spot itu memang sukar dijangka. Pernah beberapa kali gewangnya dilesapkan oleh penghuni reba yang rata-rata bersaiz lingkungan 2kg dan ke atas.
Kata-katanya telah membuatkan kami ghairah untuk menjerat penghuni lubuk tersebut. Setelah beberapa balingan dibuat, namun penghuni reba serta lubuk belum memberikan respon. Disebabkan lubuk di situ agak dalam, kami menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala TDD 9cm, Max Rap Fat Minnow 9cm serta Shad Rap yang mampu menyelam ke kedalaman 3-6 meter.
Saya yang menggunakan Rapala Max Rap Minnow 9cm warna Flake Ayu telah memecah kesunyian apabila seekor sebarau satu belang melarikan gewang dengan rakus. Semua tumpuan terarah ke arah saya seketika kerana tangkapan itu adalah yang pertama untuk pagi tersebut.
Setelah melayan seketika dengan setup yang disasarkan untuk bertempur dengan sang monster Tasik Bakun, Rapala Shadow 10-20lb yang bergandingan dengan kekili Daiwa Ryoga 1016HL, bertali utama Sufix 832 20lb serta perambut fluorocarbon Hi Seas 30lb, sang sebarau 1 belang rempit tersebut dengan mudah didaratkan.
Rupa-rupanya tangkapan tersebut adalah petanda yang kami akan berpesta sebarau dan diselang-selikan dengan semah ataupun kelah untuk sesi pagi tersebut. Belum pun sampai seminit selepas tangkapan pertama saya, Cikgu Iqbal juga berjaya mendaratkan seekor sebarau rempit tidak jauh dari spot yang pertama tadi.
Kemudian giliran Richard Kiin pula menerima sambaran padu. Melihat pecutan dan larian yang dipamerkan, kami menjangka ia adalah angkara seekor sebarau. Kami bersorak gembira seekor sebarau bersaiz kasar berjaya didaratkan. Sebarau satu belang itu dalam anggaran lebih kurang 1.2kg. setelah mengambil gamar, sebarau tersebut juga dilepaskan kembali ke habitat asalnya dengan segera.
Seorang lagi rakan iaitu Felix turut mendapat tangkapan sebarau satu belang juvenil tidak lama kemudian. Disebabkan ia lesen sebarau pertamanya, Felix amat gembira sehingga beberapa kali dia mengambil gambar pose istimewanya.
Keadaan dalam bot bagaikan tak keruan apabila selepas itu kami terus menerus mendaratkan pelbagai saiz sang sebarau. Double hooked up sering kali terjadi tatkala matahari semakin meninggi. Tuan Majid yang pertama kali menyertai trip 100% casting air tawar turut tidak terkecuali mendapat trofi sebarau pertama pada pagi tersebut.
Untuk trip mengilat pada hari pertama saja, kami betul-betul lost count angkara amukan sang sebarau dan semah yang pelbagai saiz. Namun kesemua tangkapan tidak mengira saiz kami lepaskan semula ke habitat asalnya dengan harapan supaya stok ikan di tasik ini akan terus terjaga dan mapan.
Pada hari kedua, kami menyasarkan mencari spesimen yang lebih besar, namun badong yang kami cari tidak juga memunculkan diri. Yang ada saiznya lebih kurang sama seperti hari pertama. Kadangkala ada juga haruan yang menyambar rakus gewang. Kelibat kaloi besar berlegar-legar di bawah bot, siap berpasangan lagi. Namun ikan berkenaan langsung tidak bernafsu dengan gewang yang kami lontarkan. Cuma ikut saja!
Selama 2H1M kunjungan saya ke Tasik Bakun ini, bolehlah dianggap berjaya walaupun casting pada paras air tidak berapa cun. Namun kerana keramahan penghuninya menghentam gewang membuatkan saya jatuh cinta. Saya tidak dapat bayangkan jika saya bertandang ke tasik ini lagi sewaktu musim monsun sebagaimana syoknya rakan di semenanjung memancing sebarau pada musim monsun di Tasik Kenyir.
Boleh dikatakan mencandat sotong di perairan Terengganu, merupakan satu-satunya aktiviti memancing yang bukan sahaja disertai oleh pelbagai kategori pemancing malah disertai oleh sesiapa sahaja walau pun bukan seorang pemancing. Aktiviti ini turut diminati oleh golongan wanita. Malahan peningkatan golongan wanita dalam aktiviti ini saban tahun begitu memberangsangkan.
Tiada kajian khusus kenapa aktiviti mencandat sotong ini begitu diminati ramai meskipun berhadapan dengan kemungkinan mabuk laut, boleh dikatakan hampir kesemua individu yang pernah bercandat sotong, keberangkalian untuk mengulanginya pada tahun berikutan amat tinggi.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai trip mencandat sotong sekiranya berkelapangan. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga jeti Marang akan menjadi tumpuan ramai apabila musim mencandat sotong. Bermula jam 5.00 petang, puluhan bot nelayan dan memancing yang membawa para pecandat sotong dari setiap pelosok negeri bergerak keluar dari kuala Sungai Marang menuju perairan beberapa batu nautika dari Pulau Kapas.
Saya bersama tujuh orang pemancing lain turut sama dalam `konvoi’ ini. Sekitar jam 8.00 malam, tekong bot melabuhkan sauh di suatu lokasi yang jauh dari spot mencandat yang menjadi tumpuan puluhan bot mencandat lain. Sementara spot pilihan tekong kami ini hanya terdapat beberapa buah bot sahaja namun kami semua menaruh kepercayaan penuh kepada tekong yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam dunia mencandat sotong ini.
Sesi mencandat bermula dengan agak perlahan. Justeru untuk memperolehi `lesen’ sedikit sebanyak memberi tekanan khususnya kepada ahli-ahli trip yang belum berjaya. Tekanan kian terasa apabila hujan lebat turun tatkala aktiviti mencandat baharu sahaja bermula. Lebih setengah jam juga aktiviti mencandat tergendala kerana hujan. Namun setelah hujan teduh, perlahan-lahan nasib mula menyebelahi kami. Walaupun tidak berada di kandang sotong dan sekadar dikunjungi `sotong gatal’, ia sudah cukup membuatkan mata kami berjaga sehingga dinihari.
Setelah seorang demi seorang melelapkan mata, sekitar jam 4.00 pagi ditamatkan secara rasmi berikutan arus yang kian laju. Beberapa jam kemudian tekong membongkar sauh dan kami bergerak ke jeti bersama kira-kira 50 kilogram sotong. Biarpun sekadar 50 kilogram, ia sudah lebih dari jangkaan kami berikutan kami lebih banyak bersantai daripada mencandat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...