RM115,000.00 Menunggu di Ampang Hilir

Share

HADIAH bernilai lebih RM115,000.00 menanti peserta pertandingan memancing GP KOPDBKL 2017 di Taman Tasik Ampang Hilir, 5 November ini.

Pertandingan anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah siri akhir daripada empat siri GP tahun ini.

Hadiah wang tunai ditawarkan ialah RM41,900.00 dengan juara menerima RM25,000.00, kedua RM6,000.00 dan ketiga RM3,000.00. Hadiah ditawarkan hingga tempat ke-50.

Selain wang tunai, hadiah lain yang menjadi rebutan peserta ialah kereta Proton Persona, motosikal Modenas Kriss, TV LED 60’’, TV LED 50” dan TV LED40’’ untuk pemenang Grand Slam.

Turut menjadi buruan ialah motosikal Modenas Kriss, 14 kad Mesra Petronas dan 20 hamper cabutan bertuah. Yuran penyertaan RM50.00 untuk satu joran. Turut ditawarkan empat hadiah wang tunai bernilai RM300.00 setiap satu kepada peserta yang menaikkan ikan bertanda.

Tasik Ampang Hilir, terkenal dengan ikan patin bersaiz mega, namun peserta lebih cenderung untuk mencari ikan bersisik, khususnya belida dan toman bagi mengejar mata kejuaraan.

Tasik Ampang Hilir ialah lokasi terbaik untuk memancing kategori ikan air tawar di negara ini. Rekod tangkapan di tasik berkenaan ialah ikan patin lebih 25 kilogram. Selain patin, tasik berkenaan turut dihuni spesies jelawat, kap rumput, tongsan, kaloi, arapaima, belida, rohu, tilapia dan lain-lain.

 

IKLAN