
Sediakan satu bekas bancuhan. Kemudian masukkan sekilogram serbuk roti. Curahkan 10 penutup botol perisa kelapa original dan gaulkan hingga sekata.
Masukkan pula 10 penutup botol perisa soya Original dan gaul hingga sekata. Kemudian masukkan 5 penutup botol perisa honeydew dan gaul hingga kesemua bahagian serbuk roti mengenai perisa.
Kemudian masukkan kira-kira dua genggam kelapa parut dan gaul sehingga sekata.
Sekiranya adunan serbuk roti terlalu berderai, boleh renjiskan air demi sedikit dan pastikan ia sesuai untuk dikepal iaitu tidak terlalu peroi dan tidak pula terlalu liat.
Cara menggunakan umpan:
Gunakan perambut Y dua mata kail tali sulam atau tangsi. Cucuk kedua-dua mata kail dengan beberapa keropok jagung.
Buatkan kepalan kecil dengan serbuk roti pada mata kail tersebut dan kepal dengan kuat. Buatkan satu lagi kepala kecil pada mata kail kedua.
Kemudian gabungkan kedua-dua kepala kecil dengan serbuk roti dan kepal dalam anggaran saiz sebesar penumbuk.
Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101
Boleh juga kepalkan secara langsung kedua-dua mata kail yang telah dicucuk keropok jagung dalam kepalan besar tanpa perlu membuat kepalan kecil terlebih dahulu.
Apa yang penting adalah kepala tersebut tidak terlalu peroi sehingga sukar untuk membuat lontaran dan tidak terlalu liat sehingga kepala tidak pecah berderai di dalam air.
RM75,000 Milik Zaidi di Stingray Hunt
Pemancing dari Klang, Selangor yang mendaftarkan nama Zaidi SSG sebagai peserta menerima durian runtuh sebanyak RM75,000 apabila ditabalkan juara dalam pertandingan memancing Stingray Hunt di Pantai Puteri, Melaka, Ahad lalu. Ia merupakan hadiah wang tunai tertinggi yang pernah diperoleh sepanjang hidup pemancing bertuah ini.
Zaidi SSG atau nama penuhnya Mohamad Zaidi Warmo yang menyertai acara Stingray Hunt @Pantai Puteri bersama kumpulan atau kelab pemancing Selangor Surfcasting Group (SSG), menaikkan ikan spesies pari kelawar seberat 3.660 kilogram pada jam 10.40 pagi.
Sebelum itu, kira-kira jam 10.00 pagi atau selepas dua jam acara berlangsung, peserta yang mendaftarkan nama sebagai Japar berjaya mendaratkan seekor ikan senangin seberat 2.160 kg. Namun tangkapan Japar atau Jaafar Abdullah dari Johor itu hanya mampu bertahan di puncak podium untuk tempoh 40 minit sahaja.

Begitu jugalah nasib yang menimpa peserta yang mendaftarkan nama sebagai MFKT 9 atau Mohamad Nusyakir yang agak awal mendaratkan seekor ikan pari seberat 1.480 kg, kira-kira setengah selepas acara bermula.
Dengan keputusan tersebut, Zaidi muncul sebagai juara sekali gus meraih ganjaran tunai sebanyak RM75,000. Manakala Japar terpaksa berpuas hati di podium kedua dengan menerima RM14,000. Sementara Nursyakir selaku wakil Mat Kilau Fishing Team (MKFT) dari Pahang berpuas hati di podium ketiga dan membawa pulang tunai RM5,000.
Hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Penyelaras DUN Pantai Kundor, Noor Azman Hassan dan Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management ini merupakan pertandingan kali ketiga dilangsungkan di Pantai Puteri tahun ini. Pertandingan terakhir di Pantai Puteri bakal diadakan ialah acara Shimano Surfcasing Challenge 2017 yang akan menjadi medan pertarungan para penggemar joran panjang pada 3 Disember nanti.
Pertandingan tajaan Shimano itu, bakal menyediakan hadiah keseluruhan lebih RM130,000.00 dengan Shimano bakal menyediakan pelbagai barangan peralatan memancing bernilai hampir RM45,000.00 termasuk Shimano Stella, Fliegen, Bullseye dan lain-lain lagi.

Carta Top 10 Pemenang
- ZAIDI SSG – Pari 3.660 kg (RM75,000)
- JAPAR – Senangin 2.160 kg (RM14,000)
- MFKT 9 – Pari 1.480 kg (RM5,000)
- JK 2 – Kerapu 0.950 kg (RM1,500)
- PISA 25 – Sembilang 0.950 kg (RM1,000)
- RAMLI 1 – Kerapu 0.820 kg (RM350)
- ABANG YEN – Daun baru 0.660 kg (RM350)
- KPS 19 – Daun baru 0.610 kg (RM350)
- JORAN LAMA – Duri 0.595 kg (RM350)
- AYANG – Daun baru 0.540 kg (RM350)
Tuah Siri Akhir GP KOPDBKL

Menyedari spesies bersisik khususnya ikan belida lebih tinggi kiraan mata berbanding spesies tak bersisik seperti ikan patin, Mohd Fadli Yoosuff mengetepikan kepuasan untuk memancing ikan patin bersaiz mega, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pancingan menggunakan umpan ikan hidup bagi memburu belida dan toman.

Ketabahan dan kesabaran Mohd Fadli nyata berbaloi apabila muncul juara siri akhir pertandingan memancing GP KOPDBKL 2017, Ahad lalu di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut merupakan siri akhir daripada empat siri anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diselaraskan oleh Wakjali Event Management.

Ikan belida seberat 4.990 kg (29.94 mata) yang didaratkan pada jam 8.25 pagi sudah memadai bagi menobatkan Mohd Fadli sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut beliau membawa pulang RM25,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM600.
Sementara Jamil Abu Bakar yang mendaratkan seekor ikan pacu seberat 6.170 kg (24.68 mata) sekadar berpuas hati di podium kedua dan membawa pulang RM6,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM500. Manakala di tempat ketiga yang membawa pulang RM3,000 dan Kad Mesra Petronas bernilai RM300 pula disandang oleh Mohd Hafiza yang mendaratkan seekor ikan belida seberat 3.555 kg (21.33 mata).

Lebih manis, Mohd Fadli yang hadir ke siri akhir GP KOPDBKL dengan kedudukan ketujuh dalam senarai grand slam (76.92 mata) berjaya memintas peneraju kedudukan teratas setelah berjaya mengutip tambahan 29.94 mata. Dengan pungutan 106.86 mata, Mohd Fadli secara mutlak membolot hadiah perdana (grand slam) berupa sebuah kereta Proton Persona yang bernilai lebih RM50,000.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Kawasan Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz diiringi oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Dato’ Ibrahim Yusoff dan Pengerusi KOPDBKL, Kamarulzaman Mat Salleh.
RM65,000 Jadi Rezeki Keluarga

Jika ingin memenangi sesuatu pertandingan memancing, ada baiknya juga memilih nama yang elok-elok atau nama yang boleh mendatangkan tuah sebagaimana nama yang didaftarkan oleh seorang pemancing di pertandingan memancing Cabaran Bulan September, Seri Bayu Tekala, Ahad lalu (24 September). Wang tunai RM 65,000 yang dijadikan hadiah di tempat pertama ternyata menjadi rezeki pemancing yang mendaftarkan nama sebagai Rezeki Keluarga.

Pemancing yang datang dari Sungai Buloh itu berjaya menjinakkan seekor ikan patin seberat 14.850 kg pada 8.58 pagi atau kira-kira kurang setengah jam pertandingan bermula. Debaran awal dirasai Rezeki Keluarga apabila kira-kira setengah jam selepas tangkapannya menerajui puncak podium apabila peserta yang mendaftar nama sebagai Cici Bom mendaratkan seekor ikan patin seberat 14.790 kg, yang mana hanya kurang 60 gm.
Selain daripada tangkapan Rezeki Keluarga dan Cici Bom, tiada lagi spesimen melebihi berat 14 kg yang berjaya dibawa ke kaunter timbang. Hanya dua ekor sahaja spesies patin melebihi berat 13 kg dan kedua-duanya turut sama kekal di podium ketiga dan keempat.
Sehingga tamat pertandingan pada jam 1.30 petang, ternyata tiada tangkapan yang lebih besar berjaya didaratkan sekali gus menobatkan Rezeki Keluarga sebagai juara Cabaran Bulan September sekali gus membawa pulang wang tunai RM 65,000.

Cabaran Memancing Seri Bayu Tekala siri berikutnya akan muncul dengan carta hadiah ranking yang lebih besar akan dilangsungkan pada penghujung Oktober nanti.
Carta Top 10
- REZEKI KELUARGA – Patin 14.850 kg (RM65,000)
- CICI BOM – Patin 14.790 kg (RM12,000)
- MAT JAT – Patin 13.490 kg (RM6,000)
- BDK KLANG 3 – Patin 13.150 kg (RM1,000)
- PENYAMUN – Patin 12.650 kg (RM500)
- BUNTAT – Patin 12.585 kg (RM400)
- ALONG TST – Patin 12.415 kg (RM300)
- HATI SUSAH C – Patin 12.145 kg (RM300)
- WAN JERUNG – Patin 12.115 kg (RM300)
- AMIR MEDAN – Patin 12.115 kg (RM300)