
Sama ada penyertaan para pemancing mencapai sasaran atau sebaliknya, isu pembayaran hadiah kepada para pemenang tidak akan berlaku di pertandingan memancing Seri Bayu Tekala, Ahad ini kerana wang hadiah sudah pun disediakan.
Sebanyak RM 10,000 disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking ke-101 hingga ke-150. Yang membawa erti setiap pemenang yang menduduki carta tersebut akan memperoleh RM200. Manakala RM36,000 tunai lagi diperuntukkan disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking dari tempat ke-11 hingga ke-100 atau RM400 untuk setiap ranking.
Itu baru kedudukan ranking ke-11 hingga ke-100, hadiah wang tunai untuk kedudukan ranking tempat ke-10 sehinggalah podium utama iaitu juara pula berjumlah RM59,000. Sekali gus ia melebihi RM100,000 tunai yang menanti untuk direbut. Begitulah tawaran luar biasa yang disediakan oleh pengurusan Seri Bayu Tekala bagi pertandingan memancing yang bakal dilangsungkan pada 29 Oktober nanti bertempat di Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Kajang.
Menurut pengurus acara ini, pihak kolam turut menyediakan dua kategori khas untuk tangkapan spesies patin Chao Phraya dan tongsan sisik halus. Bagi setiap juara kategori akan memperoleh RM 500, kedua sebanyak RM300 dan ketiga sebanyak RM200. Selain itu pihak penganjur atau pihak kolam turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan dua buah kaca TV 32” LED dan 10 unit kekili daripada jenama Shimano.
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftaran di kaunter pendaftaran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 28 Oktober sehinggalah bermulanya pertandingan.
Taman Tasik Ampang Hilir tawar RM16,000

1,000 orang peserta dijangka memenuhi Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah keseluruhan RM16,000 menanti peserta pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur 2017 tahun ke-6 siri ke-7 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad ini.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, DBKL, Zaharudin Basiron berkata, slogan `Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ khusus kepada warga kota menjadikan aktiviti riadah bersama keluarga dapat diterapkan melalui pertandingan memancing yang disediakan oleh DBKL.
“Dengan adanya aktiviti sihat pada hujung minggu, diharapkan program pada tahun ini dapat menambahkan semangat rasa cinta ke Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.

“Hadiah keseluruhan wang tunai dari RM16,000 disediakan untuk pemancing manakala masa pertandingan akan bermula jam 8.15 pagi hingga 12.15 tengah hari.
“Lebih menarik peserta yang mendaftar awal akan menerima sebotol air saiz 1.5 liter produk Oishi Green Tea sumbangan penaja.
“Juara pertandingan akan membawa pulang RM7,000 diikuti RM3,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.
Beliau berkata demikian ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu hari ini antara patin bersaiz antara 3 hingga 6 kilogram.
Menurutnya, Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, belida dan toman bersaiz 10 hingga 30 kilogram menanti para pemancing.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari pukul 3.00 petang hingga 10.00 malam.
Turut memeriahkan JPKL 2017 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oishi Green Tea dan Igloo-UFL.
10 Spinnerbait Terbaik Pilihan Umpan!!

Spinnerbait merupakan antara gewang tiruan yang paling awal direka oleh pemancing. Dengan putaran blade kecil serta riak daripada skirt atau getah halus cukup untuk menaikkan nafsu ikan pemangsa.
Spesies ikan bass biasanya pengaruh kepada ciptaan spinnerbait, namun pemancing di Malaysia pula biasanya menggunakan gewang ini untuk memburu snakehead.
Apa pun spinnerbait terbukti mampu menjadi gewang killer kepada pemancing baik snakehead atau bass. Jom kita lihat antara 10 spinnerbait terbaik ini.
Mann’s : “The Classic ”
Spinnerbait ini telah membantu Hank Parker menjuarai pertandingan Bassmaster Classic pada tahun 1989 dan seterusnya menjadi rebutan di kalangan pemancing.
Salah satu kekuatan spinnerbait ini ialah komposisi lengan yang ultra halus yang menghasilkan getaran menggoda dengan padanan ball-bearing swivel untuk menghasilkan ilusi renangan.
Eco Pro Tungsten : Rapid Fire Spinnerbait
Produk tungsten lebih terkenal dengan jig dan batu ladung. Namun penghasilan Rapid Fire menjadikan spinnerbait ini mempunyai ciri tarikan tersendiri.
Kerangka daripada tungsten membuatkan gewang ini lebih tumpat serta mampu membuat balingan yang lebih jauh selain rekaan badan yang menarik.
Freedom Tackle : Live Action Spinnerbait
Spinnerbait daripada Freedom ini wajar dimiliki kerana merupakan antara spinnerbait pertama yang menggunakan mata berasingan, mudah ditukar dan bersifat free-swinging yang memberikan aksi tambahan.
Sambungan mata pada badan yang lebih longgar menghasilkan renangan yang lebih menggoda dan spinnerbait ini terbukti kuat dan teguh.
Booyah : Vibra -FLEX
Direka oleh pemancing bass terkenal, Jimmy Houston, spinnerbait ini menampilkan kerangka Vibra-FLEX yang menghasilkan getaran yang lebih menggoda berbanding kerangka stainless steel biasa.
Kerangka ini juga kuat dan sukar bengkok jika tersangkut sekalipun. Ciri lain juga menampilkan blade dengan putaran berlawanan menjadikan spinnerbait ini sangat ampuh.
Jackall : Super Eruption
Menonjol dalam situasi kurang cahaya dan air yang keruh, Super Eruption dilengkapi dengan 2 bilah blade yang akan berputar laju setelah memasuki air.
Juga dilengkapi dengan kerangka 0.8 mm. SUS304 stainless steel, memberikan getaran dan kekuatan untuk menaikkan ikan seekor demi seekor.
Bentuk kepala spinnerbait ini juga agak unik dan menghasilkan aksi tambahan.
Blue Fox : Vibrax Super Bou
Cukup terkenal dengan kemampuan menggoda bass bersaiz besar, spinnerbait sepanjang 8 ½ inci ini mungkin mampu menarik spesies seperti mama haruan dan mama toman.
Dibina dengan kerangka super-duty stainless steel, badannya juga dilengkapi dengan rekaan safety-pin untuk mengelakkan lebur jika tersangkut. Datang dengan 8 pilihan warna utama.
Northland Tackle : Reed-Runner Classic -Series Tandem
Spinnerbait ini datang dengan blade willow-leaf dengan tambahan blade kecil sebagai kicker. Blade bagi spinnerbait ini juga datang dengan pelbagai pilihan warna daripada metalik hingga hitam.
Dipadankan dengan silikon Crazy Leg serta mata kail merah daripada Lip-Stick Hook menambahkan lagi tarikan spinnerbait ini.
River2Sea : Bling
Spinnerbait rekaan Ish Monroe ini menghasilkan getaran daripada kerangka yang ringan dan serta blade yang ultra-nipis.
Selain itu, ciri lain yang menjadi tarikan bagi spinnerbait ini ialah swivel dengan ball-bearing pada blade atas untuk membantu membuat putaran pada karauan perlahan serta rekaan kepala untuk membantu mengelakkan sebarang halangan sewaktu renangan.
Strike King : KVD Finesse
Direka oleh Kevin VanDam dan barisan jurutera Strike King, KVD Finesse dihasilkan untuk menahan asakan ikan bass.
Dihasilkan dengan kerangka yang kuat serta pilihan warna natural, bentuk kepala yang agak bulat menghasilkan aksi tambahan ‘bumps’ pada dasar perairan.
Terminator : T-1 Titanium Twin Spin
T-1 Titanium Twin Spin merupakan dual-armed spinnerbait yang terbukti antara spinnerbait killer terhadap pelbagai spesies ikan pemangsa.
Dilengkapi dengan sepasang blade Oklahoma double-barreled flash, ia menjadi padanan sesuai kepada kerangka Snap Back titanium untuk melawan asakan pemangsa.
Dengan mata kail VMC Needle Point, spinnerbait ini mampu menjadi senjata yang meyakinkan buat pemancing.
Likuh Emas Muncul Juara Di Tasik Ujana

Ia seperti menepati hebahan pertandingan memancing di Tasik Ujana, Nilai Impian yang tersiar pada minggu lalu, ikan likuh emas yang menjadi hiasan dalam hebahan tersebut, berjaya dipancing sekali gus menobatkan pemancingnya muncul sebagai juara dalam pertandingan memancing Cabaran Hari Malaysia, Ahad lalu.
Begitulah jika ia sudah menjadi rezeki kepada Danial Haikal Mohd Naim apabila berjaya mendaratkan seekor ikan likuh emas seberat 5.550 kg pada jam 11.25 pagi. Dengan kejayaan itu Danial Haikal merangkul wang tunai sebanyak RM 41,000 termasuk hadiah spesies terberat sebanyak RM 500.

Sementara pemenang di tempat kedua turut berjaya mendaratkan spesies likuh emas seberat 4.680 kg. Abdul Razak berjaya mendaratkan ikan tersebut pada jam 11.04 pagi yang mana kedudukannya di podium teratas sekadar bertahan selama 21 minit sahaja. Dengan kejayaan tersebut beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM 9,500.
Manakala peserta yang mendaftarkan nama sebagai Panglima pula berjaya mendaratkan seekor ikan spesies rohu seberat 3.225 kg pada jam 12.17 tengah hari. Dengan kemenangan tersebut, beliau membawa pulang wang tunai RM4,500 dan tambahan RM500 sebagai bonus tangkapan spesies terberat (rohu).

Dalam pertandingan anjuran Wakjali Event Management ini sebanyak 524 ekor ikan pelbagai spesies dibawa ke meja hakim untuk ditimbang. Sementara hadiah kepada pemenang pula disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sime Darby Nilai Impian, Rizal Affendy Ab Latif.
Carta top 10
- 1. DANIAL HAIKAL – likuh emas 5.550 kg (RM41,000)
- 2. ABDUL RAZAK – likuh emas 4.680 kg (RM9,500)
- 3. PANGLIMA – rohu 3.225 kg (RM5,000)
- 4. MOHD SABRI GP – rohu 2.730 kg (RM1,500)
- 5. JAHLI – rohu 2.710 kg (RM500)
- 6. MARZUKI – rohu 2.620 kg (RM500)
- 7. MARZUKI – rohu 2.520 kg (RM500)
- 8. SIAMAN – rohu 2.395 kg (RM500)
- 9. SIRAN SIN – haruan 2.115 kg (RM1,000)
- 10. ROSELINA – rohu 1.975 kg (RM500)