
Kebanyakan pulau terutamanya di perairan pantai timur diwartakan sebagai kawasan taman laut. Oleh yang demikian sebarang aktiviti menangkap ikan adalah dilarang dalam radius 2 batu nautika. Jadi, kita kenalah faham kenapa tekong tidak membawa kita memancing berdekatan dengan pulau.
Kebanyakan pulau yang tidak berpenghuni adalah pulau berbatu. Sementara struktur batu-batu yang tenggelam di sekeliling pulau tidak seragam saiznya. Tidak semua pulau boleh dihampiri dengan bot dalam jarak yang rapat. Oleh yang demikian, kita sebagai pemancing jangan cepat beranggapan negatif jika tekong tidak merapati pulau sebagaimana yang diinginkan.
Sentiasa perhati pergerakan arus dan angin jika ingin merapat tebing pulau berbatu. Sekiranya angin dan arus lebih terarah ke tebing maka sebaiknya beralih ke kawasan yang lebih selamat untuk merapati tebing.
Turut sama membantu tekong memerhati skrin sonar perihal kedalaman air walaupun tidak terlalu hampir dengan tebing pulau. Kewujudan struktur batu yang tidak seragam ketinggiannya boleh mendatangkan bahaya terutamanya di kedalaman kurang daripada 20 kaki.
Sepadan dengan dasar yang berbatu maka gunalah peralatan pancing yang dapat membantu mengurangkan kadar sangkut. Sekiranya berjigging, sebaiknya kurangkan jumlah penggunaan mata kail dan elakkan dari mengguna mata tiga.
Sepadan jugak dengan spot ikan-ikan kecil berlindung maka jangan terlalu harap akan strike kerapu bara 3-4kg. Dan kalau asyik strike kerapu biasa-biasa besar tapak tangan tu jangan nak salahkan tekong pula.
Lady Angler – Onie Yaniey, Lady Caster Tegar

Nama penuh: Nooryani Ramli Nama
Nama Sosmed: Onie Yaniey
Umur: 37 tahun
UMPAN: Boleh ceritakan sejak bila anda mula memancing?
ONIE: Saya mula memancing sejak berusia 7 tahun. Saya dilahirkan dalam keluarga kaki pancing. Memang dah jadi rutin hujung minggu ayah akan bawa kami memancing.
Tapi ikut musim la… musim gelama kat pantai, musim udang mengebot (naik bot) kat sungai, musim siakap pulak biasa kami membottom kat sungai (jambatan).
Begitulah dari kecik saya dah biasa tidur dalam hutan, semak, sungai atau tasik.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?
ONIE: Saya memilih hobi memancing sebab minat tu dah ditanam sejak kecik lagi. Memancing melatih diri untuk jadi seorang yang penyabar.
Dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan-rakan pancing. Selain kepuasan, dapat menghilangkan tekanan dan juga hobi memancing ni boleh dijadikan sumber rezeki sama ada tetap mahupun sampingan.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?
ONIE: Rintangan dalam memancing tu adalah perkara biasa. Misalnya sekarang sangat susah untuk mencari secebis strike berbanding zaman dulu.
Banyak spesies yang dulunya sangat mudah dapat tapi sekarang nak dapatkan sekor pun punyalah susah.
Contohnya siakap putih, merah, kerapu, tetanda yang dulunya saiz agak besar sekarang kalau dapat pun sebesar tapak tangan.
Harapan saya pulak… saya sangat berharap agar para pemancing menjaga ekosistem supaya spesies ikan tak pupus. Agar anak cucu kita dapat meneruskan lagi hobi ni.
Amalkan teknik CnR untuk ikan yang tak dimakan, saiz yang kecik serta saiz induk yang memang patut kita lepaskan.
Ambik ikan yang perlu sahaja. Saya sangat anti kaki tuba atau bom.
UMPAN: Ceritakan pengalaman pahit/manis ketika memancing?
ONIE: Banyak pengalaman manis… sudah tentunya strike spesies yang dicari. Bonus pulak dapat saiz idaman. Tapi pengalaman paling manis saya apabila saya strike ‘anak’.
Penantian selama 14 thn berakhir sudah. Kandungan berusia hampir 7 bulan baru dapat tau yang saya mengandung.
Selama 7 bulan saya bawak anak (dalam perut) ke laut, mengadap kucah besar, hiking, jungle tracking, berkhemah kat sungai, hutan… tasik, masuk event. Yang paling last saya join AMCT 2017 kat Tasik Kenyir.
Time tu hadap hujan ribut… kucah kat tasik, memang sangat lasak. Tapi syukur Allah lindung anak dalam kandungan saya. Itulah pengalaman yang paling manis… yang memang takkan saya lupakan sampai bila-bila.
Pengalaman pahit pulak… apabila gagal menaikkan ikan yang besar kerana turun port seorang diri tanpa kelengkapan alatan memancing.
Sekarang dah jadi habit fish grip sentiasa ada bersama jika turun port. Satu lagi… playar amat penting untuk cabut mata kail di mulut ikan.
UMPAN: Pencapaian membanggakan dan sasaran anda seterusnya?
ONIE: Pencapaian saya dalam bidang ni… apabila saya dapat mempelajari banyak teknik pancingan tapi masih banyak yang belum saya kuasai sebab hobi ni terlalu luas untuk diterokai.
Tak lupa jugak, apabila saya mencapai hasrat untuk memiliki enjin dan bot sendiri, serta pandai bawak bot sendiri. Bagi saya tu la pencapaian paling besar saya.
Sasaran pulak… sekarang musim talang kat tempat saya. Jadi saya mensasarkan untuk mendapatkan lesen talang. Ni pun satu cabang baru dalam hobi saya.
Tak pernah dapat, jadi sekarang saya sedang memburu spesies ini. Semoga impian saya untuk menguasai semua teknik pancingan dan strike semua jenis ikan yang saya buru dalam hidup saya tercapai.
kenali juga Lady Angler – Pengalaman seram memancing Alyn
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Trip Trobek – Trip Patah Hati Di Mersing!!

Bandar Mersing tidak banyak berubah dari pengamatan saya, begitu juga dengan jambatan yang merentasi sungai Mersing seperti sebelumnya. Rendah dan tidak dapat dilalui ketika air pasang. Sebab itu hampir semua bot pancing yang dasar di Mersing rendah, lampu dan antena boleh diturunkan ketika melalui bawah jambatan.
Kawasan kuala sungai masih tidak banyak berubah dan masalah pasang surut air selama ini terus membelenggu pengunjung yang mundar mandir dari Mersing ke pulau-pulau peranginan berdekatan. Bila air setengah pasang barulah bot kami menyusuri bawah jambatan rendah bergerak dengan perlahan keluar dari kawasan muara yang sempit.
Bot yang bergegar deruman enjin tiada masalah pemancing yang dah biasa untuk melelapkan mata terlena. Yang pasti bila enjin senyap apabila tiba ke destinasi yang dituju. Rutin biasa memancing di laut, tempat pertama dituju ialah kawasan mendapatkan bekalan umpan segar.
Umpan belum mencukupi terpandang pula ikan belitong pula datang meronda di unjam yang sama. Saya pasangkan umpan selayang hidup pada set pancing baru milik Zemie. Ujian pertama untuk joran dan kekili yang pertama kali turun ke air.
“Boleh tahan ke joran halus ini?”
“Tunggulah sekejap lagi, tengok siapa yang kena.”
Trip ini saya lebih banyak beradu dalam kabin kerana masalah kesihatan semakin meruncing. Bau yang hadir dari tandas berdekatan kurang menyenangkan. Banyak bertindak sebagai pemerhati dan memberi sedikit tunjuk ajar kepada pemancing yang sedang tekun memancing.
Lokasi kedua menurut tekong ialah lubang dan kesan tinggalan kapal atau bot karam. Tumpuan beralih kepada memancing dasar pula berumpankan sotong jarum hidup. Kebetulan malam itu sotong jarum begitu ramah dan tidak takut mendekati tepian bot. Mudah kerja kami menangguk sotong.
Umpan segar dan pilihan terbaik untuk mengendap ikan dasar. Jenahak pertama hadir hampir sepertiga malam apabila suasana semakin sunyi. Diikuti jenahak kedua ditewaskan oleh Tuan Yaakob yang juga menggunakan umpan sotong hidup. Agak lama juga menanti munculnya jenahak ketiga sebelum dua ekor pari turut berminat dengan sotong.
Hadirnya pari menandakan bot mungkin sudah tersasar dari kawasan tompokan bot karam dan lebih memburukkan keadaan kes putus dan rabut terjadi lebih dari 4 kali pada malam itu. Tekong memberitahu perlu menunggu air bertukar arus sebelum berpindah ke tempat lain atau labuh semula.
Tapi yang pasti sehingga siang kami berlabuh di satu tempat sahaja. Lebih malang apabila terdengar ucapan dari rakan lain…
“Ops… patah!”.
Dari kabin bot saya hanya perhatikan sahaja joran kesayangan sudah patah dua kerana tersangkut meleret hingga di bawah bot. Memburukkan keadaan tali tidak mahu keluar ketika joran mula mencecah air sehinggalah bunyi ‘prakkk’. Hilang semangat untuk memancing seketika.
Macam biasa waktu tengah hari naik ke pulau untuk menyejukkan badan. Lupa sebentar kes joran yang dah pakai bertahun lebur dalam beberapa saat. Segarkan sedikit badan yang dah semalaman tidak kena air tawar sambil menikmati air kelapa di warung Pok Ya, bekas salah seorang tekong kegemaran saya suatu ketika dahulu.
Sambil berborak ringkas, kami bergegas kembali ke jeti untuk menyambung sesi memancing pada lewat petang. Misi mencari tenggiri pula sementara hari masih siang. Nampaknya badai semalam yang tak tiba kini menjelma. Tidak banyak aktiviti memancing pada malam hari kerana angin menderu. Mungkin ada kesanggupan memancing jika ikan galak. Lena lagi tidur di malam keduanya.
Esoknya, hari terakhir ada sedikit keceriaan apabila dalam leka memancing Zemie terpandang beberapa ekor tenggiri bermain di permukaan air. Kali pertama belajar jig dengan membeli beberapa ketul jig seperti yang disyorkan sebelum trip dapat dipraktikkan. Tiga kali dia melontar jig baru mendapat strike. Kepuasan dan kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila pertama kali menaikkan tenggiri menggunakan jig.
Semangat semakin membara setelah seekor tenggiri tumpas. Tumpasnya tenggiri kini giliran pemancing pula tumpas apabila hampir semua jig yang dihulurkan diligan oleh tenggiri. Giliran gewang pintail 45g pula mengambil tempat setelah jig pilihan tenggiri habis dipotong. Tenggiri kedua menyusul sebelum suasana ceria tidak berpanjangan. Waktu sudah menghampiri penghujung untuk beredar menuju ke Mersing.
Mengenal Identiti Udang Air Tawar Terbesar

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum:Arthropoda
Subphylum: Crustacea
Class: Malacostraca
Order: Decapoda
Infraorder:Caridea
Family: Palaemonidae
Genus: Macrobrachium
Species: M. rosenbergii
Binomial name: Macrobrachium rosenbergii (De Man, 1879)
Udang galah memiliki ciri fizikal yang pelik dengan bentuk penyepitnya yang panjang dan beruas. Udang galah mendapat nama disebabkan kaki berjalan keduanya memanjang melebihi ukuran badannya. Bentuk fizikal inilah yang membuatkan udang galah dikenali, bahkan mudah dibezakan daripada spesies udang air tawar yang lain.
Beberapa penyelidik meletakkan beberapa peringkat pengkelasan bagi mengenal pasti spesies udang berkenaan. Terdapat sembilan peringkat pengkelasan yang meliputi peringkat alam kehidupan hingga spesies. Udang galah (Macrobrachium rosenbergii) dapat ditemukan dengan mudah di sungai air tawar dan payau.
Habitat udang galah sentiasa berubah dan berbeza-beza, terutamanya dari peringkat larva, ataupun poslarva hingga dewasa. Fenomena migrasi juga memainkan peranan penting dalam populasi udang galah. Oleh sebab itu generasi udang galah sukar terhapus di persekitaran sungai walaupun populasinya sedikit.
Udang galah bersifat omnivor di samping memiliki saiz mulut yang kecil untuk makan daging dan tumbuhan. Bahan reput, tumbuhan akuatik, daging haiwan, dan daging ikan juga merupakan sumber makanan udang galah.
Disebabkan makanannya mendap di dasar sungai, udang galah menjadi hidupan akuatik yang amat sesuai mendiami habitat di dasar sungai.
Macrobrachium rosenbergii merupakan spesies terbesar dalam kalangan udang air tawar dengan panjang keseluruhan termasuk kelanya mencecah hingga 70 sentimeter dan berat yang melebihi 500 gram. Kadang-kadang boleh mencecah sehingga 2kg.
Haiwan akuatik ini berwarna kebiru-biruan, kehijau-hijauan dan kelabu dengan memiliki kaki renang sebanyak lima pasang termasuk tiga pasang kaki jalan, sepasang penyepit dan sepasang kaki pemungut makanan.
Kulit udang galah yang berupa eksoskeleton adalah separa lembut dengan diselaputi lima segmen kulit yang memudahkannya bergerak, dan berenang.
Mata kumpulan yang dimiliki oleh udang galah membantunya melihat keseluruhan persekitaran. Hal ini menjadikan udang galah sukar terhapus generasinya dari segi keselamatan.
Deria penglihatan ini memudahkan udang galah mengesan musuh di persekitaran kerana udang galah menjadi kegemaran pemangsa seperti ikan haruan, toman, dan keli termasuk haiwan seperti memerang.
Di samping itu, bentuk udang galah juga memudahkannya melakukan penyamaran semasa berada di dasar sungai. Antenular yang berbentuk sesungut berupaya mengesan gradien kimia serta menentukan punca pencemaran.
Udang galah ini bergerak dan mendiami suatu kawasan dalam bentuk kumpulan yang kadangkala mencecah hingga 50 ekor. Namun, kumpulan yang mengawan sentiasa bergerak mengikut pasangan dan memerlukan lopak di dasar sungai. Udang galah juga merupakan krustasea yang gemar akan suasana separa gelap dan kurang pendedahan cahaya matahari.
Sifatnya yang suka menyorok dicelah batu, kayu dan lubang di dasar sungai menjadikan udang galah sebagai hidupan yang unik.