Jika orang Jepun terkenal dengan shasimi, orang kita pun ada menu sendiri untuk menikmati ikan segar tanpa perlu dimasak di atas api. Umai namanya.
Umai sememangnya terkenal di Sarawak. Admin berpeluang menikmati umai ikan aya sirip kuning ketika memancing di Lucornia.
Memandangkan umai ini disediakan oleh awak-awak berbangsa Filipina maka ia dinamakan umai ala Filipina.
Bahan-Bahan:
Sekeping aya sirip kuning segar
5 biji limau nipis
1 biji bawang besar
1 batang timun
1 ketul halia
5 ketul cili api
Cuka masakan
Gula
Cara penyediaan:
Ads
Langkah 1
Potong dan cuci ikan dengan bersih. Kemudian ambil sebahagian dari isinya dan dipotong kecil berbentuk kiub. Masukkan isi ikan ke dalam mangkuk atau pinggan.
Langkah 2
Kupas dan potong bawang besar berbentuk kiub juga.
Langkah 3
Ads
Belah kesemua limau nipis dan perah ke atas kiub ikan tadi.
Langkah 4
Hiris kasar kesemua cili api dan taburkan ke atas ikan.
Langkah 5
Kupas sebatang timun dan potong mengikut kemahuan anda. Kemudian campurkan ke dalam pinggan berisi ikan tadi.
Ads
Langkah 6
Kupas pula seketul halia dan potong kecil-kecil seperti bentuk kiub. Lagi bagus jika menggunakan halia muda.
Langkah 7
Taburkan lebih kurang satu sudu besar gula pasir ke atas bahan-bahan tadi.
Langkah 8
Curahkan cuka ke atas kesemua bahan. Jumlah cuka bergantung kepada jumlah ikan yang digunakan.
Langkah 9
Gaul kesemua bahan. Jika jumlah perahan limau dan cuka mencukupi, warna isi ikan akan bertukar menjadi putih cerah menandakan ia telah `masak’.
Untuk kenikmatan yang padu, terus saja menikmatinya sebaik saja ia siap untuk dihidangkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting.
Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api.
Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ.
Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah.
Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat.
Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat.
Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga.
Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya.
Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal.
Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
“Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Seperti biasa apabila ada pertandingan memancing air tawar yang menawarkan hadiah tunai puluhan ribu ringgit, akan timbul isu perebutan spot memancing atau tapak pancang. Perebutan tapak pancang ini lazimnya berlaku di lokasi pertandingan yang kecil seperti kolam-kolam pancing dan kurang berlaku di lokasi pertandingan seperti pantai atau tasik-tasik besar.
Demi merebut spot panas tersebut, apa saja cara sanggup dilakukan termasuk taktik penipuan. Segala peraturan yang telah ditetapkan akan dilanggar sama ada secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan.
Lazimnya juga ia akan berakhir dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku – pergaduhan. Persoalannya, pasal pancang pun nak bergaduh ke? Dapat spot best pun belum tentu ikan nak makan umpan. Apa pendapat anda sekalian?
“Sepatutnya pihak pengajur sediakan tempat. Contohnya pacak buluh yang bernombor dan aturan nombor jangan ikut turutan. Nombor 1 sini, 2 seberang sana, 3 hujung sana. Dan para peserta akan dapat tempat mengikut nombor daftar.
Cara ini mungkin boleh elak perebutan tempat dan kelebihan kepada otai-otai sesebuah kolam. Sebelum mula tu urusetia mesti pastikan kedudukan para peserta betul pada tempatnya. Dengan membuat rajah kasar kolam dan kedudukan peserta. Cuma banyak keja sikitlah. 2-3 hari sebelum pertandingan bolehlah mula pacak buluh atau kayu bernombor.”
“Hahaha… standard laa ni. Dalam diri belum ada perasaan rezeki kita Allah yang tentukan. Walau teknikal sekalipun, hasil akhirnya Allah jualah tempatnya. Walaupun begitu menyerah buta-buta adalah satu kerja bodoh. Usaha awal dengan hati yang ikhlas dan redha itu paling utama. Dengki tu wajib dijauhkan. Solat subuh jangan lupa. Ini tidak, semua langgar… puuuuiii!”
“Macam-macam hal… tu tak termasuk lagi geng silang tali orang. Datang berempat, dua tukang silang tali orang, dua orang lagi tukang mancing. Masing-masing buat-buat tak kenal padahal satu geng. Hadiah bagi-bagi sesama sendiri. Pernah tengok geng macam ni…. huhuhu.”
“Biasanya mereka yang dah bajet diri tu otai la berperangai macam samseng bila join game selalu nk membuli mereka yang masih newbie. Banyak kali aku perhatikan setiap kali ada game mesti ada spesies kaki buli. Biasanya mereka datang dalam kumpulan sebab tu mereka berlagak berani.”
“Melalui pemerhatian saya perebutan spot pancang ni berdasarkan kawasan spot ikan yang banyak dan besar. Biasanya mereka yang sudah tahu spot ikan di kolam tersebut. Sebab itu ianya berlaku.”
“Kerana mata wang manusia jadi buta… peraturan dan disiplin diketepikan. Ibarat kompom menang padahal kumpau berdarah… kikiki. Biasalah… otak letak kat kepala lutut.”
“Tak profesional orang berebut pancang ni. Patut ban dari pertandingan orang begini.”
“Sikap orang kita… semuanya bangsa kita… payah nak ubah sikap.”
“Pancang ghaib pun pernah terjadi… nak tuduh depa, group depa ramai… kami berdua ja… kesudahannya duduk la kat ceruk kolam.”
“Kalau aku pancang ni aku buat tak tau je.. sebab tu sampai sekarang game je main tepi lepas tu membangau. Huhu…”
“Daftar dua joran, pacak dua pancang rentang tali macam ada 10 joran. Perkara macam ni la selalunya jadi punca pergaduhan.”
Kata orang, kaki pancing ni walaupun tak kaya tapi hobinya mahal! Iyelah, nak beli set pancing yang betul-betul memuaskan hati ni bukannya seringgit dua harganya, tapi
beratus-ratus, malah beribu-ribu ringgit pun ada dek kerana berbeza lapangan pancing, lainlah peralatannya.
Itu belum lagi cerita aksesori-aksesori tambahan dan servis untuk set pancing tu lagi. Semuanya perlukan pelaburan yang banyak.
Tapi nak dijadikan cerita, kaki pancing ni mesti ada sorang dua orang member yang jenis suka nak pinjam set pancing untuk keluar memancing.
Di kalangan kaki pancing mesti ada daripada kawan-kawan ni yang jenis baru nak menceburkan diri dalam lapangan memancing yang baru.
Jadi, sebabkan takde set mulalah cari kawan yang ada set pancing yang bersesuaian dengan lapangan memancing tersebut.
Masa mula-mula nak pinjam bukan main manis mulut. “Ala, pinjam seharidua je bro…Nanti aku pulang balik lah… Ada hasil lebih nanti aku bagilah kat kau sikit..”. tak nak bagi, nanti dikata kedekut.
Nak dibagi risau rosak, bimbang tak dijaga elok. Tapi lepas bagi pinjam yang tak seronoknya, lepas seminggu, sebulan, dua bulan, langsung takde khabar berita! Malah ada yang bertahun-tahun buat senyap je. Dalam erti kata lain dah jadi harta sendiri.
Lebih teruk lagi, setelah beberapa purnama perkara ni berlaku dan setelah dipaksa berulang kali, set pancing yang kita terima tak sama seperti keadaan asal.
Selain itu, dah terbalik pula kesnya…si pemberi pinjam pula berasa malu nak mintak semula hartanya, sedangkan yang meminjam langsung tak rasa malu.
Tambah memedihkan, barang yang dipinjam tidak seperti keadaan asal. Ada kes hujung joran patah, kekili bercalar teruk, kayuhan kekili kasar semacam… badan kekili atau cincin joran teruk terhakis dimakan air garam dan macam-macam lagi yang sering kita dengari.
Bila ditanya macam mana boleh jadi camni, macam-macam alasan diberi. Nak disuruhbayar ganti rugi nanti ada yang sampai tarik muka dan putus sahabat! Tapi itulah senario yang sering berlaku.
Bila dah jadi camni, kebanyakan daripada kita dah rasa serik nak beri pinjam set pancing lagi. Bukannya nak bersikap kedekut, tapi bila jadi kes semacam ini sikit sebanyak ia mengganggu emosi kita sebagai kaki pancing.
Mana taknya, ada yang sampai ikat perut berbulan-bulan lamanya semata-mata nak dapatkan set pancing yang menjadi pujaan hati.
Bila ia jatuh ke tangan mereka yang tak reti menghargai ia sememangnya akan memberi kesan yang mendalam kepada kita.
Berbalik kepada kes ini, bukannya niat penulis untuk melarang kaki pancing memberi pinjam set pancingnya kepada kawan-kawan.
Tapi seeloknya, berilah pinjam kepada mereka yang betul-betul diyakini boleh menjaga harta kita dengan baik.
Sekurang-kurangnya risiko untuk terjadi kes-kes yang disebutkan di atas untuk dapat dikurangkan.
Lebih baik lagi jika si pemancing memberi kata dua kepada si peminjam bahawa risiko semua akan ditanggung oleh si peminjam.
Dalam erti kata lain, kalau set pancing itu patah, rosak atau sebagainya, si peminjam haruslah membayar ganti rugi setimpal dengan harga barang yang dipinjam.
Dan bagi si peminjam pula, amatlah dinasihatkan agar menjaga harta orang seperti harta sendiri. Jangan biarkan kepercayaan rakan anda hilang dengan kecuaian sendiri.
Ya, memang benar untuk mendapatkan set idaman yang sesuai dengan lapangan yang ingin anda ceburi itu mahal.
Tapi, alangkah baiknya jika kita mula mengumpul dari sekarang dan dapatkan set pancing sendiri. Sekurang-kurangnya jika rosak atas tangan sendiri lebih puas hati berbanding rosak atas tangan orang lain.
Jadi, ini sebahagian coretan untuk segmen wacana bulan ini. Mari kita dapatkan pula pandangan dan luahan kaki pancing tentang isu kali ini
APA KATA NETIZEN
Pendapat 1
“Bukan joran je. Batu ladung, mata kail, perambut pun mintak kita punya juga. Ingat koperasi sekolah ke?
Kalau ada member spesies yang payah nak pulangkan balik joran kesayangan yang dia pinjam.
Lepas ni kita bagi pinjam koyan atau serek yang harga dua singgit atau pun joran budak-budak harga dalam dua belas ringgit satu set. Kalau hilang tak rasa rugi sangat.
Tak payah bagi balik pun takpe.”
Pendapat 2
“Pergi kat member yang jenis suka pinjam joran @ alatan memancing tu, cakap kat dia nak pinjam duit dalam jumlah sekian-sekian.
Lepas tu beli set memancing pakai duit tu dan bagi dekat member tu sambil ckp “Nah ni hang punya, tok sah dok pinjam barang aku dah”. Settle masalah, boleh la ngail sambil layan kuaci.”
Pendapat 3
“Cukup hanya sekali. Bagi pakai tak reti pulang. Bagi pinjam tak reti nak jaga. Mujur bagi pinjam set option kedua. Kalau la terbagi set utama, mau aku buang semua.
Serik seserik seriknya. Bayangkan sampai boleh ada anak lipas ada dalam spool aku. Aduyaaii…!”
Pendapat 4
“Ni perkara biasa berlaku. Tapi kebanyakannya dari pemancing yang kurang tegar. Kalau pemancing tegar, mesti banyak set pancing dan spare part sendiri.
Aku pun pernah terkena. Dah lepas semenanjung pun set aku. Ape pun tak boleh! Hahaha, takpe, halal kan je lah…”
Pendapat 5
“Beli set pancing boleh kata mahal time tu untuk adik. Adik suka giler dapat hadiah tu. Sekali dia bagi pinjam kat member dia. Bila mintak balik, tertinggal kat kereta pakcik katenya. Lepas tu lepas tangan. Dah hangus!”
Pendapat 6
“Redha je la, awak jugak yang meracun dia masuk jadi ahli memancing ni. Taktik aku senang je. Reka cerita yang memancing pakai barang pinjam ni tak ‘ong’. Kumpau… Hehehehe.”
Pendapat 7
“Biase la tu, tapi tak semua kawan camtu. Memang ada jenis yang pandai pinjam tapi pulang tak pandai. Jenis pakai barang orang, tapi semacam macam harta sendiri. Kita pakai, punyalah kita jaga, belai bagai, bila dah tukar tangan jahanam jadinya.”
Pendapat 8
“Mesti pernah berlaku terutamanya masa masih tahap amatur. Kawan pinjam set pancing, kalau tak bagi, kesian ada, malu pun ada kau tak bagi pinjam. Nanti kawan kata taik hidung masin.
Tapi bila dah bagi pinjam, tak reti nak pulangkan lagi pula. Kadang-kadang berbulu juga rasa. Tapi tak apa, halalkan je. Anggaplah pengalaman.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...