Sembilang atau gemang merupakan antara ikan yang seronok dipancing. Selalunya kawasan muara sungai antara spot pancing sembilang yang cukup digemari kaki pancing. Seperti spesies ikan baung, kumpulan ikan pemakan dasar ini biasanya bergerak secara berkumpulan dan cukup agresif memakan umpan jika ditemuinya.

 

Jika umpan dilabuhkan ke kawasan yang mempunyai ikan sembilang, selalunya umpan akan dijamah berterusan. Tidak hairanlah pancingan ikan sembilang tidak memerlukan anda menukar spot pancing dengan kerap.

 

Memancing spesies ini juga tidaklah sukar dan pemancing boleh memancing dengan lebih santai dengan penggunaan alatan pancing yang agak ringkas. Teknik dasar merupakan teknik pancingan terbaik bagi memancing spesies sembilang. Jarang sekali kedengaran spesies ini dinaikkan menggunakan teknik pancingan lain.

 

IKLAN

 

Selalunya waktu terbaik memancing ikan sembilang ialah ketika waktu pagi dan lewat petang terutama ketika air bergerak surut atau bergerak pasang. Jika mahu memancing sembilang, sebaiknya pilih ketika waktu baru lepas hujan di mana air agak keruh.

 

Keadaan air yang keruh merupakan waktu terbaik untuk memancing kumpulan ikan bermisai termasuk ikan sembilang kerana kumpulan ikan ini aktif pada keadaan air sedemikian.

 

Set pancing ringan sudah memadai dan set sebegini antara pilihan penulis jika memancing ikan sembilang. Beberapa teknik perambut boleh digunakan termasuk perambut asas satu mata atau perambut 2 atau 3 mata dengan batu ladung di bawah.

 

 

Pilihan penggunaan umpan pula agak banyak, tidak perlu risau kerana spesies ini tidaklah cerewet memakan umpan. Antara pilihan umpan terbaik memancing spesies bermisai ini termasuklah udang hidup, udang kopek, umpun-umpun, anak ketam nipah, isi kerang dan sebagainya.

 

Terpulang kepada pilihan anda sendiri, yang pastinya bila lama tak layan tarikan ikan sembilang, sekali turun memancing layan sembilang memang lain macam syoknya. Paling syok bila dah pulang memancing tu, layan nasi lauk sembilang lemak cili api pula. Fuhhh, sembilang dapat, sodap pun sodap, kenyang pun dapat.