Selain anak-anak ikan terbul, kawan atau lampam yang biasa dijadikan umpan hidup, ikan-ikan kecil atau ikan yang tidak diperlukan untuk hidangan juga boleh dijadikan umpan. Jangan fikir anak-anak ikan sebegini tiada nilai dan dicampak begitu saja.
Caranya buangkan sisik dan kemudiannya hiris badan ikan berkenaan untuk ambil isinya. Kemudian potong kecil mengikut saiz mata kail anda. Kemudian lontarkan sahaja ke lubuk. Bagi ikan predator seperti baung, sebarau atau lain-lain pasti akan tergoda juga untuk melahap umpan ini walaupun kecil.
Berbeza dengan pancingan air tawar yang majoritinya boleh menggunakan apa sahaja jenis isi ikan (terbaik gunakan ikan terbul), di laut, umpan isi ikan yang paling sesuai digunakan adalah ikan belanak, tongkol, kembong.
Ads
Kerana ia cukup liat dan tidak mudah di getu ikan kecil berbanding isi udang pasar yang bukan sahaja cepat habis, tetapi juga mahal harganya. Caranya sama sahaja, buang sisik, hiris, potong dan cangkuk pada mata kail.
Kelebihan umpan isi ikan
Ads
Lebih tahan lama di dalam air kerana isi ikan biasanya liat dan tidak mudah dihabiskan oleh ikan-ikan pengacau umpan.
Selain industri perikanan, ikan cencaru turut menjadi ikan sasaran dalam industri perikanan rekreasi. Dalam dunia memancing, walaupun ikan cencaru bukanlah ikan sukan namun ia tetap menjadi spesies yang dicari keseronokan memancing serta sebagai hidangan di meja makan.
Ikan cencaru boleh dipancing dengan pelbagai kaedah. Sebagaimana yang sedia maklum, teknik memancing menggunakan sabiki atau apollo merupakan aplikasi yang paling umum dan banyak dipraktikkan.
Pancingan cencaru melalui teknik sabiki atau apollo ini boleh dilakukan di pelbagai lokasi memancing juga. Kebiasaannya di kelong, unjam, boya dan kapal parkir menjadi lokasi popular memburu ikan pelagik ini. Sementara waktu terbaik untuk memancingnya adalah ketika kemuncak air pasang besar.
Selain teknik apollo, cencaru juga boleh dipancing dengan keadah mengilat (casting) dan jigging. Bagi aplikasi mengilat, lokasi pantai berpasir dan berbatu merupakan spot terbaik untuk mencari spesies ini. Begitu juga di pesisir pulau.
Manakala untuk aktiviti jigging pula, penggunaan jig mikro merupakan senjata yang paling ampuh untuk menjeratnya. Penggunaan jig dengan assist hook yang berambu-ramba dan berbulu lebih menarik perhatian cencaru untuk mengejarnya.
Keterujaan dalam memancing cencaru ialah apabila bertemu dengan kumpulan cencaru bersaiz kasar atau lebih popular dengan gelaran cencaru kuda. Perlawanan dengan menggunakan set pancing ringan atau ultra ringan merupakan satu permainan yang cukup menghiburkan dan membuatkan pemancing ketagih untuk memburu spesies berbadan torpedo ini.
Pada masa kini, ikan cencaru bersaiz kasar atau cencaru kuda dipancing dengan menggunakan kekili elektrik. Bagi sesetengah pemancing ia kedengaran melucukan sebaliknya itulah kenyataannya. Penggunaan kekili elektrik, apollo bersaiz besar (20-24) dan batu ladung besar seberat ½ kg ternyata paduan terbaik untuk mendaratkan cencaru kuda.
Untuk pancingan batu di muara, peralatan pancingan yang digunakan mestilah sesuai. Panjang joran yang hendak digunakan hendaklah 7 kaki ke atas berkekuatan sederhana. Joran fast taper disyorkan kerana ia dapat menyawal larian ikan dengan cepat.
Penggunaan hujung joran yang memberikan tindak balas cepat ketika kita menyentap memberi kelebihan kepada kita. Hujung joran yang terlalu lembut akan menyebabkan ikan mudah menyelitkan diri di celah batu dan akhirnya putus.
Pemilihan tali juga amat penting dan mestilah sesuai dengan joran dan kekili yang digunakan. Minimum kekuatan yang digunakan haruslah tidak kurang dari 15lb. Kekuatan tersebut sudah memadai dengan saiz dan kekuatan ikan biasa diperolehi.
Kekili yang digunakan juga tidak perlu besar kerana kekuatan tarikan ikan di celah batu boleh dikawal dan banyak bergantung kepada kekuatan tali dan joran, yang sesuai digunakan mestilah yang tahan lasak kerana berkemungkinan untuk mendapatkan ikan bersaiz yang tidak dijangka boleh berlaku.
Umpan
Boleh dikatakan semua jenis umpan semulajadi berkesan ketika menggunakan cara ini. Lain tempat mungkin lain umpan yang digunakan bergantung kepada diet ikan di situ. Umpan ikan lebih sesuai digunakan kerana bau yang dikeluarkan, cukup menyelerakan bagi si ikan.
Umpan seperti kembung, tamban, bilis dan udang adalah yang paling popular. Kadang-kadang ada juga yang nak menggunakan umpan sotong. Umpan hendaklah dipotong kecil-kecil sebelum digunakan kecuali bilis. Mata kail yang disyorkan ialah bersaiz 1/0. Perambut tidak diperlukan kerana kail perlu diikat terus pada tali utama (mono).
Ada du acara yang sering digunakan. Pertama ialah mencari lubang di celah-celah batu dan biarkan umpan tenggelam seketika. Anda juga boleh mengunjun supaya umpan kelihatan seperti bergerak. Cara ini lebih mudah menarik perhatian ikan untuk menyambar. Jika tidak ada sambutan, cari lubang yang lain.
Keduanya ialah berdiri di gigi air dan mencampakkan umpan ke hulu dan biarkan hanyut. Seboleh-bolehnya ukuran tali yang dilepaskan hendaklah sama panjang dengan joran atau lebih sedikit.
Ukuran ini perlu diambil kira kerana umpan dicampak tidak jauh dari tempat kita berdiri. Paling penting ialah apabila umpan tersangkut pada batu, ia mudah untuk dilepaskan. Seperti mana cara yang pertama, cara ini juga memerlukan banyak pergerakan.
Cara pertama sesuai digunakan ketika air pasang kerana batu-batu yang tenggelam akan didatangi ikan untuk mencari makan. Cara yang kedua pula sesuai digunakan ketika air menyonsong pasang atau surut kerana aliran air membantu menghanyutkan umpan.
Namun, kedua-duanya boleh dipraktikkan sepanjang anda berada di situ. Kesimpulannya jika anda terjumpa muara atau benteng pemecah ombak, cubalah guna cara ini.
Tambahan:
Teliti jadual air pasang surut kerana ia membawa ikan masuk dan keluar. Pancingan muara berbatu akan berjaya pada masa bulan besar kerana ikan rapat ke tebing.
Ragutan ikan bukan sepanjang masa. Dalam sehari, waktu keemas an ikan menyambar umpan dua kali sahaja iaitu apabila air pasang penuh.
Tentukan kita sampai pada waktu yang tepat untuk mengelakkan dari memancing pada waktu air surut. Inilah waktu untuk tidur atau mengisi perut.
Bawa pelbagai jenis umpan kerana kita tidak tahu keinginan ikan untuk hari itu.
Bagi pemancing muda atau baru menjinakkan diri dalam dunia hanyir ini mungkin tidak familiar dengan spesies ikan leekoh. Walaupun sudah tidak begitu banyak kolam pancing air tawar yang menyediakan ikan leekoh untuk dipancing, namun masih ada pemancing yang berminat memancing ikan spesies kap ini. Sama ada di kolam, lombong atau sungai, ikan leekoh boleh dipancing dengan kaedah dan umpan yang sama.
Sebagai ikan kap yang menjadikan lumut, rumpair atau tumbuhan akuatik sebagai sumber makanan, melihat cara leekoh makan juga boleh dijadikan ilham untuk memahami kaedah memancingnya.
Ikan leekoh juga gemar menyedut tanah dan menyaring makanan yang ada di dalam tanah tersebut. Oleh yang demikian, bahan umpan berasaskan dedak merupakan senjata utama untuk memancingnya.
Tabiat makan ikan leekoh lazimnya tidak mengira waktu. Ia boleh berubah mengikut persekitaran dan habitat. Maknanya kita boleh memancing leekoh tanpa mengira waktu. Hanya untuk menentukan waktu ia paling aktif, kita haruslah melakukan sedikit homework.
Apa yang perlu ada pada umpan atau dedak ialah bau-bauan yang boleh menarik minatnya. Jadi, pastikan umpan yang digunakan dicampurkan dengan bau-bauan yang sedikit wangi serta hanyir.
Apa yang lebih penting daripada umpan ialah kaedah untuk menarik ia datang kepada umpan. Ia boleh dilakukan dengan teknik menabur umpan dalam jumlah yang banyak di sesuatu tempat.Inilah rahsia sebenar memancing ikan leekoh.
Selain perlu merasuah, gaya persembahan umpan juga penting. Ikan leekoh dipercayai bersikap agak tamak dan gelojoh terhadap makanan. Jadi, umpan yang tersembunyi mata kail di dalamnya itu perlulah dikepal dalam saiz yang besar.
Setelah mengetahui tabiat makan ikan leekoh ialah dengan cara pasif, iaitu memakan umpan yang tidak bergerak dan ia sendiri tidak bergerak ketika makan. Ia akan memakan umpan dengan senyap dan perlahan. Jadi, penggunaan mata kail yang ringan tetapi kuat amatlah penting.
Sekiranya menggunakan mata kail yang besar dan berat, ia juga memungkinkan mata kail tersebut tidak akan bergerak masuk ke dalam mulut ikan ketika menyedut makanan.
Ikan leekoh akan memuntahkan kembali mata kail setelah menyedut dedak. Oleh itu kita haruslah peka pada sebarang pergerakan mata kail melalui gerakan tali pancing. Memandangkan mata kail berkemungkinan tidak akan tercangkuk dengan sendiri pada mulut ikan, maka kita sendiri haruslah menyentapnya ada petanda ia digerakkan oleh ikan.
Selebihnya, layanlah lariannya dengan lemah gemalai. Pastikan drag kekili tidak dikunci terlalu tinggi kerana mulut leekoh agak lembut dan boleh koyak jika melawannya dengan cara yang kasar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...