Yo’Yo Rakit mempunyai 3 buah rakit dengan saiz yang berbeza dan dinamakan Rakit A, B dan C.
Rakit A yang kami kunjungi, sudah beberapa tahun beroperasi dan boleh dikatakan lengkap dengan fasiliti yang sesuai untuk kunjungan kaki pancing yang ingin membawa keluarga.
Dengan besar 200 x 500 kaki dan mampu memuatkan maksima 300 orang pada satu-satu masa, rakit ini boleh dikatakan cukup lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau,
kedai makan, karaoke, air bersih yang disalurkan terus dari darat dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Di Rakit A, terdapat 21 buah bilik penginapan dengan harga dari RM50 dan RM100 untuk kaki pancing yang membawa keluarga.
Harga ini bolehlah dikatakan amat berbaloi terutama dengan kemudahan serba lengkap yang ditawarkan.
Kesempatan menemubual pemilik rakit penulis sempatlah bertanyakan bagaimana tercetusnya idea untuk membina rumah rakit ini.
Menurut pemiliknya, Encik Hassan Talib, idea tertubuhnya rumah rakit ini pada asalnya sekadar suka-suka untuk hak milik persendirian.
Ads
“Namun, apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada pemancing yang menginginkan rakit ini dibuka kepada umum, saya mula membesarkan rakit dan dari
situlah bermulanya sambutan yang hangat daripada kaki pancing seluruh Malaysia”, katanya.
Ungkapnya lagi, selain daripada memancing sambil bersantai di rakit, Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat ‘river cruise’ bagi mereka yang ingin menyusuri pemandangan dan keindahan Sungai Johor.
Selain itu, bagi pemancing yang ingin merasai kelainan, pihak Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat sewa bot untuk memancing di kawasan sekitar Sungai Johor.
Bot dengan enjin 15 hingga 250 kuasa kuda telah disiap-sediakan jika ada yang berminat untuk menjengah lubuk-lubuk yang ada di kawasan sekitar.
Selain Rakit A, anda juga boleh memilih untuk memancing di Rakit B dan C yang terletak berhampiran dengan rakit utama.
Di Rakit B yang baru dibuka pada tahun 2014, saiznya jauh lebih kecil berbanding Rakit A. Rakit ini hanya mampu memuatkan sekitar 25 orang pada satu-satu masa.
Ads
Rakit ini juga kurang sesuai bagi mereka yang membawa keluarga kerana tiada bilik penginapan yang disediakan.
Namun, untuk kaki pancing tegar, rakit ini sering menjadi pilihan kerana kawasannya yang berhampiran dengan pulau dan dikelilingi batu karang.
Di Rakit yang terbaru iaitu Rakit C yang baru dibuka pada tahun ini, ianya sesuai untuk pemancing yang membawa keluarga atau kumpulan kecil.
Selain mampu memuatkan maksima sehingga 60 orang, terdapat juga 9 buah bilik penginapan dan pelbagai lagi kemudahan lain turut tersedia di sini.
Boleh dikatakan ketiga-tiga rakit yang ada di sini memang menjadi laluan pelbagai jenis ikan.
Ads
Antara ikan yang sering menjadi habuan kaki pancing ialah siakap, kerapu, senangin, tanda, semilang, pari, pecah periuk dan bermacam-macam lagi. Rekod di rakit ini, ada pemancing yang pernah menaikkan siakap seberat 7 kg!
Malah, sewaktu kunjungan penulis boleh dikatakan pemancing yang memancing di sini mewah menaikkan pelbagai jenis ikan.
Kena dengan kunjungan kami yang jatuh waktu air menyusur bani, memang tak menang tangan masing-masing menaikkan hasil tangkapan.
Dari ikan sekecil-kecil gelama hinggalah sebesar siakap semuanya ada dinaikkan sewaktu kunjungan kami.
Jadi, bagi kaki pancing yang ingin merasai percutian memancing bersama keluarga dan rakan-rakan, Yo’Yo rakit adalah antara rakit yang amat penulis sarankan kepada anda.
Selain lengkap dengan fasiliti, rakit ini juga boleh menjadi tempat untuk anda mencari lauk dan menenangkan fikiran.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh hubungi pemilik rakit En. Hassan Talib Facebook mereka, hanya taip sahaja ‘Yoyo Rakit’.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kuala Kubu Bharu adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Hulu Selangor. Pada mulanya bandar ini dikenali sebagai Kuala Kubu sahaja dan diletakkan di bawah pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan kemudiannya Edward Maxwell.
Ketika itu, Kuala Kubu merupakan jalan utama masuk ke negeri Pahang. Oleh kerana banjir besar yang melanda pada tahun 1883, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.
Pada tahun 1975 pula, Majlis Daerah Hulu Selangor ditubuhkan dan dipertanggungjawab untuk mentadbir dan membuat perubahan di dalam kawasan yang merangkumi dari Serendah, Batang Kali hinggalah ke kawasan Felda Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa dan sekitarnya.
Banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan kemudahan penduduk. Pekan Kuala Kubu Bharu yang dahulunya yang sunyi kini bertukar corak menjadi pekan yang ceria, bersih dan indah dengan landskap yang menyejukkan mata memandang disamping mengekalkan seni bina awal tahun 1900.
Potensi spot pancingan
Di Kuala Kubu Bharu sendiri terdapat sebuah empangan yang membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk sekitar Lembah Klang. Tadahan air ini terletak di kawasan Pertak yang menjadi penghubung jalan ke Bukit Fraser dan Raub, Pahang.
Sejak ia dibuka sepenuhnya, empangan ini telah menjadi salah satu spot pancingan pilihan kaki-kaki pancing di sekitar Lembah Klang kerana jarak pemanduannya hanya lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur.
Antara spesies-spesies ikan buruan yang terdapat di empangan ini adalah sebarau, baung, jelawat, tengas, patin, toman, lampam, haruan dan juga tilapia. Bagi kaki-kaki pengilat yang sentiasa mendambakan tarikan padu sang sebarau, banyak terdapat spot-spot menarik yang boleh diduga di sekitar empangan ini.
Namun untuk memasuki empangan ini menggunakan bot amatlah dilarang sama sekali oleh pihak pengurusan empangan. Bagi kaki-kaki bottom pula, antara spot kegemaran mereka ketika paras air tinggi sudah pasti di atas jambatan panjang yang berdekatan dengan kampung orang asli Pertak terutamanya pada sebelah malam setiap hujung minggu.
Sang Merak
Selain empangan tersebut, taburan lombong di sekitar mukim Ampang Pecah dan Rasa juga turut mempunyai potensinya yang tersendiri. Sedar tak sedar, rupa-rupanya telah lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies peacock bass (PB) yang diketahui umum banyak merajai lombong-lombong di Perak.
Ramai pengilat tempatan rata-ratanya telah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini sejak beberapa tahun yang lepas. Sama situasinya seperti saudaranya di Perak, PB di sini tidak segan silu menghentam gewang permukaan seperti pencil dan popper berukuran 5-7cm.
Ada ketikanya, ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air. Namun, saiz yang diperolehi masih belum dapat mengatasi skala-skala mega yang biasa didaratkan di spot-spot lazim seperti di Air Kuning dan Malim Nawar. Apa pun juga saiznya, pada saya ia tetap mengujakan dan tidak perlu untuk memandu jauh hingga ke Perak.
Ikan belukang – ikan yang selalu dicemuh! Rasanya, ikan spesies pemakan kotoran ini lebih banyak disumpah seranah berbanding meraikan kejayaan mendaratkannya.
Tapi ikan belukang jugalah merupakan umpan pengubat duka tatkala dilanda kumpau.
Tidak ramai pemancing yang menggemari memancing ikan ini kecuali pemancing yang baru belajar memancing.
Iyalah, nak memancing ikan belukang ni tak perlu sewa bot atau perlukan peralatan khusus sebagaimana casting atau jigging yang menggunakan gewang.
Walau bagaimana pun ikan belukang ni pasti banyak cerita atau pengalaman yang seronok dibicarakan.
Di sini kami siarkan pengalaman masam manis pahit masin para pemancing yang berkaitan ikan belukang.
Apa kata netizen:
“Aku mula-mula datang Johor pergi pasar terbeli ikan ni la. Ingatkan baung, pelik jugak apasal murah bebenor. Kalo kat Terengganu baung tak dapat harga ni.
Seekor bapak besar RM5 je. Dalam 2kg kot…balik masak asam pedas sedap wei.… lepas tu bila dah lama kawan dengan orang Johor baru tau apasal ikan ni murah.”
MOHD AB RAHMAN
“Ikan belukang ada guna…aku pancing guna umpan siput babi. Kejap je dia sambar Lepas tu ikan belukang ni potong daging dia ketul-betul letak dalam bubu ketam.
Ketam suka makan daging ikan belukang. Sekali ketam masuk bubu memang banyak la, besar pulak tu.”
MAFFUS DIS SITTUS
“Ayah saya pernah cerita masa dia bujang pergi memancing dapat ikan ni besar betis, punya la seronok dengan kawan-kawan.
Balik rumah nak buat asam pedas, sekali bila belah perut siap ada cili jagung bagai (najis orang). Masing-masing lari nak muntah.
Sejak tu sampai sekarang dia dah tak makan spesies-spesies berjanggut ni.”
AMIRUL RASYID ABD AZIZ
“Pertama kali memancing dekat-dekat muara time air pasang. Naik ler dia, dapat3 ekor, bawak balik. Akak masak singgang… sedap jugak rasa dia. Haha…”
CHE ROMZI CHE SOH
“Zaman kecik dulu dapat bedukang cari selipar buruk cucuk kat duri atas belakang dia lepastu lepas semula. Haha… nampak selipar bergerak. Tapi jangan la kecam.”
MZBR VAZO
“Jarang dapat ikan ni kat market. Suatu hari nanti akan timbul juga sebab kekurangan ikan.
Sekarang pun ikan yang dulu orang jarang makan pun dah ada kat market. Ikan ni kalau kena mata kail duk bunyi macam orang sendawa. Hahaha.”
HIZAM AD ALI
“Belukang la ikan pertama yang sambar gewang aku. Sampai la ni aku punya gewang tak penah ikan sambar. Aku tak pandai main gewang atau aku tak sabar baling gewang. Hahaha.”
RIDZUAN ZAHIDI
“Pernah dapat besar betis orang dewasa… sampai patah-patah pancing aku dikerjakannya. Rezeki tu… sedap dibuat sup…!!!”
FIRDAUS BAHAROM
“Aku suka time strike…semacam dia tarik ikan ni. Kalau saiz 2kilo atas…rod cium air lengkungnya.”
FIKRI AZIZ
“Kalau di Sabah ni kompom catch & release. Tapi kalau pertandingan open stage muara pantai, jadi hadiah ni biarpun dihina.”
MOHD HAFIFI MUHAMAD
“Pernah makan ikan ni di restoran Cina Muslim Shahrin Low di Bangi. Sedap yang teramat sehinggakan dok tanya kat tukang masak ikan apa.”
Tidak lama dulu, sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak. Memandangkan saya peminat pancingan sungai pegunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan. Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pegunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak info yang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pegunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek. Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam. Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat. Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5 lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan. Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam. Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan. Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala Fat Rap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi. Highlight hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot.
Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai. Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami.
Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung. Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...