Sungai Kinta merupakan salah satu cabang sungai yang mengalir ke Sungai Perak yang puncanya mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta , Tanjung Rambutan.

Sungai Kinta ini mengalir dan melalui beberapa buah bandar dan pekan antaranya Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampung Gajah.

 

Kuala Sungai Kinta ini pula terletak di selatan Kampung Gajah yang terletak kira-kira 75 km di barat bandaraya Ipoh.

Dahulu warna air sungai ini jernih kini sangat keruh kerana dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

 

Lokasi pancingan & spesies

 

Sasaran di Sungai Kinta lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Sungai Galah, terdapat banyak spot pancingan menarik yang menjadi pilihan kaki-kaki pancing dasar dan pengilat khususnya.

Banyak juga terdapat taburan lombong pecah di sepanjang aliran sungai ini terutamanya dari Tronoh Mines.

 

Antara spesies ikan buruan yang terdapat di sini adalah sebarau, baung, jelawat, patin, toman, lampam, tapah, belida dan juga udang galah.

Bagi saya yang gemar memburu sebarau sungai, di sinilah antara spot kegemaran saya di sekitar negeri Perak selain Sungai Kampar serta Hulu Belum.

 

Jarak perjalanan ke sini juga tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit dari pekan Tapah yang melalui Tapah Road, Chenderong Balai dan Ladang Rakyat.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

 

Kaedah Pancingan & Faktor Pemilihan Air

IKLAN

 

Sebarau yang bersifat pelagik sudah pastinya mudah diburu dengan mengaplikasikan teknik mengilat gewang.

Kebiasaannya waktu yang paling efektif bagi menduga sebarau di sini adalah dari seawal pagi dan lewat petang kerana spesies ini akan aktif mencari makan pada dua waktu ini.

 

Gewang-gewang yang lazim kami gunakan di sini adalah Rapala Shallow Shad Rap SSR5, Rapala Countdown CD5 dan Rapala Flat Rap 8cm berwarna natural seperti ‘Bleak’ dan

‘chrome’ serta skema warna terang seperti ‘Goldfish’, ‘Hot Tiger’, ‘Fire Tiger’ dan ‘Perch’ sekiranya kondisi air agak keruh.

Jika paras airnya sedikit tinggi, kami akan menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala Tail Dancer TD7 dan Rapala Shad Rap SR7.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

 

Kunjungan Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.

 

Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh  seperti kelazimannya.

Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta.

Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.

IKLAN

 

Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan.

Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk.

Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

 

Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan.

Begitulah seterusnya yang kami praktikkan dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.

 

Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa.

Telahan kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.

 

Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan.

IKLAN

Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu

banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.

Hasilnya? Anda harus mencubanya sendiri.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

 

Kegembiraan bersama rakan

 

Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pemancing dan pengilat khususnya.

 

Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.

Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.

 

Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).

Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies-spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.

 

Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

(Catatan: Pemancing Marhaen)

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI