
Ikan yang memakan umpan secara menggetu atau mengutis memberi makna ikan yang memakan umpan dan kekal berada di tempat umpan dimakan.
Ikan jenis tidak bergerak ketika memakan umpan dan umpan itu sendiri juga tidak bergerak dengan ketara. Oleh yang demikian amatlah susah untuk pemancing mengetahui proses tersebut secara nyata.
Untuk membolehkan isyarat bahawa umpan sedang dimakan ikan, peralatan memancing yang sensitif pada getuan perlu digunakan.
Begitu juga kesukaran mata kail untuk tercangkuk dengan sendiri juga sukar. Bagi menghadapi ikan yang memiliki tabiat makan seperti ini, adalah disarankan mata kail yang jenis lurus atau mempunyai hujung mata yang mendongak ke tepi.
Mata kail yang digunakan juga sebaiknya tidak terlalu besar, halus dan tajam. Dan apabila merasai getuan, pemancing perlulah peka dan segera melakukan sentapan balas.
Antara ikan yang memakan umpan secara mengutis ini antaranya ialah lampam, tilapia, rohu, gelama, duri, anak-anak ikan atau ikan yang bersaiz kecil.
Ikan yang memakan umpan dengan cara menyedut atau menghisap umpan pastinya tidak perlu dihurai dengan lebih meluas kerana tidak menyembunyikan maksud yang lain.
Ikan yang menyedut umpan ini terdiri dari ikan yang bergigi tajam mahupun tidak bergigi. Lazimnya ia memiliki mulut yang luas atau bibir yang boleh dilaras.
Kebanyakan ikan jenis kap termasuklah kelah memiliki tabiat makan sebegini. Ikan kerapu dan gerong belang merupakan antara spesies ikan air masin yang tersohor dengan tabiat makan secara menyedut atau menghisap umpan.
Cara menyerang mangsa pula sama ada mengejar atau menunggu mangsa melintas di hadapannya di kawasan persembunyian. Banyak jenis mata kail boleh digunakan namun disyorkan mata kail yang berteras panjang dan sedikit bengkok pada hujungnya.
Kartunis Ujang – Ikon Tasik Kenyir Paling Eksplentes

Nama penuh: Ibrahim bin Anon
Nama FB: Ibrahim Ujang Anon
Usia: 54 tahun
Kerjaya: Kartunis & fishing guide (Tasik Kenyir)
Port: Subang Jaya, Selangor.
UMPAN: Sejak bila anda mula memancing dan membeli sendiri peralatan memancing?
UJANG: Mula memancing sejak kecik. Masa sekolah rendah, beli mata kail je kat kedai. 5sen dapat tiga ketul. Joran buat sendiri pakai buluh atap atau belebas.
Memancing kat parit belakang rumah tepi sawah. Ikan pertama haruan besar lengan anak Mak cik Gayah. Terus lari bawak balik rumah dan stop memancing. Dapat sekor je suka dua tiga hari.
Kemudian bila dah masuk sekolah menengah… duduk asrama, stop memancing sampai la masuk usia remaja dan bekerja di Gila-Gila tak memancing langsung.
Apabila dah keluar dari Gila-Gila dan terbitkan Majalah Ujang, hobi tu datang balik. Tapi kali ini lebih serius sebab dah ada duit.
Masa tu baru serius beli barang-barang pancing. Habis ratus-ratus sebab tak kenal lagi brand reel… main beli je asal boleh.
UMPAN: Sebelum fokus kepada Tasik Kenyir, padang pancing mana lagi yang anda cuba?
UJANG: Sebelum melekat di Tasik Kenyir, saya try merata tempat… tak kira lokasi. Sungai, paya, kolam, Endau-Rompin, Kuala Tahan, Royal Belum, Pasir Raja, Jeram Perahu dan entah mana-mana lagi. Ada je member ajak… saya main ikut je.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria yang perlu ada untuk kekalkan hobi ini?
UJANG: Untuk kekalkan hobi, bergantung pada minat la. Apa-apa hobi pun sama je. Kalau dah tak minat… susah la nak kekal.
UMPAN: Ceritakan pengalaman yang pahit dan manis sepanjang bergelar pemancing?
UJANG: Pengalaman pahit takde kot… kalau ada pun lelama dah jadi kelakar. Pengalaman manis tu banyak… yang terbest ialah apabila berjaya menganjurkan pertandingan
memancing bersama geng-geng lubuk.net, KNF dan kerajaan negeri Terengganu hingga ke peringkat Asean (Asean Monsoon Casting Tournament aka AMCT).
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil setiap kali turun memancing?
UJANG: Tip paling utama nak dapat hasil… untuk pancingan dasar, pastikan kail tersebut dibubuh umpan.
Dan untuk kaki casting pula harus memastikan lure yang digunakan ada mata kailnya sama ada single atau trible hook.
Tapi untuk gerenti dapat ikan tu tak berani nak cakap sebab saya pun banyak kali kumpau.
UMPAN: Apa pencapaian tertinggi dalam memancing yang telah diperoleh?
UJANG: Pencapaian tertinggi dalam arena memancing setakat ni ialah menerbitkan Majalah Buletin Lubuk, menjadi duta Daiwa dan Penasihat AMCT selama 10 tahun.
Panduan Penuh Memancing Bonito Hitam!!

Memancing dari bot lebih senang kerana spesies ini lebih tertumpu di luar pantai. Gancu juga perlu jika anda berminat untuk membawanya pulang, jika tidak, potong saja tali perambut atau biarkan saja ia memutuskan perambut ketika menggelupur di permukaan air tanpa mencederakannya.
Untuk sportfishing, disyorkan agar menggunakan mata kail jenis ketajaman kimia (chemical sharpness) yang mudah reput apabila berada lama di dalam air.
Dengan ini, mata tertanggal dengan sendiri dan ikan bebas seperti biasa untuk pertarungan di masa akan datang. Mata kail jenis Octopus untuk umpan hidup dan O’Shaughnessy untuk umpan mati dengan saiz 1 hingga 4 adalah disyorkan.
bonito hitam sentiasa berkeliaran mencari mangsa di kawasan yang memiliki makanan yang banyak. Mangsa pula terdiri dari anak-anak ikan pelagik, sotong, udang, ketam dan anak-anak ikan lain yang berada di habitat laluannya seperti anak kunyit.
Oleh kerana berketurunan pemburu, menggunakan umpan ikan mati tidak menjadi masalah untuk menawannya. Jika ia ada berdekatan, umpan ikan tadi akan menjadi mangsa sementara bonito hitam akan menjadi milik anda.
Walaupun bonito hitam sejenis ikan pelagik, memancing dasar mempunyai peratus sentapan yang lebih tinggi berbanding pertengahan air dan permukaan (teknik hanyut atau guna belon). Selain itu, teknik menunda juga berkesan untuk mendapatkan bonito hitam.
Gewang ikan, sotong atau skirt boleh digunakan untuk menunda bonito hitam. Kawasan pilihan menunda ialah di sekitar pulau, luar kawasan unjam dan kawasan pantai berbatu karang. Jangan menunda berdekatan dengan unjam dan pelampung bubu kerana pasti gewang anda tersangkut pada tali yang berserangkai.
Lengkapkan peralatan anda dengan umpan pilihan tadi dan padankan dengan perambut di antara 40-60lb. Perambut tangsi memadai dan berkonsepkan ‘satu bonito hitam, satu perambut’.
Biasanya perambut tangsi akan calar akibat bergeser dengan barisan gigi halusnya. bonito hitam mempunyai kekuatan larian dan junaman yang kuat, konsisten dan suka berlegar di permukaan sebelum membuat junaman di saat akhir.
Banyak kes putus perambut di permukaan air terjadi apabila teknik menggancu tidak betul. Pada masa ini bukan saja bonito hitam, spesies-spesies lain juga mampu membuat junaman apabila badan tersentak atau sakit (kena sipi) ketika si pemancing sudah yakin ikan tersebut dalam genggaman.
Jika terjumpa bonito hitam berlegar di sekitar bot, sistem tegangan perlu ‘disetkan’ pada tahap sesuai bagi membenarkan larian junaman selepas mata pancing sudah tersusuk pada bahagian mulutnya. Kalau anda tersilap, sarang burung terjadi atau tangsi kehabisan dipecutnya.
Mistik – Terkena Lintasan Hantu Lombong!!

Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal.
Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh 10 tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Serendah, Hulu Selangor.
Malam itu, saya bersama sahabat baik Hafiz keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing.
Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit.
Kalau tak kerana desakan Hafiz, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.
Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar lombong, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang.
Air lombong sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Hafiz masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.
Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Hafiz duduk. Katanya “Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”.
Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.
Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Hafiz tidak perasan air di tengah lombong kelihatan berpusar. Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air lombong menjadi ombak besar seperti ombak laut.
Saya dan Hafiz hampir terhumban ke dalam lombong sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu.
Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat. Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.
Setiap kali lembaga itu meranduk air lombong yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air lombong akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu.
Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.
Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis.
Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!
“Lari Syamil. Lari…!!!” ajak Hafiz.
Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!
Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.
Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.
Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan.
Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air. Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.
Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Hafiz melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu. Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air lombong tidak berpusar lagi.
Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja. Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.