Ikan baung ekor merah ini berasal dari Lembangan Mekong dan dilaporkan turut terdapat Lembangan Chao Phraya, Mae Klong dan sistem sungai Thailand.
Ikan baung ekor merah ini adalah spesies Bagrid terbesar di Asia dan dapat mencapai 80 kilogram. Sirip kaudalnya putih ketika ikan kecil, tetapi menjadi merah cerah ketika mencapai sekitar 15cm (6 in).
H. wyckii agak sinonim dengan H. wyckioides, tetapi H. wyckioides tidak memiliki gerigi pada tulang belakang sirip dorsal, memiliki dasar sirip dorsal yang lebih pendek, dan lebih pendek sesungut rahang atas.
Ads
Baung ekor merah atau Asian redtail catfish boleh ditemui di sungai dataran tinggi yang besar dan umum di daerah dengan dasar berbatu dan kedalaman tidak teratur. Ikan ini tidak bermigrasi, tetapi mereka bereproduksi secara lokal dan memasuki hutan yang banjir ketika air paras air meninggii pada bulan Julai-Oktober.
Ia memakan serangga, udang, ikan, dan juga ketam. Ikan ini dipasarkan segar sebagai makanan dan diternak di negara-negara Asia.
Ads
H. wyckioides dan Hemibagrus wyckii adalah dua spesies dari genus ini yang diimport sebagai ikan akuarium. Ikan ini tidak memilih makanan dan akan memakan pelbagai jenis makanan ikan. Spesies ini turut dikatakan sebagai ikan air tawar paling agresif di dunia.
Ads
Baung ekor merah memiliki warna kecoklatan dengan kilau kehijauan. Duri sirip pektoral bergerigi di sepanjang tepi bahagian dalam. Dasar sirip adipos lebih pendek dari sirip dorsal dan kira-kira sama dengan sirip anal. Memiliki 4 pasang barbels atau sesungut.
Ia boleh ditemui di kebanyakan habitat tetapi paling banyak di dijumpai di sungai berlumpur besar, dengan arus lambat dan dasar yang lembut.
Baung ekor merah dikategorikan sebagai benthopelagic air tawar dan payau. Ia selesa berada di dalam perairan 5meter dan lebih. Menurut Fishbase, ikan baung ekor merah ini juga boleh ditemui Lembangan Mekong, Chao Phraya dan Xe Bangfai dan juga dari Semenanjung Malausia, Sumatera, Jawa dan Kalimantan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Jepp memacu bot dengan laju menuju Lubuk Makan Darah. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari jeti hanya di isi dengan berbual-bual kosong sambil menyiapkan kelengkapan dalam bot.
Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Jepp amat arif dengan selok belok sungai ini. Dengan hanya berpandukan lampu kepala kecil, dia mampu mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk botnya. Maklumlah dia anak jati kampung ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di lokasi. Jam menunjukkan 10 malam dan masing-masing kelihatan tidak sabar mencampak umpan. Kelihatannya hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
“Elok juga tiada orang lain, kita bolot semua ikan yang ada kat lubuk ini,” teriak Basir sambil diikuti tawa dua orang rakannya.
Umpan yang baru dibaling tidak menunggu lama untuk diragut ikan. Atan orang pertama yang beraksi. Setelah 5 minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan.
Tidak lama selepas itu, joran Jepp pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Basir dan Atan berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum diusik dan dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Basir geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,”cadang Jepp.
Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh rakannya. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Basir dan Atan terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Atan dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Basir terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan matanya merah Rambutnya panjang dan matanya merenung tajam ke arah mereka bertiga. Jepp dan Atan juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi.
Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Basir ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk Kampung Ulu Cah. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut Pak Ngah Talib iaitu orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ.
Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Atan demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Spoon lure atau gewang sesudu merupakan umpan tiruan atau gewang yang digunakan untuk menipu ikan-ikan pemangsa. Ia merupakan peralatan terminal yang wajib ada di dalam tackle box jika ingin memburu ikan pemangsa air tawar atau pun air masin.
Apa Yang Best
Pertamanya spoon ini murah harganya dan boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual peralatan memancing. Semurah RM3.00 hinggalah yang mahal RM50 atau lebih, bergantung kepada kemampuan anda. Kerana harganya yang berpatutan, jika sangkut dan putus tidak terasa ralat sangat. Ia juga selalu digunakan sebagai gewang penduga kawasan baru untuk memastikan keadaan di dasaran.
Bentuk spoon menyerupai ikan perimpin atau anak-anak ikan lain yang menghuni perairan lombong menyebabkan ia realitik pada pandangan ikan. Kilatan pada spoon juga sangat menyerupai kilatan yang terdapat pada sisik ikan-ikan kecil.
Fluttering atau gelekan spoon menghasilkan sinaran berkilat lebih-lebih lagi apabila dipanah cahaya matahari yang terik. Kilatan ini menyerupai ikan-ikan kecil yang sedang sakit atau panik ketakutan, ini lebih cepat menarik perhatian pemanga walau sebagaimana degil sekalipun.
Perimeter permainan spoon adalah pelbagai. Ia boleh dimainkan di permukaan air, kolum pertengah dan heretan dasar. Spoon biasanya berat dan ia mudah dilemparkan jika anda menggnakan baitcaster.
Apa Yang Tak Best
Oleh kerana spoon banyak bergantung kepada kilatnya itu, ia menjadi kurang efektif apabila cuaca mendung, cahaya matahari tidak dapat membalikkan kilatan pada badan spoon. Disebabkan itu juga ia tidak beberapa sesuai digunakan pada awal pagi dan lewat petang, jauh sekali pada waktu malam.
Spoon adalah besi dan lumrah besi ia tidak meresap apa-apa cecair. Jadi cecair bau-bauan tidak dapat disembur padanya. Kerana ia besi, ia senang berkarat, lebih-lebih lagi apabila catnya sudah tertanggal akibat dibaham ikan.
Oleh kerana ia besi berat, ia cepat tenggelam dan ini membuatkan ia mudah tersangkut pada reba dan rumpaiar, lebih-lebih lagi jika menggunakan mata tiga. Gelung mata kailnya satu, maka hanya satu mata tiga atau mata tunggal digunakan dan apabila ia tersangkut ia sukar dilepaskan apabila menggunakan penyelamat gewang berbanding gewang yang mempunyai lebih mata tiga.
Sifat spoon yang flutter atau bergelek semasa tenggelam dan wobble (goyang ke kiri dan kanan) semasa dikarau menyebabkan tali pancing mudah kusut, lebih-lebih lagi menggunakan kekili spinning.
Ramai yang tidak memikirkan soal ini. Sebelum keluar memancing korang harus tahu sifat lawan yang dipancing. Memang ikan boleh berenang.
Tetapi tahukah korang bahawa corak renangan ikan juga terbahagi kepada beberapa kumpulan.
Ada spesies ikan yang sentiasa berenang laju meredah laut dan ada yang berenang dengan minima dan lebih banyak menghabiskan masa dengan kekal pada satu tempat di dasar lautan. Kenali ikan dan perlakuannya agar anda tidak pulang dengan tangan kosong.
Kawanan (Schooling)
Kebanyakan ikan bertulang yang kecil akan berenang bersama-sama dalam koordinasi tertentu dan dipanggil berkumpulan atau kawanan (schooling).
Sebab utama berenang dalam kumpulan ialah adaptasi untuk mengelakkan daripada pemangsa selain dapat menakutkan mangsa.
Kalau anda nak tahu, berenang dalam kawanan akan memberikan lebih daya hidrodinamik dan meningkatkan peratus persenyawaan.
Kewilayahan ( Territorial)
Pelbagai jenis ikan mempunyai sifat kewilayahan. Namun kadangkala sifat kewilayahan mereka ini berbeza dan unik.
Ikan damselfish yang kecil amat berani dan menakutkan dalam mempertahankan wilayahnya sendiri manakala kebanyakan kerapu atau grouper yang lebih besar akan berundur dari wilayahnya apabila didatangi oleh haiwan lain.
Hubungan simbiosis
Sesetengah spesis ikan kecil akan melekat pada badan ikan yang besar dan membersihkan badan ikan besar dengan memakan parasit pada tubuh ikan tersebut.
Simbiosis dapat dilihat pada ikan jerung, paus atau penyu. Ada juga ikan yang bersimbiosis dengan spesies yang bukan ikan seperti clownfish dan timun laut yang mana timun laut akan menjaga ikan tersebut daripada serangan pemangsa.
Penghasilan bunyi
Eh, macam pelik pula? Ikan mengeluarkan bunyi ke? Yang sebenarnya banyak spesis ikan menghasilkan bunyi sama ada dalam situasi ketika pembiakan, sosial, kewilayahan atau sifat agresif.
Bergantung kepada spesies, ikan bertulang mampu menghasilkan bunyi dengan melagakan giginya, getaran daripada udara atau dengan meregang dan mengecutkan ototnya. Kebanyakkan bunyi yang terhasil di bawah 10.000Hz.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...