Pada Sabtu minggu lepas penulis berkesempatan untuk menyertai satu pertandingan memancing anjuran 2M Event dengan kerjasama Kolam Sementeh Fight Club, yang bertempat di Lancang, Pahang.
Sebelum ini kami pernah datang ke sini dan merasai keseronokan suasana kampung dan kemeriahan memancing yang mana banyak terdapat ikan di dalam kolam ini.
Kolam Sementeh dimiliki sepenuhnya oleh saudara Mohd Rosaidy atau Ady (Sementeh Fight Club).
Tanah yang berkeluasan 6 ekar setengah ini digunakan sepenuhnya untuk membina 2 kolam.
Satu kolam khusus untuk pancingan dan satu lagi kolam diperuntukan untuk ternakan talapia.
Kolam ini semakin dikenali khususnya di sekitar Pahang dan di seluruh Malaysia amnya.
Jadi tidak hairanlah jika ada yang berminat untuk menyewa bagi melangsungkan aktiviti riadah berkumpulan serta pertandingan memancing.
Ads
Penulis difahamkan bahawa satu pertandingan memancing diadakan kali ini. Namun penganjuran di buat oleh rakan Ady iaitu dari group 2M Event.
Hadiah yang ditawarkan agak lumayan sebanyak hampir 20K keseluruhan.
Saudara Mohd Soffian Bin Zulkifli atau dikenali sebagai Bro Kuzi di Facebook selaku owner 2M Event menyatakan ini adalah kali pertama beliau menganjurkan pertandingan memancing di kolam.
Sebelum ini beliau lebih memberi tumpuan kepada pertandingan di tasik-tasik sekitar pahang.
Ads
Tepat jam 2.00 petang Sabtu bermulalah sesi pendaftaran. Sementara sesi memancang bermula jam 4.00 petang.
Hampir 350 peserta menyertai pertandingan kali ini. Tepat jam 9.00 malam bermulalah pertandingan.
Sebaik sahaja umpan dilabuhkan, kedengaran jeritan para pemancing meminta laluan bagi mendaratkan ikan.
Peserta dari dalam dan luar daerah malah ada dari Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Johor turut datang mencuba nasib.
Sejam permulaan pertandingan dapat dilihat begitu banyak ikan didaratkan. Antara spesies yang berjaya didaratkan adalah patin, pacu, patin Chaopraya.
Ads
Pertandingan ini ditamatkan jam 2.00 pagi. Ikan patin seberat 11.880 kg dari saudara Orang Minyak telah dinobatkan sebagai juara. Kedua patin 10.04 kg dan ketiga patin 9.220 kg.
Bro Kuzi juga menzahirkan berbanyak terima kasih kepada pihak kolam, para pemancing yang hadir memberi sokongan.
Penulis juga difahamkan bahawa kolam ini hanya dibuka untuk pancingan 2 kali seminggu, Isnin dan Jumaat dimana hanya untuk pertandingan sahaja.
Sesungguhnya kolam ini cukup memberi kepuasan bagi mereka yang inginkan strike. Hampir 16 tan ikan berada dikolam ini.
Selain didominasi oleh patin, ia turut memuatkan pacu, patin Chopraya dan patin Mekong.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terletak di sebelah pantai barat semenanjung, Tanjung Tuan dalam kawasan Port Dickson merupakan antara spot memancing yang terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, Port Dickson sendiri telah menjadi antara destinasi percutian dan berlibur yang popular di Malaysia.
Lokasi ini juga terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Juga dikenali sebagai Cape Rachado, nama yang diberikan oleh Portugis, lokasi ini terkenal dengan rumah apinya (Cape Rachado Lighthouse) yang menghadap ke Selat Melaka.
Perairan ini pernah menjadi medan pertempuran laut antara Dutch VOC dan Portugis dalam Battle of Cape Rachado sekitar tahun 1606.
Hari ini, Tanjung Tuan menjadi antara lokasi yang menjadi perhatian kaki pancing, lebih-lebih lagi bagi pemancing dasar dan jigging.
Jigging atau mengunjun besi memang mempunyai ‘karen’ tersendiri. Bahkan melihat besi jig yang berwarna-warni pun kadang-kadang bole terlupa akan masa kerana asyik, apatah
lagi kalau jig tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan memberi pulangan dengan menaikkan ikan hasil godaannya.
TRIP ‘MEMBESI’ TANJUNG TUAN
Seawal jam 6 pagi kami bertolak menuju ke Port Dickson dari Kuala Lumpur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sebelum ke jeti, kami sempat bersarapan ala kadar serta membeli barang makanan lain di sekitar Teluk Kemang.
Usai bersarapan, tanpa membuang masa, kami menuju ke Jeti Pengkalan Teluk Kemang Batu 7, lokasi yang menjadi tempat janji temu kami berjumpa tekong Apex Kecik.
Jam 8 pagi kami tiba di jeti dan mula memunggah peralatan yang perlu digunakan. Kelihatan beberapa orang grup pemancing baru tiba di gigi air, mungkin baru pulang dari trip malam tadi.
Sementara menunggu Apex menurunkan bot, kami mempersiapkan set pancing masing-masing dengan ikatan yang perlu dan juga membuat pemeriksaan akhir agar tidak
tertinggal peralatan yang akan digunakan terutamanya besi-besi pelbagai warna dan berat yang akan digunakan sebagai modal utama menggoda isi perut Tanjung Tuan.
Sebaik sahaja Apex selesai menurunkan bot di gigi air, kami berlima bertolak dari jeti menuju ke lubuk-lubuk simpanan Apex yang bakal menjadi medan pertarungan jigging kali ini.
Bot sepanjang 24 kaki ini meluncur laju membelah air hasil lonjakan deruan enjin Johnson berkekuatan 40hp.
Sekitar 30 minit meluncur, akhirnya Apex menghentikan bot menandakan kami telah tiba di lubuk pertama yang akan menjadi medan unjunan besi.
BATTLE OF CAPE RACHADO BERMULA
Masing-masing mula mencapai set masing-masing dan jig pilihan digantung pada hujung tali.
Tekong Apex yang lebih arif dengan perairan ini khususnya lubuk simpanannya menyarankan kami menggunakan jig yang mempunyai berat sekitar 80g-120g kerana keadaan arus air yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Lalu masing-masing menurunkan jig, unjunan menegak (vertical jigging) secara slow-pitch menjadi pilihan pertama pagi itu.
Tak menunggu lama, ketika masingmasing masih mencuba warna jig yang sesuai, tiba-tiba Apek yang melakukan unjunan di bahagian belakang bot mendapat henjutan pertama.
Hujung rod mula melengkung namun sayang, beban yang dirasakan pada mulanya tiba-tiba hilang menandakan besi yang dihidang telah dipotong.
Belum sempat nak mengeluh kecewa, jig yang digayakan menggunakan set custom PE 0.6 – 1.5 milik Zach pula mendapat henjutan dari bawah, tapi sekali lagi hampa apabila
mangsa terlepas mungkin kerana mata kail tidak tercangkuk kemas ketika melakukan strike.
Belum sempat besi jig Zach dinaikkan, Bob yang sedari tadi tidak putus-putus membuat unjunan perlahan di bahagian tengah bot pula dihenjut kuat menandakan pertarungan seterusnya.
Rod Crosstage PE 1.2 milik Bob menjunam mahu mencium riak air. Setelah menyaksikan Apex dan Zach tewas di depan mata, mangsa kali ini perlu dinaikkan.
Yakin dengan kemampuan rod Crosstage miliknya, Bob menahan asakan mangsa sebelum mula membuat asakan balas menggunakan kekili Ryojin 3000 sebagai padanan rod.
Kayuhan kudrat Bob menyebabkan tali utama mula memasuki spool Ryojin 3000 dan sesekali mangsa cuba mengasak, namun kekuatan beban milik Crosstage Bob serta drag kekili membataskan segalanya.
Akhirnya, mangsa mengaku kalah apabila menunjukkan sisik oren dirinya di permukaan air. Jelas, kemenangan milik Bob apabila menaikkan seekor jenahak sekitar 3 kg.
Bob menjerit kepuasan sambil memegang jenahak yang menjadi trofi kemenangan miliknya pagi itu.
ANGKATAN TALANG TANJUNG TUAN
Di lubuk berikutnya, unjunan jig daripada Bob sekali lagi mendapat berjaya menggoda mangsanya.
Sekali lagi Bob tenang mengawal keadaan. Kudrat rod Crosstage PE 1.2 dan kekili Ryojin 3000 sekali lagi digunakan sebaik untuk membataskan asakan lawan.
Pertarungan kali ini lebih singkat tanpa banyak masalah dan Bob sekali lagi tersenyum puas dengan seekor lagi jenahak hampir 2 kg ketika matahari semakin menegakkan sudutnya.
Ketika terik matahari semakin menikam kulit, tekong Apex menghidupkan enjin bot untuk membawa kami mengejar boiling talang.
Tiba di lokasi, kelihatan riak-riak boiling sang talang umpama air mendidih di bawah payungan burung-burung laut.
Serta merta, kami yang turut mendidih keghairahan mencapai set masing-masing dan melakukan teknik jig-cast menggunakan jig yang lebih kecil.
Berat sekitar 20-40g, sebaiknya warna silver atau biru menjadi saranan Apek untuk teknik jig-cast.
Seekor demi seekor talang mula menyerah diri akibat terpedaya dengan luncuran jig kami.
Apek yang masih tekun dengan teknik vertical jigging di bahagian belakang mendapat henjutan yang agak kasar.
Menjerit-jerit drag kekili Apek meraung akibat strike demi strike yang dilakukannya, lepas geram untuk pagi tadi agaknya. Dengan tenang seekor talang atau Queenfish dinaikkan.
Talang hasil vertical jigging mempunyai saiz yang lebih besar berbanding talang hasil buruan jig-cast semasa boiling.
Keasyikan mengejar boiling talang tidak terhad kepada teknik jig-cast sahaja. Untuk menambah keseronokan, kami bertukar kepada teknik popping dan hasilnya memang terbaik.
Malah lebih teruja melihat riak air apabila talang menghentam popper di permukaan air.
Untuk aksi popping talang di Tanjung Tuan, popper berwarna putih atau clear merupakan salah satu gewang mujarab sebagai pertaruhan.
JUMPA LAGI CAPE RACHADO
Keasyikan mengejar boiling talang menyebabkan kami terlupa sudah mengheret waktu ke petang. Kami sempat dibawa ke lubuk kerapu ketika dalam perjalanan ke jeti sebagai persinggahan akhir.
Walaupun singkat, seekor kerapu berjaya dicungkil dari celahan batu sebagai hasil penutup untuk pertempuran Naval Battle of Cape Rachado.
Sekitar jam 6.30 petang, kami tiba di jeti bersama hasil cungkilan Tanjung Tuan. Sepanjang trip berlangsung, penulis secara peribadi cukup tertarik dengan kerajinan, tip dan khidmat tekong Apek Kecik sepanjang trip berlangsung.
Tidak hairan, sebelum ini ada khabar mengatakan dia antara tekong terbaik di Tanjung Tuan untuk trip jigging dan casting, sehinggakan terpaksa menempah 2 atau 3 bulan lebih awal.
Diharapkan tekong Apex Kecik terus menawarkan khidmat terbaiknya kepada kaki pancing.
Trip kali ini boleh dianggap sukses walaupun tiada mangsa bersaiz mega, namun rata-rata spesies yang dinaikkan cukup untuk membuktikan bahawa Tanjung Tuan merupakan antara lokasi terbaik untuk teknik jigging di pantai barat Semenanjung.
Dengan pengurusan di jeti yang tersusun dan dijaga bersih, penulis melihat Tanjung Tuan akan menjadi lokasi tumpuan yang lebih besar di kalangan pemancing untuk tahun yang mendatang.
Matahari yang terbenam menandakan kami perlu kembali pulang. Pertarungan sepanjang trip dan hilangnya jig sepanjang trip membuatkan kami bertekad untuk kembali. Sampai jumpa lagi Cape Rachado.
Memancing adalah satu cabang aktiviti luar khususnya pancingan sungai pegunungan. Meneroka alam semulajadi merupakan satu aktiviti lasak yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam menguji jati diri.
Cuti hujung minggu lalu, kami seramai tujuh orang memulakan langkah untuk menjejakkan kaki ke Jeram Berembun Hulu Batangsi di Semenyih, Selangor. Trip ini juga disertai seorang pegawai Perikanan Semenyih.
Trip ini sebenarnya lebih kepada mengenal kawasan dan mengenal pasti lubuk-lubuk ikan bagi tujuan pemeliharaan terkawal pada masa-masa mendatang. Dengan bantuan dari tiga orang rakan Orang Asli atau `Star Geng’ bagi panggilan mereka di sekitar Semenyih kami memulakan perjalanan dengan menaiki motosikal.
Jalan yang dilalui cukup mencabar, melalui jalan belakang pinggir hutan, ladang kelapa sawit dan melalui bekas jalan pembalakan dan seterusnya sehingga lereng-lereng bukit hutan. Dianggarkan memakan masa sejam perjalanan sehingga sampai di satu tempat.
Seterusnya kami terpaksa trekking atau berjalan kaki kerana motosikal tidak boleh memasuki kawasan sungai dan bukit tinggi. Selama satu jam lebih lagi memakan masa dengan pendakian 3 buah bukit akhirnya kami sampai di destinasi hulu Jeram Berembun.
Kami tiba sudah lewat petang jadi kami segera mendirikan khemah, membuat unggun api dan lain-lain perkara sebelum malam menjelma yang menyukarkan untuk melakukan sebarang kerja.
Pada malam hari kami mula memancing. Target saya adalah untuk mencari ikan keli limbat batu. Memandangkan kami tidak membawa set pancing moden, maka kami hanya menggunakan joran bertam berumpan cacing tanah. Kami mula mencari lubuk atau celah-celah batu yang tiada arus untuk melabuhkan umpan.
Tidak perlu menunggu lama… kami sudah berjaya memperoleh hasil. Ikan sasaran iaitu keli limbat batu sudah mengena. Ada juga di antara kami yang menggunakan umpan biskut dan roti yang digaul hancur untuk mencari spesies ikan sisik seperti tengas dan spesies ikan batu yang lain.
Lewat malam barulah kami berehat untuk menghilangkan penat. Kami akan menyambung aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Waktu subuh sehingga matahari mula menampakkan sinar adalah waktu paling sesuai untuk menjerat tengas. Dari hasil pancingan kami juga berjaya mendapatkan beberapa spesies tengas yang agak kasar. Ini menandakan bahawa kawasan sungai hutan pergunungan ini masih ada penghuninya yang boleh dibanggakan.
Kami juga sempat memasak sedikit hasil untuk merasa bagaimana nikmatnya hasil alam dengan keadaan cuaca yang sejuk, nyaman dan jauh dari kebingitan kota. Selesai makan tengah hari kami mula mengemas barang utk berangkat pulang.
Jumaat, jam 3.30 petang kami berlayar dari jeti dengan tenang dan bersemangat. Kelihatan di muka kuala alun dan kucah setenang air di sungai.
Perjalanan menuju ke spot sasaran mengambil masa 3 jam dengan kemampuan bot berenjin Yamaha twin 115 dan bot fiber 32 kaki panjang x 8 kaki lebar.
Sekitar jam 5.30 petang skipper Pok Har berhenti di unjam transit untuk menyejukkan enjin bot seketika.
Di situ kami memancing teknik fast jigging mengintai tenggiri makan petang tetapi tiada sambaran terhadap kepingan jig kami.
Pok Har mengarahakan kami menjatuhkan mata apolo untuk mencari ikan hidup untuk dijadikan umpan pada malam. Anak selayang hidup berjaya kami kumpul sekitar 100 ekor.
Pok Har meneruskan perjalanan ke spot sasaran. Jam 6.30 petang kami sampai di spot yang dimaksudkan.
Kami bersauh dan di situ kami menyelesaikan perkara yang wajib dan membuka makanan bekal dari rumah. Jam 8.00 malam kami mula memancing bottom teknik perambut apolo.
Saudara Fazley memecah kebuntuan awal mahal dengan berjaya menaikan spesies merah tanda. Selepas itu Azlan dan Pablo berjaya menaikkan spesies ikan merah berskala cukup kilo. Ia sedikit sebanyak memberikan kami semangat.
Selepas itu saudara Aidilfitri berjaya menaikan spesies ikan kaci atau mani abu dengan berumpankan anak ikan selayang.
Belum sempat saya menghulurlan umpan, reel saudara Ajey pula menjerit. Selepas beberapa minit bertarung kelihatan spesies MJ terapung di permukaan.
Kami sangat teruja, seronok dan terus bersemangat. Syam berjaya menaikan ikan mayong.
Skipper mengarahkan kami segera menghulur umpan ke dasar kerana ikan gred A seperti aktif meragut umpan.
Saudara Adnan Su dengan setup bottomnya berjaya menaikan ikan kerapu dan tetanda. Kira-kira jam 2.00 pagi ikan sudah mula kurang aktif mencari umpan berikutan arus mati.
Kami mengambil keputusan untuk melelapkan mata merehatkan badan dan minda sementara menunggu hari siang.
Jam 6.30 pagi kami diasak dgn ikan cermin dan aya di sekitar unjam. Jam 9.00 Pok Har mengarahkan kami bermain light jig untuk memburu spesies bergigi tajam. Kami bermain dengan teknik drif menghanyut bot dari kepala hingga ke hujung ekor unjam.
Fadzley membuka tirai dengan tenggiri pertama team kami. Selepas itu Adnan Su, Pablo dan Fitri diasak dengan tenggiri dari atas unjam. Alhamdulilah, kesemua strike berjaya dikawal dan dinaikan ke bot dengan kepakaran skipper.
15 minit berlalu saya pula diasak oleh tenggiri dari sisi kanan bot. Kami saling bertukar strike. Tenggiri mengamuk menghentam jig kami di unjam pertama ini.
Setelah 7-8 kali kami berjigging di spot ini tenggiri mula mengendur asakan mungkin kerana sudah banyak berjaya kami daratkan atau kehadiran anak yu paus berhampiran bot.
Ia sangat jinak sehinggakan skipper dapat mengusap kepalanya. Ia satu pengalaman sangat menarik pada kami.
Selepas agak lama menyepi, skipper menuju ke spot kedua. Di situ kami diasak lagi dengan kawanan tenggiri.
Di spot kedua tenggiri bersaiz mega pula rakus menghentam jig dan pintail yang kami hulurkan. Alhamdulillah pertambahan hasil di spot yang kedua ini.
Di spot ketiga, Fitri dan Adnan Su berjaya menjinakkan spesies ebek bulat dengan kaedah slow pitch. Selepas puas mempelbagaikan teknik di spot ini kami mula berasa keletihan.
Kebetulan arus beransur lembut membuatkan ikan pelagik kurang aktif (maklumat dari skipper).
Sesekali saya, Pablo, Fitri dan Fazley berjaya mendapat strike di bahagian hadapan bot. Manakala Adnan Su, Azlan Syam dan Ajey menahan asakan tenggiri di belakang bot.
Jam 12.00 tengah hari tong ikan kami sudah mula penuh dengan spesies pelagik ini. Skipper mengarahkan kami menambat bot pada unjam bagi membolehkan beliau menyusun ikan di dalam tong sambil merehatkan enjin bot seketika.
Jam 2.00 petang kami mengambil keputusan untuk menamatkan trip ini dek kerana rezeki kami sudah 2 tong penuh. Kami sampai di jeti jam 6.00 petang.
Alhamdulillah rezeki team kami murah hari ini. Ia merupakan sejarah baru untuk kami dan bot Black House Fishing Trip itu sendiri. Bersyukur pada Tuhan atas nikmat dan rezeki yang diberikan.
Ringkasan Trip
Tarikh trip: 11-12 Oktober 2019
Teknik: Malam – bottom ikan dasar, siang – fast jigging dan slow pitch.
Jeti: Kg. Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan.
Bot: Black House Fishing Trip
Skipper: Azhar Hassan (Pok Har 50)
Spot – Perairan Tumpat, Kelantan.
Hasil: Tenggiri 47 ekor, ebek bulat 2 ekor, merah 2 ekor, siakap merah 1 ekor, aya 15 ekor, cermin 16 ekor, aruan tasik 5 ekor, mayong 4 ekor, tetanda, kaci dan kerapu manis 20 ekor.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...