Pelbagai acara telah disusun oleh Prepat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd dalam penganjuran International Agro Farm 2018, bermula pada 29 Oktober hingga 4 November nanti.
Di antaranya adalah khemah-khemah jualan sebanyak 60 khemah dan 30 food truck, acara sukan lasak ATV, bot berhias, aktiviti menunggang kuda, zumba dan senamrobik serta petunjukan bunga api di setiap malam selama 7 hari berturut-turut.
Beberapa acara pertandingan juga telah disusun seperti pertandingan memancing yang dijangka akan disertai lebih 700 orang pemancing.
Juara bagi pertandingan memancing ini akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 18,000.00.
Ads
Selain daripada itu pertandingan karaoke, pertandingan memasak dan gubahan, serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak juga akan dijalankan.
YB Puan Dr. Daroyah Alwi (tengah),bersama Dato’ Murad Khalib dan isteri.
Ads
Sebagai simbolik pertandingan memancing yang akan dijalankan pada 3 November nanti, majlis pelepasan ikan air tawar di tasik Taman Rekreasi Sementa, Perpat Resort Agro Farm
(M) Sdn Bhd telah disempurnakan oleh YB Puan Dr. Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri Adun Sementa diiringi oleh Pengarah Urusan Perpat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd, Dato’ Murad Khalib.
Ads
Bagi penggemar aktiviti memancing yang berminat untuk menyertai pertandingan ini nanti bolehlah menyediakan umpan ikan rohu berikutan kesemua spesies yang dilepaskan adalah spesies ikan rohu dalam anggaran berat 1-3 kilogram.
Namun itu tidaklah memberi makna ikan rohu terberat akan muncul sebagai juara berikutan sudah sekian lama spesies ikan lain yang lebih besar seperti ikan patin mendiami tasik tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bagaikan tak disangka trip yang dirancang dalam masa 2 minggu ini boleh menjadi. Biarpun perancangannya agak singkat dan bagaikan tidak serius saja, namun semua yang dirancang Tuan Hj Toskhan menjadi kenyataan. Perairan Kelanang bagaikan menanti-nanti ketibaan kami.
Trip ini disertai oleh 6 orang pemancing yang rata-ratanya dari Lembah Klang iaitu Tn Hj Toskhan, Rashid Hamzah, Nazri Mohd, Zam Desa, Zul Kail dan Ayub Ali. Kami memilih tekong Azhari untuk membawa kami ke lubuk-lubuk yang berpotensi di sini. Tepat jam 8.30 pagi, kami terus memulakan perjalanan untuk memburu hasil laut Kelanang.
Laluan Kapal 2
Hentian pertama kami ialah di kawasan kapal berlabuh untuk mencari ikan-ikan pelagik seperti selar dan cencaru. Namun tidak banyak yang berjaya kami perolehi hanya sedikit selar dan cencaru pula hilang entah ke mana.
Melihat keadaan ini, tekong terus menuju ke kawasan laluan kapal 2 dan berlabuh di lubuk pertama. Keadaan agak sunyi pada awalnya, namun ianya berubah apabila tekong menjadi pemecah suasana dengan menaikkan seekor merah berskala 1 kilogram berumpankan sotong. Namun selepas itu, keadaan kembali sunyi dan tekong mengambil keputusan menukar lubuk.
Pesta Lubuk Merah
Di lubuk kedua pula menyaksikan gerombolan mengkerong yang paling banyak mengitai umpan kami pada awalnya. Mujurlah tak lama selepas itu joran berumpankan kepala sotong yang dilabuhkan saya mendapat satu rentapan yang keras. Dengan selamba sahaja Daiwa Tanacom Bull 750 membuat kerja dan menaikkan merah berskala 2.5kg.
Selang beberapa minit, giliran Ayub Ali pula mendapat sambaran. Pertarungan hampir 5 minit akhirnya berpihak kepada spesies tidak diketahui yang berjaya meloloskan diri. Nazri yang berada di bahagian belakang bot juga mendapat rentapan dari dasar. Dengan mudah seekor merah berskala 1.8kg dinaikkan ke dalam bot.
Ayub yang kecewa pada awal tadi akhirnya mendapat henjutan keras. Tiada masalah untuk kekili elektrik Shimano Beastmaster menaikkan merah dengan berat 2.9kg. Selepas itu yang lain turun mendapat sentapan dari sang merah yang mungkin tengah kelaparan agaknya.
Walaupun saiz nya hanya sekitar 2-3kg, namun ini sudah cukup menggembirakan kami. Selepas keadaan sunyi sepi, tekong mengarahkan kami untuk bertukar tempat. Belum sempat berbuat apa, rentapan yang cukup kasar berlaku pada joran Hj Toskhan.
Kawan-kawan yang lain segera memberi laluan. Hampir 15 minit bertarung, namun ternyata tuah tidak berpihak kepada penganjur trip apabila ikan tersebut berjaya memutuskan tali perambut 80lbs yang digunakannya.
Akhirnya pada jam 7 malam kami bergerak pulang ke jeti Kelanang. Hasil 9 ekor merah dan seekor pari dianggap cukup memuaskan bagi trip yang seharian yang dirancang pada waktu yang singkat ini. Biarpun ada beberapa kejadian rabut pada trip kali ini namun kami tetap berpuas hati dan hasil yang kami dapat kami bahagi sama rata.
Insyaallah, jika ada kesempatan pasti akan kami duga kembali trip di perairan Kelanang ini. Salam strike dari Kelanang.
Awal-awal pagi lagi, kami telah bangun dan bersiap dengan barangan masing-masing. Masing-masing memeriksa barangan takut-takut ada yang tertinggal. Sebelum ke Jeti Tasik Banding, guide terlebih dahulu pergi ke pasar pagi di Pekan Grik untuk membeli barangan keperluan untuk memasak seperti bawang, cili api, halia dan sebagainya. Tepat jam 7 pagi, selepas semua barang kelengkapan dipunggah ke dalam dua buah bot, terus sahaja di pacu laju meninggalkan jeti.
Sejurus selesai mendaftar permit, terus sahaja tekong memacu bot menuju ke Sungai Kejar. Alhamdulillah perjalanan berjalan dengan lancar dan kami tiba di kuala Sungai Kejar. Dengan lafaz bismillah sekali lagi, saya dan rakan-rakan memulakan langkah meneruskan perjalanan. Dua orang guide iaitu Khairul, Janggut berjalan di hadapan kami. Manakala dua lagi guide iaitu Along RB dan Gan Craf berjalan di belakang kami.
Sebenarnya trek perjalanan di hulu Sungai Kejar ini tidaklah sesukar mana jika ingin dibandingkan dengan trek Sungai Terenggan di Tasik Kenyir. Dalam perjalanan, kami bertemu dengan beberapa kumpulan lain yang turut sama trekking serta kumpulan orang asli yang mendiami sekitar kawasan ini dan juga pokok rambai yang ranum berbuah.
Kami selamat tiba di Sungai Ketir jam 3 petang, iaitu lokasi yang menjadi spot kami selama 4 hari 3 malam. Guide membantu membina kawasan perkhemahan dengan membina tempat untuk memasak. Bagi saya, tidur di dalam hammock sudah cukup memadai dan saya merasakan ia paling sesuai seandainya bila di dalam hutan berbanding di dalam khemah tertutup.
Beberapa orang rakan, terutamanya Pak Abu, Acang Kopeng dan Ajak melayan bottom di depan khemah, manakala rakan lain termasuk saya masuk tidur awal pada malam itu. Punyalah semangat nak pergi casting esok hari, malam itu, saya terus memakai kelengkapan terutama baju dan seluar untuk casting.
Awal pagi lagi, saya dikejutkan dengan riuh rendah di hadapan khemah. Rupa-rupanya, joran Pak Abu yang ditambat telah mengena. Sah… bila melihat Pak Abu menahan asakan lenturan joran, kelah besar yang telah mengena. Akhirnya kelah yang dianggarkan 4 kg berjaya ditewaskan. Senyum lebar Pak Abu bila umpan sebiji sawit berjaya menggoda kelah.
Selesai sarapan, saya, Zack, Encik Mohd dan Ajak bersiap sedia untuk ke bahagian hulu untuk casting. Kami ditemani oleh guide Janggut dan Khairul. Banyak juga sebarau dan tengas berjaya kami perolehi dan hampir kesemua sebarau yang kami perolehi dilepaskan semula.
Tiba di Lubuk Panjang (mendapat nama kerana terdapat lubuk dalam yang panjang), saya yang berada tidak jauh dari Zack telah dikejutkan oleh Zack yang tiba-tiba sahaja kelihatan sedang menahan asakan padu. Memandangkan dia hanya menggunakan rod Storm Discovery 4-10lb, tali 10lb & perambut 20lb, Zack agak lama bertarung.
Selepas lama dia bergasak, akhirnya dia menjerit keriangan apabila badong rupa-rupanya yang menyambar sesudu jenama Bakau warna tembaga 12 gram yang harganya bawah RM5 sahaja. Kami meneruskan lagi trip berkenaan sehinggalah petang sebelum kembali semula ke khemah.
Malam itu, kami menikmati hidangan ikan kelah bakar dan juga hidangan lain iaitu masak lemak cili api berserta hidangan sayur pucuk paku yang banyak tumbuh di sekitar khemah.
Kami meneruskan kembali aktiviti, sama seperti pecahan kumpulan semalam. Manakala Zaki, Acang Kopeng dan Pak Abu setia membottom tidak jauh dari khemah sambil, Acai Kopeng dan Pak Abu cuba-cuba juga membottom hingga ke pertengahan Lubuk Panjang.
Apa yang menyeronokkan bagi saya adalah, hari ketiga ini, saya lebih banyak memperoleh tengas menggunakan sesudu. Asalkan baling sahaja di lubuk dan spot berpotensi, pasti ada tengas yang rata-ratanya sebesar lengan kanak-kanak dan orang dewasa mengena.
Bagi saya, Zack dan Encik Mohd, kegilaan tengas menyambar sesudu seperti Abu Island II (warna perak dan tembaga), Bakau dan gewang murah seperti Ofmer membuatkan kami amat seronok, apatah lagi merasai henjutan dari rod yang melentur dan keluarnya tali dengan laju apabila drag dilonggarkan sedikit.
HARI TERAKHIR
Zack nampaknya seakan mengulangi kejadian hari kedua apabila umpan sawit peram yang dilontarkan di hujung kepala lubuk pada malamnya berjaya menarik perhatian sang kelah.
Pada hari terakhir, kami hanya casting sekejap sahaja berhampiran kawasan khemah dan selesai makan tengah hari, kami bertolak pulang semula ke Sungai Kejar di mana tempat bot kami ditinggalkan.
Sesungguhnya, memori casting di hulu Taman Negeri Royal Belum akan terpahat dalam ingatan saya dan saya teramat rindu untuk menjengah lagi ke sini.
Sebut sahaja elemen yang menjadi obsesi kepada kaki pancing, hampir semuanya ada pada spesies haruan. Daripada elemen keterujaan apabila deburan sambaran kail, sifat
karnivor dan agresif ikan ini mahupun kemampuan mengembalikan nostalgia lama, ikan haruan tidak dapat disangkal merupakan spesies kebanggaan pemancing di Malaysia.
Boleh dikatakan lebih separuh dari kaki pancing Malaysia, khususnya geng casting bermula dengan tangkapan ikan ini.
Tidak hairanlah spesies haruan memang cukup dikenali oleh kaki pancing di Malaysia tak kira yang bergelar otai atau yang baharu setahun jagung.
Kata orang kalau tak kenal spesies haruan ni, boleh bikin malu. Sedangkan yang bukan kaki pancing pun kenal akan spesies berkepala ular ini, lagikan kita yang hari-hari mengail.
Pancingan ikan haruan mampu membuatkan kaki pancing menjadi gian dek kerana kejutan hentaman pada umpan atau gewang.
Kaki pancing memang mengakui pancingan spesies snakehead ini mempunyai tarikannya tersendiri.
Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa dan tarikan agresifnya secara tiba-tiba cukup membuatkan jantung anda berdebar-debar.
Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan tiruan atau pun umpan hidup. Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan ialah katak,
anak ikan, cicak, cacing, udang sungai atau cengkerik. Katak merupakan umpan semula jadi yang paling popular.
Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat. Selain itu banyak teknik pancingan menggunakan umpan semula jadi boleh digunakan
untuk pancingan haruan. Antaranya ialah teknik pelampung, rawai, taut dan juga tajur yang merupakan antara teknik tradisional yang popular.
Tetapi bagi kaki casting tegar, teknik mengilat menggunakan umpan tiruan paling diminati. Sebab itulah muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan jenis ini sama ada diperbuat daripada kayu, getah, plastik dan sebagainya.
Contohnya, katak rambutan, spinnerbait atau janggut, jump frog, katak getak, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastic dan sesudu antara gewang tiruan yang boleh digunakan untuk menjerat ikan haruan.
Ini menunjukkan haruan memang merupakan spesies yang tidak memilih gewang malah hampir kebanyakan gewang mampu menaikkan spesies ini.
Pemilihan gewang pula haruslah mengikut keadaan perairan sama ada dalam, cetek atau berumpai. Namun, ramai yang gemar menggunakan gewang lebih-lebih lagi jenis permukaan seperti popper, pencil atau jumpfrog untuk memancing haruan.
Serangan hendap haruan ketika menghentam gewang yang menghasilkan deburan air memberikan satu perasaan yang mengujakan.
Seolah-olah diserang hendap oleh pemangsa ganas. Dan tarikan agresifnya selepas itu memang sukar untuk dijelaskan keseronokannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...