Pastikan tali pancing anda tiada luka, rekahan, lipatan, apatah lagi sudah mereput.
Pastikan swivel atau snap yang digunakan berfungsi dan berpusing dengan baik.
Pastikan setiap simpulan dibasahi dengan air sebelum anda menarik untuk mengetatkannya.
Pastikan joran dan kekili anda sentiasa di dalam keadaan baik, basuh dengan air bersih setiap kali habis memancing. Servis dan bubuh gris setiap 3 bulan sekali.
Ads
Pastikan umpan yang akan digunakan sama ada umpan hidup atau mati sesuai dengan spesies yang hendak diburu.
Buat catatan masa, tarikh, tempat dan umpan yang digunakan sekiranya anda mendapat ikan yang besar. Maklumat ini amat penting untuk memancing dimasa hadapan.
Ads
Pastikan tackle box anda mengandungi alatan wajib seperti mata kail, snap & swivel, ladung, tali perambut, pisau serba guna, playar, batu pengasah kecil, gunting kecil dan pemetik api walaupun anda bukan seorang perokok.
Fahamilah analogi peredaran bulan, matahari, pasang surut air dan perubahan air besar ke air mati. Fahamilah hubung kait habitat umpan dan ikan pemangsa.
Ads
Fahamilah dan jagalah peralatan memancing anda dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah talian hayat di antara anda dan si ikan.
Buat tinjauan dan dapatkan informasi sebaik mungkin dari penduduk tempatan sebelum memancing ditempat yang belum diterokai.
Amalkan sikap tangkap & lepas (catch & release) sekiranya anda tidak memerlukan ikan tersebut… terutamanya ikan kecil. Jangan jadikan mereka spesies yang terancam.
Pastikan perairan dan kawasan memancing bersih. Kekalkan kehijauan alam semulajadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sebelum kita berangan nak tarik udang sado, sepit biru panjang sekaki ke… kita perlu memahami sifat, tabiat dan habitat udang galah yang ia hidup.
Udang galah hidup berkelompok dan selalunya terdapat di kawasan yang mempunyai reba atau struktur yang terdapat di dalam sungai. Memahami situasi sesuatu lubuk adalah perkara yang paling utama sebelum melabuhkan umpan.
Sekiranya arus air deras maka mereka akan berselindung di kawasan tepi dan semasa tiada arus atau arus perlahan mereka akan ke tengah sungai. Gagal memahami tabiat udang ini bakal menyebabkan kita rentung sepanjang hari.
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar. Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya. Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris, isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjiskannya dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua. Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang. Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.
Bagi pemancing yang kali pertama merancang untuk pergi memancing ke Borneo atau pemancing di Borneo datang ke Semenanjung, tentu saja perkara yang akan terlintas di fikiran adalah bagaimana nak bawa set pancing dan perkakasan ke dalam kapal terbang. Macam mana dengan ikan?
Sebenarnya, bukan susah sangat pun. Ada caranya, semua barang-barang ini mestilah melalui kargo termasuk barangan lebih muatan seperti joran, ia tidak boleh bersama anda di dalam kabin. Justeru sebelum bergerak ke lapangan terbang, sebaiknya buat sedikit pemeriksaan terlebih dahulu.
Sebelum bertolak, pastikan semua peralatan memancing anda di kemas sebaik mungkin di dalam kotak khas.
Pastikan setiap mata kail, perambut, gewang, jig, kabel kekili elektrik dan alatan memancing lain dimasukkan dengan kemas ke dalam beg untuk dibawa masuk ke dalam muatan kargo.
Sebarang kekili dan kekili elektrik disarankan supaya letakkan di dalam beg galas dan dibawa masuk bersama di dalam kapal terbang supaya mengelakkan daripada hilang dan rosak jika di letakkan ke dalam muatan kargo.
Sila periksa sekali lagi peralatan anda, terutama barang yang dianggap berbahaya tidak dimasukkan sekali di dalam beg pakaian anda, walaupun satu pek mata kail. Ini kerana bila diimbas atau scan, alarm akan berbunyi dan barang anda pasti tidak dibenarkan masuk.
Setiap rod hendaklah dimasukkan dengan kemas ke dalam bazooka untuk mengelakkan daripada rod patah. Pastikan bazooka di kunci kemas sebelum dihantar ke muatan kargo.
Penting bagi setiap kotak, bazooka diletakkan sticker mudah pecah, bagi mengelakkan pekerja kargo mengenal pasti barang biasa atau mudah pecah.
Pastikan setiap pemancing mengambil muatan kargo sekurang-kurangnya 20kg seorang semasa membeli tiket kapal terbang.
Bermakna jika ahli keseluruhan seramai 10 orang, trip tersebut mempunyai 200 kg muatan barang-barang yang boleh dimuatkan ke dalam kargo pergi dan balik caj kargo akan dikenakan caj yang tinggi (anggaran RM30 per kg) di lapangan terbang jika terdapat lebihan kargo (bergantung pada caj semasa).
Sila patuh kepada prosedur yang telah ditetapkan ketika check-in dan semasa melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang.
Bila tamat sesi memancing, lakukan perkara yang sama dan untuk hasil tangkapan, jika di Kuching, biasanya, tekong akan menyiapkan segala-galanya, iaitu ikan akan di packing terus ke dalam kotak polisterin dan dihantar terus ke lapangan terbang.
Cara terbaik adalah, rujuk kepada rakan yang pernah pergi trip memancing menaiki kapal terbang untuk mengetahui lebih lanjut.
Bila disebut sahaja teknik mengerau ikan pasti ramai yang kurang pasti akan perkara ini. Sebenarnya mengerau ikan ini bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia, terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Mengerau ikan atau turut dipanggil menghambat ikan di sesetengah kawasan merupakan salah satu teknik menangkap ikan yang unik dan popular terutama di kawasan Hulu Terengganu.
Para pengamal media telah dibawa melawat ke Kuala Berang bagi melihat sendiri keunikan cara orang Melayu. Program Sahabat Media tersebut dianjurkan oleh Santai Travel dan Tourism Malaysia.
KEPONG & HAMBAT IKAN
Para media telah diberi peluang untuk merasai salah satu cara tangkap ikan kaedah tradisi yang masih diamalkan, terutama penduduk kampung di daerah Kuala Berang. Mereka yang terlibat ini biasanya orang kampung dan aktiviti ini biasanya dilakukan ketika semasa musim kemarau.
Teknik mengerau ini tidaklah sesukar mana, tetapi memerlukan kerjasama ramai orang kampung. Tidak hairanlah, bila ada aktiviti mengerau, satu kampung akan turun siap kenduri-kendara, kerana kaum wanitanya akan memasak nasi, menyediakan minuman sambil kanak-kanak turut sama terjun ke dalam sungai.
Untuk aktiviti mengerau perlu ada 2 kumpulan yang mana mereka akan bertindak sebagai ‘pengepung’ dan ‘penghambat’ ikan.
Bagi pengepung ikan mereka perlu memasang buluh sepanjang 2-3 depa dan membuat kepungan menggunakan pukat di keliling buluh berkenaan yang berfungsi sebagai penutup untuk memerangkap ikan yang masuk ke dalam kepungan ini. Kepungan ini akan dibuat betul-betul berhampiran dengan tebing sungai.
Setelah kepungan di tebing sungai siap, pukat lain pula akan dipasang merentangi sungai yang mana ia akan dipegang oleh tidak kurang daripada 10 orang. Ini dilakukan bagi memperdaya ikan yang melalui kawasan ini untuk masuk ke dalam kepungan yang telah disiapkan tadi.
Kumpulan yang kedua pula bertindak sebagai penghambat. Tukang hambat ini biasanya terlebih dahulu akan berada di sebelah hulu sungai dengan jarak tertentu dan akan berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air bagi memaksa ikan keluar dari kawasan persembunyiannya.
Apabila penghambat mula menghampiri kawasan kepungan, biasanya mereka yang bertindak sebagai pengepung akan berada di dalam posisi senyap bagi mengelakkan ikan dari takut dan menjauhi kawasan kepungan tersebut.
Apabila ikan mula diyakini sudah masuk ke kawasan kepungan, mereka yang berada di tebing akan terus meluru masuk ke kawasan kepungan untuk menangkap ikan yang sudah terperangkap.
Kebiasaannya, jika kena pada airnya hasil yang akan diperolehi memang amat lumayan! Antara ikan yang sering menjadi tangkapan dengan teknik ini ialah ikan sebarau, lampam sungai, sikang, terbul, tenggalan dan jika bernasib baik, kelah pun boleh diperolehi.
Namun, ketika aktiviti mengerau ini berlangsung, faktor cuaca tidak menentu menjadi halangan besar untuk para media melihat hasil yang lebih lumayan.
Hujan mengejut di kawasan hulu, menyebabkan air menjadi keruh dan laju. Hasilnya hanya seekor sikang dan beberapa ekor lampam sahaja yang dapat kami perolehi.
Walaupun ‘kaki pancing’ tidak menyukai kerja ini, kerana geram melihat ikan yang ditangkap melalui kaedah ini dan bukannya memancing, tetapi inilah salah satu teknik menangkap ikan tradisi masyarakat Melayu yang masih lagi hidup dan perlu diketahui.
Menurut penduduk tempatan, aktiviti mengerau ikan ini bolehlah dikatakan aktiviti wajib penduduk kampung sekitar Sungai Berang 2 kali setahun terutamanya pada musim kemarau. Dengan adanya aktiviti sebegini ia mampu mengeratkan lagi hubungan penduduk kampung sekitar dan hasil yang diperolehi dikongsi bersama.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...