Kumpau bermaksud gagal mendaratkan ikan sepenuhnya. Sepenuhnya bermaksud bukan sekadar tiada ragutan langsung dari ikan tetapi juga dalam usaha mendaratkan ikan tersebut. Untuk mendaratkan ikan maka banyak perkara yang perlu diperiksa sebelum sesi memancing lagi.
Periksa set pancing
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
Selaraskan drag
Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
Periksa kondisi tali pancing
Ads
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
Periksa sambungan ikatan
Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata. Walaupun hanya baru turun sekali tetapi ada kalanya kita tidak menyedari ada bahagian tali yang telah rosak.
Ads
Jangan biarkan tanpa pengawasan
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
Tangguk atau gancu ikan
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
Ads
Waktu terbaik memancing
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
Umpan cukup
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kaki pancing memang banyak pantang larang tersendiri. Sama ada ia pantang larang tersebut diwarisi turun temurun atau melalui pengetahuan sendiri melalui pengalaman. Walaupun ada pantang larang yang macam bagus, ada baik juga kita kaji agar tidak jauh terpesong.
JANGAN BUANG PUNTUNG ROKOK DALAM SUNGAI… TAKUT BUAYA MENGAMUK.
(Admin rasa pantang larang ini memang patut diamalkan walaupun tak nampak unsur logik di situ. Apa yang tersirat sebenarnya nak mendidik pemancing jangan buang sampah ke sungai).
JANGAN LANGKAH JORAN… NANTI KUMPAU!
(Admin percaya masih ramai yang berpegang pada pantang larang mengarut ni. Apa pun memang tak bagus langkah joran apatah lagi joran member yang mahal harganya. Buatnya terpijak, tak ke termenung nak bayar ganti).
JANGAN TEGUR KALAU TERNAMPAK BENDA-BENDA PELIK KETIKA MEMANCING
(Yang ni admin setuju sangat la… hahaha. Kalau terhidu benda wangi atau nampak api terbang ke bunyi mengilai ke… diam-diam sudah. Kalau tak tahan, cabut je jangan cakap banyak).
JANGAN BASUH TANGAN KAT DALAM AIR TEMPAT MEMANCING
(Admin rasa kena tengok tempat jugalah. Kalau memancing kat kolam, takkan tak boleh basuh tangan guna air kolam tu. Kalau memancing kat parit yang airnya macam longkang, admin pun tak nak basuh tangan).
JANGAN POTONG TALI PANCING GUNA GIGI
(Admin rasa pantang larang ni direka oleh pemancing yang kerjayanya ialah doktor gigi kerana sebab kenapa tak boleh potong tali pancing dengan gigi tak dinyatakan. Dari aspek kesihatan memang tak bagus gigit tali pancing ni apatah lagi kalau gigit tali sulam).
Memang sakit kalau tengok orang sebelah je yang pacak… Orang sebelah je yang gasak, tapi kita membangau macam bangau panjang leher.
Kalau dapat ikan pun ada je masalah yang menyebabkan ikan gagal didaratkan. Bagi mengatasi masalah ini, ada baiknya kita buat homework sikit sebelum membuat lontaran pertama.
Tali reput
Buat pemeriksaan pada tali utama sama ada ia masih utuh atau sudah reput. Jika perlu buang beberapa kaki tali hadapan sebagai langkah keselamatan. Jangan sayang nak buang tali yang macam dah nak reput atau yang sudah luntur warnanya.
Ikatan
Jika menggunakan tali sulam dan perlu disambung dengan shock leader, pastikan ikatan sambungan itu kukuh dan kuat. Jika was-was, sebaiknya buat ikatan baru. Biar lambat asalkan tak lucut atau putus.
Jika menggunakan mata kail yang pernah digunakan, uji tahap ketajamannya dulu. Kalau dah kurang tajam, elok tukar yang baru. Kalau dah tumpul wajib buang terus jangan disimpan lagi.
Saiz tak ngam
Saiz dan jenis mata kail jugak perlu diperhatikan. Sebaiknya guna saiz mata kail yang sepadan dan elakkan guna mata kail kurang berkualiti. Mata kail yang kecil tak semestinya ikan kecil saja yang makan.
Set tak sepadan
Set pancing yang digunakan juga perlu sepadan dengan ikan target. Banyak kejadian ikan gagal didaratkan kerana joran atau kekili gagal menakluk ikan. Malah banyak kes kumpau disebabkan masalah asas ini.
Umpan salah
Umpan yang akan digunakan perlu dipastikan keberkesanannya. Sama sebagaimana pemancing lain gunakan. Kalau pemancing lain guna udang, kita pakailah udang. Kalau pemancing lain guna perisa pandan, kita gunalah pandan jugak.
Teknik silap
Jika umpan sudah bagus, pastikan teknik yang digunakan juga adalah sesuai. Sama ada teknik apung, gantung atau dasar. Yang penting kena pantau teknik apa yang cepat ikan ambil umpan.
Cara strike
Teknik strike atau menyentap ikan juga penting begitu juga dengan cara melayan ikan harus betul agar ikan berjaya didaratkan. Kalau strike siakap, jangan macam sentap udang galah. Kalau layan tenggiri jangan main macam layan gelama.
Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Abu. Kami lepak di kedai Pak Abu berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan terokai. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Wahab.
Mulai saat itu, Pak Wahab mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Wahab menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Wahab lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis lagi ikan yang puratanya 2-5 kg.
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Dalam. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fizul, Siran dan Firus datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Wahab malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Wahab tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Wahab sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fizul ke kawasan berbatu. Manakala Firus dan Siran menuju ke kawasan berpasir.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fizul, Siran dan Firus segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Siran menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Firus adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Firus menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Abu. Cuma Siran tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Wahab datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kaki lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Wahab?” Pak Wahab tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...