Stress gila sebab memancing tak dapat ikan aka kumpau? Chill… ambil sedikit masa untuk menikmati anekdot memancing yang kami sediakan ini.
Sekiranya korang merasakan diri korang pemancing tegar, terhebat dan sebagainya, simpan dulu perasaan itu sekiranya korang belum pernah melakukan perkara-perkara berikut:
Umpan yang dilabuhkan baru digetu umpan, korang dah boleh canang satu dunia spesies ikan apa yang memakan umpan tersebut. Malah siap dengan jantina, usia ikan, berat ikan dalam titik perpuluhan, jumlah sisik dan berapa lama lagi ikan itu akan hidup.
Ads
Segenap ikan dalam laut apatah lagi lubuk akan menggigil kepala lutut dan kecut paru-parunya bila dah tahu yang korang akan turun memancing di lokasi tersebut.
Kesemua anak-anak yang lahir diberikan nama sempena nama ikan, iras-iras nama ikan atau nama saintifik ikan. Contohnya seperti Siti Patin, Nor Paridah, Ali Ketutu, Syed Hampala dan macam-macam lagi.
Ads
Bila orang sembang pasal lubuk waima lubuk yang tidak pernah wujud sekali pun korang akan cakap yang korang pernah pergi ke lokasi tersebut. Malah siap dengan rekod tangkapan yang pernah didaratkan.
Korang akan menggigil mengalahkan orang yang kena parkinson bila secara tiba-tiba ternampak lopak air. Terus tak keruan nak memancing time tu jugak walaupun lopak tersebut cuma sebesar mangkuk jamban.
Ads
Korang tetap duduk menunggu dan teruskan memancing walaupun sudah lebih 25 jam umpan langsung tidak disentuh ikan. Langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling korang.
Korang bukan saja tak makan sepanjang masa memancing, ikan yang diperoleh dari hasil memancing pun korang tak makan. Sebaliknya umpan yang dijadikan umpan memancing itulah yang korang makan terutamanya umpan tapa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hari yang dijanjikan sudah tiba. Semua ahli komplot sudah bersedia dengan senjata masing-masing. Trip kali ini dirancang oleh tiga orang sahabat iaitu Syed, Sabri dan Nadz .
Lubuk yang airnya dalam sentiasa keruh ini memang diketahui dihuni oleh ikan yang bagak-bagak saiznya. Boleh dikatakan pada siang hari lubuk ini sentiasa sahaja dikunjungi kaki pancing termasuk orang luar. Cuma pada waktu malam sahaja lubuk ini kurang dikunjungi.
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Syed memacu bot dengan laju menuju ke lubuk. Perjalanan yang mengambil masa 30 minit. Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Syed amat arif dengan selok belok sungai ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di llubuk. Jam menunjukkan 10.00 malam dan masing-masing tidak sabar mencampak umpan. Hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Tidak menunggu lama untuk umpan diragut ikan. Nadz orang pertama yang beraksi. Setelah beberapa minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Syed pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Sabri dan Nadz berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Sabri geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Syed. Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Sabri dan Nadz terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Nadz dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Sabri terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan mata yang merah, rambutnya panjang dan mata merenung tajam ke arah mereka bertiga. Syed dan Nadz juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Sabri ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk kampung. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Nadz demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Banyak faktor yang mempengaruhi kebarangkalian untuk ikan memakan jig yang kita gayakan. Tetapi perlu juga untuk kita lihat lebih dalam tentang diet ikan tersebut.
Diet ikan amat dipengaruhi oleh metabolisme ikan itu sendiri, metabolisma adalah indikasi fisiologi ikan tersebut, sebagai contoh ikan bermetabolisma tinggi mempunyai bilangan `rod’ yang lebih tinggi dari `cone’ di dalam retina matanya.
Maknanya ia lebih sentitif kepada perubahan cahaya berbanding warna. Hal sedemikian berlaku sebaliknya untuk ikan bermetabolisma rendah.
Mengapa metabolisme ini penting adalah kerana ia akan menentukan hirarki cara ia memburu makanan?
Ikan yang mempunyai metabolisma tinggi mempunyai pelampung yang kecil dan lebih aktif. Sebagai contoh seperti ikan tenggiri, talang dan gerepoh atau GT.
Ikan sebegini mempunyai hirarki pemakanan berikut: Deria penglihatan (mata) – diikuti oleh getaran dikesan oleh lateral line – dan akhir sekali deria bau.
Sementara ikan yang mempunyai metabolisma rendah, akan mempunyai pelampung yang jauh lebih besar. Sebagai contohnya seperti ikan kerapu, jenahak, merah dan lain-lain lagi.
Ikan sebegini mempunyai hirarki pemakanan berikut: Deria bau – diikuti getaran dikesan oleh lateral line – dan akhir sekali deria penglihatan.
Secara rumusan, jig amatlah sesuai untuk memburu ikan bermetabolisma tinggi, kerana deria penglihatan dan getaran adalah lebih tinggi dari deria bau.
Dalam pada masa yang sama jig juga juga sesuai untuk memburu ikan bermetabolisma rendah.
Akan tetapi mengunakan teknik bottom atau pancingan dasar (deria bau) tetap tiada tolok bandingan berbanding teknik jig kerana mereka lebih peka kepada deria bau secara semula jadi.
Setelah kita tahu apa ikan yang hendak diburu, maka strategi yang lebih tepat boleh diatur. Tidak kiralah sama melalui pancingan dasar, jigging atau sebagainya.
Sekiranya memilih untuk jigging, pemilihan berat jig perlu di timbal balas dengan kekuatan rod untuk mendapatkan aksi yang bersesuaian.
Dari segi aksi pula, rencahan laju lebih mengamit ikan bermetabolisma tinggi kerana mata mereka adalah senjata utama.
Tumpukan pada getaran yang dihasilkan untuk memburu ikan yang bermetabolisma rendah.
Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal. Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh belasan tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Sri Iskandar, Perak.
Malam itu, saya bersama sahabat baik Rahimi keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing. Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit. Kalau tak kerana desakan Rahimi, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.
Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar lombong, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang. Air lombong sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Rahimi masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.
Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Rahimi duduk. Katanya…
“Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”. Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.
Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Rahimi tidak perasan air di tengah lombong kelihatan berpusar. Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air lombong menjadi ombak besar seperti ombak laut.
Saya dan Rahimi hampir terhumban ke dalam lombong sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu. Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat. Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.
Setiap kali lembaga itu meranduk air lombong yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air lombong akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu. Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.
Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis. Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!
“Lari Ayen. Lari…!!!” ajak Rahimi.
Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!
Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.
Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.
Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan. Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air. Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.
Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Rahimi melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu. Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air lombong tidak berpusar lagi.
Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja. Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...