Seekor ikan paus juvenil sepanjang kira-kira empat meter (12 kaki) dengan anggaran berat 400 kilogram ditemui terdampar di kawasan perairan Batu 7 berhampiran Kontena Terminal Jalan POIC 2, Lahad Datu, Sabah, kelmarin sebelum dilepaskan kembali ke laut.
Spesies mamalia laut itu ditemui terdampar oleh seorang pekerja swasta yang melalui kawasan tersebut dan segera bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mazran Mohammad Noh berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan menemui seekor ikan (anak) paus untuk diselamatkan dan dilepaskan ke laut.
Ads
“Pada awalnya agak sukar untuk membawa mamalia itu keluar berikutan air yang cetek dan berlumpur tetapi akhirnya bomba dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menunda anak paus itu menggunakan bot ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ads
Katanya mamalia itu dilepaskan tiga kilometer dari jarak asalnya ditemui dan operasi tamat pada pukul 2.17 petang. Operasi menyelamat itu disertai lima anggota bomba dan 10 anggota PPM.
Ads
Ikan paus yang dipercayai daripada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.
(sumber: Bernama & Pasukan Polis Marin)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setelah lebih kurang sejam berjalan meredah hutan, Fuad, salah seorang daripada ahli kumpulan kami mengalami kekejangan otot. Perjalanan terpaksa dihentikan seketika bagi memberi peluang Fuad merehatkan badan dan mengurangkan kesakitan.
Tetapi, oleh kerana semangat yang kuat untuk memburu raja sungai, kesakitan yang dialami tidak begitu dihiraukan sambil dia tetap berazam untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Namun, kami tidaklah memberi tekanan kepadanya, sambil perjalanan berhenti rehat beberapa kali. Sekitar jam 6 petang, kami akhirnya berjaya sampai ke Lubuk Panjang (Lubuk Berdengung). Kami mengambil keputusan untuk berkhemah memandangkan Fuad sudah tidak berdaya lagi.
Setelah khemah siap dipasang dan makan malam, Karim dan Pak Mat membina para untuk menyalai ikan yang ditangkap nanti, manakala Pak Chom, Zack, Aiman dan Milo menuju ke bawah untuk mencuba nasib sebelum malam berlabuh.
Pada pengamatan saya yang sudah beberapa kali trekking bersama Karim, lazimnya jika dia membuat awal para untuk menyalai ikan, akan ada rezeki kelah buat kami.
Bagi penjejak kelah, suasana bising perkara yang perlu dielakkan. Bahkan cahaya lampu suluh juga mesti dielakkan dari disuluh di permukaan air terutama di kepala dan ekor lubuk, kerana di sinilah kelah dan kejor bersaiz besar akan mula berkeliaran mencari makanan.
Lewat malam, Mus dan Karim beralih mencuba di lubuk dalam di bahagian atas. Sekitar jam 12.30 malam satu sentapan kuat berlaku yang menyebabkan joran Mus hampir terjun ke lubuk. Mujur batang joran sudah berikat.
Pertarungan hampir 10 minit tetapi kelibat mangsa belum kelihatan, Karim sudah bersedia di tepi tebing untuk menarik mangsa ke darat, malangnya dengan kudrat yang masih ada mangsa membuat henjutan terakhir memutuskan tali utama (tali sulam 20lb). Hampa sungguh wajah Mus ketika itu.
Mangsa dikhuatiri meloloskan diri mungkin terkejut dek cahaya lampu yang disuluh ke dalam air sewaktu pertarungan tadi malah struktur batu-batu besar yang terdapat di dasar membantu mangsa memutuskan tali pancing.
Melihat aksi Mus yang digasak begitu hebat, ada di antara rakan-rakan yang tidur-tidur ayam, terus sahaja cerah biji mata. Iyelah memang satu kerugian, trekking jauh-jauh tetapi tidur di dalam khemah. Apa salahnya berjaga sedikit. Bukan selalu dapat sampai ke sini.
Malam itu, rata-rata di antara kami galak menerima sambaran. Paling memeranjatkan kami bila joran milik Karim patah dikerjakan mangsa selepas diasak kuat sebelum mangsa berjaya meloloskan diri. Kecewa lagi bila gagal menaikkan kelah bersaiz besar.
Pada malam itu, seekor kelah dan dua ekor kejor yang dianggarkan sekitar 1 kg setiap seekor berjaya juga dinaikkan di samping baung akar yang tak terkira banyaknya memenuhi jut.
Hari kedua, kami mengambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan. Pak Chom, Fuad, Zack, Milo, Nasir dan Aiman menghala ke bawah lubuk khemah. Manakala saya, Mus, Karim dan Pak Mat naik ke atas hingga sampai ke Ulu Pering.
Saya yang membaling umpan di hujung ekor lubuk akhirnya mendapat sentapan kuat. Dek kerana air yang jernih memang jelas kelah bara memecut untuk melepaskan diri.
Dengan berhati-hati saya melayan mangsa agar tidak terlepas dan akhirnya puas, bila kelah dalam skala 1.5kg berjaya saya pangku.
Akhirnya dapat juga lesen, setelah tiga trip sebelum ini gagal membuahkan hasil. Sejam kemudian, giliran Mus pula menerima sentapan kuat, larian padu mangsa di kepala lubuk membuatkan Mus tak senang duduk kerana terdapat batuan besar yang mungkin dapat memutuskan perambut 20lb yang dipakai.
Benar kata pepatah, kalau dah rezeki memang tak ke mana. Kelah hampir sama saiz berjaya didaratkan. Sekitar pukul 4.00 petang kami menamatkan pancingan dan pulang semula ke khemah.
Dua ekor kelah bara dan 5 ekor kejor berjaya didaratkan (yang kecil dilepaskan semula ke habitat asal). Perkhabaran daripada rakan di bawah pula, gagal menaikkan kelah bara. Hanya kejor yang berjaya dinaikkan.
Hari terakhir di lubuk ini, kami memutuskan untuk membuat sebuah rakit buluh untuk membawa barang-barang. Lega rasanya bila bahu tiada lagi beban memikul beg. Kami tidak begitu terlalu memancing pada hari ini dan hanya casting pada lubuk-lubuk tertentu di sepanjang kembali turun ke bahagian hilir.
Bagi kaki pancing, Taman Negeri Royal Belum di Perak dikenali sebagai lokasi memancing popular. Hakikatnya banyak lagi tempat menarik di sini.
Santuari Ikan Royal Belum
Projek terbaru yang telah dihasilkan oleh penduduk orang asli di Kampung Sungai Tiang. Antara jenis ikan yang terdapat di santuari ini adalah ikan kelah dan tengas. Projek ini diadakan adalah untuk membantu kesinambungan spesies ikan asli di Negeri Perak
Selain itu, projek ternakan ikan ini juga berpotensi menjadi sebagai pusat pembelajaran dimana terdapat spesies-spesies ternakan dan pertanian yang agak asing di persekitarannya.
Perkampungan Orang Asli Jahai
Orang Asli Jahai, adalah masyarakat peribumi yang mendiami kawasan persekitaran Royal Belum dan daerah Hulu Perak yang lain. Bahkan suku Jahai juga terdapat di sekitar daerah Jeli, Kelantan.
Ia terletak tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang dan tujuan ia dibina bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat lagi kehidupan Orang Asli Jahai kepada pengunjung dan para pelancong.
Perkampungan ini telah ditenggelami banjir besar pada musim tengkujuh lalu dan dibina semula oleh pihak Koridor Utara Malaysia (NCIA).
Kem Pelancongan Sungai Tiang Sungai Tiang, antara kem pelancongan yang sering menjadi pilihan bagi pengunjung yang ingin menikmati suasana dan pemandangan panorama hutan hujan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun.
Di sini terdapat pelbagai kemudahan disediakan antaranya chalet, tapak perkhemahan, surau, bilik air yang lengkap dan generator pada waktu malam.
Sebuah pejabat renjer PTNP turut ditempatkan di sini. Bagi kaki pancing, campsite Sungai Tiang antara yang sering menjadi pilihan sekiranya mengambil pakej boating memancing di sekitar Sungai Tiang.
Sira Sungai Papan
Selain Kem Sungai Tiang, di Sungai Papan juga terdapat sebuah kem yang kini telah dinaik taraf. Tiada lagi nama Teratak Kijang merujuk kepada teratak lama yang pernah penulis kunjungi dahulu.
Di sini, terdapat dua buah jambatan gantung dibina bagi menghubungkan dengan daratan berhadapan Kem Sungai Papan.
Bagi yang belum mengetahui, tidak jauh dari jambatan gantung ini di sini terdapat sira atau batu mineral yang kerap dikunjungi oleh binatang liar seperti rusa, kijang, kancil dan haiwan lain.
Batuan yang mengandungi mineral berkhasiat akan dijilat oleh binatang-binatang ini bertujuan untuk kesihatan. Tidak dibenarkan berkunjung ke sini tanpa pengawasan pihak renjer bagi tujuan keselamatan.
Air Terjun Kooi
Tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang, terdapat air terjun yang tidak kurang hebatnya. Untuk sampai ke sini, perlu berjalan kaki merentas denai sekitar 15 minit.
Sebelum sampai, pengunjung bakal mengenal nama pokok-pokok yang melatari sisi kiri dan kanan denai. Air Terjun Kooi, tingginya sekitar 40meter, yang mana pengunjung akan dihujani tempias air dan deruan angin yang terbentuk dari ketinggiannya.
Untuk merasai kesejukan air ini, jangan lepaskan peluang untuk mandi di bawahnya. Bagi yang teruja untuk melihat bunga rafflesia atau pakma Royal Belum, tidak jauh dari air terjun ini, adalah lokasinya.
Anda perlu mendaki sekitar 10-15 minit lagi dan jika bernasib baik ketika kunjungan anda, pasti boleh melihat sendiri bunga terbesar di dunia ini ketika sedang kembang.
Di Royal Belum, terdapat tiga spesies bunga rafflesia iaitu, Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii yang dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Saya mendapat jemputan satu trip santai dari tekong bot 44 dan teman-teman dari Tumpat untuk menyertai misi mereka menduga spot-spot yang lama mereka tinggalkan. Trip tersebut dirancang untuk 3 hari 2malam sebagai garis panduan dan rujukan tekong 44 untuk beliau meletak harga pakej yang berpatutan dan khidmat servis terbaik pada masa akan datang.
Kami berkumpul di jeti Pengkalan Che Lat, Tumpat jam 1.00 pagi. Tekong mula keluar dari jeti belayar dalam keadaan tenang jam 1.30 pagi Selasa. Perjalanan ke spot pertama sejauh 45 batu nautika mengambil masa 5 jam dengan kemampuan bot 44 yang boleh mencapai kelajuan 18 knot.
Jam 7.00 pagi kami mula memancing. Tempo keaktifan ikan pelagik agak kurang pada waktu ini mungkin kerana pertukaran arus. Kira-kira jam 9.00 pagi selelah agak lama menggayakan teknik fast jigging, kami diasak gerombolan tenggiri yang baru masuk ke spot. Jam 12.00 tengah hari pertama kami berjaya menewaskan kira-kira 30 ekor tenggiri.
Keletihan mula mencacatkan rentak kami. Pok Har 50 mengarahkan kami ‘cool down’ sementara menunggu beliau memasak menyediakan makan tengah hari. Menu hari pertama kami kari ikan tenggiri dan ikan tongkol goreng. Sungguh nikmat menikmati juadah di atas bot andainya kita tidak terlibat dengan mabuk laut.
Jam 2.00 petang kami beralih ke lokasi kedua kira-kira 5 batu nautika. Di situ kami diasak oleh kawanan ikan tongkol yang rakus. Setelah keadaan kurang rancak, tekong memaklumkan untuk belayar sejauh 27 batu nautika ke arah timur. Lokasi yang ingin dituju ialah pelantar Cakerawala.
Kami berhenti sementara di lokasi kapal karam utk menyejukan enjin bot. Di situ kami bermain light jig jenis luminous. Ikan cupak rakus meligan kepingan jig yang dimainkan. Kami berjaya mendaratkan kira-kira 20 ekor cupak berskala 2-3 kilogram seekor.
Jam 12.00 malam tekong meneruskan perjalanan, kami tiba di pelantar Cakerawala jam 3.00 pagi. Setelah agak dekat merapati pelantar Cakerawala, kami tidak dibenarkan untuk memasuki apatah lagi memancing di sekitar pelantar kerana ia berbahaya kepada kami dan pekerja di atas sana. Juga terdapat kerja-kerja selenggara di bawah air oleh petugas pelantar.
Kami akur dan tidak terkilan kerana memahami SOP mereka. Bagi kami dapat sampai dan mengambil gambar kenangan sudah cukup bermakna. Tekong menjauhkan bot dari pelantar. Kami bersauh kira-kira 3 batu nautika dari pelantar. Di situ kami merehatkan tubuh dan minda sementara menunggu untuk patah balik ke spot-spot unjam laut.
Hari kedua
Kami berada kira-kira 65 batu nautika dari dataran. Kami memancing pelbagai teknik. Ikan pada hari kedua juga sungguh frenzy hingga membuatkan kami lupa untuk makan tengah hari.
Jam 6.00 dengan hasil pancingan yang agak memuaskan, Tekong 44 dan Sero mula menyusun atur hasil tangkapan ke dalam tong bagi mengekalkan kualiti ikan. Sebelah malam kami lebih byk berehat sambal santai memancing ikan cupak.
Hari ketiga
Jam 9.00 pagi kami mula merancakkan tempo pancingan kami. Lepas satu spot ke spot unjam lain kami terjah. Alhamdulillah pertambahan hasil pada hari ketiga juga agak memuaskan. Tenggiri pada hari ketiga juga bersaiz bagak.
Kami bersauh di kepala unjam sementara menunggu Pok Har 50 menyediakan makan tengah hari. Kami menghulurkan umpan teknik bottom. Di situ kami berjaya memperolehi ikan kerapu, asu-asu, merah tanda dan jenahak.
Sesekali barracuda berjaya kami daratkan dek kerana arus mula mati tetapi gelombang dan angin timur agak besar. Usai makan tengah hari dan menyegarkan tubuh, Tekong 44 memberitahu kami untuk menamatkan misi kerana keadaan laut sudah mula bergelora ditambah pula kuantiti ais sudah mula berkurang. Perjalanan pulang ke jeti sejauh 60 batu nautika pasti mencabar.
Sepanjang perjalanan kami tidak menghadapi masalah besar kerana mengikuti dan menurut ombak dan angin monsun membuatkan perjalanan pulang kami cepat dan tenang.
Profil trip
Jetty – Pengkalan Che Lat,Tanjung Kuala,Tumpat,Kelantan
Bot – Bot 44
Skipper – Abe Har 44
Team: Paradorm Simphat dan Team Predator Killers Tumpat.
Hasil: Tenggiri 90, cupak 35, asu-asu 6, kerapu 6, merah tanda 3, jenahak 1, ebek1, MJ dan GT 1.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...