Dengan harga joran kian mencanak naik, ditambah pula dengan sikap malas nak menjaganya, pasti joran tak dapat nak diguna untuk dipakai lama. Jadi pemancing semua, apa kaedah yang anda gunakan untuk memastikan kualiti joran kalian sentiasa dalam keadaan tip top?
Berikut adalah tip asas untuk menjaga joran anda, mungkinkah anda menggunakan cara yang berbeza?
Bersih & Cuci
Bersihkan joran sebelum disimpan. Sesetengah kaki pancing suka bertangguh untuk membersihkan joran. Sekiranya anda memancing di air masin, membersihkan joran dengan air tawar dan menggunakan sabun adalah paling utama bagi menjamin ketahanan joran. Terutamanya bahagian guide atau cincin joran. Bahagian ini paling mudah bergaram sekaligus mereputkannya.
Ads
Sebelum menyimpan joran anda, pastikan ia sudah dikeringkan sepenuhnya. Gunakan kain bersih untuk mengelap joran selepas dibersihkan. Sebaiknya juga ia dibiarkan kering dalam suhu bilik sebelum ia disimpan di dalam almari atau sarung khas.
Fungus & Pembentukkan Garam
Sapukan minyak pada cincin dan lapkan lebihan minyak. Sekiranya tak mampu nak beli minyak yang mahal-mahal, guna minyak Singer pun boleh. Minyak memainkan sedikit peranan bagi menghalang pembentukan garam atau dijangkiti fungus.
Ads
Cara Penyimpanan Joran
Ads
Dapatkan beg atau rak khas untuk menyimpan joran atau letakkan joran anda di tempat simpanan yang sepatutnya. Jangan sesekali menyandarkan joran secara condong pada dinding kerana ia akan menyebabkan joran melengkung.
Jauhi Panas Terik Matahari
Jika mahu menyimpan joran, pastikan ia tidak terkena panas secara langsung dan bahang panas seperti meletakkannya di dalam kenderaan. Suhu panas berbahang boleh merosakkan joran anda terutamanya joran jenis grafit.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memancing spesies pacu mampu mendatangkan debaran yang agak mengujakan. Rata-rata pemancing di Malaysia mengetahui akan kelebihan tersendiri bagi spesies ini.
Kerakusan dalam melarikan umpan serta pecutan berkuasa tinggi spesies ini mampu menghadirkan kepuasan yang tidak terhingga kepada pemancing, malah tidak kurang juga mendatangkan kehampaan bagi pemancing yang memandang remeh akan spesies ini.
Antara lokasi terbaik memancing pacu ialah di kawasan empangan yang agak cetek, kawasan lombong serta kawasan tadahan hujan yang berarus perlahan. Selain itu, pengusaha kolam-kolam pancing air tawar komersial juga menjadikan pacu antara spesies yang mesti ada di dalam kolam mereka.
Kelebihan utama pada spesies pacu ialah kerakusan ketikan memakan umpan lantas akan membuat pecutan yang deras. Penggunaan rod ringan akan memberikan debaran tatkala melihat rod yang melengkung serta kekili anda menjerit biarpun drag dikunci ketat.
Perlawanan dengan spesies pacu atau tambaqui ini lebih terbuka. Pemancing harus tahu kelebihan yang dimiliki oleh pacu iaitu kekuatan pecutannya serta giginya yang tajam di mana sering kali memutuskan perambut.
Ketika dalam pertarungan, pacu gemar menghenjut rod anda dan melakukan pecutan berkuasa ke arah kawasan tebing yang mempunyai struktur seperti kayu mati. Namun, oleh kerana habitat pacu biasanya kawasan berair cetek, penggunaan kekuatan drag dan rod yang betul mampu mengekang situasi ini.
Begitupun, pacu masih mempunyai kelebihan pada keupayaan giginya untuk memutuskan perambut anda. Perambut kekuatan 30lb biasanya mudah sahaja diputuskan oleh seekor pacu bersaiz 1 kg. Jadi pastikan anda menggunakan perambut yang bersesuaian dengan keadaan padang pancing anda.
Selain itu, untuk mendapatkan sedikit kelebihan dalam menangani kelebihan gigi pada seekor pacu ialah anda menggunakan mata kail yang mempunyai shank yang panjang. Shank yang panjang sedikit sebanyak mengurangkan peratus gigi pacu berada pada perambut anda, sebaliknya akan berada pada shank mata kail anda ketikan tertancap pada mulut pacu, seterusnya mengurangkan kadar tali perambut anda diputuskan oleh spesies rakus ini.
Pacu juga menjadi antara spesies ikan yang digemari oleh kaki pancing layang. Aksi rakusnya setelah membaham fly yang dilontarkan memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
Tengas merupakan penghuni utama di sungai-sungai banjaran pegunungan. Hidupnya memerlukan air yang sejuk, kepekatan oksigen yang tinggi malah menggemari sungai berjeram. Baginya, menyusur sambil diam setempat dalam arus deras bukanlah perkara sukar. Tabiat ini menjadikannya sangat bertenaga.
Tengas yang besar tidak akan muncul ketika siang hari. Tetapi apabila matahari terbenam, barulah makhluk ini keluar daripada tempat persembunyiannya di bawah batu-batu besar dan menyusuri kawasan cetek mencari makanan.
Apabila memancing tengas, kita perlu banyak ‘mengendap’ iaitu bergerak senyap, perlahan dan menyamarkan diri dengan persekitaran. Kaedah mengendap ini lebih penting berbanding pemilihan umpan. Tengas hidup dalam persekitaran yang terdapat makanan mengalir laju mengikut air, jadi spesies ini tidak begitu memilih makanan.
Namun walau apapun umpan terbaik yang digunakan, tengas tidak akan menyentuhnya sekiranya ia dapat melihat anda. Jadi, anda perlu berpakaian hijau, berselindung di sebalik batu atau pokok ataupun duduk di bawah bayangan sekiranya mahu mengendap tengas.
Berkenaan dengan umpan pula, tengas menggemari pelbagai umpan termasuklah pelet, biskut (campur sedikit kunyit sebagai pewarna) dan juga roti canai! Belalang, cengkerik, cacing dan lundi pasir juga merupakan kegemarannya lebih-lebih lagi dalam air keruh.
Umpan utama yang biasa digunakan oleh rakan-rakan saya ialah sejenis serangga yang dipanggil belalang togel, iaitu belalang hijau dengan perut yang bulat gemuk dan kaki belakang yang panjang. Tengas memang pantang nampak belalang ini, pasti disambarnya. Walau bagaimanapun, umpan terbaik apabila air keruh ialah perut ayam.
Jika anda ingin memancing tengas pada siang hari dan menjangkakan mampu mendapat ikan kecil tidak lebih dari 500gm, peralatan ringan dengan ketahanan 2-6lb sudah memadai.
Kekili mendatar jenis kecil dengan sistem tegangan yang licin paling sesuai. Joran yang panjang mungkin menyukarkan bagi yang kurang berpengalaman tetapi banyak kelebihan di sebaliknya.
Perairan tengas biasanya kecil dan sempit, oleh itu umpan perlu dilontarkan dengan cara menghayun (bukan melontar) atau hanya menjatuhkan terus ke dalam olak di belakang batu. Jadi joran yang panjang dapat menjalankan tugas ini dengan baik sekali.
Pengawalan hanyutan umpan dan tarikan ikan juga menjadi lebih mudah. Joran sepanjang 7-9 kaki juga boleh digunakan kerana ia sudah cukup lembut untuk mengawal tali halus. Gunakan tali perambut sepanjang 20 hingga 25 cm yang diikat pada cili dan batu ladung yang cukup kecil supaya hanyutan umpan kelihatan lebih semulajadi.
Untuk ikan kecil, gunakan mata kail bersaiz 16 hingga 10 (skala Mustad). Saiz yang kasar sesuai untuk umpan belalang dan cengkerik. Kebiasaannya, tengas kecil suka bermain di kawasan sempadan antara air deras dan olak tenang.
Cara yang banyak digunakan ialah dengan melontar umpan ke arah arus deras sambil tali dilepaskan beberapa meter ke hilir, kemudian karau.
Umpan akan hanyut ke olak tenang dan biasanya ragutan berlaku apabila umpan melewati sempadan yang disebutkan. Anda tidak perlu merembat joran dengan kuat kerana tengas sangat rakus menyambar umpan. Sentapan yang lembut sudah memadai.
Sekiranya anda ingin memburu spesies ini lebih-lebih lagi pada waktu malam, sebaik-baiknya gunakan tali yang kasar iaitu 8-12lb. Kaedah batu ladung hidup diperlukan, begitu juga dengan saiznya supaya sepadan dengan tali. Dengan ini, lontaran lebih mudah dilakukan dan penyampaian umpan kelihatan seperti semulajadi.
Spot kesukaan tengas pada malarn hari ialah pada bahagian ekor lubuk. Ikan ini lebih berani pada waktu malam kerana perairan yang agak tenang di bahagian tersebut menjadi medan perburuannya.
Anda perlu membiasakan diri dengan kawasan sebegini sebelum mengail kembali pada waktu malam lainlah sekiranya anda lebih gemar memancing pokok setiap kali lontaran! Memancing pada waktu malam di dalam hutan serta sungai berbatu amat membahayakan, jadi pastikan anda sentiasa berteman.
Sememangnya ikan jebong bukanlah spesies sasaran oleh golongan pemancing malah ia tiada sama sekali disenaraikan dalam fikiran pemancing bila turun ke laut. Ia banyak dipancing secara tidak sengaja oleh kaki laut ketika jigging apollo untuk mencari ikan umpan. Cuba bayangkan jika ia bedal apollo, terkial-kial kita terpaksa melayan bagi mengelakkan apollo putus. Kalau apollo putus dah rugi satu set apollo.
Jebong memiliki mulut kecil, gigi kapak tajam dan sifatnya yang suka mengutis makan iaitu tidak menelan sekaligus, maka amat sukar untuk menjeratya menggunakan mata kail besar lebih dari saiz 1 atau mata udang no 11.
Mata kail kecil jenis long shank yang mempunyai teras lebih panjang amat digalakkan bagi mengelakkan ikan ini mudah menggigit perambut tangsi yang digunakan. Teknik pancingan yang sama seperti memancing ikan barat-barat boleh digunakan (boleh rujuk teknik pancingan ikan barat-barat yang pernah disiarkan).
Memancing jebong memerlukan mata kail kecil tetapi kuat seperti mana mereka yang gemar memburu ikan bayan. Bezanya bayan tiada masalah menggunakan mata 3/0. Namun demikian ikan ini lebih banyak ditangkap menggunakan bubur serta pukat secara komersial.
Saya berpengalaman ketika memancing di mana umpan sotong kurita dikerjakan hingga licin sebelum sempat umpan tersebut sampai ke dasar. Untuk mengetahui spesies apa yang mengerjakan umpan, saya segera tukar saiz mata kail.
Bila tukar saiz mata kail barulah kena buku dengan ruas. Jika menggunakan perambut stail apollo, pastikan saiz mata kail kecil berpadanan dengan umpan bagi mengelakkan ia mengutus.
Hirisan kecil sotong adalah paling mujarab kerana ia ia lebih tahan dan liat dari isi ikan. Umpan jangan terlalu besar kerana ikan ini akan mengutis umpan sebelum ditelan. Ia hanya akan menelan apabila saiz berpadanan dengan luas bukaan mulutnya. Saiz umpan memainkan perana memujuk jebong memilih untuk menelan dari mengutis.
Apabila kita menggemari spesies ini, kita akan lebih menumpukan teknik betul agar tidak tertipu dengan stail licik ikan jebong ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...