
Surfcasting atau pancingan pantai merupakan salah satu teknik memancing yang menyeronokkan. Dengan menggunakan joran panjang, batu ladung dan mata kail alatan utama, ia juga merupakan sukan memancing yang berisiko tinggi ditimpa kemalangan jika cuai atau kurang waspada.
Terutamanya jika memancing secara beramai-ramai di kawasan yang sempit, khususnya di dalam pertandingan.
Pastikan juga kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri. Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.
Kaedah Balingan
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Ikan Sisik Berkualiti Tinggi (part 1/2)!!

Biasanya ikan yang memiliki corak warna menarik, gemar mendiami dasar laut yang berterumbu karang.
Ia biasanya ditemui pada kedalaman melebihi 40 meter dan sering menjadi buruan bukan kerana corak warna sisiknya yang cantik tetapi juga kerana kualiti tinggi isinya.
- KETARAP
- Nama Saintifik: Scarus rubroviolaceus
- Nama umum: Ember parrotfish
- Nama tempatan: Bayan, ketarap
Ikan Ketarap yang amat sinonim di pantai timur di negara kita merupakan ikan yang mendiami kawasan batu karang serta persisiran pantai yang berbatu.
Habitat ikan ini merangkumi seluruh perairan Asia Pasifik. Ikan ini sangat terkenal dengan daya juang di kalangan kaki pancing walaupun bersaiz kecil telah menjadikannya sebagai sasaran kaki pancing.
Ikan ini yang mempunyai isi putih serta lembut amat lazat jika dijadikan hidangan terutamanya masakan steam.
Umpan: Ketam nipah ialah umpan paling popular untuk menjerat ketarap ini. Selain itu, umpan seperti siput, kerang-kerangan, udang dan sotong juga boleh dijadikan umpan.
Pancingan : Selain pancingan dasar, ketarap juga diburu dengan teknik jigging.
- IBU KERISI
- Nama Saintifik: Pristipomoides multidens
- Nama umum: Gold banded jobfish
- Nama tempatan: Ibu kerisi, kerisi bali
Ikan yang mendiami lubang dan struktur karang di perairan negara kita ini sangat terkenal dengan isinya yang enak dan sukar diperolehi di pasar terutamanya di kawasan Lembah Klang telah menjadikannya sebagai ikan sasaran kegemaran pemancing.
Ikan ini yang bergerak secara berkumpulan dan bersikap tidak memilih umpan menyebabkan ia amat mudah diperolehi semasa trip memancing.
Berbeza dengan ikan kerisi bersaiz kecil. Ikan ini merupakan hidangan lazat setanding dengan ikan gred A yang lain.
Umpan: Ibu kerisi tidak cerewet untuk memilih umpan, Teknik dasar menggunakan umpan hirisan sotong, udang mati atau hirisan isi ikan pasti dapat menjerat ikan ini.
Pancingan : Pancing dasar, jigging.
- MERAH
- Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
- Nama umum: Red Snapper
- Nama tempatan: Merah pucat, Merah
Dikenali juga sebagai merah pucat. Ikan ini merupakan ikan yang paling banyak dicari oleh pemancing. Selain itu, saiz ikan ini yang kadang kala mencecah lebih 5kg mampu memberi daya juang yang mengasyikkan.
Isi yang lembut serta kepala ikan merah yang di asam pedaskan atau dimasak gulai kari pasti sangat menggiurkan.
Permintaan yang tinggi terhadap ikan merah di pasaran membuatkan ikan ini sentiasa menjadi sasaran pemancing.
Umpan: Umpan ikan merah amat mudah, isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, udang mati dan apa saja pasti akan dihentam ikan merah jika umpan dilabuhkan di kawasan yang di diaminya.
Ikan ini bergerak dalam kumpulan besar dan amat sensitif iaitu tidak lagi menjamah umpan yang dihulurkan, jika ada perambut putus ketika karauan sedang dilakukan.
Pancingan : Dasar / jigging
- MERAH SUMAN
- Nama Saintifik : Pinjalo pinjalo
- Nama umum : Japanese red
- Nama tempatan : Merah suman
Merah suman tergolong dari keluarga ikan merah, apa yang membezakannya ialah rupa bentuk kepalanya yang lebih bulat berbanding ikan merah.
Ikan ini tinggal di kawasan lubang dan struktur karang bersama dengan ikan merah. Ikan ini dianggap lebih sedap berbanding ikan merah.
Umpan: Sama seperti umpan ikan merah, umpan yang biasa digunakan adalah isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, dan udang mati boleh digunakan untuk menjerat spesies ini.
Pancingan : Dasar / jigging?
- JENAHAK
- Nama saintifik: Lutjanus johnii
- Nama umum: John’s Snapper, golden snapper
- Nama tempatan: Jenahak, Jenak, Unga
Dikenali sebagai bantal emas di kalangan pemancing. Jenahak merupakan ikan yang sangat popular di negara ini, termasuklah di kolam-kolam air masin.
Ikan ini terdapat di semua perairan Asia Pasifik. Seperti ikan kakap merah, ikan jenahak juga mendiami kawasan berhampiran muara semasa kecil.
Apabila dewasa, ikan ini akan mendiami lubang atau struktur karang yang berlumpur. Di Malaysia ikan ini banyak taburannya di kawasan perairan selat Melaka.
Umpan: Sotong, sotong kurita, udang lipan dan kembung/selar hidup merupakan umpan popular untuk menjerat ikan jenahak ini. Hirisan isi ikan dan sotong juga boleh digunakan.
Apa yang pasti ikan jenahak ini amat memilih umpan, hanya umpan yang segar sahaja yang mampu membuka seleranya.
Terdapat juga para pemancing yang berjaya mendaratkan ikan ini menggunakan gewang dan jig besi.
Pancingan : Dasar / jigging / casting
- KAKAP MERAH
- Nama Saintifik : Lutjanus argentimaculatus
- Nama umum : Mangrove jack
- Nama tempatan : Kakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih dikenali sebagai MJ (Mangrove jack) di kalangan para pemancing. Ikan Kakap merah bersaiz juvenil kebiasaannya akan tinggal di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Kemudian apabila telah matang, ikan ini akan berhijrah kelautan lepas. Waktu malam merupakan masa sesuai untuk memancing ikan ini kerana ikan ini amat aktif pada waktu malam untuk mencari makanan.
Umpan: Umpan sotong dan kembung hidup amat popular untuk menjerat ikan ini. Walaupun begitu, hirisan isi ikan dan umpan ikan hidup juga dikatakan efektif untuk dijadikan umpan.
Pancingan: Casting / jigging / dasar
- RAJA SAYANG
- Nama saintifik: Symphorus nematophorus
- Nama umum: Chinamanfish
- Nama tempatan: Raja Sayang / merah mentimun
Ikan merah mentimun Chinaman atau lebih dikenali sebagai ikan raja sayang di kawasan Pantai Timur semenanjung amat sukar diperolehi pada masa kini.
Ikan ini yang amat bernilai tinggi ini sering kali menjadi sasaran nelayan dan pemancing. Ikan ini tinggal di kawasan perairan lubang dan karang berpasir yang mempunyai ke dalaman 60-100 meter sahaja.
Akibat sering menjadi sasaran, ikan ini kini telah menjadi semakin berkurangan di perairan kita. Pemancing perlu pergi jauh sehingga 200 batu dari pantai untuk menemui spesies ikan ini.
Umpan: Memancing ikan Raja Sayang tidak terlalu susah. Umpan yang sama yang digunakan untuk memancing ikan merah boleh digunakan. Cuma populasi ikan ini yang sukar ditemui menjadikan ikan ini sukar ditangkap.
Pancingan : Dasar
- KERAPU PISANG
- Nama Saintifik : Plectropomus pessuliferus
- Nama umum : Roving coralgrouper
- Nama tempatan : Kerapu pisang, kerapu sunuh
Ikan kerapu pisang merupakan ikan yang paling bernilai tinggi di kalangan keluarga ikan kerapu. Ikan yang mempunyai bintik-bintik kuning ini mempunyai isi yang lazat untuk
dijadikan hidangan telah membuatkan setiap pemancing pasti mengidamkan untuk memancing ikan kerapu pisang. Ikan ini banyak mendapat pemintaan di restoran mewah dan hotel-hotel.
Umpan: Umpan isi ikan atau sotong boleh digunakan untuk memperdayakan ikan pisang. Ikan ini juga boleh dipancing menggunakan jig besi.
Pancingan : Jigging / dasar
Fahami Istilah Memancing – Barotrauma!

Semua ikan dasar laut atau ikan yang mendiami kawasan batu karang mempunyai pundi renang tertutup (satu organ dipenuhi dengan gas yang mengawal keapungan ikan). Apabila ikan tersebut ditarik dari dasar ke permukaan air dengan pantas, pengurangan tekanan membuatkan gas di dalam pundi renang itu mengembang dan menyebabkan ikan tersebut mengalami kecederaan dan tidak dapat kembali ke dasar dengan sendiri.
Tidak semua ikan mengalami barotrauma. Ikan jenis pelagik tidak mengalami barotrauma yang teruk berbanding ikan yang mendiami dasar laut. Ikan yang mendiami perairan tidak melebihi 10 meter juga biasanya tidak mengalami kesan kecederaan barotrauma yang teruk dan masih boleh hidup jika dilepaskan segera.
Simptom Barotrauma
1) Mata ikan membengkak.
2) Bahagian perut mengembang danketat.
3) Tisu seperti belon tertolak keluar dari mulut.
Cara Melepaskan Ikan Yang Mengalami Barotrauma
Cara yang terbaik ialah dengan mengembalikan tekanan gas di dalam pundi renang ikan dengan tekanan normal. Ini bermaksud kita harus membawa ikan itu kembali ke dasar dengan segera dengan cara menjunamkannya terus ke dasar dengan segera.
Cara melepaskan ikan di permukaan air tidak efektif untuk ikan yang mengalami barotrauma kerana gas yang terkumpul menyebabkan ikan terapung dan tidak boleh berenang ke dasar dengan sendiri.
Di negara luar, kesedaran tentang barotrauma sudah lama diberi pendedahan kepada pemancing. Amalan melepaskan ikan yang mengalami barotrauma ada cara tersendiri. Mereka mencipta alat seperti “recompression device” yang membolehkan ikan kembali ke dasar dengan segera dan boleh terus hidup seperti biasa.
* Kesedaran untuk melepaskan ikan yang kita tak nak atau ikan kecil yang mengalami barotrauma harus dimulakan mulai sekarang.
Panduan Membeli Enjin Sangkut Terpakai!!

(Oleh: Mohd Fadzil)
Perairan Malaysia sebenarnya terlalu luas untuk diterokai oleh seseorang pemancing. Nadi penggerak di atas air iaitu enjin bot boleh di kategorikan sebagai kenderaan air yang bernilai tinggi.
Berbeza dengan negara luar, terdapat larangan-larangan penggunaan sesebuah enjin mengikut kapasiti kuasa kuda.
Maka, setiap pemilik bot bebas menggunakan kuasa kuda untuk menyusuri sungai ataupun laut. Bezanya adalah harga dan kemampuan untuk memiliki enjin sangkut ini.
Bila berkata tentang kemampuan, memancing ini merupakan satu hobi dan bukan keperluan yang perlu dituruti sepenuhnya.
Berbeza dengan nelayan yang memerlukan enjin sangkut untuk mencari nafkah di laut atau sungai.
Tetapi, memiliki enjin sangkut adalah satu kelebihan bagi kaki pancing untuk bergerak ke segenap lokasi lubuk yang boleh dilalui dengan jalan air.
Penjualan enjin sangkut sememangnya boleh dibeli di pengedar atau kedai yang menjual alat-alat marin.
Sebenarnya Malaysia masih kurang kedai yang menjual enjin sangkut ini. Industri memancing yang pesat memacu ke hadapan sepatutnya memerlukan banyak pusat servis atau menjual enjin sangkut yang terpakai.
Bagi yang memilih untuk membeli enjin sangkut terpakai, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membelinya sama ada daripada individu ataupun kedai yang menjual enjin sangkut.
APA YANG PENTING?
Perkara pertama yang perlu diteliti adalah kualiti semasa enjin sangkut tersebut.
Bahagian dalaman enjin seperti gasket blok tiada kebocoran, mudah dihidupkan, pusingan sistem penyejuk enjin dalam keadaan baik dan tiada gegaran yang kuat pada enjin ketika dihidupkan.
Pembeli ada kuasa untuk meneliti enjin tersebut sebelum membelinya.
Harga juga memainkan peranan dalam pemilihan sesebuah enjin sangkut.
Secara amnya, enjin sangkut bukan dinilai dari tahun dikeluarkan seperti kenderaan motosikal atau kereta tetapi ia boleh dinilai dari kualiti keadaan semasa enjin tersebut dari segi luaran dan dalamnya.
Bagaimana ianya boleh dinilai?. Dapatkan harga model yang sama di kedai dan penilaian boleh dibuat berdasarkan harga susut nilai sebanyak 40 hingga 60 peratus.
Sebagai contoh enjin 5 hp (kuasa kuda) yang baru bernilai RM3200 Tetapi setelah dikira harga susut nilai semasa pengurangan mungkin boleh mencapai sehingga RM1500 mengikut keadaan semasa enjin tersebut.
Apa yang penting, enjin sangkut tidak mempunyai geran seperti kenderaan darat. Tetapi bukti pembelian resit asal daripada pemilik atau kedai amat penting disimpan kerana enjin sangkut adalah salah satu barang yang sering di curi.
Di perairan pantai barat Malaysia, kecurian enjin sangkut kerap dilaporkan dan pembeli perlu berhati hati agar dapat menghindarkan dari membeli barang curi.
Setiap enjin sangkut mempunyai nombor siri casis yang berlainan dan ia direkodkan di dalam setiap surat pembelian enjin baru.
Apa yang penting, fahami segala aspek enjin sangkut ini kerana setiap kuasa kuda berlainan spesifikasinya termasuklah beban berat, badan luaran alat ganti.
Sekiranya pembeli ingin membeli daripada penjualan Internet, sebaik-baiknya lihatlah sendiri keadaan fizikalnya sebelum membuat keputusan.
Buat pertemuan dengan si penjual. Lihat peralatan sampingan seperti tangki minyak serta saluran paip minyaknya dalam keadaan baik.
Jika tidak mahir, bawalah rakan yang mahir bertemu dengan penjual berkenaan. Mana tahu anda tertipu atau terbeli enjin curi.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan