Untuk bergerak merentas jeram dan melalui alur sungai ia bukanlah sesuatu yang mudah ditambah lagi jika kurangnya pengalaman memahami bentuk halangan yang terdapat di laluan tersebut. Risiko yang boleh terjadi adalah seperti bot terbalik atau lebih parah lagi bot pecah akibat hentakan pada batu atau kayu.
Kebiasaannya permukaan air akan kelihatan memecahkan alur air menandakan terdapat sesuatu berada di bawah dan ia perlu dielak. Bagi misi sebegini sampan kayu adalah yang paling sesuai kerana ketahanannya apabila terkena batu ataupun kayu dan ia lebih stabil berbanding sampan daripada jenis fiber.
Bahagian perut sampan yang sama paras dengan kipas enjin sangkut menjadikan enjin sangkut lebih terjaga berbanding perut sampan yang tinggi dan kipas enjin sangkut terdedah kepada pelanggaran objek seperti batu atau kayu.
Ads
Ads
Bagi jeram yang tidak tinggi kebiasaannya bot masih mampu mendaki secara perlahan asalkan perut sampan tidak tersangkut. Sebaiknya seorang jurumudi di bahagian hadapan membantu mengawal muncung bot agar sentiasa berada dalam kedudukan yang dikehendaki.
Jadi, bagi anda yang tidak mahir dengan laluan air, jangan sesekali membawa bot berkenaan. Beri keutamaan kepada mereka yang mahir mengendalikan bot terutama jika sungai tersebut mempunyai banyak jeram.
Ads
Jangan bawa barang berlebihan kerana ia akan menyebabkan keseimbangan bot menjadi sukar dikawal. Dan paling penting jangan lupa pakai jaket keselamatan walaupun di kawasan air cetek, apatah lagi jika terdapat batuan yang banyak.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Keadaan air yang surut dan agak keruh menyukarkan sedikit perjalanan masuk kami ke Sungai Tiang. Di tebing cetek Sungai Tiang kami dihiburkan dengan beberapa ekor haruan remaja dengan menggunakan gewang selaman cetek dan spinner.
Kemudian kami mencuba pula di dua buah lopak air yang agak besar berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Tiang. Beberapa ekor lagi haruan remaja turut kami perolehi di sini menggunakan jump frog, spinner bait dan pencil. Tangkapan terbaik adalah haruan berskala 1.4 kg menggunakan spinner bait.
Memandangkan hari telah semakin gelap kami kembali semula ke house boat walaupun masing-masing masih belum puas melayan sambaran yang begitu banyak oleh haruan di lopak tersebut.
Setibanya di house boat, dua kumpulan lain juga turut membawa berita yang agak menggembirakan apabila berjaya mendaratkan beberapa ekor toman walaupun masih tiada lagi tangkapan sebarau yang dicari.
Kami telah keluar seawal pagi keesokan harinya dengan harapan sasaran dicari akan tercapai dan suak-suak di Sungai Tiang dituju serta kawasan-kawasan sekitar highway. Seperti semalamnya, masih tidak kelihatan kelibat kawanan sebarau ‘mendidih’ namun sang toman banyak kelihatan menimbul mengambil udara.
Kami memasuki satu kawasan suak dan saya sekali lagi membuka tirai tangkapan hari kedua dengan seekor toman bujang yang menyambar gewang Megabass Prop Darter yang saya lontarkan di hujung kayu tumbang. Seterusnya kami memperoleh sambaran dari toman-toman remaja sahaja yang begitu galak menyambar gewang permukaan.
Di satu suak lain yang terdapat aliran anak sungai kami akhirnya berjaya juga memecah kebuntuan di mana Ajip dan Matstuckq mendaratkan sebarau berskala hampir 1kg seekor seorang menggunakan gewang selaman Rapala Flat Rap dan Tail Dancer.
Selepas makan tengah hari hujan turun dengan begitu lebat selama hampir 2 jam. Adakah nasib kami bakal berubah dengan turunnya hujan rahmat ini? Sebaik sahaja hujan reda kami tanpa berlengah lagi terus menuju spot-spot yang dirasakan berpotensi di sekitar Sungai Kenerong.
Kami telah menemui sekumpulan anak toman yang masih merah lagi namun kawanan anak tersebut menghilang walaupun baru sekali sahaja lontaran gewang dilakukan. Kami terus menyusuri suak tersebut dan lontaran terakhir oleh Matstuckq sejurus sebelum bergerak keluar disambar kasar oleh penghuni dasar.
Rupa-rupanya induk kawanan anak toman sebentar tadi yang menyambar gewang selaman Rapala Tail Dancer dan induk tersebut berjaya didaratkan. Setelah gambar dan berat diambil induk tersebut dilepaskan semula kepada kawanan anaknya dengan selamatnya.
Saya seterusnya mendapat sambaran apabila gewang selaman Ofmer X-Deep yang saya lontarkan sebaik sahaja mengesan kelibat riak air toman menimbul di sebelah bot namun nasib tidak menyebelahi saya kerana toman bujang yang saya anggarkan berskala 3-4kg tersebut berjaya mengangkangkan mata kail semasa pecutan terakhirnya.
Begitu juga dengan Matstuckq yang sekali lagi mendapat sambaran kasar tetapi toman tersebut berjaya meloloskan diri apabila licik membelitkan tali utama ke reba.
Namun begitu, Matstuckq berjaya juga mendaratkan seekor sebarau sebelum senja dan saya juga turut memperbaharui lesen sebarau Royal Belum saya sejurus selepas itu apabila mendaratkan seekor sebarau remaja menggunakan gewang selaman Rapala X-Rap yang saya lontarkan berulang kali ke satu tunggul kayu tumbang.
Apabila kami pulang ke house boat dua kumpulan yang lain turut berjaya memperolehi beberapa ekor lagi sebarau. Memang benarlah hujan yang turun memberi rahmat kepada kami.
Untuk hari terakhir kami lebih santai kerana masa untuk mengilat yang terhad. Kami keluar awal selepas menikmati sarapan pagi. Kali ini kami menuju sekitar suak di Sungai Ruok berhampiran dengan jeti Pulau Banding.
Tiada hasil yang membanggakan di situ kecuali seekor sebarau hampir 1kg yang berjaya Martdet perolehi dengan menggunakan sesudu jenama Bakau. Kami keluar semula dari suak tersebut dan seterusnya memasuki Sungai Gadong sebelum pulang.
Hinggalah kami tiba jauh ke pertengahan sungai tersebut di mana kami menemui satu kawanan anak toman yang telah bersaiz 200-400gram yang masih lagi diiringi oleh induknya. Kami bergilir-gilir melontar gewang permukaan serta selaman dalam, hanya satu sambaran yang diperolehi namun tidak menepati sasaran seolah-olah hanya sekadar menghalau sahaja.
Selepas beberapa kali lagi lontaran dilakukan tiada lagi sebarang sambaran dan kami kembali semula ke house boat untuk bersiap pulang.
Sudah lama sebenarnya penulis bercadang untuk bersantai dan menghabiskan hujung minggu dengan memancing sepat. Sekadar untuk mengembalikan kenangan memancing di zaman kanak-kanak. Namun, ekoran kesuntukan masa luang di hujung minggu dan kepupusan habitat-habitat sepat menyebabkan hasrat tersebut mula pudar.
Sehinggalah lawatan penulis ke Rantau Eco Park (REP), secara tiba-tiba saja peluang untuk menyentap sepat kembali terbuka. Tujuan penulis ke Rantau Eco Park sekadar untuk melihat potensi kolam pancingan berbayar yang masih belum menjadi tarikan utama pengunjung ke Rantau Eco Park.
Setelah berkenalan dengan Abang Zul, penyelia REP, ketika beliau rancak bercerita perihal kolam-kolam yang ada di REP, penulis cukup tertarik dengan sebuah kolam larangan yang menjadi lubuk ikan-ikan tradisi seperti sepat, puyu, selat, terbol dan haruan.
Apabila dinyatakan penulis boleh memancing di kolam larangan tersebut dengan kebenaran pihak pengurusan, tanpa berlengah penulis menetapkan tarikh untuk kembali ke REP.
Tiga minggu kemudian penulis kembali ke REP bersama beberapa orang rakan untuk turut mengimbau kenangan memancing sepat dan puyu ketika zaman kanak-kanak. Serasi dengan perubahan zaman, peralatan memancing dan umpan turut sama berubah. Namun teknik tetap sama.
Jika dulu menggunakan batang buluh atau nipah, kini menggunakan joran pole dan teleskopik. Jika dulu menggunakan getah selipar untuk dijadikan pelampung, kini menggunakan pelampung sepenuhnya.
Dan jika dulu menggunakan cacing atau lumut untuk dijadikan umpan, kini boleh menggunakan umpan buatan. Apatah lagi tatkala musim panas kering begini memang sukar untuk mencari lumut atau mencari cacing pokok pisang.
Umpan alternatif yang penulis hasilkan adalah campuran dedak ayam, dedak 929, serbuk perisa cacing tanah dan tepung umpan gam. Campuran bahan-bahan ini akan diuli sehingga lembut dan kenyal. Kemudian ia digentel kecil pada mata kail yang juga bersaiz kecil.
Pada awalnya Abang Zul yang sudah biasa memancing sepat berumpankan lumut seperti sukar untuk percaya umpan alternatif yang penulis hasilkan ini akan dijamah ikan. Setelah seekor demi seekor sepat berjaya naikkan, barulah beliau percaya dan sedar tidak bersusah payah lagi untuk mencari lumut untuk dijadikan umpan sepat.
Jika benar memancing itu dapat melatih kesabaran maka memancing sepat adalah contoh terbaik. Kesabaran pertama yang perlu dihadapi adalah menahan panas. Apatah lagi jika memancing di kawasan lapang tanpa sebarang kanopi untuk berteduh. Ditambah lagi dengan tabiat sepat waktu panas terik itulah ia rancak bermain air.
Seterusnya sabar menanti kemunculannya memasuki radius pancingan. Maklum sajalah saiz kolam larangan tersebut bukanlah kecil malah hampir sebesar kolam pancing komersial.
Menggentel umpan pada mata kail juga perlu sabar. Umpan tidak boleh terlalu kecil atau besar dan melekap kemas pada mata kail.
Dan status kesabaran paling maksimum diperlukan tatkala mahu menyentap. Sentapan tidak boleh dilakukan terlalu awal atau terlalu lewat kerana akan berakhir dengan kegagalan.
Selain dari sepat Siam yang merupakan spesies target, kolam larangan ini turut dihuni sepat ronggeng.
Boleh dikatakan sepat ronggeng lebih banyak bilangannya berbanding sepat Siam. Sepat tempatan yang saiznya lebih kecil berbanding sepat Siam inilah yang benar-benar menguji kesabaran kami. Ia akan terlebih dahulu menggetu dan menghabiskan umpan pada mata kail.
Biar pun menggunakan mata kail bersaiz paling kecil namun cukup sukar untuk melekat pada mulutnya yang lebih kecil berbanding sepat Siam.
Dalam pada seronok menyentap sepat dan umpan sepat alternatif yang penulis adunkan terbukti efektif, kami mula beralih kepada umpan konvensional seperti cengkerik dan anak udang untuk memvariasikan hasil tangkapan.
Melalui teknik apung yang sama, anak udang yang menggantikan umpan dedak berjaya menaikkan beberapa ekor selat. Manakala cengkerik yang digunakan untuk pancingan apung dan dasar pula berjaya menaikkan beberapa ekor puyu.
Seekor keli tempatan atau keli kampung bersaiz agak kasar hampir berjaya didaratkan sekiranya ada penyauk atau tangguk.
Melihat pada kelibat keli kampung dengan saiz luar biasa itu membenihkan ilham kepada penulis untuk kembali lagi ke kolam larangan Rantau Eco Park untuk pancingan keli kampung pula.
Bagaikan tidak cukup seharian mengelilingi kolam ternakan ikan, kemudian sambung pula berembun sepanjang malam, namun apa yang diperoleh sangat tidak berbaloi. Dan untuk tidak terus berakhir dengan kekecewaan, Geng Sunway yang diterajui oleh Abang Lan segera menukar strategi.
Geng Sunway adalah nama jolokan yang diberikan kepada kumpulan pemancing haruan yang majoritinya menetap di Sunway, Petaling Jaya. Sementara kolam Kolam Halim yang dimaksudkan adalah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan secara kecil-kecilan oleh Halim.
Manakala haruan-haruan yang bersifat pemangsa kepada benih-benih ikan ternak yang gagal dihapuskan itu pula merupakan sasaran utama Geng Sunway apabila berkunjung ke Kolam Halim di Temoh, Perak ini.
Namun hasil pancingan pada kunjungan terbaharu ini ternyata agak mengecewakan. Berikutan cuaca panas dan kemarau, paras air lombong surut dengan begitu ketara. Apabila paras air berubah maka habitat haruan pun berubah. Haruan dikesan berada jauh ke tengah lombong. Justeru itu Geng Sunway sepakat untuk mencuba nasib di lokasi baru yang dicadangkan oleh Abang Lan.
Menurut Abang Lan, seorang kenalannya pernah meredah parit-parit di sebuah ladang kelapa sawit dalam kawasan Tanjung Tualang dan hasilnya begitu menggalakkan walaupun sekadar menggunakan umpan tiruan, bukannya katak hidup.
Dan dengan baki katak hidup yang masih ada, Geng Sunway ke ladang sawit sekitar 40 kilometer dari Kolam Halim. Setibanya di ladang sawit yang dimaksudkan, Geng Sunway berpecah dan bebas memilih parit-parit yang ada.
Setelah memerhati keadaan parit yang ketara tidak sesuai untuk mengamalkan pancingan umpan tiruan saya memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi ujian lapangan baharu ini sebaliknya sekadar menemani Bob untuk merakam foto sekiranya beliau berhasil.
Dalam pada masa yang sama dapatlah saya timba ilmu memancing haruan menggunakan umpan katak hidup yang sememangnya saya kurang berkemahiran. Ternyata saya tidak salah memilih Bob sebagai guru. Setelah mencurahkan serba sedikit ilmu, jasa baik Bob itu terbalas dengan mendaratkan seekor bujuk dengan skala saiz yang agak lumayan juga.
Disebabkan bekalan katak hidup yang terhad dan ladang sawit itu terlalu luas untuk diredah dengan berjalan kaki, sesi ujian terpaksa dipendekkan. Selain Bob, Nayan turut sama berhasil mendaratkan seekor haruan dengan skala saiz yang juga lumayan.
Yang pasti parit besar dan parit kecil di kawasan ladang sawit tersebut ternyata berpotensi dan Geng Sunway mula merancang untuk kembali dengan kenderaan dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk memujuk bujuk yang agak banyak populasinya di situ.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...