Boleh dikatakan hampir setiap tahun terutamanya kebelakangan ini kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung, mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak.
Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada serampang dua mata.
Selain bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing, sudah tentunya untuk menduga perairannya.
Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.
Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu.
Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung.
Bot pancing yang dimiliki Edel selesa jika dinaiki empat orang pemancing.
Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong.
Ads
Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri.
Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk.
Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.
Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik.
Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.
Ads
Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti.
Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk!
Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.
Ads
Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula.
Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot.
Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.
Nama kolam memancing Seri Bayu Tekala mungkin tidak asing penggemar pertandingan memancing kolam air tawar.
Sebaliknya, nama Seri Bayu Batangsi Fishing Pond (Kolam Memancing Seri Bayu Batangsi) mungkin agak janggal meskipun bagi follower kolam Seri Bayu Tekala.
Hakikatnya, jika kolam Seri Bayu Tekali dikenali sebagai kolam pertandingan memancing terbesar di Malaysia, Seri Bayu Batangsi Fishing Pond (SBBFP)pula bakal dinobatkan sebagai kolam casting terbesar tanah air, apabila beroperasi tidak lama lagi.
Sebagai langkah promosi memperkenalkan kolam casting ini kepada peminat teknik mengilat, SBBFP berkolaborasi dengan Silibin Tackle bagi menganjurkan Rapala Casting
Challenge 2019 yang bakal berlangsung pada 14 April (Ahad) ini, bertempat di SBBFP yang terletak di Semenyih, Kajang. Tidak jauh dari Kolam Memancing Seri Bayu Tekala.
Menurut wakil pengurusan kolam, Faizal Khan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam, para peserta yang bakal menyertai pertandingan ini tidak perlu risau tentang saiz kolam dan ikan pelahap gewang yang terdapat di dalam kolam.
Dengan keluasan melebihi dua padang bola, 150 bakal peserta mampu mengilat dengan selesa.
Begitu juga dengan spesies penyambar gewang yang telah ditempatkan. Sekurang-kurangnya sudah terdapat 8 spesies penyambar gewang seperti peacock bass, siakap air
tawar, toman, sebarau, redtail catfish, chaophraya catfish, pacu dan haruan dalam jumlah ribuan ekor sedang membesar dengan sihat.
Bagi sesi tournament merangkap pre launch kolam, beberapa syarat telah ditetapkan.
Dengan yuran penyertaan RM60.00, para peserta akan bertarung selama 4 jam bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Para peserta juga tidak dibenarkan menggunakan gewang selain dari jenama RAPALA, STORM dan TRIGGERX. Hanya penggunaan mata tunggal (SINGLE HOOK) yang dibenarkan pada gewang.Manakala sistem permarkahan dikira dengan jumlah mata tertinggi terkumpul.
Jadi, pastikan anda tersenarai dalam 10 peserta bertuah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan.
Kebiasaannya setiap kali trip memancing, kereta atau pacuan empat roda menjadi kenderaan rasmi untuk membawa kami ke lubuk atau spot memancing. Kalau tempat yang dituju jauh memang terasa penat memandu terutama ketika pulang.
Oleh yang demikian, kali ini kami memilih untuk menaiki bas dan membawa kami dari Shah Alam ke Alor Setar. Untuk mengelak kepenatan memandu pergi dan balik, kami berenam nekad menaiki bas ekspres menuju ke Alor Setar.
Setelah beberapa jam perjalanan, kami tiba di Terminal Shahab perdana dan beberapa rakan dari Geng Micro Mega Caster menyambut ketibaan kami sebelum membawa kami ke homestay untuk berehat.
Pagi esoknya, kami semua menuju pula ke Jeti Kuala Kedah dan sempat singgah untuk merasa sarapan nasi lemak ikan temenung. Fuhh, terangkat beb! Trip kali ini sebenarnya dibuat untuk memburu tenggiri di Tuas Payar.
Sebanyak tiga buah bot digunakan dalam trip ini. Tiba di kawasan tuas, seperti biasa acara apollo bermula untuk mencari umpan hidup terutama selar dan kembung. Namun kali ini spesies cencaru mendominasi hasil apollo melebihi selar dan kembung.
Saiznya pula memang besar dan cukup puas jika dilayan dengan jig mikro. Setelah umpan hidup diperoleh, masing-masing mula memasang teknik untuk memburu sang tenggiri.
Pelbagai teknik digunakan selain teknik popular iaitu drift atau menghanyutkan umpan hidup menggunakan belon. Penulis pula memilih teknik jigging dan jig cast sementara beberapa rakan lain ada yang menggunakan teknik casting gewang serta casting umpan kembung dan ikan temenung.
Beberapa ekor tenggiri berjaya dihenjut naik namun saiznya agak mengecewakan, kata orang masih juvenil lagi. Tak lama kemudian, tekong bot iaitu Mat Bujai mendapat strike seekor tenggiri yang agak besar. Namun sayangnya perambut berjaya diputuskan oleh gigi sang tenggiri yang tajam biarpun sudah hampir dengan bot.
Kemudian giliran Bang Cik pula untuk kempunan setelah seekor tenggiri sekitar 6kg terlepas apabila tali terbelit pada kipas bot sebelum putus. Selepas itu hanya tenggiri bersaiz 1kg-3kg sahaja yang dinaikkan. Spesies belitung nampaknya mendominasi trip tenggiri kami.
Ketika memancing, kami terserempak dengan kawanan paus dan layaran berhampiran tuas dan menurut tekong, kehadiran ikan paus dan layaran menyebabkan tenggiri takut untuk masuk ke tuas.
Sedang asyik bercerita hal ikan paus dan layaran, joran Mat Bujai dengan teknik drift belon tiba-tiba disentap oleh layaran. Namun sayangnya hanya sempat melayan seketika apabila dengan pantas pemecut lautan itu membawa tali ke tiang tuas untuk diputuskan.
Menjelang petang angin semakin kuat dan air semakin berkucah lantas kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti. Di jeti, rakan-rakan dari bot 1 dan 2 juga mengatakan tenggiri agak kurang berbanding minggu lepas namun mereka masih berjaya menaikkan tenggiri bersaiz 8 kg.
Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...