Kawasan tepian berbatu karang adalah kawasan berpotensi untuk memancing. Lazimnya, ramai pemancing berjaya menjinakkan ikan tetapi juga paling kerap kail tersangkut. Batu atau karang di situ menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa.
Namun begitu, ia mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar.
Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu ada karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang.
Ads
Panduan yang boleh diguna pakai
Gunakan teknik pancing apollo di mana ladung di bahagian bawah sekali. Jika tidak mahu kehilangan ikan, tangsi yang diikat pada ladung mesti lebih halus daripada perambut untuk mata kail dan tali utama. Oleh kerana ladung mencecah dasar, peluang untuk ia sangkut adalah tinggi.
Ads
Jika tersangkut, pemancing masih boleh menyelamatkan kail dan ikan kerana tali lebih halus bagi mengikat ladung, akan putus terlebih dulu. Berikutan harga ladung semakin mahal, guna bahan lain seperti batu dan skru terbuang sebagai ganti.
Teknik tanpa pemberat (layang/hanyut) juga sesuai jika kawasan itu lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut.
Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan akan mengambil masa untuk sampai ke dasar.
Ads
Ketika menjunam, umpan menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika ada tanda sambaran yang biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.
Teknik menggunakan pelampung memerlukan pemancing bijak menentukan kedalaman air setempat.
Untuk teknik ini jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 0.5 hingga 2 meter dari dasar potensi sambaran adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut pada karang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Teknik jigging perlahan merupakan teknik khusus untuk menggantikan teknik pancingan dasar bagi memburu ikan-ikan bersisik yang bersifat demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Jenak / Jenahak
Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika. Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
Boron / Tong gas
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Siakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Kaci
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Ibu Gelama
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Udang galah yang turut dipanggil dengan beberapa gelaran seperti udang galah, jerangkung atau sepit biru merupakan spesies udang besar yang sentiasa menjadi idaman penggemarnya. Memancing udang galah ini sebenarnya memerlukan ketelitian, kesabaran dan keseniannya yang tersendiri.
Biasanya udang galah lebih mudah dipancing dengan menggunakan sampan atau perahu disebabkan mudah untuk beralih tempat dan mencari lubuk. Malangnya tidak semua pemancing yang mampu memiliki atau pun menyewa sampan.Pilihan yang ada hanyalah memancing dari tebing-tebing sungai, jeti-jeti kecil, pelantar, pontun dan jambatan yang merentangi sungai.
Bagi pancingan tebing, jeti atau jambatan ini beberapa perkara perlu difahami iaitu pengaruh perubahan suhu dan air kepada udang galah; umpan-umpan yang menjadi kegemaran udang di lokasi tersebut; jenis perambut yang terbaik untuk diguna pakai; dan lokasi dan bentuk aliran air yang disukai udang galah.
Harus difahami bahawa udang galah bergerak dalam kumpulan dan adalah jenis haiwan akuatik yang tidak berhenti makan, mereka adalah spesies yang pelahap. Mereka makan tanpa mengira waktu atau keadaan air. Cuma yang perlu kita ketahui ialah bila dan di mana kumpulan udang galah ini galak dan rakus memakan umpan.
Pengaruh dan perubahan suhu dan air memainkan peranan yang paling penting kepada kerakusan udang galah memakan umpan. Suhu air yang sejuk akan membuatkan udang galah tidak galak memakan umpan. Keadaan ini akan membuatkan udang galah lebih suka berpindah ke tempat-tempat yang lebih panas suhu airnya.
Udang galah lebih galak memakan umpan pada ketika air beralih surut sehinggalah air surut sepenuhnya. Pada ketika air pasang penuh udang galah sukar dipancing kerana ia lebih suka memburu di bawah timbunan kayu dan akar-akar nipah di kawasan bertebing.
Pada ketika air mulai surut udang galah akan keluar memburu di kawasan pertengahan sungai. Musim terbaik untuk memburu udang galah ialah pada ketika musim panas atau permulaan kemarau. Udang galah juga menjadi galak jika cuaca panas selepas dua atau tiga hari hujan turun. Masa terbaik pula ialah ketika awal pagi hingga sebelum tengah hari, lewat petang hingga ke awal malam.
Jika anda ingin menguji kecekapan mengendalikan peralatan sederhana (aksi ringan dan sederhana) dengan kekuatan maksimun 15 Ib, cubalah memancing ikan berkuasa torpedo ini.
Henjutan dan rembatan yang dibuat ke atas set pancing membuatkan otot-otot lengan ‘kejang’ seketika menahan asakan ikan yang cukup padu .
Bertarung dengan spesies pelagik berlainan dengan bukan demersal kerana spesies pelagik mampu memberi tentangan di permukaan.
Kadang-kadang ia turut melakukan aksi akrobatik ke udara. Bertarung dengan ikan berbadan tegap dan sasa, anda perlu sabar melayan kehendak dan arah renangan ikan.
Berikan sedikit tekanan dan henjut pada kekuatan satu pertiga daripada kekuatan tali yang digunakan.
Ikan tongkol cepat letih walaupun kuat pada permulaan dan biasanya kurang dari 10 minit ia mula mengikut arah tali masuk ke gelendung kekili.
Masa itu anda tidak perlu gopoh memujuknya ke arah bot, layan dengan sabar sehingga ia benar-benar keletihan ke sisi bot.
Perambut sepanjang pangkal lengan (2-3 kaki) dengan kekuatan 30Ib hingga 50lb disyorkan.
Jangan terlalu panjang perambut kerana ia menyukarkan anda membuat balingan kekawasan ikan bermain.
Tidak perlu dawai, tanduk, ladung maupun pemberat. Ikat mata kail bersaing 1/0, 2/0, 3/0, 4/0 hingga 5/0 samada jenis mata kail octopus (untuk umpan hidup) dan mata kail o’shounessey (umpan mati).
Umpan mengikut susunan bilis segar, anak tamban, selar , kembung, selayang dan tamban baru. Saiz ikan umpan itu jangan terlalu besar, paling baik 1 hingga 2 jari dewasa.
Tidak kisah sama ada umpan hidup mahu pun mati dengan syarat ia segar.
Teknik Pancingan Bot berlabuh
Cucukkan mata kail pada umpan anak ikan di bawah perut, atas lateral line, pangkal ekor atau mulut sekiranya menggunakan umpan hidup.
Jika menggunakan umpan ikan segar, cangkukkandalam mulut, mata dan dekat insang.
Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai.
Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah’ untuk mengundang kehadiran tongkol dekat dengan lokasi bot.
Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan yang dikenal pasti adanya kumpulan tongkol sedang bermain.
Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dilabuhkan (hanyut) hendaklah sesekali dihenjut perlahanuntuk menarik perhatian mangsa.
Jika mampu membuat balingan (bait casting), pastikan lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan.
Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).
Hanyutkan umpan pada kedalaman 10 meter bawah permukaan hingga ke permukaan air. Lihat kesannya samada umpan dirembat di bawah permukaan atau di pertengahan air.
Teknik pancingan bot bergerak
Teknik ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi seekor setiap kali dinaikkan. Ia dipanggil menunda atau mengolok aya istilah Pantai Timur.
Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.
Aya juga boleh dipancing dengan teknik moden iaitu mengilat dan jigging. Untuk mengetahui gewang atau jig yang sesuai bolehlah bertanya secara terus kepada tekong kerana tekong lebih mengetahui dan berpengalaman berbanding pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...