Sesetengah pemancing memilih untuk tidak menyampan (memancing di atas sampan) atas faktor keselamatan. Mereka takut berhadapan dengan bahaya lemas atau sebagainya jika berlaku sesuatu insiden.
Namun korang tidak perlu jadikannya satu fobia sehingga hilang salah satu nikmat memancing. Tips berikut kami sediakan bagi menjamin keselamatan korang sepanjang memancing menggunakan sampan atau bot.
Wajib Pakai Jaket keselamatan
Sama ada handal berenang atau tidak, selesa atau tidak, jaket keselamatan adalah wajib untuk dipakai. Tiada alasan untuk tidak memakai jaket keselamatan kerana ia bukan sahaja alat bantuan jatuh ke air dalam, malah juga pelindung keselamatan juga dari cuaca sejuk.
Kapasiti muatan dan alatan
Pastikan muatan sepadan dengan kapasiti sampan tersebut sehingga mengalahkan bot pendatang haram. Bawa alatan keperluan memancing sepadan dengan sesi pancingan. Tak perlu dibawa semua barangan pancing yang korang ada di rumah.
Ads
Jangan Lupa Pendayung
Pastikan pendayung ada dibawa bersama kerana sukar untuk diduga prestasi enjin bot. Walaupun enjin berkeadaan tip top sekali pun tetap pendayung wajib ada. Pastikan sebelum memulakan perjalanan, anda periksa sampan tersebut ada pendayung atau tidak.
Ketahui Risiko Kecederaan
Sentiasa pantau kedudukan rakan di atas sampan sebelum membuat balingan bagi mengelakkan insiden tercangkuk mata kail pada kepala rakan. Walaupun perkara ini sering diulang pesan namun tetap juga insiden tercangkuk mata kail terus berlaku.
Ads
Pakai Pakaian sesuai
Pakaian memancing yang sesuai dan selesa juga penting bagi tujuan keselamatan dan keselesaan. Ada sesetengah pemancing yang begitu mementingkan konsep dan gaya dengan memakai jeans dan juga boot. Sedangkan ia boleh mengundang bahaya jika korang terjatuh ke dalam air.
Alat Panduan arah
Jika memancing di lombong atau tasik yang luas, sebaiknya guna gps bagi mengelakkan sesat sekiranya tidak mahir dengan selok-belok lokasi.
Ads
Jangan Parkir sembarangan
Sekiranya perlu parkir di bawah pokok bagi mengelakkan panas atau hujan lebat, pastikan betul-betul pokok tersebut tiada ular di atasnya. Selain ular, kera juga boleh menjadi ancaman atau mengundang musibah di luar jangka.
Tenang is good
Sentiasa bertenang ketika memancing dan jangan sesekali melompat kegembiraan apabila berjaya menaikkan ikan. Apatah lagi jika rakan memancing korang kurang berjaya seperti korang.
Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing.
Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi. Berapa besar jenahak yang pernah korang dapat dapat?
Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar.
jenahak air cetekjenahak air dalam
Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.
Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.
Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya.
Percaya atau tidak harga seekor jenahak (yang dipancing, bukan jenahak yang dijaring) sudah mencecah RM 60 sekilogram? Bayangkan jika berjaya memancing 10 ekor jenahak dengan purata 5 kg seekor…!
Tiada siapa pun yang ingin terlibat dengan kemalangan kepala air. Namun kemalangan kepala air ini boleh dielak dan ada beberapa panduan keselamatan jika terperangkap dengan bencana alam ini.
Cara mengesan jika dijangka akan berlaku kejadian:
➡ Sentiasa melihat ke arah hulu sungai atau puncak atau lembah pergunungan. Lihatlah pergerakan awan, jika mendung kemudian keputihan bermakna hujan telah turun.
Maka buatlah penilaian anda sendiri sama ada selamat atau tidak untuk terus memancing di sungai itu.
➡ Jika anda memancing di kawasan hulu sungai atau air terjun terutamanya musim hujan, lihatlah sekeliling kawasan dan cuba cari sebarang tanda yang menunjukan paras air yang melimpah di kawasan tersebut.
Selepas itu buatlah suatu tanda aras selamat. Sebagai contoh dengan menggunakan kayu atau batu sebagai penanda aras sama ada air naik atau tidak.
➡ Bunyi dentuman gerakan batu-batan, pokok kayu tumbang atau deruan air dari hulu sungai.
Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air).
Maka segeralah beredar dari sistem ke kawasan tinggi.
➡ Dengan melihat perubahan kepada warna air dan arus yang mengalir, jika air bertukar warna dari jernih menjadi keruh juga arus bertambah kuat lebih baik anda naik.
➡ Kadangkala air tidak menjadi terus keruh, tetapi perubahan kepada deras air akan berlaku. Jika anda merasakan tekanan kepada kaki, seperti tengelamnya ia di dasar sungai (akibat pasir )maka naiklah kedarat .
Apa patut buat jika ia berlaku kepada anda?
➡ Jika sedang berkhemah dan memancing, segeralah cari kawasan yang lebih selamat terutamanya kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari sungai. Kemas dan bawa barang-barang atau dokumen penting terlebih dahulu.
➡ Jika sedang trekking dan meranduk sungai secara berkumpulan, bantulah rakan yang berada di tengah-tengah untuk menyeberang secepat mungkin.
Jika ada yang baru menyeberang atau belum menyeberang maka berpatah balik dan carilah tempat selamat.
Segera berlari naik ke kawasan tinggi atau memanjat pokok besar yang difikirkan selamat.
➡ Sekiranya anda tidak bernasib baik terperangkap, berpautlah pada pokok, ranting atau apa saja yang boleh dijadikan apungan.
Dalam pada masa yang sama ikut sahaja arus itu dan cari peluang untuk berenang ke tepi. Jangan cuba melawan arus kecuali anda yakin mampu melawan arus untuk ke tebing.
➡ Andai kata ada mangsa yang terperangkap dan boleh diselamatkan, gunakanlah tali atau kayu untuk menolong meraka ke tempat selamat.
Jangan berenang untuk menolong kerana sangat merbahaya. Ini disebabkan jika kepala air berlaku, kebiasaannya ia akan membawa sekali kayu atau pokok yang tumbang batu dan pasir dan ini akan boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...