Saiz batu ladung boleh menentukan jarak balingan. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran.
Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.
Perambut
Perambut mulakan dengan 20 hingga 60lb bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan.
Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12lb amat sesuai.
Waktu sesuai
Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).
Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang.
Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh.
Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis mendatar (spinning) dan spool jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.
Pancingan mengunjun atau jigging merupakan teknik khusus sukan memancing bagi memburu ikan pelagik mahupun demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Kerapu Boron
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info Kerapu boron:
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Kakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info Kakap Merah:
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Temerih
Dalam skop jigging masa kini, temerih atau ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info Temerih
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama, temerih
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Spesies Merah
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Bagi enjin 2 lejang dan 4 lejang kedua-dua model ini perlu diselenggarakan mengikut jadual secara keseluruhan. Sebagaimana kita menjaga kenderaan darat, semua aspek perlu dilihat seperti wiring, plug, minyak enjin dan juga bahagian lain.
Major servis adalah perlu bagi memastikan enjin dalam keadaan baik kerana ia adalah nadi utama penggerak bot. Bagi enjin sangkut periksa minyak gear box dan tukar mengikut jadual.
Bahagian ini sering diabaikan kerana ia terletak di bahagian bawah enjin, namun penggunaan minyak enjin yang berkualiti mampu memberi ketahanan yang lebih lama kepada gigi gear untuk memusingkan proppler.
Bagi enjin 4 lejang minyak enjin perlu ditukar mengikut penggunaan mengikut kadar jam. Tidak seperti enjin 2 lejang yang menggunakan pelincir tambahan TCW yang hanya perlu menjaga minyak kotak gear.
Bahagian-bahagian lain yang perlu ditukar adalah plak dan kaburator perlu juga di servis bagi memastikan bahan bakar sampai ke piston dengan lancar. Untuk bahagian lain ia perlu diperiksa dengan teliti seperti kabel pemulas minyak, coil api, dan rubber impeller.
Bot
Tidak kira bot aluminium, fiber atau bot kayu semua jenis pembuatan ini akan menjadi usang dimakan usia. Untuk bot aluminium kelebihan aloi membolehkan ia tahan lama namun perlu diingat impak perlanggaran dengan tunggul kayu atau batu mampu merosakkan perut sampan.
Bot Aluminium juga perlu di selenggara dan diperiksa di bahagian penyambung lantai dan dinding. Kebiasaannya ia menggunakan gam silikon yang menahan air daripada masuk ke dalam bot.
Bagi bot fiber pula sebaiknya diangkat ke darat dan di periksa di bahagian bawah bot untuk membuang teritip ataupun benda asing yang melekat pada badan sampan. Periksa bahagian tulang pengikat enjin dan sila pastikan bahagian ini masih kukuh dan tiada rekahan.
Bagi bot kayu kebocoran perlu di tampal segera kerana bot kayu lebih cepat menyerap air dan lebih berat.
Ambil lah masa memeriksa enjin dan sampan anda agar sentiasa berada dalam keadaan baik agar semasa trip memancing masalah-masalah besar tidak berlaku. Harta boleh dicari tetapi nyawa tidak ada galang gantinya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...