(Oleh: Wannazir Wanosman)

Apabila hendak memancing trip laut dalam di sebelah Pantai Timur, Terengganulah yang terlintas di fikiran dan telah pun berulang kali dikunjungi.

Apabila ada ahli grup yang mencadangkan perairan Kuantan, agak ‘goyang’ juga untuk setuju.

 

Kuantan lebih dikenali di kalangan kaki light jigging. Perairan dari Cherating, Kempadang hingga ke Penor menjadi medan bagi jig-jig kecil memperdaya mangsa.

Tapi setelah di ‘racun’ dengan gambar-gambar daripada Whatsapp hasil pancingan yang telah lepas, kata sepakat telah sebulat suara bersetuju untuk komplot.

 

Kalendar memancing kami tahun ini berubah dengan tidak semena-mena dek silau kemerahan si ikan merah dan pantulan kilau kerapu minyak.

Apa salahnya kita mencuba dilapang sasar yang baru. Cerita merah bagak yang boleh melentur joran pancing ke tahap ‘minum air’ membuatkan kami bersedia dengan peralatan yang agak kasar khususnya tangsi perambut serta mata kail.

 

Jam 1.30 pagi konvoi kami mula bergerak dari KL. Berhenti rehat seketika di Hentian RnR Temerloh untuk membetulkan urat serta mengisi minyak.

Sekitar jam 4.00 pagi kami tiba di pangkalan Tanjung Lumpur lantas terus mencari wakaf untuk melelapkan mata buat seketika.

 

Usai berjemaah subuh di surau berhampiran, kami sempat ke pasar pagi di Tanjung Api mencari ikan serta sotong segar untuk stanby umpan.

Mana tahu kadang-kala apabila sampai di unjam, sesi apollo tidak mendapat sambutan. Bila malam pula candat yang dihulurkan dengan harapan ada sotong yang sudi. Itu pun kalau ada sotong.

 

Sebaik tiba di lokasi pertama, tekong membunyikan hon sebagai isyarat umpan sudah boleh  dilepaskan ke dasar.

Borhan yang duduk di bahagian hadapan bot mula-mula mendapat strike. Hujung joran yang melendut-lendut menyerap asakkan hingga mencecah air menandakan mangsa bersaiz kasar.

 

Kami yang menanti umpan dijamah ikan, memerhati sambil menunggu apakah hasil sulung trip ini yang bakal dinaikkan oleh Borhan.

IKLAN

Seekor kerapu minyak berjaya didaratkan ke lantai bot. Semakin berkobarlah semangat kami.

Selang beberapa minit sahaja, Khalim pula mendapat strike. Di sebelah kiri bot, kelihatan Rizal pula sedang bertarung.

 

Wah… meriah betul. Beberapa minit sahaja di lokasi pertama 3 ekor kerapu berjaya dipancing.

Saiznya pun boleh tahan besar. Sekitar 15 minit kemudian tekong membunyikan hon 2 kali agar pemancing menaikkan umpan dan bot terus membelah ombak untuk ke lokasi seterusnya.

 

Lepas dia… dia lagi!

 

Ini antara situasi yang saya kira pernah dialami semua pemancing. Tidak kiralah sama ada memancing di kolam, tasik, sungai atau laut.

Bila mana ‘mamat’ yang memancing bersebelahan kita, dengan peralatan pancing yang ala-kadar tak henti-henti menaikkan ikan, memang haru jadinya.

 

Kita yang ‘membangau’ untuk kesekian masa hanya menjeling ‘kepanasan’. Nak kata umpan tak power, tidak juga.

Dengan perambut yang sama, umpan yang sama tetap juga ‘orang sebelah’ yang pacak. Semakin kerap kita menukar umpan, semakin menjadi-jadi pula dia menaikkan ikan.

IKLAN

 

Bila terjadi suasana begini, apa yang dibuat serba tak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Rokoklah yang sering menjadi mangsa. Lepas sebatang,sebatang dicucuh walaupun belum sampai ke puting sudah dibuang. Jiwa kacau!

 

Ketika trip ini berlangsung, Khalim merupakan pemancing yang ‘hanyir’. Ikan merah terberat serta kerapu bersaiz besar, dia yang naikkan di samping ikan-ikan lain yang menghuni tongnya.

Bila bot singgah sahaja di mana-mana lokasi pasti jorannya bergegar dan kekili elektriknya menjerit nyaring.

Awak-awak sentiasa berada tidak jauh darinya untuk membantu.

 

Ini kali dia punya ‘ong’. Akan datang orang lain pula. Kadang-kala kita lupa yang kita sudah pun mengalami situasi lepas aku..aku, suatu ketika dahulu.

Atau mungkin belum pernah mengalaminya sehingga sekarang. Suatu ketika nanti pasti hari ‘menjadi’ menjelang tiba. Allah Maha Adil dalam pemberian rezekinya.

 

Turun bubu

 

Ini istimewanya bila memancing menggunakan bot Pok Li ni. Ini kerana botnya bot membawa bubu. Terdapat spot khas untuk diletakkan bubu telah di ‘setting’ dalam GPS.

IKLAN

Apabila hampir dengan kawasan tersebut, awak-awak akan menyiapkan bubu dengan meletakkan umpan ikan-ikan yang telah dicucuk serta batu pemberat diikat kemas di sisi bubu.

 

Pelampung putih pula diikat di hujung tali sebagai tanda untuk memudahkan pencarian bubu ketika mahu mengangkatnya nanti. Hasil bubu akan diserahkan kepada pemancing.

 

Tali lekat

 

Di pertengahan jalan tiba-tiba enjin bot mati. Beberapa kali cubaan menghidupkan enjin tidak berjaya. Tekong mengarahkan awak-awak menyelam untuk melihat kipas bot.

Memang betul kipas telah berbelit dengan tali. Setelah selesai membuang tali, enjin dihidupkan dan kami menyambung kembali perjalanan menuju kapal karam.

 

Antara spesies yang berjaya ditewaskan seperti ikan merah, kerapu, jemuduk, jebong, kaci serta beberapa ikan lain.

Cuaca juga cantik cuma pada malam kedua angin serta ribut kecil melanda. Bila bot dah bergoyang dan hujan yang mencurah, apa pun tak boleh.

Lebih baik masuk ke kabin dan baring. Langsung terlelap. Sedar-sedar ruang kabin dah ‘penuh’ dengan rakan-rakan yang lena.

 

Keadaan laut kembali tenang, saya merangkak keluar dan kelihatan di birai bot 2 orang rakan sedang bergasak dengan aruan tasik.

Trip kali ini kami hanya memancing di lubuk kapal karam yang hampir. Menurut Pok Li ada sebuah lagi kapal karam yang jauh tapi tidak dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa.

Jika tempoh trip lebih panjang pastinya kami akan melenjan penghuninya.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI