UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
SHARIMAN: Saya dari zaman budak-budak lagi sudah biasa ke laut. Sudah biasa menangkap ikan dengan pelbagai kaedah yang dibenarkan.
Laut dengan saya seperti sukar untuk dipisahkan. Sebelum menjadi tekong sepenuh masa, saya juga pernah bekerja di pelantar minyak.
Pada tahun 2008, saya mula menjadikan menjadi tekong secara sambilan pada hujung minggu.
Hanya pada 2013 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi tekong sepenuh masa sehinggalah ke hari ini.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
SHARIMAN: Sebagai anak nelayan, saya merasakan ia umpama satu kesinambungan yang lebih baik.
Ads
Minat yang mendalam terhadap laut membuatkan saya untuk berpisah dengannya. Selain itu, dengan menjadi tekong, saya dapat melaksanakan hobi nombor satu saya iaitu memancing.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong?
SHARIMAN: Menjadi seorang tekong bukan sekadar mampu memandu bot atau memiliki bot pancing sendiri.
Untuk menjadi seorang tekong yang baik anda haruslah memiliki pengalaman di laut. Dan untuk menjadi seorang tekong yang disayangi, anda haruslah mesra pada semua pelanggan.
Tiada istilah pilih kasih dan sentiasa memberikan servis yang tip top.
Ads
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
SHARIMAN: Tekong-tekong laut ini bertuankan laut dan alam. Jika keadaan cuaca yang tak menentu, maka pendapatan para tekong juga tidak menentu.
Tentu saja harapan para tekong sentiasa inginkan cuaca yang baik dan menemui spot baru agar bisnes dapat berkembang.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
SHARIMAN: Secara peribadi, pengalaman paling manis sebagai pemancing apabila berjaya menjinakkan jerung seberat 80kg.
Sementara pengalaman manis membawa pemancing ialah berjaya memecahkan tong (banyak tangkapan) dengan ikan merah.
Ads
Pengalaman pahit pula pernah kena ribut kuat seorang diri di laut ketika menggunakan bot 19 kaki Panjang dan pernah diekori oleh hantu laut hingga sampai ke rumah.
Pakej
Nama bot: Pdcornia boat charters
Saiz: 32’ X 8’
Enjin: 115hp twin Yamaha
Harga sewa: RM1200
Jumlah pemancing: 6 jiggers
Waktu memancing: 8 pagi – 6 petang
Lokasi memancing: Karang, kapal karam, laluan kapal dan sempadan Malaysia-Indonesia
Jeti: Admiral Marina, Port Dickson.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
ZAIDI: Dengan berlatar belakangkan anak peneroka sawit dan getah, sumber ekonomi hanya mengharapkan dari hasil Felda membuatkan saya mula mengikut ayah dari kecil seusia 5 tahun ke sungai untuk memancing.
Hasil memancing dijadikan sebagai juadah harian bagi kami sekeluarga. Dari kecil diasuh dengan paksa untuk menemani ayah ke sungai hinggalah timbul minat yang mendalam terhadap hobi ini.
Kegilaan memuncak sehingga meningkat dewasa. Dari tali air, parit, sungai, lombong, apa jua tempat yang berair… pasti terasa minat untuk menduga penghuninya.
UMPAN: Sejak bila terlibat dengan memancing udang galah?
ZAIDI: Setiap tahun apabila tiba musim daun getah gugur… petanda tibanya musim udang galah. Dari kecil lagi dah disogokkan dengan pelbagai ilmu dari ayah. Aktiviti wajib beliau dari muda sehingga diturunkan pada anak-anak.
Rompin adalah sungai wajib dari kecil untuk dikunjungi. Agaknya dulu kemudahan tiada untuk menyebarkan maklumat lokasi udang tengah bergasak jadi lebih tertumpu di Rompin. Berbeza dengan sekarang… info lebih cepat dengan FB dan group Whatsapp.
UMPAN: Apa yang membuatkan anda seronok memancing udang berbanding ikan?
ZAIDI: Bukan saiz yang menjadikan hobi memancing udang galah sangat seronok untuk dilakukan berbanding memancing ikan tapi gaya lenturan rod yang halus membuatkan jiwa dan perasan debar memuncak bersama.
Ditambah dengan kemahiran mencari lubuk sesuatu tempat menjadikan memancing udang galah ni sangat menyeronokkan. Cara untuk mendaratkan udang bila terasa dah ditarik satu kenikmatan yang sukar untuk digambarkan.
Bagi saya macam terapi diri untuk lari dari segala masalah dunia bila melayan henjutan yang seakan degil untuk dinaikkan.
UMPAN: Apa rintangan yang perlu dihadapi & apa pula harapan anda dalam meneruskan hobi ini?
ZAIDI: Rintangan dalam hobi memancing udang biasanya faktor cuaca. Hujan yang berterusan menjadikan sungai keruh dan air bertukar sejuk. Ini menyukarkan untuk mencari lubuk udang.
Musim monsun hujung tahun dengan hujan hampir setiap hari membataskan untuk turun ke sungai atas faktor keselamatan.
Harapan saya agar pihak berwajib seperti PERIKANAN dapat mengharamkan aktiviti belat, ambai, rawai di kawasan yang berpotensi mempunyai udang galah yang banyak untuk menjaga habitat udang membiak tanpa gangguan.
Memantau sungai yang sering dilaporkan saban tahun dituba, racun dan perlepasan air sisa kilang sehingga menyebabkan kepupusan spesies udang galah serta mencemarkan kualiti air.
Mewujudkan lebih banyak kawasan jeti untuk orang awam memancing udang selain jeti persendirian yang berbayar.
Mohon juga pihak berwajib sentiasa menjalankan program perlepasan benih anak udang galah secara berterusan untuk memastikan udang galah tidak pupus di Malaysia.
UMPAN: Ceritakan pengalaman paling manis & paling pahit pernah dihadapi ketika memancing udang?
ZAIDI: Pengalaman paling manis sepanjang terjebak memancing udang pastinya berjaya mendaratkan si sepit biru bersaiz jenggo dengan banyak.
Pengalaman paling pahit pula… kalau sebut pasal udang, mesti terbayang rakan karib beliau iaitu buaya. Pengalaman pertama kali menduga Sungai Kempas, Linggi bertemu puluhan ekor buaya seakan berada di zoo. Mujurlah tiada perkara buruk berlaku.
Setiap lubuk pasti dengan mudah akan terserempak dengan sang bedal. Dikejutkan dengan sekawan ‘orang kuat’ aka gajah semasa naik tidur di hutan simpan Kedaik, Rompin.
Hanyut di sungai Merchong kerana enjin bot gagal dihidupkan menjadi salah satu pengalaman pahit yang tak dapat dilupakan.
UMPAN: Apa pencapaian tertinggi yang pernah anda peroleh dalam memancing udang?
ZAIDI: Memancing udang ni hanyalah sekadar suka-suka. Lebih banyak memancing berseorangan… tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan atau berkumpulan. Sekadar melepaskan rasa gian dan menikmati rasa lenturan rod berseorangan.
UMPAN: Nyatakan lokasi utama memancing udang galah, umpan dan setting peralatan yang anda biasa gunakan?
ZAIDI: Dari kecil, Rompin menjadi destinasi wajib untuk menduga si sepit biru. Tahun demi tahun. Bila banyak berkawan… diperkenalkan dengan lebih banyak lagi tempat yang menjadi habitat udang galah seperti Mercong, Temerloh, Sungai Pekan, Sungai Muar, Kuala lipis, Sungai Labis, Sungai Linggi dan sekitar sungai di Teluk Intan.
Sekarang ni banyak lebih tertumpu sungai di Teluk Intan. Kemudahan yang lengkap dari Cikgu Shahril memudahkan pemancing apabila berkunjung ke sana. Hampir setiap minggu akan ke sana berseorangan… ada kala ditemani isteri dan anak.
Lain sungai lain umpannya… saya lebih gemar menggunakan anak udang dan ruat. Rod teleskopik 7’ dipadankan dengan kekili bersaiz 1000 amat sesuai untuk memancing udang. Kebiasaannya menggunakan mata kail bersaiz 2-3 dengan saiz batu hidup 5-6.
Apa pendapat anda? Kalau tak best, beritahu kami… kalau best, tolonglah SHARE.
UMPAN: Sejak bila memancing, mula menjadi organizer dan kenapa?
MAHFIZ: Pengalaman memancing seawal usia remaja 12 tahun dan secara serius bila berumur 20 tahun dan hinggalah sekarang. Detik bermulanya menjadi organizer berputik secara suka-suka organize trip memancing bersama rakan-rakan.
Bila sudah mendapat kepercayaan dari rakan-rakan karib yang selalu mengikuti trip memancing, serta dibantu oleh kawan-kawan karib aktiviti ini semakin berkembang. Cadangan dari rakan-rakan pemancing untuk menganjurkan pertandingan.
Dari hanya trip memancing suka-suka 2hari 1malam, 3hari 2malam hinggalah kepada acara pertandingan memancing yang sudah 4 kali dijalankan. Bermula dari sebuah kepada 2 buah tongkang dan dari 3 buah speedboat hinggalah kepada 20 buah speedboat.
Event yang telah dijalankan pada 2016; Lotte Chemical Challenge (kolam memancing), 2017; Ungkalz Angler Mega Jigging 2017 Mersing, 2018; Ungkalz Mega Jigging Buka Kuala Mersing 2018, Ungkalz Mega Jigging Tutup Kuala Teluk Buih Mersing, 2019; Ungkalz Mega Jigging Teluk Buih 2019 .
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi organizer?
MAHFIZ: Kriteria untuk menjadi organizer; jujur & amanah, bertanggungjawab dengan segala tindakan yang diambil, tegas kepada syarat-syarat dan peraturan pertandingan
yang dipersetujui, mesra dan berpengetahuan dalam sukan memancing, kepercayaan dari peserta amat penting serta bertoleransi.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?
MAHFIZ: Rintangan; faktor mendapatkan tajaan hadiah kerana bila mana setiap pertandingan perlukan sedikit tak kiralah apa jua bentuk hadiahnya serta menitikberatkan tiada unsur perjudian dalam setiap pertandingan.
Tidak banyak bot dan tekong yang sesuai untuk aktiviti memancing menggunakan teknik tertentu sebagai contoh teknik jigging kerana tidak banyak pengusaha speedboat yang membawa pemancing menggunakan teknik tersebut mungkin kerana faktor kurang berpengetahuan atau minat.
Faktor cuaca yang tidak menentu bila mana sesuatu pertandingan terpaksa ditunda. Keselamatan; kesedaran pemancing kena lebih bersikap safety first kerana bimbang
perkara tak diingini berlaku yang akan mencacatkan perjalanan pertandingan. Dan perlu sabar dengan sikap dan kerenah peserta.
Harapan sebagai organizer ialah dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih lancar bersama jawatankuasa kecil pertandingan kerana setiap peserta perlu bersikap profersional terhadap setiap bentuk penganjuran.
Ini kerana kami tidak dibayar gaji untuk menjalankan tugas ini tapi kami hanyalah membantu mengembangkan lagi hobi yang kita sama-sama cintai.
UMPAN: Ceritakan pengalaman yang pahit & manis dalam event yang anda lakukan?
MAHFIZ: Pengalaman pahit, bila mana bot rosak pada masa pertandingan dan ada peserta yang hampir jatuh ke laut kerana tidak menitik beratkan faktor keselamatan. Manis; bila
mana semua peserta pulang dengan selamat bersama tangkapan yang baik serta dapat menamatkan event dengan jayanya.
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk menjadi organizer yang berjaya?
MAHFIZ: Tip untuk menjadi organizer yang berjaya; perlu banyak bersabar dan ikhlas dengan apa sahaja dilakukan tanpa mengaharapkan balasan.
Jujur dan amanah dengan tanggungjawab yang dipikul. Bersifat terbuka dan toleransi bila mengadapi segala bentuk rintangan.
Hormat menghormati di antara para peserta, pengusaha dan tekong bot. Perlu ada sifat kepimpinan agar semua acara dapat diselesaikan dengan jayanya.
Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.
Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).
Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.
“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.
“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.
Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.
“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.
Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.
“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.
URUSKAN TRIP SENDIRI
Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.
Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.
Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.
“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.
“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.
Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.
Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.
“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.
Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.
Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.
“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...