Memancing bukanlah satu ibadah namun ia bukanlah satu pekerjaan yang sia-sia. Malah dengan memancing juga kita boleh memperoleh berkah sekiranya melakukannya dengan cara yang betul.
Jangan lupa membaca Bismillah dan selawat ke atas nabi sebelum baling umpan atau memulakan aktiviti memancing.
Jangan terlalu bising semasa memancing umpama keadaan di temasya. Hormati persekitaran serta pemancing yang lain.
Jangan hebah-hebahkan kalau anda hendak pergi memancing, cukuplah sekadar memberitahu kepada rakan rapat dan ahli keluarga terdekat.
Ads
Jangan membangga diri dengan hasil tangkapan sebaliknya bersyukurlah kerana mungkin ada rakan yang tidak bernasib baik seperti anda.
Jika memperoleh hasil yang sedikit atau ikan kecil, bersyukurlah kerana itu rezeki yang diberikan kepada kita.
Ads
Jangan lupa bersedekah dengan hasil yang kita dapat. InsyaAllah kita akan memperoleh rezeki yang lebih bagus apabila memancing lagi.
Ads
Hasil tangkapan yang didapat hendaklah dihormati sebagaimana makhluk bernyawa yang lain.
Jangan menzalimi haiwan. Walaupun ikan yang ditangkap bukanlah ikan sasaran, jangan sesekali menzaliminya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Niat memancing kerana untuk mencari rezeki. Dari situlah kita akan memperoleh keberkatan dalam memancing.
Jangan pergi memancing jika orang tua mahupun isteri tak merestui kerana restu sangat penting dalam memperolehi keberkatan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan toman sememangnya menjadi spesies trofi dalam sukan memancing. Boleh dikatakan spesies ini merupakan antara spesies pemangsa yang sangat kuat dan menduduki carta teratas andai diambil kira kekuatan dan keagresifannya.
Dalam aspek pancingan toman secara tradisional, teknik pancingan dasar dan pra permukaan sangat berpotensi dalam menjerat ikan ini. Umpan yang biasa digunakan ialah anak ikan hidup seperti lampam, anak sebarau, tilapia, seluang dan lain-lain lagi.
Namun, dalam penggunaan umpan hidup ini tidak dapat dinafikan ikan keli merupakan umpan yang efektif dan paling banyak digunakan. Ikan toman biasanya tidak akan melepaskan peluang membaham umpan hidup yang terkodek-kodek di hadapan matanya.
Selain umpan hidup, umpan ikan mati yang segar turut boleh digunakan dan tidak kurang efektif berbanding umpan hidup. Dikatakan, kepala ikan sebarau merupakan umpan boleh menimbulkan kemarahan toman untuk membahamnya. Selain itu, potongan belut yang memiliki darah yang banyak dan hanyir untuk berkesan untuk menjerat toman.
Selain pancingan dasar, spesies toman pastinya menjadi pilihan utama kaki mengilat atau pemancing yang gemar menggunakan umpan tiruan. Hal ini sudah pasti disebabkan oleh sikap agresif dan kerakusan toman membaham gewang.
Penggunaan gewang bagi memburu toman pula tidaklah terlalu cerewet kerana lazimnya toman akan membaham apa saja bentuk gewang yang menyerupai ikan yang berhampiran dengannya. Anda boleh menggunakan apa saja gewang permukaan, gewang selaman cetek dan selaman dalam, juga gewang sesudu.
Secara peribadi, penulis lebih gemar menggunakan gewang permukaan kerana ia lebih mendebarkan. Deburan dari hasil sambaran itu sahaja sudah cukup menghiburkan, apatah lagi setelah gewang diragut dan dihenjut ke dasar.
Kaedah memburu toman juga tidak sukar. Selain mencari dan menanti kemunculannya meneguk udara di permukaan air, toman juga boleh dikesan melalui kewujudan anak-anaknya. Apabila terjumpa anak-anak toman yang masih kemerahan, peluang untuk anda merasai strike amat tinggi.
Selagi ia belum pernah ditemui oleh pemancing lain, pasti akan ada induk yang mengawasi anak-anak tersebut.
Kedudukan induk penjaga pula lazimnya bergantung kepada saiz kumpulan anak-anaknya. Jika anak masih kecil dan kemerahan, lazimnya ia berada betul-betul di bawahnya. Maka balingan gewang haruslah tepat ke kawasan anak-anak tersebut.
Selaku ikan trofi, adalah wajar selepas pertarungan ikan toman dilepaskan kembali ke habitat asalnya. Apatah lagi jika toman tersebut adalah induk yang sedang mengawasi anak-anaknya. Begitu juga jika ia hanya toman bujang.
Sekiranya peluang untuk kesinambungan hidupnya lebih tinggi maka eloklah dilepaskan kembali. Namun, jika berhasrat untuk dijadikan hidangan, bawalah pulang dengan kadar yang sepatutnya sahaja. Amatlah rugi jika ikan kebanggaan para pemburunya ini ditangkap secara berlebihan.
Pancingan kolam air tawar merupakan konsep memancing yang sarat dengan terma dan syarat. Selain dari larangan terhadap penggunaan alatan memancing, larangan terhadap material yang terdapat dalam umpan memancing juga tidak terkecuali.
Namun, sebab musabab disebalik larangan yang ditetapkan oleh pihak pengusaha kolam tidaklah pula dinyatakan dengan jelas. Contohnya seperti larangan penggunaan bahan yang berasaskan minyak.
Antara nama umpan yang paling banyak menggunakan bahan minyak ialah umpan tepung (umpan minyak) dan ia dikatakan menjejaskan kualiti air kolam sekaligus boleh menyebabkan kesan yang negatif pada ikan.
Wacana kali ini, kami sediakan pendapat dan jawapan dari pemancing dan juga pengusaha kolam berkaitan dengan isu ini.
“Pandai-pandailah tauke kolam tu nanti. Kita masuk berbayar. Dengan duit-duit tu nanti dia rawatlah balik air tu. Yang penting umpan kena pacak sifu. Hahahaa…”
“Kalau sistem air kolam keluar masuk cantik tak ada masalah cuma ada sesetengah kolam air mati.”
“Pendapat kome… Semua jenis UMPAN tidak lari dari berasaskan kandungan MINYAK. Kalau nak bandingkan minyak dengan chemical, chemical lagi berbahaya untuk kolam dan ikan. Jadi pihak kolam hendaklah berfikiran terbuka pasal umpan ni. Cume jangan ada pengunaan usus ayam… nanti kawasan kolam busuk bau bangkai.”
“Ikan tak berapa sihat untuk jangka masa panjang kalau makan umpan ni… kurang nutrition berbanding pelet.”
“Yang pengusaha kolam kena bubuh garam dan taik ayam untuk jaga kualiti air. Jika tak tau minta khidmat nasihat dari jabatan perikanan. Bertahun kolam Undertaker Tehel pakai umpan minyak… sampai kolam tutup takde pulak ikan mati. Kolam Panchor pun sama… kolam Bukit Bulat… boleh jer guna umpan minyak.Tepung salah satu sumber protein tu pasal ikan patin makan umpan tepung.”
“Takda masalahlah… kalau inlet outlet air keluar masuk stabil.”
“Umpan minyak tidak menjejaskan air kolam sama sekali. Ini kerana, minyak dah dicampurkan bersama tepung. Tepung adalah 1 bahan yang bersifat menyerap. Minyak dah pun sebati dengan tepung. Ia akan kekal. Dan jika ada pun cuma minyak berlebihan saat umpan jatuh, itu pun dalam kuantiti yang amat sedikit. Kita contohkan, tepung ibarat span. Cuba ambil span dan serapkan pada minyak.
Perahkan sedikit (perah span sama efek dengan kepal tepong juga). Kemudian letak kat air… minyak dalam span tu dah tentu tak keluar semua. Cuma bahagian luaran sahaja yang keluarkan minyak, itu pun jumlah sedikit. Itu sahaja pendapat saya.”
“Tokey kolam goyang wooo…. asyik aling cak aling cak je. Jenuh pulak nak bayar duit ikan… hahaha. Bagi alasan jejas kualiti air, ikan kurus… padahal, maintenance kolam tak pernah jaga. Duit pemancing mau selalu.
Respek habis kat tokey kolam yang berani bagi pakai semua umpan kecuali organ dalaman yang tak diproses.”
“Ramai orang takut bila umpan minyak turun… alasan air kolam jadi kotor. Sebaliknya umpan minyak bagi banyak shoot Mekong den hari-hari turun umpan minyak. Setakat ni tak pernah lagi kena sound mana-mana kolam nama naik papan. Tak ada istilah bab minyak kolam jadi kotor.”
“Takdenya kualiti air terjejas. Kolam Bigboss Kundang… ikan membesar dengan sihat. Majoriti orang main tepung. Tokey tak larat nak membayar dia tukar peraturan pembayaran ikan pulak. Tapi takpe… tepung masih belum diharamkan di kolam tu. Hati pemancing kena jaga… barulah duit masuk jeeee…. kikikiki.”
Kisah ini diceritakan oleh seorang rakan yang sememangnya seorang kaki pancing tegar. Ia sudah lama berlaku di negeri Selangor. Begini ceritanya…
Tengah hari yang cerah, cuaca yang baik untuk pergi ke Lubuk Tobat. Matnoor dan Bob menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas. Di Lubuk Tobat memang terkenal dengan ikan tengas yang besar sehingga mencecah lebih 3kg.
Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut. Pada jam 2 petang mereka tiba di Lubuk Tobat dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.
“Letak je dah lekat ikan tengas,” kata Matnoor pada Bob dengan senyum melebar. Memang lapar betul ikan tengas di sini. Matnoor dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.
Tidak lama kemudian ikan semakin kurang menyambar umpan. Bob mula naik mencari port yang lebih sesuai lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Matnoor. Biarlah Matnoor seorang diri terus melayan di lubuk tersebut.
Tidak sampai setengah jam, Matnoor melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Matnoor. Sebaik sahaja sampai di tepi Matnoor, Bob menepuk bahu Matnoor sambil bersuara cemas.
“Mat… jom blah!”
Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Matnoor melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.
Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah. Dalam serba kepayahan dan mendebarkan mereka berjaya juga keluar dari kawasan tersebut.
Sehingga ke hari ini, Bob dan Matnoor masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Tobat, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba. Memang sukar untuk diterima oleh akal. Mujur tak disesatkan atau hilang begitu saja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...