Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuklah negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga.
Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
IKLAN
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu.
Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster.
Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di atas Baby Tuna.
IKLAN
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar.
Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackarel atau pun tenggiri.
IKLAN
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri.
Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Trip memancing ke perairan Beting Patinggi Ali atau Lucornia di Sarawak ini lebih menjurus kepada menyasarkan ikan kertang dan ruby snapper melalui teknik pancingan dasar, maka peralatan bottom yang diberi keutamaan. Peralatan jigging sekadar untuk ringan saja yang dibawa dengan beberapa ketul jig ringan.
Dalam perjalanan ke lubuk seterusnya pada malam kedua, tekong singgah sebentar di suatu kawasan untuk membolehkan kami berjigging. Namun tujuan sebenar adalah untuk menambah stok umpan segar terutamanya ikan-ikan aya atau tongkol.
Melakukan teknik fast jigging pada kedalaman 80 hingga 100 meter di perairan berkedalaman sehingga 200 meter, dengan menggunakan jig seberat 60 hingga 100 gm, semata-mata untuk mencari ikan umpan memerlukan motivasi yang tinggi.
Tidak sampai sepuluh pusingan berjigging bagai nak tercabut lengan, saya mengangkat bendera putih. Memandangkan ada di antara ahli trip yang tidak memiliki peralatan jigging maka saya beri peluang kepada mereka pula.
Saya mengambil keputusan untuk membersihkan tubuh dan berehat di dalam kabin. Dapat melelapkan mata buat seketika pun bagus juga.
Belum pun sempat melelapkan mata, kedengaran kekecohan mereka strike ikan dan kedengaran nama saya diseru keluar. Sejurus keluar, kelihatan beberapa ekor ikan aya bergelimpangan di atas dek dan beberapa ahli trip sedang rancak berjigging dan mengepam joran. Apabila melihat ada ahli trip berjaya mendaratkan aya sirip kuning, saya segera mengambil kamera untuk merakam foto.
Dalam pada merakam foto itu berdetik juga dalam hati rasa kesal kerana terlalu cepat menyerah kalah. Tambah geram bila melihat aya sirip kuning itu dinaikkan oleh rakan yang menggunakan set pancing saya. Walaupun masih bersaiz juvenil, ia tetap bergelar aya sirip kuning yang mana saya sendiri pun belum peroleh lesen!
Selain aya sirip kuning tunggal, aya-aya lain yang didaratkan ialah aya kurip dan satu lagi spesies aya yang belum pernah juga saya daratkan iaitu aya budak atau dogtooth tuna. Saiznya tidaklah besar sekitar 1-2 kg saja, tapi di Semenanjung mana nak jumpa aya spesies itu. Dan ia begitu mudah pula diperoleh sehingga ada ahli trip yang berjaya mendaratkan dua ekor aya budak pada satu jig.
Mungkin memahami perasaan saya ketika itu, selepas mendaratkan seekor lagi aya budak juvenil, rakan yang menggunakan set pancing saya itu menyerahkan kembali set pancing itu kepada saya. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berlengah lagi saya terus menyambutnya dengan senyum lebar.
Bila ikan dah banyak, tak perlu berpenat lelah mengunjun joran pun boleh dapat ikan. Sejurus jig memasuki kedalaman 70-80 meter, terus ada pemangsa yang menyambar. Harapan saya tentu saja aya sirip kuning yang mengena. Tetapi yang berjaya didaratkan ternyata aya budak juvenil. Tak mengapalah… sekurang-kurangnya sudah ada lesen.
Selepas 3 ekor aya budak juvenil berjaya saya naikkan, gerombolan aya tersebut mula menghilang. Tidak pasti pula sama ada bot hanyut keluar dari lubuk atau gerombolan ikan yang beredar ke kawasan, suasana kembali sebagaimana waktu awalan saya berjigging tadi.
Menyedari keadaan itu, tekong mengambil keputusan untuk bergerak ke lubuk kertang dan ruby snapper dan kami pula bergerak ke kabin untuk melelapkan mata buat seketika. Dan saya pula masih tidak dapat melelapkan mata kerana terlepas peluang untuk memperoleh lesen aya sirip kuning.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Desakan naluri yang inginkan suntikan suasana aman serta kesegaran udara pergunungan bersulam hamparan air tasik saujana mata memandang, menjadi desakan kuat untuk penulis mengunjungi Tasik Bakun untuk kesekian kalinya.
Tetapi misi kali ini lebih kepada fasa terapi penyembuhan selepas kejadian hitam, terbabit dengan kemalangan lebih setahun lepas yang menyebabkan penulis berehat panjang daripada sebarang aktiviti luar termasuklah memancing.
Trip kali ini disertai oleh beberapa kenalan rapat dalam Mukah Anglers Group yang terdiri daripada penulis sendiri, Effie Bareng, Osman Lu, Dominic Lee serta Awangku Khalid termasuklah saudara Richard Kinn yang tak putus putus memberi perangsang.
Setibanya di Bintulu, kami mengambil kesempatan untuk bersarapan seawal jam 4.30 pagi sambil menunggu Richard Kinn untuk turut serta.
Seterusnya perjalanan diteruskan lagi dengan tambahan sebuah lagi kenderaan 4×4 menuju ke Pekan Sungai Asap untuk menjemput seorang lagi tekong serta kelengkapan yang lain.
Hujan Dan Hujan Lagi
Hujan seperti mengalu-alukan kehadiran kami ke Tasik Bakun. Sepanjang perjalanan kami dari Pekan Kecil Sungai Asap ditemani simbahan air hujan membuatkan pergerakan
kenderaan perlahan dek kerana jalan yang curam bertambah licin dengan genangan air hujan.
Sesampai sahaja kami di jeti utama, kami tidak terus memunggah barang kerana hujan lebat masih lagi mencurah curah.
Hanya setelah beberapa ketika setelah hujan reda, kami tanpa berlengah terus memunggah kesemua barang ke dalam dua buah bot yang telah sedia.
Berbanding dengan lawatan penulis pada trip yang lepas, paras air Tasik Bakun jauh lebih tinggi pada trip kali ini.
Sesi Pemanas Badan
Perjalanan menggunakan 2 buah bot berkuasa kuda masing masing 30hp dan 15hp kami teruskan lagi untuk kira kira 1 jam lebih yang banyak dibantu oleh cuaca yang baik serta keadaan tasik yang tidak beralun.
Sesampai kami di boathouse, Richard Kinn terus menyediakan sarapan sambil kami menyiapkan senjata tempur masing-masing.
Sebaik selesai menjamu selera sebagai tambahan tenaga untuk bertempur dengan serigala pergunungan kelak, kami terus memecut dengan 2 buah bot ke spot yang telah dikenalpasti oleh tekong.
Hari pertama sesi mengilat kami dimulakan agak lewat sedikit kerana cuaca di sebelah pagi yang tidak mengizinkan. Namun setelah cuaca kembali cerah, aktiviti kami kembali lancar.
Penulis bersama Effie Bareng dan Awangku Khalid menaiki bot yang dikendalikan oleh Richard Kinn manakala Osman Lu dan Dominic Lee memecut dengan sebuah lagi boat yang dikendalikan oleh rakan Richard Kinn.
Kami telah mencuba dibeberapa suak serta kuala sungai sungai kecil yang berpotensi. Agak sunyi juga kerana kurang sambutan daripada sang ikan sasaran.
Sehinggalah kami tiba di sebuah lubuk kuala sebuah sungai kecil yang dipenuhi dengan bangkar kayu di dasarnya.
Suasana sunyi tiba-tiba bertukar ceria apabila Richard Kinn mendapat satu sambaran kasar dari sang pemangsa.
Setelah adegan tarik menarik antara kudrat manusia dengan sang ikan, akhirnya seekor sebarau gemuk memunculkan diri.
Kami serentak bagai mendapat tonik baru bagi memburu kawanan sang badong di situ. Namun setelah beberapa ketika, sang badong yang diburu tetap enggan memunculkan diri.
Mungkin sudah bersembunyi di sebalik bangkar kayu setelah rakannya kami dapat sebentar tadi.
Kaloi si pengubat duka
Dalam keterujaan kami ingin mendapatkan si badong dengan balingan sesudu dan gewang replika ikan keluaran Storm Arashi Siries ke spot yang dirasakan berpotensi.
Secara tak sengaja bunyi jatuhan umpan yang kami gunakan telah menarik minat kaloi. Setelah diteliti, terdapat beberapa pasangan kaloi sedang berlegar legar di sekeliling bot.
Namun ianya enggan merampas umpan tiruan yang kami gunakan sehinggalah Richard Kinn mengeluarkan beberapa bentuk mata kail yang telah beliau sediakan khas untuk menjerat kaloi.
Roti yang kami bawa sebagai bekal menjadi umpan utama untuk kaloi. Seperti kebiasaannya, Richard Kinn menunjukkan cara yang betul untuk memujuk kaloi Tasik Bakun.
Selang beberapa ketika, Kaloi pertama berjaya didaratkan dengan kaedah pancingan berumpankan roti. Saiz kaloi di sini pun boleh tahan juga.
Setelah mengambil beberapa gambar, kaloi yang kami perolehi kami lepaskan semula ke habitatnya selaras dengan matlamat kami yang menjadikan amalan ‘Tangkap, Gambar dan Lepas’ dengan selamat bagi memastikan kelangsungan stok ikan dan kelestarian alam.
Kaloi terus menjadi buruan kami petang tersebut kerana begitu banyak ikan ini keluar dari sarangnya mendapatkan umpan yang kami hulurkan.
Adakalanya kaloi yang berjaya diperolehi lolos dengan memutuskan perambut yang disediakan.
Sehinggalah penulis menyarankan penggunaan setup ultra ringan untuk melayan lembut kaloi yang menjamah umpan.
Penggunaan setup ultra ringan ternyata lebih berbaloi dan mampu menyerap setiap larian sang kaloi.
Effie Bareng yang menggunakan setup joran 2-6lb berjaya mendaratkan lesen kaloi pertamanya di Tasik Bakun.
Kepuasan terpancar jelas di wajah apabila kaloi berada dalam pangkuannya.
Selepas berpuas hati melayan karenah kaloi di lubuk tersebut, kami seterusnya mencuba mengilat di beberapa spot yang seterusnya.
Cuma beberapa ekor sang sebarau bersaiz juvenil yang sudi menghiburkan kami. Sesi pemanas badan hari pertama akhirnya kami tamatkan setelah senja menjelma.
Setelah sampai di boat house kami mendapat berita bahawa Osman Lu serta Dominic Lee, telah mendapat beberapa sambaran sang monster sampaikan ada beberapa kes rabut berlaku.
Yang tak tahannya meskipun rabut monster, mereka masih berjaya mendaratkan beberapa ekor semah serta badong bersaiz layan dengan bermodalkan sesudu keluaran Tony Spoon.
Hari Kedua Pancingan
Cuaca baik umpama mengalu-alukan sesi pancingan kami untuk hari kedua trip kami. Setelah bersarapan pagi yang agak berat sebagai bekalan tenaga ekstra semasa pancingan kami kelak.
Bot yang dikemudikan oleh Richard Kinn diikuti sebuah bot lagi terus memecut ke beberapa lubuk yang agak jauh dari boat house kami.
Cubaan untuk menjerat sang badong dan empurau kami terus menemui jalan buntu apabila sesi awal pagi kami Cuma dihiburkan dengan layanan manja si sebarau juvenil.
Cuma setelah kami berpindah ke sebuah lubuk yang merupakan sebatang sungai kecil, barulah sang sebarau dua belang dengan saiz yang memberangsangkan memunculkan diri.
Sesudu terus menjadi taruhan utama kerana keadaan air yang jernih menjadikan sang ikan lebih culas.
Setelah berehat untuk memulihkan tenaga, kami sebulat suara untuk menyambung kembali sesi pancingan.
Kali ini Richard membawa kami ke beberapa buah lubuk sang badong yang sebelum ini banyak didaratkan beliau. Masing-masing begitu bersemangat dan teruja.
Cerita beliau ternyata menjadi kenyataan apabila balingan sesudu Siam Spoon ke sebuah reba kayu tenggelam yang sengaja dikarau rapat sehingga melanggar struktur reba tersebut telah mendapat sambaran yang amat kasar.
Meskipun drag kekili beliau telah dikunci seketat mungkin, namun sang kenangan, ia cepat-cepat kami bebaskan kembali.
Selepas tangkapan sang badong tersebut, kami ada juga mendaratkan beberapa ekor sebarau sebelum menamatkan sesi pancingan pada hari tersebut memandangkan cuaca
begitu cepat bertukar gelap dek kerana awan hitam yang membawa hujan semakin menghampiri kami.
Dalam perjalanan balik, kami terserempak dengan nelayan tempatan yang berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan baung mega dengan kaedah rawai berumpankan anak ikan. Ikan baung tersebut mencapai saiz 3-7kg!!!!.
Kesempatan tersebut kami ambil untuk merakam gambar kenang-kenangan almaklum, di tempat kami di Mukah, kawasan pesisir pantai tidak ada ikan baung yang bersaiz sebegini.
Kami sempat membeli seekor ikan baung skala 3.5kg bagi merasa keenakan isinya untuk hidangan malam kelak.
Perjalanan balik ke boat house kami menjadi amat mencabar apabila hujan lebat serta angin kencang menghambat dari segenap sudut.
Mujurlah Richard begitu arif dengan persekitaran Ulu Linau tersebut biarpun pandangan amat terbatas dek hujan lebat sehingga tak nampak langsung persekitaran ditambah lagi dengan cuaca yang sudah gelap.
Hari Terakhir
Pada hari ketiga yang merupakan hari terakhir pancingan kami, sedikit rombakan dibuat.
Penulis akan disertai oleh Dominic Lee dan Osman Lu sambil Richard Kin pula menjadi tekong. Manakala Effie Bareng serta Awangku Khalid menggunakan bot yang satu lagi.
Pencarian badong tetap menjadi agenda utama kami di sekitar Ulu Linau, Bakun ini. Kali ini kami dibawa oleh Richard ke sebuah lubuk yang agak dalam lagi gelap airnya.
Kebiasaannya ada empurau mengendap mangsa di sini menurut Richard. Setelah mencuba hampir satu jam, empurau mahupun badong yang dicari tak juga muncul.
Namun beberapa keputusan positif dapat dilakukan di lubuk tersebut terutamanya sang sebarau berjaya didaratkan menggunakan jig oleh Dominic Lee.
Di bot lain juga, hasil-hasilnya tidak mengecewakan. Beberapa hari kami di sini ternyata memberikan pengalaman manis terutama bila dapat beraksi di lapangan pancing yang masih mempunyai penghuni ini.
Kami amat bertekad untuk kembali lagi ke Ulu Linau, Bakun, bukan setakat untuk menjerat empurau mahupun badong sahaja, malah akan mencuba pancingan ikan baung monster yang banyak didaratkan oleh nelayan tempatan sebelum ini.
Terbayang di minda kami akan saiz yang sebesar paha orang dewasa tersebut menghenjut joran. Perghhhh… pasti akan terpancar kepuasan melayannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Syukur Alhamdulillah, trip percubaan bersama tekong baru yang dikenali melalui rakan telah selesai dengan jayanya.
Walaupun ikan merah yang menjadi target trip kali ini agak kurang tapi kami tetap bersyukur dengan limpah rezeki yang diperolehi pada trip kali ini.
Dengan jarak lubuk yang terletak begitu jauh dari jeti iaitu jarak sekitar 80-90 batu nautika yang memakan masa 16-20 jam menjadikan waktu memancing kami agak singkat iaitu 3 hari sahaja.
Sepanjang perjalanan ke lubuk, kami sempat melintasi dan menjamu mata melihat beberapa buah pelantar minyak di sekitar Terengganu.
Hari pertama hasil yang kami perolehi agak kurang kerana lubuk yang kami singgahi menjadi sarang bot pukat tunda Vietnam lalu-lalang.
Hanya 4 ekor ikan merah dan beberapa spesies lain seperti kerapu, aruan tasik dan ibu kerisi yang berjaya diperolehi dengan mengaplikasikan teknik memancing secara berhanyut di siang hari.
Pada sebelah malamnya tekong hanya melabuhkan bot di kawasan karang untuk memburu spesies ikan karang. Hasil hari pertama hanya setengah tong sahaja ikan pelbagai jenis kami perolehi.
Hari kedua
Hari pertama telah berlalu dan kami tidak berputus asa mencuba nasib hari kedua ini. Tanpa diduga, kami diserang segerombolan ikan cermin yang begitu banyak sekali.
Hampir seharian kami tidak putus-putus menerima asakan sang cermin. Mujurlah ke semua ahli komplot menggunakan kekili elektrik.
Kalau manual, mau ada yang lenguh tangan melayan. Boleh dikatakan lubuk kali ini sebagai “lubuk taruk makan taruk makan..”
Jatuh sahaja umpan di dasar pasti ikan cermin yang makan. Pakai 2 mata, dua-dua mata akan lekat ikan cermin ini.
Dari pagi sampai ke petang kami melayan ikan cermin sampai 1 tong 200L penuh dan 1 tong 400L hampir penuh dengan ikan ini sahaja.
Tekong beritahu kami, bulan lepas beliau dapat menaikkan hasil ikan cermin sebanyak ini dengan hasil jualan cecah RM17,000 hanya untuk 2 hari saja.
Memang lumayan! Tetapi harus diingat rezeki di lautan sukar diduga. Bukannya setiap masa hasil akan dapat seperti ini. Untungnya kami mendapat ‘jackport’ ikan cermin pada hari itu.
Setelah puas melayan ikan cermin, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertukar ke lubuk ikan merah yang sepatutnya menjadi target kami.
Untuk ke lubuk baru ini perjalanan memakan masa lebih kurang 2 jam dan oleh yang demikian kebanyakan daripada kami mengambil kesempatan untuk merehatkan badan bagi mengumpul tenaga keesokan harinya.
Hari ketiga
Hari ketiga pula, barulah hasil bot kami meriah dengan ikan-ikan gred A yang menjadi target trip kali ini seperti merah, kerapu, kerapu bara dan ibu kerisi.
Setiap lubuk yang kami singgah di hari ketiga ini mesti ada penghuninya. Tak menang tangan kami menaikkan spesis target yang semamangnya menjadi idaman.
Azli menjadi ‘champion’ trip kali ini apabila menaikkan ikan merah terberat trip kali ini iaitu seberat 8kg.
Di sini, tekong hanya singgah sekejap-sekejap sahaja di setiap lubuk. Apabila dapat sahaja seekor dua merah, terus beliau berpindah lubuk. Begitulah seterusnya.
Mungkin untuk menjaga lubuk ini agar ia tidak terus kosong agaknya. Rata-rata ahli komplot tersenyum puas apabila berhasil menaikkan spesies idaman. Hasil hari ketiga boleh dikatakan tong 200L penuh dengan hasil-hasil ikan gred A.
Menjelang petang, kami meminta tekong untuk singgah di pelantar terdekat untuk melayan ikan cupak. Walaubagaimanapun, di pelantar ini kami hanya dapat singgah sekejap sahaja memandangkan bekalan ais telah hampir habis.
Makanya, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti untuk mengelakkan ikan busuk.
Ribut Sewaktu bertolak balik kami terpaksa menempuh ribut barat laut yang agak kuat dengan ombak setinggi 3-4 meter.
Berderau jugak kami melihat keadaan laut yang bergelora pada waktu itu. Hanya disebabkan pengalaman tekong dan bot yang besar membuatkan kami rasa agak selamat.
Masing-masing hanya berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa agar dijauhi sebarang malapetaka.
Alhamdulillah, kami selamat tiba di jeti keesokan harinya. Kesimpulan dari trip ini boleh dikatakan hasilnya agak baik dan hampir pecah tong.
Servis oleh tekong juga boleh dikatakan memuaskan kami. Awak-awaknya yang rajin dan tekong yang berpengalaman dan ada banyak lubuk simpanan menjadikan trip kali ini sukses dengan jayanya.
Keadaan bot dengan keluasan 16 kaki lebar dan panjang 58 kaki juga amat bersih dan selesa untuk kami.
Selaku penganjur, penulis ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli komplot yang terlibat dalam menjayakan trip kali ini.
Kerjasama di antara ahli komplot amat baik sekali walaupun ada di antara mereka baru bersua muka. Bak kata pepatah “Muafakat Membawa Berkat”.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...