Kami masing-masing begitu teruja ketika sarapan apabila mendengarkan cerita bahawa tenggiri menjadi sejak minggu lepas.
Sebanyak tiga buah bot digunakan dalam trip kami dan penulis menaiki bot kedua bersama-sama Bang Cik, Fithry, Bahar, Pachai dan Zai Maxx.
Tiba di kawasan tuas, seperti biasa acara apollo bermula untuk mencari umpan hidup terutama selar dan kembung.
Namun kali ini spesies cencaru mendominasi hasil apollo melebihi selar dan kembung.
Saiznya pula memang besar dan cukup puas jika dilayan dengan jig mikro. Setelah umpan hidup diperoleh, masing-masing mula memasang teknik untuk memburu sang tenggiri.
Berbagai teknik digunakan selain teknik popular iaitu drift atau menghanyutkan umpan hidup menggunakan belon.
IKLAN
Penulis pula memilih teknik jigging dan jig cast sementara beberapa rakan lain ada yang menggunakan teknik casting gewang serta casting umpan kembung dan ikan temenung.
Beberapa ekor tenggiri berjaya dihenjut naik namun saiznya agak mengecewakan, kata orang masih juvenil lagi.
Tak lama kemudian, tekong bot iaitu Mat Bujai mendapat strike daripada seekor tenggiri yang agak besar.
Namun sayangnya perambut berjaya diputuskan oleh gigi sang tenggiri yang tajam biarpun sudah hampir dengan bot.
Kemudian giliran Bang Cik pula untuk kempunan setelah seekor tenggiri sekitar 6kg terlepas apabila tali terbelit pada kipas bot sebelum putus.
Selepas itu hanya tenggiri bersaiz 1kg-3kg sahaja yang dinaikkan. Spesies belitung nampaknya mendominasi trip tenggiri kami.
IKLAN
Ketika memancing, kami terserempak dengan kawanan paus dan layaran berhampiran tuas dan menurut tekong, kehadiran ikan paus dan layaran menyebabkan tenggiri takut untuk masuk ke tuas.
Sedang asyik bercerita hal ikan paus dan layaran, joran Mat Bujai dengan teknik drift belon tiba-tiba disentap oleh layaran.
Namun sayangnya hanya sempat melayan seketika apabila dengan pantas pemecut lautan itu membawa tali ke tiang tuas untuk diputuskan.
Menjelang petang angin semakin kuat dan air semakin berkucah lantas kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti.
Di jeti, rakan-rakan dari bot 1 dan 2 juga mengatakan tenggiri agak kurang berbanding minggu lepas namun mereka masih berjaya menaikkan tenggiri bersaiz 8 kg.
Setelah mandi dan bersiap, kami sempat dibawa oleh Bang Cik selaku chief trip ini untuk ‘pekena’ nasi kandar, menu wajib jika berkunjung ke sini.
Terima kasih juga kepada geng Micro Mega Caster dan Team Akula yang mengalu-alukan kunjungan kami serta melayan kami sepanjang trip naik bas ke tuas ini.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Empat orang pemancing menyusuri kuala sungai cetek memulakan coretan dan pengalaman rutin memancing di kawasan paloh kapal.
Dari pengkalan Sementa, Klang kami menuju ke arah matahari terbenam sebaik sahaja keluar dari muara pulau pintu gedung.
Sudah lumrah menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat kerana arus dan arah angin bertentangan.
Alun semakin reda apabila mula memasuki tengah selat yang sibuk dalam di kawasan laluan kapal dagang.
Menyedari kekurangan umpan yang kami bawa, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Klang merupakan persinggahan sementara untuk apollo anak ikan.
Bila musim sotong kurita sukar, apollo ikan adalah kemestian mencari umpan alternatif.
Bila dah lenguh tangan mengarau pancing dalam sesi mencari umpan, barulah perkataan `jom umpan dah cukup’, keluar dari mulut.
Sampan yang dinaiki milik Kapten Khairi mudah membelah alun menuju ke lubang yang kami jumpai dalam trip pertama sebelumnya.
Perjalanan memakan masa 20 minit pada kelajuan 26 knots dari arah koordinat boya merah. Kedudukannya agak selamat dari laluan utama kapal dagang.
Kali ini mengulangi episod sebelum ia diketahui oleh pemancing lain. Lumrahnya bila ada lubuk potensi ramai yang mengintai untuk diterjah saban minggu.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan membaca pergerakan arus, kemudian sampan akan digerakan di hadapan selari dengan kedudukan lubuk yang di tandakan.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki, kapal kontena dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Kapten Khairi memilih untuk berhanyut di sebelah atas lubang mengikuti arus yang ketika itu sedang surut. Beliau akan memberi signal apabila kami mula memasuki kawasan dasar berlopak tersebut. Perlahan atau cepat memasuki zon strike bergantung kepada halaju sampan berhanyut.
Yang penting ialah umpan dipastikan sentiasa berada hampir dengan dasar ketika berhanyut, jangan gantung ladung terlalu tinggi.
Ketika arus laju, ikan biasanya mendiami kawasan berlopak dan lubuk untuk berlindung daripada pergerakan arus.
Bayangkan jika mula berhanyut pada kedalaman 100 kaki kemudian masuk lopak ikan sedalam 160 kaki, pemancing yang leka tidak menyedari umpannya tergantung 60 kaki
dari dasar, sebab itu ada pemancing yang memperoleh GT, talang dan aruan tasik ketika berhanyut. Ada juga spesies ini menjamah umpan yang terseret pada dasar selat.
Dalam masa 20 minit umpan ikan yang diperoleh di boya merah semuanya laku kecuali anak ikan pelata sahaja yang masih bertahan berenang di dalam petak umpan.
Tiga jenis umpan yang kami gunakan hari itu, iaitu kurita oleh Sarjan Omar Dan Sarjan Leman, pelata hidup oleh Kapten Khairi dan penulis sendiri memilih menggunakan tamban apollo yang dah kaku.
Empat joran dilabuhkan ke dasar mengikut turutan agar tali pancing tidak bertindih antara satu dengan lain. Selesai proses menurunkan pancing kami semua dalam mood bersedia.
Sambil pada itu Kapten Khairi turut melepaskan umpan pelata hidup hanyut di belakang sampan.
Ketika berhanyut Kapten Khairi akan bertindak seperti kapten kapal terbang, sering memberitahu kedudukan dan kedalaman semasa supaya kami tidak terleka membiarkan umpan tergantung.
Bila semakin hampir dengan spot yang di tandakan, lebih kuat suara kapten memberitahu supaya bersiap sedia… dah nak terjah lubuk katanya.
Tabiat ikan berkait dengan hala tuju arus, ada masa ia makan ketika betul-betul masuk lubuk dalam, ada masa ia makan di tubir lubuk dan kadang kala ia makan sewaktu umpan mula melepasi lubuk.
Sukar juga untuk membaca perangai ikan di dasar. Tak kisah kat mana ia merembat umpan yang penting ialah tahu di kawasan mana ia berada.
Bila mula memasuki lubuk merah, kami masing-masing hulurkan tali berterusan sehingga ladung mencecah dasar. Sedetik ia mula menuruni lopak dari 100 kaki ke 150 kaki, terasa umpan penulis disergah ikan.
Biarkan saja seketika sambil terus memberi tali agar ikan terus terleka umpan di mulutnya. Terhenti hulur tali mula menegang kembali, serentak itu baru joran melentur.
Buka satu, tapi tiga serentak. Dua kali balas dan belum sempat karau tali sudah muntah keluar. Usaha memujuk ikan mengikut berhasil apabila merah pertama muncul di permukaan dan diikuti ikan merah kedua dan ketiga.
Melepasi lubuk pertama, kapten berpatah balik mengulangi laluan yang sama. Pusingan kedua pula kami mengena dua strike tapi ikan nampaknya lebih bernasib baik di mana perambut putus dan satu lagi terlucut. Pantang terlepas, ikan terus hilang ketika kami membuat pusingan ketiga.
Lama juga menanti strike berikutnya selepas hilang merah di lopak pertama. Kami terus berhanyut santai menanti umpan menerjah ke lopak-lopak berikutnya.
Semuanya sunyi, kemudian joran kapten berumpan pelata hidup hanyutkan mengena pula. Jadilah tiada bawah atas pula memberi kepuasan.
Kemudian kami beredar menuju satu lagi boya di tengah Paloh 3 mencari umpan hidup berikutan umpan hidup sudah kehabisan.
Yang tinggal hanyalah umpan kaku dan pudar kilauan sisiknya. Semasa berlabuh di boya sempat lagi kami memancing ikan talang menggunakan ikan anak selar yang kami apollo.
Puas juga melayan talang memandangkan umpan yang dilabuhkan di dasar tidak menerima sambutan.
Sebelah petang banyak masa kami habiskan menjajah lubuk-lubuk lama yang tiada penghuni. Kalau dah saban minggu dikunjungi tentu lubuk berkenaan sudah diangkut penghuninya oleh pemancing-pemancing yang bertali arus.
Cuma harapan ikan yang baru sahaja yang akan bertandang mendiami lubuk yang sepi. Persoalannya bila dan waktunya siapa pun tidak tahu.
Pelabuhan Klang, Sabtu, 26 Januari 2019, Bank Rakyat hari ini meraikan 200 peserta pertandingan Cabaran Joran Bank Rakyat 2019 anjuran Kelab Sukan Bank Rakyat (KEBARA).
Program tahunan yang diadakan untuk kali ke-13 ini diadakan di Kolam Memancing Sea Lion (Kolam 3A), Port Klang, Selangor yang menyaksikan penyertaan seramai 150 peserta
bagi merebut juara kategori keseluruhan, tangkapan high-grade, tangkapan terbanyak serta tangkapan terpantas.
Penganjuran pertandingan memancing ini bertujuan untuk memberi peluang untuk warga kerja bersantai dan beriadah di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.
Selain itu, buat pertama kali program ini dimeriahkan lagi dengan 25 penyertaan media Kuala Lumpur dan Selangor bagi kategori media.
Antara organisasi media yang menyertai program ini ialah Berita Harian, RTM, BERNAMA, TV Alhijrah, New Straits Times, Kosmo, Malaysia Gazette, Utusan Malaysia dan Sinar Harian (Majalah Umpan).
Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menghargai warga media yang sentiasa memberi sokongan kepada Bank Rakyat.
(Galeri)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pemancing di Malaysia amat beruntung kerana terdapat banyak spot-spot yang berpotensi dan menarik untuk menjalankan aktiviti pancingan khususnya air tawar.
Selain dari tasik-tasik empangan dan sungai-sungai utama serta taburan lombong-lombong yang terdapat di sekitar tanah air, pemancing kita turut mempunyai kecenderungan untuk melampiaskan gian bertarung dengan ikan idaman di kolam-kolam komersial.
Terdapat banyak kolam berbayar yang diwujudkan bagi menarik minat pemancing-pemancing untuk menduga nasib tidak kiralah sama ada kolam air masin mahu pun air tawar.
Kolam Alang Saleh
Kolam Memancing Alang Saleh yang terletak di Rantau, Negeri Sembilan adalah antara kolam air tawar yang menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Rantau adalah sebuah bandar kecil yang dihuni kira-kira 8000 orang penduduk.
Terletak di antara Seremban dan Port Dickson, Rantau dikelilingi oleh banyak bandar-bandar kecil seperti Kuala Sawah, Siliau, Kg. Sega, Linsum, dan Ayer Kuning, menjadikannya antara bandar utama di Negeri Sembilan.
Jarak pemanduan dari Kuala Lumpur juga tidak jauh hanya memakan masa lebih kurang 45 minit melalui lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan serta lebuh raya Kajang Seremban (LEKAS).
Secara umumnya, kolam ini mengenakan bayaran masuk serendah RM10 untuk 3 jam (boleh rujuk yuran terkini dengan pihak kolam) dan pemancing boleh memancing di kolam utama berhampiran dengan kaunter pembayaran.
Manakala sebuah lagi kolam di bahagian belakang dikhaskan bagi pancingan tangkap dan Lepas (C&R) dengan kadar bayaran RM20 untuk setiap pemancing tanpa sebarang had masa.
Kunjungan Ke Kolam CnR
Bagi sesetengah pemancing pasti akan berpersepsi ‘apa kelas main ikan asrama’. Ada juga yang beranggapan bahawa ikan kolam komersial tidak memberi tentangan yang diharapkan.
Namun, sekiranya kena dengan kolamnya pasti tanggapan anda akan berubah sama sekali. Salah satu kolam yang saya maksudkan tentulah di kolam Alang Saleh ini sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ikan-ikan di kolam ini memang kuat tentangannya.
Telah banyak kes tali utama meletup serta mata kail terkangkang kerana digasak penghuni di sini. Tidak kurang juga dengan kes-kes lost control akibat dibuli oleh gangster-gangster kolam air tawar ini.
Tetapi mengapa ikan-ikan di sini begitu kuat? Tidak dapat saya perjelaskan. Mungkin kerana kualiti airnya yang baik, ataupun kerana ikan-ikan di sini sememangnya bersaiz baik.
Spesies Target
Semasa kunjungan kami ke sini, kami menyasarkan untuk mengilat ikan pacu sebagai target utama kerana pada kunjungan beberapa rakan sebelumnya, pacu di sini begitu ramah meragut gewang dan saiznya begitu mengujakan.
Kami tiba seawal jam 8.00 pagi dan terus memulakan sesi mengilat. Pada pengamatan kami, banyak ikan yang aktif bermain di permukaan air pada waktu ini.
Balingan demi balingan dilakukan, pelbagai gewang telah dicuba namun tiada sebarang sambaran diperolehi selama hampir 2 jam. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menukar strategi.
Mujurlah saya ada membawa 3 buku roti putih yang pada asalnya untuk dijadikan alas perut kami namun bertukar menjadi ‘insurans untuk mendapatkan strike’.
Memandangkan kami tidak membawa sebarang peralatan untuk membottom dan ikan pula masih lagi terus aktif bermain di permukaan air, kami mengambil keputusan untuk mengapungkan roti dengan mengepalnya pada popper yang berperanan sebagai pelampung.
Perubahan taktik membuahkan hasil kerana kami berjaya mendapat sambaran demi sambaran. Patin yang banyak mendominasi tangkapan kami. Perlawanannya begitu menghiburkan dan mendebarkan.
Pacu yang menjadi sasaran juga dapat didaratkan dengan saiz yang begitu mengujakan. Kami berpuas hati kerana masing-masing dapat merasai tarikan padu penghuni kolam pada kunjungan kali ini.
Patuhi Etika Pemancing
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat menjalankan aktiviti yang sihat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh sambaran itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan setiap pemancing.
Hargailah lapangan pancingan kita tidak kiralah sama ada di kolam-kolam komersial mahu pun di lombong, tasik, sungai mahu pun muara dengan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata demi keselesaan bersama.
Sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati.
Tanamkan inisiatif bagi membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Di kolam seperti inilah amalan ‘tangkap dan lepas’ (C&R) dapat diterapkan pada diri setiap pemancing.
Facebook: http://facebook.com/kolampancingalangsaleh
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...