Berikut merupakan kompilasi kisah mistik yang berlaku kepada para pemancing yang dihidapi ketika memancing.
DITOLAK MASUK GAUNG
Pengalaman paling seram pada tahun 2015 kalau tak salah. Nak try pancing toman dengan baung dekat Empangan Talang, Kuala Pilah. Kami pergi tiga orang.
Semua semangat nak pergi. Macam-macam umpan kita orang bawak. Joran pun banyak kami bawak.
Lokasi sasaran terletak jauh ke dalam hutan. Tapi kami pergi naik motor. Rilek aje walaupun lampu motor den takdo.
Sebelum nak sampai empangan tu kena ikut laluan motor yang amat sempit. Sebelah kiri laluan tu pulak gaung.
So kami bertiga bergilirlah bawak motor lalu jalan tu. Keadaan gelap sikit sebab tau-tau sajalah suasana dalam hutan.
Dah nak senja pulak tu. Aku paling belakang… masa nak masuk lorong tu dah rasa macam sesuatu dah. Bulu tengkuk dah berdiri awal.
Kawan den yang dua orang tu macam takda akal bawak motor punya laju masa tu. Selepas tu den dengar bunyi riuh monyet. Memang pelik secara tiba-tiba monyet riuh.
Tatkala itulah den dapat rasa macam ada sesuatu tolak motor den dari tepi ke arah gaung. Den langsung tak boleh nak buat apa. Apa lagi, macam stuntman den jatuh dalam gaung tu…!
Ads
(Catatan pengalaman: Ahkmal Norshamudin)
JORAN DITARIK MASUK KOLAM
Kejadian berlaku di salah satu kolam kecil antara banyak kolam di padang golf Perangsang Templer Golf Club pada sekitar tahun 2000. Seperti biasa, padang golf akan tutup lebih kurang jam 12 malam selepas night golfing.
Saya masuk dalam padang golf dengan 2-3 biji kereta selepas meminta kebenaran daripada pengawal keselamatan.
Dalam padang golf tu, selepas dimatikan spot light, gelap gelita. Nasib baik ada jugak cahaya bintang. Kami bertujuh memancinglah.
Sekitar jam 3 pagi lebih kurang, tiba-tiba kami semua terhidu bau yang sangat busuk.
Tak tau bau apa, lain macam sangat rasanya, semakin lama semakin kuat baunya. Kami pun saling tengok muka masing-masing.
Ads
Semua macam deh kerut kening. Tahan bau pun ada, kerut kening rasa lain macam pun ya jugak. Ada kawan yang tarik pancing masuk dalam kereta dan yang lain buat tak reti mancing.
Tiba-tiba macam tak percaya joran kami satu per satu terjun dalam kolam tu. Tercengang kami semua campur berpeluh sebab rasa kali ni betul-betul lain macam.
Semua tak sempat capai joran, yang dah longgar drag pun terjun. Dalam 6 hingga7 terjun kolam dalam masa yang sama. Memang meremanglah bulu roma.
Kami semua terus cabut pancang besi, bungkus-bungkus apa yang patut, start kereta terus cabut.
Ada member yang mancing sama yang juga pekerja di golf club tu esok-esoknya demam menggigil… kikiki. Tak taulah apa bendanya dalam tu.
Ads
Lepas pada tu sampai sekarang tak nak lagi mancing malam kat sana. Saya punya rod Fenwick Duo 6’3″ dengan reel Daiwa BG kecik berkubur kat sana.
KENA SAKAT DI LOMBONG TINGGAL
Lokasi kejadian berlaku di lombong tinggal tepi jalan antara Bandar Tasik Selatan dan pekan Sg. Besi. Siapa ada perasan tempat tu?
Ada satu lombong besar dan satu lombong kecil. Sekarang mungkin dah buat pembangunan kawasan tu.
Grup aku ni tiga orang memang pantang jumpa spot mancing walaupun tempat tu kawasan larangan pasti kami redah.
Tapi nak start operasi mesti turun malam sebab boleh main redah.
Memang malam tu dah terasa tapi buat berani je. Member pulak buat hal nak kencing main tembak je. Nampak jelas lembaga putih tu berdiri belakang dia lepas buang hajat.
Apa lagi tak tunggu dengan dia sekali berterabur lari lintang pukang. Pancing entah ke mana selipar entah ke mana.
Dalam kereta diam seribu bahasa lidah kelu nak berkata. Nak ketawa pun ada bila ingat balik… tapi Tuhan je yang tahu macam mana kelajuan larian meredah semak samun waktu tu… haha.
(Catatan: Abd Halim)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Legenda Ikan Tapah ini adalah kepercayaan orang-orang terdahulu yang mana menyatakan bahawa keturunan Pak Kaduk tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkhianati secara sengaja atau tidak sengaja. Cerita atau mitos ini diceritakan daripada sumber mulut ke mulut.
Menurut cerita, cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang ikan tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun
Bermula Kisah
Pada zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.
Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan Raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayarannya lalu datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam).
Di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.
Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam lalu ular tersebut meletakkan telur tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur ayam tersebut dan dieramkan oleh ayam ternakannya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani.
Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk para pembesar istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Si Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam handalnya itu.
Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya.
Dan di pihak Sultan pula: Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri Perak jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama ia tidak menyabung ayam.
Lantas dengan penuh debarannya Pak Kadok menunggu hari penyabungan ayam bersama baginda Sultan, Pak Kadok sekali lagi telah melakukan perbuatan yang tidak masuk akal. Dengan sebab majlis penyabungan ayam tersebut dibuat di istana Sultan, Pak Kadok telah merasakan ia perlu menyiapkan diri dengan pakaian yang lebih baik ketika hari penyabungan berlangsung.
Pak Kadok sedar yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian baru kerana dia adalah orang yang miskin. Dia telah meminjam sedikit wang daripada isterinya untuk membeli kertas kajang yang besar. Lalu apabila pulang dari pasar, Pak Kadok telah memberikan kertas kajang yang baru dibeli olehnya itu kepada isterinya untuk dijahit sebagai baju melayu, seluar dan tengkolok. Isteri Pak Kadok begitu hairan dengan arahan suaminya itu namun ia tetap akur untuk menjahit. Tatkala, bermulanya hari penyabungan, Pak Kadok telah memakai baju kertas yang dijahit rapi oleh isterinya itu.
Kekalahan
Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Pak Kadok yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Pak Kadok pun bersorak sakan kerana ayamnya menang sehinggakan baju dan seluar kertasnya terkoyak rabak dan yang hanya tinggal Pak Kadok bertelanjang bulat.
Sultan dan para penonton telah mengetawa dan mengejek Pak Kadok atas keadaannya ketika itu. Dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan. Pak Kadok berasa amat malu dan terus pulang kerumahnya, lalu menceritakan perkara sebenar kepada isterinya. Isteri Pak Kadok pada mulanya berasa sangat marah dengan keadaan berbogelnya Pak Kadok itu, tetapi ia tetap meminta untuk Pak Kadok bersabar, bertenang dan meminta perlindungan dari Allah.
Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu menanam padi huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetapi ia tetap juga begitu.
Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Diberitakan oleh Hajah Halimah binti Abdullah (cucu kepada Ngah Jabor atau Imam Prang Jabar, pengasas Kampar) Pak Kaduk pada mulanya apabila ternampak ikan tapah itu tidaklah tahu bagaimana cara untuk menguruskannya (mungkin kerana terperanjat dan buntu) tetapi dengan tiba-tiba seekor Burung Kakaktua telah hinggap diatas dahan sebatang pokok yang meneduhi diri Pak Kaduk lalu berbunyi…
“Blah pruut… blah pruut….”
Perkataannya itu dianggap Pak Kaduk sebagai membelah perut ikan itu, lalu dengan segeranya Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.
Maka Pak Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…”
Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air.
Tebus
Pak Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.
Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut.
Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segalanya selesai, Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa.
Diantaranya Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis.
Pak Kaduk juga telah mengikat perjanjian dengan Sultan Perak pada waktu itu untuk tidak membenarkan dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya untuk membuat perkara larangan istana perak ataupun pantang larang DiRaja Perak misalnya membela kucing hitam, mempunyai buaian buluh dan sebagainya sepertimana yang termaktub dalam Adab Pantang Larang DiRaja Perak.
Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah
Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Pak Kaduk jika terkena bisa Ikan Tapah.
Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam.
Bila disebut raksasa atau monster, apa yang terbayang pada fikiran anda? Secara peribadi, saya masih sukar untuk percaya kewujudan raksasa.
Sedangkan naga pun susah nak terima kewujudan, apatah lagi monster di lautan dalam. Namun, disenaraikan juga antara raksasa lautan yang dikatakan pernah wujud jutaan tahun dahulu.
MOSASAURUS
Fosil Mosasaurus membuktikan saiznya boleh mencapai sehingga 50 kaki panjang. Ini menjadikan spesies ini antara spesies pemangsa yang terbesar pada zaman Cretaceous.
Kepala Mosasaurus kelihatan seakan buaya zaman moden dan dengan deretan gigi tajam yang kukuh, raksasa ini mampu membaham hampir kebanyakan mangsanya dengan mudah walaupun mangsa dilengkapi sistem cangkerang.
LIOPLEURODON
Liopleurodon menghuni lautan sekitar Eropah ketika zaman Jurassic dan merupakan antara pemangsa yang ganas. Raksasa lautan ini mampu mencapai lebih daripada 20 kaki panjang.
Rahangnya yang besar dengan barisan gigi yang tajam menjadikannya pemangsa yang ditakuti lantas membolehkannya menguasai rantaian makanan ketika itu.
TANYSTROPHEUS
Tanystropheus merupakan reptilia namun menghabiskan kebanyakan masa memburu di lautan marin bagi mencari mangsanya.
Raksasa reptilian ini mampu membesar sehingga 20 kaki dan menjadikan ikan sebagai diet utamanya. Spesies ini dipercayai wujud sekitar 215 juta tahun dahulu pada zaman Triassic.
THALATTOARCHON SAUROPHAGIS
Fosil raksasa lautan ini merupakan antara fosil yang paling baru ditemui. Saiznya sekitar 30 kaki panjang dan hampir menyamai sebuah saiz sebuah bas.
Dipercayai spesies ini hidup sejak 244 juta tahun dahulu. Saintis menganggarkan spesies ini hidup ketika selepas fasa kepupusan Permian iaitu fasa hampir kebanyakan hidupan laut mengalami kepupusan.
NOTHOSAURUS
Raksasa ini hanya sekitar 13 kaki panjang namun merupakan pemangsa yang agresif. Mulutnya dipenuhi dengan gigi tajam dan sering memburu ikan kecil dan sotong.
Nothosaurus dipercayai gemar menyerang hendap mangsanya. Fosil menunjukkan spesies ini hidup ketika zaman Triassic.
THALASSOMEDON
Thalassomedon merupakan spesies Pliosaur di mana namanya diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘Raja Laut’.
Pemangsa ini mampu mencecah sehingga 40 kaki. Sirip kiri dan kanannya sahaja sepanjang 7 kaki.
Raksasa ini merajai lautan sehingga zaman Cretaceous sebelum kewujudan pemangsa yang lebih ganas seperti Mosasaur.
TYLOSAURUS
Saiz Tylosaurus mencecah sehingga 50 kaki dan merupakan pemangsa yang sangat menggemari daging.
Kebanyakan hidupan yang lebih kecil daripadanya akan menjadi mangsanya. Raksasa prasejarah ini hidup ketika zaman Cretaceous dan menjadi raja di kawasan laut Amerika Utara.
Tylosaurus juga menghuni tangga atas bagi pyramid makanan waktu itu.
DAKOSAURUS
Penemuan pertama fosil Dakosaurus ialah di Jerman dan dikatakan antara pemangsa utama ketika zaman Jurassic.
Fosil lain yang ditemui menunjukkan spesies ini turut berlegar dari England ke Rusia sehingga ke Argentina.
Bentuknya seakan buaya zaman moden dan saiznya dikatakan mencecah 16 kaki. Bentuk giginya yang unik dipercayai menjadikan spesies ini antara pemangsa teratas ketika zamannya.
SHASTASAURUS
Shastasaurus merupakan pemangsa marin yang kelihatan seakan ikan lumba-lumba moden. Spesies ini menjangkau saiz yang begitu besar ketika zaman Triassic lebih 200 juta tahun dahulu.
Spesies ini merupakan varieti daripada Ichthyosaurs yang mampu membesar sehingga 65 kaki. Berenang di lautan sebagai pemangsa,raksasa besar ini menjadikan ikan lain sebagai diet utamanya.
MEGALODON
Salah satu daripada pemangsa marin terbesar sepanjang zaman dan jerung terbesar pernah direkodkan.
Megalodon menjadi raja ketika era Cenozoic iaitu sekitar 28 – 1.5 juta tahun dahulu. Saiznya lebih besar berbanding jerung putih moden, pemangsa marin terhebat masa kini.
Jika jerung putih sepanjang 20 kaki, Megalodon pula mencecah 65 kaki iaitu lebih panjang dan besar berbanding sebuah bas!
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...