Tahun 1995 hingga 1998 adalah tahun saya kemaruk dengan aktiviti memancing. Maklumlah waktu tu jadi guru banyak masa senggang. Waktu petang boleh buat macam macam aktiviti. Lebih-lebih kalau duduk di Saratok. Boleh mengail udang di pangkalan.

 

Waktu itu juga kawan-kawan Iban sering mengajak saya memukat di Alit. Pantai Alit yang agak landai memang menjadi lokasi memukat anak belanak atau disebut orang tempatan ikan kemura. Selain anak belanak kadang udang laut (lapis/tohey) juga mudah sangkut.

 

Saya masih teringat lagi saat air surut kami dah mula mencacak kayu atau buluh di pantai. Selepas jaring diikat pada kayu atau buluh tadi. Kami akan menunggu saat air pasang. Waktu itu kami tak hanya berdiam diri. Maka masing-masing mencapai joran dan melabuhkan kail dan ladung sambil menanti pari merenggut umpan.

 

“Woii! Dapat woiii!”  jerit Cikgu Zul bila jorannya direntap sesuatu. Sambil melayan kekili, Cikgu Zul menarik sedikit demi sedikit tali jorannya. Meskipun mula-mula ikan melawan tapi akhirnya tewas juga ditarik ke daratan. Ternyata bukan pari tapi sembilang.

 

Bila air mula pasang… saya, Cikgu Zul dan Cikgu Wan mula meninjau pukat. Banyak juga anak belanak sangkut dipukat. Cikgu Zul memang peminat ikan belanak.

“Ni kalau masak steam sedap ni, Zal.” kata Cikgu Zul.

 

IKLAN

Selesai memukat saya menyimpan pukat di dalam bonet Kancil. Masing-masing pulang ke rumah. Namun pada waktu malam ada ‘pelawat’ datang menjengah di rumah mertua tempat saya menginap.

 

Ia disedari oleh orang kampung yang nampak sebiji bebola api berlegar di atas kereta saya. Saya juga perasan bila terdengar bunyi kicauan murai dan tekukur di tengah malam agak riuh.

 

Saya pun turun ke bawah rumah. Kelihatan beberapa orang kampung datang membawa lampu suluh. (maklumlah waktu itu kampung Nyabor masih menggunakan generator).

“Ado antu laut dibah yo… tapi dah lari dikepong kamek orang.” Kata seorang jiran tidak jauh dari rumah.

 

IKLAN

Keesokan paginya 5 ekor bangkai tekukur peliharaan adik ipar mati dalam keadaan dadanya berlubang.

“Apa kitak polah ari marek cikgu?” Tanya seorang penduduk.

“Kamek memukat jak. Dapat ikan murak dan lapis. Pas ya kamek pulang,” jawab saya.

 

“Ni pukat tek?” Soal beliau kembali.

“Ado dalam bonet,” jawab saya.

“Sik dicuci?” tanya beliau lagi.

IKLAN

“Sik…” jawab saya pendek.

“Yasullah. Patutlah diagak antu kitak tok… (patutlah kamu di kejar hantu) rupanya pukat sik dicuci.”

“Manalah saya tahu…” jawab saya tersengih.

 

Saya membuka bonet. Terkejut sungguh bila pukat saya penuh dengan sampah, daun kering dan tulang ikan.

Saya dan penduduk kampung mengutip semua sisa yang terlekat dipukat dan dibawa semula ke pantai Alit untuk dibuang.

 

Sejak itu saya tak berani lagi kelaut. Rasa cuak bila dikejar penunggu laut. Bila gian nak mengail. Saya hanya mengail haruan di parit sahaja.

(Sumber: cikguemmet.com)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI