Kisah sebenar berlaku tahun 1994 di sawah padi Tanjung Karang. Ia berlaku ketika aku memancing ikan haruan dengan mengggunakan teknik kelau. Bagi yang tak tau teknik kelau ni, biar aku ceritakan sikit cara main teknik kelau.
Apa yang diperlukan ialah joran buluh sepanjang 15 kaki, line mono sepanjang 10kaki dan umpan katak. Memancing dari beting jalan. Umpan dilontar ke dalam parit dan tarik umpan di permukaan air. Memang teknik memancing haruan guna kelau macam ni.
Memancing pada waktu malam bulan agak gelap dalam samar-samar cahaya bulan, aku terdengar bunyi angin dan tiba-tiba rasa joran berat.
Semakin lama semakin berat. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Sebab kalau ikan haruan menyambar bukan macam tu rasanya.
Ads
Aku angkat joran, bunyi angin lepas tu joran jadi ringan. Aku check umpan tetapi masih tak terusik. Apasal joran boleh jadi berat dengan tiba-tiba?
Aku sambung hulur joran dalam parit dan bunyi angin kedengaran lagi lepas tu joran berat. Aku angkat joran buluh tu lagi, terdengar bunyi angin lepas tu joran ringan… memang pelik!
Ads
Aku mula terfikir yang bukan-bukan. Mungkin dia tak bagi mancing kat tempat dia tu kot. Tak apalah… aku angkat joran dan pindah tempat.
Tempat baru jarak dalam 100 meter. Aku hulur lagi joran… macam sebelumnya bunyi angin dan joran jadi berat. Ah sudah! Kena kacau aku malam ni.
Ads
Aku pun bersuara, “Saya nak mancing saja tak kacau siapa pun. Ikan dalam air cari rezeki untuk makan.” Dalam rasa menggigil tu tergerak jugak nak tengok apa makhluk yang duk kacau tu.
Sebelum tu aku tak suluh dengan lampu picit. Hulur umpan pun dalam samar-samar cahaya bulan. On lampu picit kat kepala terus suluh hujung joran.
Bersinar mata kat hujung joran. Terkejut sangat nasib baik tak sakit jantung. Rupanya burung hantu bertenggek kat hujung joran. Cantik je parking. Patut la berat joran…. haishhhhhhh!
Oleh: Rizal Nasri
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kami melontar umpan ke lubuk. Sambil menunggu umpan diragut umpan, kami memandang sekitar lubuk.
Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan pancing masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton. Harap-harap kali ini kami semua akan berhasil, InsyaAllah.
Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Hanya riak halus air yang kelihatan. Seolah-olah tiada ikan-ikan besar yang hidup di lubuk itu. Lubuk itu juga hanya tinggal kami, pemancing lain sudah pun balik apabila senja.
Sesudah beberapa kali juga mengganti umpan yang baru walaupun umpan sebelumnya bagaikan tidak disentuh langsung. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.
Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik.
Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing. Namun hasilnya tetap sama, tak ada hasil langsung.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?” bisik hati aku.
“Belum rezeki agaknya…” Aku terus berdialog sendirian.
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5meter dari tempat aku duduk.
Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.”
Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan. Bimbang juga aku nak menegur sesuatu yang kelihatan pelik.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan-lahan membentuk satu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.
Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbang-ngerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.
Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Lan! Lan oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur.
Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku.
Pakcikku terus memanggil-manggil namaku. Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya pandangan mata aku menjadi gelap. Aku pengsan.
Apabila aku kembali membuka mata, aku dapati sudah berada di rumah. Kelihatan ibuku berada di sebelahku.
“Mana pakcik?” spontan aku bersuara.
“Pakcik ada kat luar tu…” ibuku menjawab.
Aku rasakan badan aku begitu lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pak cikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya”. Pak cikku bersuara sambil tergelak kecil. Aku masih terpinga-pinga. Memori macam belum pulih sepenuhnya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus menggulung semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah trauma agaknya.
Tengah hari itu cuaca sangat cerah. Cuaca yang sangat baik untuk pergi memancing ke Lubuk Lakom, Air Kuning, Taiping. Mana-mana pemancing yang tinggal di Taiping pasti tau kelebihan yang ada di Lubuk Lakom. Termasuklah Mat dan Bob, dua orang pemancing tegar.
Mat dan Bob dari Team RL menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas. Di Lubuk Lakom memang terkenal dengan ikan yang besar sehingga mencecah lebih 1kg. Bukan senang nak jumpa ikan tengas lebih dari saiz 1kg. Kalau dapat saiz 500gm pun dah cukup bagus. Tapi itulah kelebihan Lubuk Lakom.
Untuk ke Lubuk Lakom tidak boleh menaiki kenderaan 4×4 apatah lagi kereta biasa. Naik motosikal pun tidak boleh terus ke lubuk. Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut.
Pada jam 2 petang Mat dan Bob tiba di Lubuk Lakom. Berikutan sedikit kepenatan, mereka merehatkan diri terlebih dahulu di tepi jeram sungai sambil-sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.
Mat terlebih dahulu melabuhkan umpan dan tidak sampai seminit umpan sudah pun disambar pemangsa.
“Letak je dah lekat ikan tengas…” kata Mat kepada Bob.
Memang lapar betul ikan tengas di situ. Mat dan Bob tidak perlu menunggu lama untuk umpan dimakan ikan. Mereka asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.
Apabila ikan tidak lagi rancak memakan umpan, Bob mula mencari port yang lebih sesuai dan meranduk naik ke port yang lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Mat. Bob tidak sesabar Mat. Mat tetap tenang dan sabar menanti di lubuk pertama. Dia yakin lubuk tersebut akan didatangi tengas yang lain pula.
Tidak sampai setengah jam, Mat melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arahnya.
Mat tak fikir apa-apa walaupun nampak sedikit perubahan air muka bob. Sebaik sahaja sampai di tepi Mat, Bob menepuk bahu Mat sambil bersuara keras.
“Mat… jom blah!”
Selepas ditepuk oleh Bob, secara tiba-tiba Mat melihat keadaan sekeliling sudah pun bertukar menjadi gelap gelita.
Mereka memang terkedu dan terkelu lidah melihat keadaan sekeliling. Pada jangkaan mereka, waktu itu masih petang sekitar jam 4.00 atau 5.00 petang, sedangkan jam di tangan menunjukkan pukul 10.00 malam!
Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah.
Dalam kesamaran cahaya, mereka mencari jalan pulang ke tempat tinggal motosikal. Debaran di dada tidak dapat digambarkan. Jantung berdegup kencang dan merasakan ada mata-mata yang tersembunyi sedang mengekori mereka pulang.
Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut mereka. Yang kedengaran hanya dengus nafas mereka. Perjalanan menuruni bukit yang sepatutnya memakan masa beberapa minit itu seperti berjam-jam lamanya. Syukurlah… mereka sampai ke motosikal tanpa sebarang petaka dan keluar dari Lubuk Lakom dengan selamat.
Sehingga ke hari ini, Bob dan Mat masih diselubungi misteri di Lubuk Lakom. Mereka tetap merasakan hanya sekejap saja berada di lubuk puaka itu tetapi hairan bagaimana secara tiba-tiba saja bertukar gelap. Semenjak itu juga mereka seperti hilang keberanian untuk kembali ke Lubuk Lakom lagi walaupun untuk beberapa minit.
Seawal umur 10 tahun lagi aku sudah mula memancing bersama rakan-rakan sebaya. Lokasi yang kami pilih biasanya sungai kecil di belakang rumah, terusan sawah atau lombong terbiar. Joran yang kami pakai biasanya buluh kecil yang panjang melentur atau pelepah sawit yang diraut kemas.
Ikan yang ditangkap juga merupakan spesies biasa bagi ikan sungai seperti sepat, haruan, keli, puyu atau sesekali apabila bernasib baik, dapatlah kami ikan belida atau udang sungai yang besarnya setakat 100 gram.
Namun itu semua sudah cukup menggembirakan kami, anak-anak kampung yang masih belum lagi pandai menonton televisyen atau bermain ‘games’ pada telefon bimbit yang pintar seperti budak zaman sekarang.
Kalau tidak memancing, kami akan memanjat pokok buah-buahan atau pergi melastik burung punai yang banyak ketika musim menuai tiba.
Aku masih lagi terkenang pada satu kejadian aneh yang berlaku ketika aku, Mie, Faizal dan Zamree pergi memancing di sebuah ‘bonda’ (panggilan pada terusan kecil yang mengalir ke sawah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah. Ia adalah dialek orang Minangkabau di kawasan Kuala Pilah).
Kami pergi memancing sebaik sahaja pulang dari kelas mengaji Tuan Haji Hamdan. Aku rasa waktunya dalam pukul 5.30 petang.
Berbekalkan umpan cacing yang dimasukkan ke dalam tin susu yang kami sediakan sebelum itu, kami meredah semak belukar untuk mencari port memancing yang sesuai. Kawasan itu memang sunyi. Hanya terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh melangit dengan akarnya yang terjuntai. Nun di kejauhan, terbentang sawah padi sedang menghijau.
Kalau diikutkan cerita nenek, kawasan di situ agak keras. Banyak peristiwa aneh dan misteri yang berlaku di situ terutamanya pada waktu senja dan tengah malam. Namun pada kami, budak-budak lasak dan nakal yang baru berusia sembilan tahun, hanya keseronokan yang di fikiran.
Apatah lagi apabila mengenangkan ikan keli masak lemak kuning yang dimasak kuahnya pekat-pekat atau ikan puyu gemuk goreng berlada. Itu semua menambahkan lagi semangat kami untuk meneruskan aktiviti memancing pada petang itu.
Memang rezeki kami agak murah pada petang itu. Selain port yang strategik, aku tidak tahu mengapa setiap kali kami melabuhkan joran batang buluh dengan berumpankan cacing tanah, ikan-ikan darat seperti keli, sepat dan haruan galak memakan umpan kami seolah-olah tidak memilih bulu.
Setiap 2,3 minit pasti kami akan menaikkan ikan yang agak besar. Ini membuatkan semangat kami tambah membara sehingga kami berempat seakan-akan berlumba untuk menaikkan ikan terbanyak.
Dalam keasyikan memancing itu, aku dan kawan-kawan seakan terleka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Hari sudah remang senja. Kawasan sekitar mula diterpa dengan kegelapan malam namun keasyikan menaikkan ikan membuatkan kami berempat meneruskan aktiviti memancing tanpa rasa takut atau curiga. Di dalam kepala hanya satu yang kami fikirkan, mahu memancing seberapa banyak ikan untuk dibawa pulang.
Kami berempat bagaikan dirasuk tentang ikan yang dikail. Kami tidak kisah dengan baju yang sudah lencun dek peluh atau kawasan sekitar yang sudah semakin gelap. Kepenatan langsung tidak terasa hinggakan apabila telingaku mendengar laungan azan bertalu-talu dan tiba-tiba aku dan kawan-kawan bagaikan tersedar daripada mimpi panjang yang menakutkan.
Ketika itulah baru kami terpinga-pinga serta saling berpandangan sesama sendiri. Ikan yang ditangkap bagaikan tiada erti apabila kami dapati di sekitar kami adalah satu kawasan gelap yang sungguh asing pada pandangan mata. Ketika itu, aku rasa bagai mahu menangis. Terkenang akan ibu, abah dan adik-adik di rumah. Aku tidak dapat mengagak waktu ketika itu.
Mungkin pada firasatku baru pukul 7.30 malam. Suara azan berlaung lagi. Zamree dan Mie menjerit sekuat hati memanggil ‘Mak’. Aku pula perlahan-lahan membaca surah An Nas bersama ayat Qursi. Aku cuba menenangkan diri dan membaca ayat-ayat itu di dalam hati.
Tidak sampai sepuluh minit, kami ternampak suluhan lampu bersimpang siur di hadapan kami. Rupa-rupanya suluhan lampu-lampu itu datangnya dari sekumpulan pemuda kampung yang datang mencari kami berempat. Kami dipeluk dan dicium dalam keadaan kami terpinga-pinga kehairanan.
Tiba di rumah, barulah aku tahu kisah sebenar yang berlaku. Apabila kami tidak pulang sehingga jam 7.45 malam, abah mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Empat Kampung tentang hal ini. Apatah lagi bila bapa Mie, Zamree dan Faizal memberitahu perkara yang sama. Operasi mencari bermula pada jam 8.00 malam. Dan kami hanya dijumpai pada jam satu pagi!
Semenjak hari itu, aku dan kawan-kawan tidak lagi berani keluar memancing di kawasan ‘bonda’ berkenaan. Aku tidak tahu mengapakah aku tidak terasa sudah duduk memancing sambil bertinggung di kawasan itu hampir tujuh jam lamanya. Namun, aku bersyukur, aku dan kawan-kawan selamat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...