Bermulanya kisah perburuan baung 916 dan baung ekor merah dengan menggunakan khidmat guide penghilang kumpau. En. Halim aka Boss Senyum berasal dari utara dan menetap di Kuala Lumpur menghubungi saya setelah membaca artikel dari Majalah Umpan di segmen Produk & Servis – Guide Terbaik Sungai Pahang.
Dua bulan sebelum beliau menunaikan umrah dan menyatakan hasratnya untuk merasai keganasan sentapan baung. Keunikan rasanya dan ingin menikmati pengalaman menyebabkan beliau sanggup turun berjumpa saya bersama-sama tamarnya selepas menunaikan umrah.
Dek kerana kemuliaan En. Halim yang tak lekang dengan senyuman dan sifat rendah diri, saya menyahut cabaran ini.
Faktor Air dan Cuaca
Sebelum memulakan perburuan, segala persiapan telah disediakan. Setelah beberapa hari melihat keadaan air dan perubahan cuaca, saya menyuruh En. Halim menyiapkan segala kelengkapan terbaik beliau.
Setelah mengikuti segala arahan dan ilmu beliau datang dengan reel GS9 Daiwa serta rod Ugly stick 15-40 lb 5.6 kaki.
Ads
Teknik dan cara saya mengajar beberapa asas tentang habitat baung dan cara mengenal pasti kedudukannya dan beberapa skil serta ilmu di dalam perjalanan yang bermula seawal pagi jam 7.00 pagi.
Setelah mengenal pasti beberapa kawasan, boatman terlebih dahulu menaikan ikan selang hanya beberapa saat umpan tapa dilabuhkan.
Dan bermulalah dari hasil. Pertama pelbagai perkara dan ilmu terus diturunkan kepada En. Halim. Dan tidak lama kemudian beliau terus berjaya menghilangkan kumpau berdarahnya selama bertahun-tahun. Jelas terpampang kepuasan di wajahnya.
Ads
Namun hasilnya tidak terhenti di situ. Beliau terus berjaya menaikan baung 916 dan juga baung ekor merah. Dalam pada itu terpancar riak wajahnya apabila gagal menaikan baung yang begitu rakus menarik rodnya hingga berbentuk U. Istilah siapa bersedia dia berjaya terus dipakai beliau. Keriuhan memecah sunyi sungai.
Selepas merasai tarikan… denyutan… Lepas dan geram sepanjang 3 jam 30 minit masa yang diberikan, hasil keseluruhan sebanyak 13 ekor sudah cukup menceritakan kegembiraan. Saya juga sempat bertanya apa perasan dan ini jawapan jujur En. Halim yang sememangnya jujur.
Ads
“Pemurah dan tahan telinga kutukan… gembira sesangat dapat pengalaman pancing baung dan kaedah cari spot. Kaedah yang sangat efektif tak membosankan. Setiap kali bot berhenti hati berdebar. Nak tengok siapa punya giliran pula direntap baung.”
Manakala saya berasa amat puas hati setelah berjaya melaksanakan tugasan dan impian pemancing-pemancing kumpau sedunia menghilangkan kekumpauan berdarah. Semoga sedikit pengalaman dapat memberi kepuasan pada semua.
Sebelum En halim pulang ke Kuala Lumpur, seperti biasa kami hidangkan dulu makanan-makanan ikan sungai terbaik! Rasanya… En. Halim mungkin membelek-belek kalendar mencari hari cuti akan datang.
Oleh: Mohd Hairulanuar
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memancing di laut sememangnya mencabar tetapi penuh dengan keterujaan. Salah satu keseronokan memancing di laut, apatah lagi di perairan yang kita tidak pernah sampai ialah kita takkan tahu spesies apakah yang akan memakan umpan yang dipertaruhkan. Begitulah yang kami alami pada trip memancing di perairan Thailand, utara tanah air tidak lama dulu.
Objektif utama kumpulan adalah untuk mendaratkan spesies-spesies utama bersaiz monster seperti kerapu dan jenahak yang juga merupakan spesies utama perairan ini. Tidak ketinggalan menyertai trip kami ini ialah Datuk Seri Maznah (DSM). Seperti biasa apabila beliau turut serta, saya akan menjadi pemandu pancingnya.
Setelah melabuhkan umpan pada set pancing sendiri, barulah saya sediakan set pancing dan umpan untuk DSM. Memandangkan DSM lebih gemar pancingan konsep perambut apollo, maka saya buatkan perambut apollo dua mata kail dengan menggunakan umpan hirisan sotong segar.
Tidak sampai 5 minit setelah menyerahkan set pancing itu kepada DSM, kedengaran beliau sudah bersorak riang. Saya tumpang seronok mendengar desingan halus drag kekilinya. Namun kegembiraannya tidak lama dan mendakwa ia tidak boleh dikarau lagi kerana tersangkut sesuatu.
Saya segera memberikan bantuan dengan mengambil alih set pancing pancing. Saya ketatkan sedikit drag kekili yang agak longgar. Ia tidaklah tersangkut cuma terasa beban yang sedikit berat. Pada firasat saya mungkin telah tersangkut pada batu karang kerana seperti tiada tentangan.
Setelah beberapa kali mengepam dan mengarau kekili, saya dapat rasakan ada sedikit tentangan yang diberikan, namun aksinya tidak seperti sifat ikan. Yakin dan percaya ia bukanlah batu karang, saya serahkan kembali set pancing tersebut kepada DSM.
DSM kembali berseri dan mengayuh kekili dengan gembira setelah diyakinkan ada sesuatu di hujung mata kailnya dan bukannya batu karang atau sampah yang tersangkut. Sejenak suasana di atas bot menjadi kecoh apabila DSM berjaya menghela hasil tangkapannya ke permukaan air.
Lobster! Bagaikan serentak pula kami berteriak. Dan keadaan bertukar gawat seketika berikutan sukar untuk memasukkannya ke dalam tangguk.
Beberapa kali juga kedengaran jeritan kebimbangan apabila lobster tersebut menjunam secara mundur apabila menyentuh gelung tangguk. Setelah beberapa mencuba akhirnya ia berjaya ditangguk sepenuhnya dan disusuli sorak-sorai sekalian anggota trip.
Lobster itu kemudian ditimbang dan agak memeranjatkan juga ia seberat 1.5kg. Selain menjadi tangkapan pembuka trip, ia juga merupakan spesies paling bernilai bagi kami dan tentu saja bagi DSM.
Seekor ikan paus juvenil sepanjang kira-kira empat meter (12 kaki) dengan anggaran berat 400 kilogram ditemui terdampar di kawasan perairan Batu 7 berhampiran Kontena Terminal Jalan POIC 2, Lahad Datu, Sabah, kelmarin sebelum dilepaskan kembali ke laut.
Spesies mamalia laut itu ditemui terdampar oleh seorang pekerja swasta yang melalui kawasan tersebut dan segera bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mazran Mohammad Noh berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan menemui seekor ikan (anak) paus untuk diselamatkan dan dilepaskan ke laut.
“Pada awalnya agak sukar untuk membawa mamalia itu keluar berikutan air yang cetek dan berlumpur tetapi akhirnya bomba dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menunda anak paus itu menggunakan bot ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Katanya mamalia itu dilepaskan tiga kilometer dari jarak asalnya ditemui dan operasi tamat pada pukul 2.17 petang. Operasi menyelamat itu disertai lima anggota bomba dan 10 anggota PPM.
Ikan paus yang dipercayai daripada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.
Terletak 30km di luar pantai barat laut tanah besar Semenanjung Malaysia, Pulau Langkawi adalah sebuah kepulauan daripada 99 pulau-pulau (tambahan 5 pulau sementara yang didedahkan semasa air surut) di Laut Andaman.
Pulau Langkawi secara rasmi dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah pada 15 Julai 2008 oleh Sultan Abdul Halim bersempena Sambutan Jubli Emas baginda.
Keluasan Kepulauan Langkawi adalah sekitar 47,848 hektar di mana di pulau utama adalah Pulau Langkawi itu sendiri seluas 32,000 hektar merangkumi tanah rata dan dataran aluvium diselangi dengan rabung batu kapur.
Dua pertiga dari pulau ini didominasi oleh hutan dilindungi gunung, bukit dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Pelbagai cara untuk ke Pulau Langkawi sama ada menggunakan khidmat Feri Langkawi dari jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah serta Pulau Pinang dengan kadar murah ataupun melalui
udara dengan tersedianya kadar tambang murah oleh Air Asia yang hanya mengambil masa 45 minit penerbangan sahaja dari LCCT.
Dari terminal jeti Kuah terdapat perkhidmatan teksi ke Pantai Cenang dengan kadar tetap RM24 manakala dari lapangan terbang adalah RM18.
Di Pantai Cenang banyak terdapat tempat penginapan dari hotel bertaraf bintang hinggalah ke homestay yang selesa dengan kadar serendah RM50 semalam.
Untuk trip santai ini, kami memilih untuk terbang dan menginap di sebuah home stay di sekitar Pantai Chenang.
Kami tiba di Lapangan Terbang Kuah dan disambut oleh Eddie Haniz, rakan pengilat yang telah tiba awal sehari.
Setelah mendaftar masuk bilik, petang itu kami dibawa warming up untuk mengilat secara landbase di tebing berbatu sekitar Pantai Chenang dan kawasan pemecah ombak sebelum boating keesokan harinya.
Tiada sebarang strike yang kami perolehi sepanjang petang tersebut kerana kami lebih kepada aktiviti santai sahaja.
BERMULANYA AKSI SEBENAR
Tibanya kami di jeti nelayan Teluk Baru, Tekong Beq telah menunggu kami seawal pagi lagi bersama tekong Ishak.
Sebelum kami dibawa mengilat di sekitar taburan pulau di Langkawi, tekong Beq singgah untuk mengilat sebentar di tepi tiang jeti Star Cruise namun tiada sebarang sambaran.
Kemudian barulah kami menuju ke sebuah pulau berdekatan. Pada awalnya, kami dihiburkan dengan sambaran dari pelbagai spesies kerapu cilik yang mengendap di celah-celah batu.
Setelah beberapa ketika, barulah Ijoi berjaya mendarat seekor ikan kunyit bersaiz hidangan.
Di Pulau Tanjung Sawa pula, gewang Rapala Shadrap saya disergap kasar oleh penghuni berbatu. Siakap merah berskala 1kg yang menyambar rupanya dan selamat didaratkan.
Tekong memberitahu agak sukar untuk memperolehi siakap merah di sini, maka menambahkan lagi keterujaan saya kerana berjaya mendaratkannya.
Di Pulau Rebak Besar, joran saya sekali lagi direntap kasar dan kali ini seekor kerapu bersaiz agak baik pula berjaya saya perolehi.
Sudah dua lesen spesies air masin saya perolehi tidak sampai separuh hari mengilat, ini menambahkan lagi semangat kami untuk terus menduga penghuni-penghuni di sini.
Sebelum nerhenti rehat tengah hari, kami dibawa ke jeti Star Cruise semula untuk mencuba kaedah light jigging pula.
Seekor kerapu comel menggunakan udang Zerek 12 gram dan seekor GT remaja menggunakan jig 20 gram sahaja yang berjaya dinaikkan.
DIBULI GT
Pada sebelah petangnya, angin bertiup agak kuat dan sedikit menyukarkan kami untuk mengilat.
Banyak juga pulau yang kami duga namun tiada yang sudi menyambar gewang yang dihulur, hanyalah 2-3 ekor kerapu cilik.
Hampir gelap, kami dibawa ke tebing berbatu di Tanjung Malai berhampiran dengan jeti Star Cruise sekali lagi.
Bot tekong Ishak berjaya menaikkan seekor GT kecil. Sedang leka memainkan gewang, joran Ijoi terus sahaja disentap amat kuat.
Sistem tegangan kekili yang dikunci hampir 100% seumpama tidak berfungsi kerana peragut gewang terus-menerus memecut laju mengeluarkan tali dari gelendong Daiwa Aggrest kepunyaannya.
Akhirnya, walaupun setelah berhempas pulas menahan asakan pemangsa, namun nasib dan rezeki tidak berpihak kepada kami kerana penghuni dasar berjaya menyusup masuk ke
celah batu serta mengorbankan gewang Rapala Clankin Minnow berwarna ‘Glass Ghost’ kesayangan Ijoi.
Dari segi lariannya, tekong menjangkakan GT bersaiz kasar yang punya angkara kerana waktu-waktu sebelum gelap memang banyak GT akan berlegar di kawasan tersebut.
Kami pulang dengan sedikit hampa kerana tidak berjaya memperolehi GT yang menjadi target utama kami.
AKSI TERAKHIR
Sebelum Pulang Pada hari yang kami jadualkan untuk pulang, tekong Beq menghubungi saya dan beria mengajak kami mengilat sekali lagi pada sebelah petang kerana tidak berpuas hati kami tidak menaikkan GT Langkawi.
Setelah selesai membeli belah cenderahati di pekan Kuah, saya dan Ijoi turun sekali lagi bersama tekong Beq.
Apa yang menariknya, 2 jam yang singkat inilah kami dihidangkan dengan sambaran GT yang bertalu-talu di sekitar Pulau Batu Merah.
Pada awalnya, sekawan talang sedang galak menghambur anak ikan di permukaan air. Popper dan pencil kami hanya diekori sahaja tanpa sebarang sambaran.
Di satu sudut gua berbatu di dalam air, lontaran pertama Ijoi dan saya terus mendapat sambaran.
Lontaran kedua Ijoi juga sekali lagi disambar oleh GT di spot yang sama sebelum gewang Rapala BX Minnow saya dicukai oleh GT kasar yang berjaya menyusup masuk ke celah gua berbatu dan memutuskan tali utama 20lb saya.
Setelah itu, kami bertukar lokasi berhampiran pulau yang sama juga. Kali ini pencil Duo Realis Ijoi pula yang mendapat sambaran dan tiga ekor lagi GT berjaya didaratkan.
Sekali lagi saya tewas di sini setelah tidak dapat mengekang larian GT yang amat kasar saiznya dan mengorbankan seketul lagi gewang.
Walau apa pun, kami tidak menang tangan selama 1 jam melayan aksi-aksi kemesraan serta keramahan luar biasa GT pada petang itu dan faktor air yang cantik petang tersebut mungkin banyak mempengaruhi mood pemakanan ikan.
Walaupun kami hanya dapat mengilat selama lebih kurang 2 jam sahaja sebelum gelap, namun kami amat teruja dengan hasil yang diperolehi petang itu.
POTENSI
Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan hasil yang diperolehi sepanjang trip ini walaupun tidak berjaya mendaratkan GT bersaiz kasar.
Namun, sambaran-sambaran daripada GT berskala 1-2kg amat menghiburkan yang kebanyakannya rakus meligan gewang selaman cetek berwarna natural dan cerah.
Tidak keterlaluan saya katakan taburan pulau di Langkawi amat berpotensi dan penghuni tebing berbatunya masih banyak terutamanya spesies GT, kerapu, siakap merah serta bandang.
Dengan promosi yang cukup baik, Langkawi bukan lagi sekadar lokasi pelancongan bagi membeli-belah bebas cukai, namun boleh menjadi salah satu lokasi mengilat spesies air masin terbaik di negara kita.
Dalam pada masa yang sama, sentiasalah mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Hormatilah hak pemancing lain dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil saling berkongsi ilmu dengan
menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama. Tiada ruginya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...