IKLAN

 

Profil pari

 

Keluarga: Rhinobatidae, Rhynchobatidae, Rajidae, Dasyatidae, Myliobatidae, Rhinopteridae, Torpedinidae.

Nama Inggeris: Thornback, butterfly, eagle, guitar, numbfish ray, stingrays.

Nama tempatan: 32 nama seperti pari batik, ayam, beting, bunga, daun, helang, karang, reben, paus, karas, serban, lalat, ketuka, belanda, ampai, kelawar dan sebagainya.

Ciri Fizikal: Ada 9 bentuk utama mengikut keluarga masing-masing. Badan leper dan bulat, berekor dan sengat (kecuali 3 spesies), setengah bersirip kecil di depan dan bahagian belakang, warna putih bahagian bawah badan.

 

 

Diet: Sotong cumit, sotong kurita udang, anak ikan, perumpun dan belanak.

Habitat: Persisiran pantai dan sungai yang berpasir tidak tercemar, batu karang dan laut lepas.

Taburan: Seluruh semananjung, Sabah, Sarawak, Indo Pasifik dan kebanyakan tempat di benua Asia, Australia, Afrika, dan Amerika.

 

Apabila melihat pergerakan haiwan ini yang berenang didalam air ianya amat menarik dan mempersonakan. Walaupun warna badannya tidak seindah ikan batu karang yang berwarna warni, seni dan sifat yang dimiliki membuatkan ia mempunyai daya penarik tersendiri.

 

IKLAN

 

Gerakan reformasi bahagian sayap yang dibarisi tulang yang lembut membuatkan saya asyik perhatikan haiwan ini berenang dan lupa saya adalah kaki pancing. Berenang dengan alunan yang perlahan tanpa keupayaan memandang kebawah atau rasa takut pada manusia dan setengahnya tak kisah kehadiran makhluk asing di sisinya.

 

Didalam air ianya nampak berenang secara perlahan-lahan, tapi apabila tersangkut pada mata kail pemancing, huuh… berdesup perginya macam lipas kudung malah lengguk badan yang leper itu ketika cubaan untuk meloloskan diri dari pemancing.

 

Nama pari begitu menyerlah dalam pertandingan memancing pantai. Sama ada ia lebih banyak dari spesies ikan, saya tak pasti tetapi kewujudannya memang tak dinafikan. Saiz yang biasa diperolehi oleh pemancing sekitar 1 kg hingga 40 kg.

 

 

Ada juga pemancing pernah mendaratkan pari melebihi 100 kg dengan menggunakan joran. Inilah yang paling best bila melihat joran melenduk menyembah permukaan air apabila bertarung spesies yang berat.

IKLAN

 

Tangkapan yang lebih dari itu kebanyakan ditangkap dengan penggunaan rawai mata pari (sejenis rawai tanpa umpan) atau jaring. Pari boleh membesar sehingga 3 meter lebar (pari Helang) dan berat sukar dipastikan bergantung jenis keluarga pari tersebut.

 

Ada yang menyatakan boleh mencapai 300 kg terutama pari paus atau kalok (manta ray) iaitu sejenis pari yang hanya memakan plathon di permukaan air. Jarang ditangkap oleh pemancing kecuali tersangkut secara tidak sengaja.

 

 

Keluarga pari yang kecil lebih dikenali sebagai tetuka yang memang paling banyak terdapat di negara kita. Jenis jagoan yang biasa digantung di depan meja hakim adalah dari jenis pari tanjung, rimau, benting, pasir, reben, dan kadangkala sikecil tetuka pun ada kena gantung bersama-sama untuk beradu nasib bagi pihak pemancing.

 

Begitu juga dengan Yu pari atau nama popular yu kemenjan (shovelnose ray). Namun sukar untuk memastikan samada spesies ini adalah pari atau yu, tapi apa yang pasti setengah pari dan setengah ikan yu.

 

 

Pari yang rata-rata berbadan leper, berbentuk bulat, muncung yang lembut, mulut dibahagian bawah, berekor panjang dan mempunyai sengat di tengah ekor sama ada satu atau dua duri yang bisa, dan ada juga berbentuk seperti ikan dan burung helang.

 

Kepala pari dan badan ikan digelar Yu kemenjan, manakala spesies yang mempunyai dua ruas badan dikenali sebagai pari serban atau pari karas (electrik ray). Pari jenis ini dikatakan dapat menghasilkan tenaga elektrik sehingga 100 volt yang digunakan untuk melemahkan mangsa sebelum memakannya.

 

Untuk spesies ini yang bersaiz maksima sehingga 60cm ia dikatakan dapat menjana kejutan elektrik sehingga 200 volt. Jadi hati-hati dengan spesies yang mempunyai bahagian ekor yang agak besar berbanding dengan jenis pari yang lain.

 

 

Saya tak pernah kena sengat pari dan tak ingin mencuba sengatan tersebut. Kalau ingin kepastian tanyalah pada mereka yang dah merasa kehangatan tusukan duri tajam spesies ini.

 

Sekarang ini ramai yang gemar bergambar dengan hasil tangkapan, lebih baik keluarkan atau potong dahulu sengat dan barulah boleh bergambar sakan. Jangan cuba bergurau dengan pari terutama yang masih bersengat.

(Kredit: Pok Muds)