Taburan jemuduk agak luas merangkumi seluruh kawasan tropika ke subtropika di Lautan Hindi dan barat Lautan Pasifik, Afrika Selatan di barat, sepanjang Afrika timur dan utara ke Laut Merah. Taburannya di Lautan Hindi meluas ke timur ke India, Asia Tenggara, Indonesia, Malaysia dan sejauh selatan Australia utara.
Bludger trevally merupakan spesies ikan bersaiz besar yang mampu membesar panjang melebihi 90 cm dan mencapai berat maksimum yang direkodkan seberat 14.50 kilogram. Ia mempunyai bentuk badan yang sangat mirip dengan yellow-spotted trevally, hanya lebih panjang dan lebih berbentuk silinder berbanding kebanyakan spesies dalam genus Carangoides.
Spesies dalam keluarga trevally seperti gerong belang dan cupak ini mendiami perairan tropika dari pantai dan terumbu karang berbatu, di mana mereka memakan ketam kecil, udang dan ikan.
Ketika juvenil, jemuduk memiliki garis besar bujur yang berubah mengikut perubahan usia. Ia memiliki warna badan perak kehijauan secara keseluruhan sebagai ketika juvenil dan apabila dewasa memiliki warna kehijauan di bahagian atas dan lebih keperakan di bahagian bawah badan.
Ads
Pada semua peringkat kehidupannya, ikan ini mempunyai beberapa bintik coklat atau keemasan di garisan lateral badan, tetapi jauh lebih sedikit berbanding yellowspotted trevally atau jemuduk bintik. Sirip dorsal, sirip anal dan kaudal adalah hijau buah zaitun.
Ads
Jemuduk memiliki profil kepala cembung dan berkurang dengan curam bergantung kepada usia. Sirip dorsal berada di dua bahagian yang berbeza, yang pertama terdiri daripada lapan duri manakala yang kedua terdiri daripada satu duri dan 28 hingga 32 sirip filamen lembut.
Sirip analnya mempunyai dua unit duri yang terpisah secara berurutan diikuti oleh tulang belakang yang disertai 24 hingga 26 filamen lembut dan sirip pelvik mempunyai satu tulang belakang dan 18 hingga 20 filamen lembut.
Ads
Secara umumnya ikan jemuduk dianggap sebagai antara ikan sukan yang baik dan menghiburkan kerana mampu memberikan tentangan yang bagus ketika dipancing. Namun ia bukanlah ikan meja makan terbaik kerana memiliki daging yang agak berminyak dan lembik. Sebaliknya dagingnya itu amat sesuai untuk dijadikan umpan bagi memancing spesies ikan lainnya.
Bludger Trevally ini ketika juvenil sering mencari makanan secara berkumpulan namun apabila semakin dewasa ia lebih sering ditemui secara bersendirian. Biarpun jemuduk mampu membesar sehingga 14.50 kilogram namun spesimen yang lazim ditemui, khususnya yang dipancing sekitar tiga hingga enam kilogram sahaja.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan hendaklah sentiasa berada di dalam air sepanjang masa. Sekiranya untuk mengambil gambar foto, pastikan jurufoto telah bersiap sedia dan lakukan dengan pantas agar ikan tersebut dengan segera diletakkan semula ke dalam air.
Langkah pertama pastikan kepala ikan tersebut mengarah ke hulu sungai, pilihlah suatu sudut atau kawasan yang berarus perlahan (manakala di tasik atau lautan, arus bukanlah suatu faktor masalah bagi proses merawat pulih tangkapan). Pastikan aliran air memasuki bahagian mulut dan insangnya.
Gerakkan ikan secara perlahan-lahan dengan menyorong ia ke depan dan undur semula ke belakang berulang kali sehingga kelihatan bahagian insangnya mula membuka dan menutup sehingga stabil. Pastikan badan ikan dipegang dengan lemah lembut.
Bila ikan tersebut semakin pulih dan stabil dan cuba untuk memulakan renangan, maka biarkan ia terus berenang dengan sendirinya dari tangan kita. Ikan yang besar biasanya mengambil masa untuk kembali pulih, maka ulangi proses tersebut berkali-kali sehingga ia pulih seperti sediakala.
Perhati ikan berenang pergi dengan sendirinya. Jika ikan kelihatan seperti miring maka berilah bantuan sekali lagi. Dan sekiranya sudah tidak berpeluang untuk hidup, bawalah ia pulang untuk dijadikan hidangan.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Kak Jenab di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pakcik yang duduk makan di situ tentang Sungai Selangor. Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuk baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Hulu Sungai Selangor ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Gewang yang kami lontarkan memang tidak sia-sia sehingga kami rasakan bagaikan berpesta sebarau di situ.
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram.
Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairan, pagi itu gewang aku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Ikan tenggiri sebenarnya boleh dipancing pada bila-bila masa. Ia tidak sesetengah spesies ikan yang bermusim.
Justeru itulah ikan tenggiri tidak pernah putus bekalannya di pasaran. Selain diburu kerana kualiti tekstur dagingnya yang enak dan bernilai tinggi di pasaran, ia juga merupakan spesies ikan menghadirkan cabaran dalam keseronokan memancing.
FAKTOR AIR
Ikan tenggiri boleh dipancing sama ada ketika air pasang besar mahupun pada waktu air pasang kecil. Apa yang membezakannya hanyalah lokasi pemburuannya.
Contohnya ketika arus laju, tenggiri lebih senang ditemui di kawasan yang dasarnya memiliki struktur.
Jika memancing di kawasan yang sederhana dalam sehingga 40 meter, carilah dasar yang mempunyai struktur berbukit.
Pada kebiasaannya ketika arus deras, ikan-ikan kecil akan menjadikan struktur berbukit ini kawasan berlindung.
Sama ada anda memancing dengan kaedah umpan hidup atau umpan tiruan, kawasan ini perlu dicuba kerana lazimnya tenggiri akan memburu makanan di kawasan lindungan ikan-ikan kecil ini.
FAKTOR HABITAT
Bagi mengenal pasti kawasan ini didiami oleh ikan-ikan kecil, bolehlah diturunkan apollo. Sekiranya berjaya menaikkan ikan-ikan kegemaran tenggiri seperti selar atau kembung,
gunalah ikan-ikan tersebut sebagai umpan sama ada dengan teknik pancingan hanyut ataupun dasar. Jika ingin berjigging, pastikan jig memasuki kawasan tersebut.
FAKTOR SUHU AIR
Selain itu, faktor suhu air juga memainkan peranan tersendiri. Untuk mengetahui suhu air, bolehlah merujuk kepada alat sonar yang digunakan tekong.
Bagi laut tropika seperti perairan negara kita, suhu air melebihi 30 darjah celcius merupakan suhu yang paling produktif kerana ikan berada pada tahap paling aktif.
Bukan saja tenggiri, ikan-ikan lain juga aktif memburu makanan.
FAKTOR LOKASI
Faktor seterusnya adalah mengenal pasti kawasan sambaran. Sekiranya menggunakan umpan hidup, bolehlah dilabuhkan ke beberapa kawasan sasaran sama ada di dasar, pertengahan dan pra permukaan air.
Jika berjigging pula, jig perlu diunjun dari dasar hingga ke permukaan dan pastikan di kawasan mana ia menerima sambaran.
FAKTOR KELENGKAPAN
Dan akhir sekali yang menjadi penentu kejayaan adalah pemilihan kelengkapan memancing yang tepat.
Sebagai contoh, set joran yang sepadan untuk menahan kuasa pecutan tenggiri. Tali pancing yang cukup panjang untuk dihela keluar oleh tenggiri dan perambut mata kail yang mampu menangkis ketajaman gigi tenggiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...