Setelah sepetang berkeliling Kolam Halim dengan hasil yang kurang memberangsangkan.
Sambung pula dengan berembun sepanjang malam yang berkesudahan dengan hasil yang sangat tidak berbaloi.
Dan untuk tidak terus berakhir dengan kekecewaan, Geng Sunway yang diterajui oleh Abang Lan segera menukar strategi.
Geng Sunway adalah nama jolokan yang diberikan kepada kumpulan pemancing haruan yang majoritinya menetap di Sunway, Petaling Jaya.
Sementara Kolam Halim yang dimaksudkan adalah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan secara kecil-kecilan oleh Halim.
Manakala haruan-haruan yang bersifat pemangsa kepada benih-benih ikan ternak yang gagal dihapuskan itu pula merupakan sasaran utama Geng Sunway apabila berkunjung ke Kolam Halim di Temoh, Perak ini.
Ads
Namun hasil pancingan pada kunjungan terbaharu ini ternyata agak mengecewakan.
Berikutan cuaca panas dan kemarau, paras air lombong surut dengan begitu ketara.
Apabila paras air berubah maka habitat haruan pun berubah. Haruan dikesan berada jauh ke tengah lombong.
Justeru itu Geng Sunway sepakat untuk mencuba nasib di lokasi baru yang dicadangkan oleh Abang Lan.
Ads
Menurut Abang Lan, seorang kenalannya pernah meredah parit-parit di sebuah ladang kelapa sawit dalam kawasan Tanjung Tualang dan hasilnya begitu menggalakkan walaupun sekadar menggunakan umpan tiruan, bukannya katak hidup.
Dan dengan baki katak hidup yang masih ada, Geng Sunway ke ladang sawit sekitar 40 kilometer dari Kolam Halim.
Setibanya di ladang sawit yang dimaksudkan, Geng Sunway berpecah dan bebas memilih parit-parit yang ada.
Setelah memerhati keadaan parit yang ketara tidak sesuai untuk mengamalkan pancingan umpan tiruan saya memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi ujian lapangan baharu ini sebaliknya sekadar menemani Bob untuk merakam foto sekiranya beliau berhasil.
Ads
Dalam pada masa yang sama dapatlah saya timba ilmu memancing haruan menggunakan umpan katak hidup yang sememangnya saya kurang berkemahiran.
Ternyata saya tidak salah memilih Bob sebagai guru. Setelah mencurahkan serba sedikit ilmu, jasa baik Bob itu terbalas dengan mendaratkan seekor bujuk dengan skala saiz yang agak lumayan juga.
Disebabkan bekalan katak hidup yang terhad dan ladang sawit itu terlalu luas untuk diredah dengan berjalan kaki, sesi ujian terpaksa dipendekkan.
Selain Bob, Nayan turut sama berhasil mendaratkan seekor haruan dengan skala saiz yang juga lumayan.
Yang pasti parit besar dan parit kecil di kawasan ladang sawit tersebut ternyata berpotensi dan Geng Sunway mula merancang untuk kembali dengan kenderaan dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk memujuk bujuk yang agak banyak populasinya di situ.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Betul, betul dan memang betul apa yang anda dengar tersebut. Cuma mungkin anda tak dengar habis saja. Jika dinamakan konsep tangkap dan lepas sepatutnya bukan ikan yang besar sajalah yang wajib dilepaskan, ikan yang kecil pun kena lepaskan jugak.
Katakanlah seorang pengamal konsep tangkap dan lepas dapat ikan kecil (biasanya memang dapat kecil pun) takkan ikan tersebut nak tapau sedangkan hukum tapau adalah ‘HARAM’ bagi seorang pengamal konsep tangkap dan lepas?
Yang sebenarnya dalam konsep tangkap dan lepas, melepaskan ikan yang besar atau matang merupakan langkah yang lebih berkesan berbanding melepaskan ikan kecil.
Ini kerana, secara saintifiknya, melepaskan induk matang akan meningkatkan peratusan untuk induk itu melahirkan ribuan malah jutaan anak ikan kecil, sedangkan ikan yang kecil belum tentu akan dapat membesar menjadi induk yang baik.
Tapi apa yang berlaku kat Malaysia ni kebanyakannya terbalik. Boleh dikatakan kebanyakan ikan yang kecil dilepaskan semula walaupun oleh bukan pengamal tangkap dan lepas.
Alasannya mudah, ikan kecil buat apa nak ambik. Atau untuk beri peluang ikan tersebut membesar dan akan bertarung lagi bila dah besar nanti.
Empat orang pemancing menyusuri kuala sungai cetek memulakan coretan dan pengalaman rutin memancing di kawasan paloh kapal.
Dari pengkalan Sementa, Klang kami menuju ke arah matahari terbenam sebaik sahaja keluar dari muara pulau pintu gedung.
Sudah lumrah menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat kerana arus dan arah angin bertentangan.
Alun semakin reda apabila mula memasuki tengah selat yang sibuk dalam di kawasan laluan kapal dagang.
Menyedari kekurangan umpan yang kami bawa, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Klang merupakan persinggahan sementara untuk apollo anak ikan.
Bila musim sotong kurita sukar, apollo ikan adalah kemestian mencari umpan alternatif.
Bila dah lenguh tangan mengarau pancing dalam sesi mencari umpan, barulah perkataan `jom umpan dah cukup’, keluar dari mulut.
Sampan yang dinaiki milik Kapten Khairi mudah membelah alun menuju ke lubang yang kami jumpai dalam trip pertama sebelumnya.
Perjalanan memakan masa 20 minit pada kelajuan 26 knots dari arah koordinat boya merah. Kedudukannya agak selamat dari laluan utama kapal dagang.
Kali ini mengulangi episod sebelum ia diketahui oleh pemancing lain. Lumrahnya bila ada lubuk potensi ramai yang mengintai untuk diterjah saban minggu.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan membaca pergerakan arus, kemudian sampan akan digerakan di hadapan selari dengan kedudukan lubuk yang di tandakan.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki, kapal kontena dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Kapten Khairi memilih untuk berhanyut di sebelah atas lubang mengikuti arus yang ketika itu sedang surut. Beliau akan memberi signal apabila kami mula memasuki kawasan dasar berlopak tersebut. Perlahan atau cepat memasuki zon strike bergantung kepada halaju sampan berhanyut.
Yang penting ialah umpan dipastikan sentiasa berada hampir dengan dasar ketika berhanyut, jangan gantung ladung terlalu tinggi.
Ketika arus laju, ikan biasanya mendiami kawasan berlopak dan lubuk untuk berlindung daripada pergerakan arus.
Bayangkan jika mula berhanyut pada kedalaman 100 kaki kemudian masuk lopak ikan sedalam 160 kaki, pemancing yang leka tidak menyedari umpannya tergantung 60 kaki
dari dasar, sebab itu ada pemancing yang memperoleh GT, talang dan aruan tasik ketika berhanyut. Ada juga spesies ini menjamah umpan yang terseret pada dasar selat.
Dalam masa 20 minit umpan ikan yang diperoleh di boya merah semuanya laku kecuali anak ikan pelata sahaja yang masih bertahan berenang di dalam petak umpan.
Tiga jenis umpan yang kami gunakan hari itu, iaitu kurita oleh Sarjan Omar Dan Sarjan Leman, pelata hidup oleh Kapten Khairi dan penulis sendiri memilih menggunakan tamban apollo yang dah kaku.
Empat joran dilabuhkan ke dasar mengikut turutan agar tali pancing tidak bertindih antara satu dengan lain. Selesai proses menurunkan pancing kami semua dalam mood bersedia.
Sambil pada itu Kapten Khairi turut melepaskan umpan pelata hidup hanyut di belakang sampan.
Ketika berhanyut Kapten Khairi akan bertindak seperti kapten kapal terbang, sering memberitahu kedudukan dan kedalaman semasa supaya kami tidak terleka membiarkan umpan tergantung.
Bila semakin hampir dengan spot yang di tandakan, lebih kuat suara kapten memberitahu supaya bersiap sedia… dah nak terjah lubuk katanya.
Tabiat ikan berkait dengan hala tuju arus, ada masa ia makan ketika betul-betul masuk lubuk dalam, ada masa ia makan di tubir lubuk dan kadang kala ia makan sewaktu umpan mula melepasi lubuk.
Sukar juga untuk membaca perangai ikan di dasar. Tak kisah kat mana ia merembat umpan yang penting ialah tahu di kawasan mana ia berada.
Bila mula memasuki lubuk merah, kami masing-masing hulurkan tali berterusan sehingga ladung mencecah dasar. Sedetik ia mula menuruni lopak dari 100 kaki ke 150 kaki, terasa umpan penulis disergah ikan.
Biarkan saja seketika sambil terus memberi tali agar ikan terus terleka umpan di mulutnya. Terhenti hulur tali mula menegang kembali, serentak itu baru joran melentur.
Buka satu, tapi tiga serentak. Dua kali balas dan belum sempat karau tali sudah muntah keluar. Usaha memujuk ikan mengikut berhasil apabila merah pertama muncul di permukaan dan diikuti ikan merah kedua dan ketiga.
Melepasi lubuk pertama, kapten berpatah balik mengulangi laluan yang sama. Pusingan kedua pula kami mengena dua strike tapi ikan nampaknya lebih bernasib baik di mana perambut putus dan satu lagi terlucut. Pantang terlepas, ikan terus hilang ketika kami membuat pusingan ketiga.
Lama juga menanti strike berikutnya selepas hilang merah di lopak pertama. Kami terus berhanyut santai menanti umpan menerjah ke lopak-lopak berikutnya.
Semuanya sunyi, kemudian joran kapten berumpan pelata hidup hanyutkan mengena pula. Jadilah tiada bawah atas pula memberi kepuasan.
Kemudian kami beredar menuju satu lagi boya di tengah Paloh 3 mencari umpan hidup berikutan umpan hidup sudah kehabisan.
Yang tinggal hanyalah umpan kaku dan pudar kilauan sisiknya. Semasa berlabuh di boya sempat lagi kami memancing ikan talang menggunakan ikan anak selar yang kami apollo.
Puas juga melayan talang memandangkan umpan yang dilabuhkan di dasar tidak menerima sambutan.
Sebelah petang banyak masa kami habiskan menjajah lubuk-lubuk lama yang tiada penghuni. Kalau dah saban minggu dikunjungi tentu lubuk berkenaan sudah diangkut penghuninya oleh pemancing-pemancing yang bertali arus.
Cuma harapan ikan yang baru sahaja yang akan bertandang mendiami lubuk yang sepi. Persoalannya bila dan waktunya siapa pun tidak tahu.
Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.
Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.
Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini. Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.
Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.
Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.
Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.
Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.
Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rumah rakit ini.
Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.
Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rumah rakit ini aplikasi micro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.
Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.
Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.
Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.
Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...