Begahak merupakan ikan pemangsa air tawar yang menjadi idaman pemancing. Kemunculannya dalam jangka waktu yang singkat serta kesukaran menjejakinya membuatkan spesimen ini berada pada ranking yang tinggi dari segi nilai tangkapan menggunakan gewang.

 

Saban tahun, kehadiran begahak dinantikan para pemburunya. Ikan pemangsa ini boleh diperdaya dengan menggunakan gewang. Pemancing khususnya mereka yang meminati kaedah mengilat atau casting bersiap siaga dengan peralatan memancing serta gewang pilihan. Namun hasrat dan impian untuk bertemu muka dengan keluarga catfish ini bukanlah mudah.

 

Menurut kajian, di Semenanjung Malaysia begahak yang mempunyai dua ‘misai’ ini hanya terdapat di Sungai Pahang dan anak sungainya yang tertentu sahaja. Di kalangan penduduk Pahang ia lebih biasa dipanggil gohok. Kemunculannya pula bukanlah sepanjang tahun. Oleh yang demikian kenalah bersedia dengan sebaik mungkin apabila waktu keemasan yang dinanti-nantikan menjelang tiba.

 

Petanda lazim yang diguna pakai untuk mengesan kehadiran spesies ini adalah selepas banjir ketika mana ikan-ikan kecil mula mudik ke hulu dalam jumlah yang banyak. ‘Musim ikan mungkus’ kata orang Pahang yang pada kebiasaannya hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun. Ketika inilah begahak muncul untuk berpesta meratah anak-anak ikan dan pastinya gewang yang dilontarkan akan dihambat ikan pemangsa ini.

 

Ketika itu banyak bot-bot yang menghanyutkan jaring. Ikan-ikan kecil ini akan dijual secara longgok sekitar RM5 –RM10 selonggok. Selain ikan mungkus, ikan bersaiz besar juga turut diburu termasuk begahak dengan menggunakan jaring bermata kasar.

 

GEWANG APA?

IKLAN

 

Ini pun satu hal. Dulu sebelum saya terjebak ke dunia casting, membottom adalah teknik yang biasa untuk memancing. Bila begahak terkena pancing, itu adalah kes tidak sengaja. Kalau nak jadi rezeki umpan perut ayam pun pernah dibedal begahak.

 

Setelah racun menggewang meresap di tubuh dan semakin bertambah gewang yang menghuni lure box, maka pelbagai aksi dan jenis gewang dihulurkan sebagai hidangan untuk mengenal pasti yang mana menjadi kesukaan begahak. Saiz yang sesuai sekecil 4 cm hinggalah 12 cm. Warna pula dipilih warna semula jadi dan juga warna-warna terang. Mata kail pula dari jenis halus dan kuat.

 

Semasa musim kemarau baru-baru ini rakan saya mendapat berita tentang gerombolan begahak yang dilihat bermain di satu lokasi di Sungai Pahang. Segera saya merancang untuk berkunjung dan peralatan gempur disediakan sebaik mungkin.

 

PERALATAN SESUAI

IKLAN

 

Kebiasaannya begahak dipancing dengan menaiki bot, tetapi kali ini kami akan casting dari tebing. Sesuatu yang agak mencabar. Dengan kawanan ikan yang bermain di tengah sungai sudah pasti memerlukan teknik dan peralatan yang berbeza.

 

Joran 7 kaki dan ke atas diperlukan agar lontaran gewang dapat dibuat lebih jauh. Begitu juga gewang bersaiz besar perlu digunakan. Tali sekitar 25lb – 40lb sesuai digunakan kerana kita tidak tahu saiz ikan yang ada di dalam air. Begahak 17kg dan lebih besar lagi pun pernah dinaikkan pemancing.

 

Hendak menggunakan tali yang lebih halus bimbang putus dan bila menggunakan tali yang lebih kasar diameternya, gewang tidak dapat dilontar jauh. Tiupan angin juga antara faktor yang membantut kelancaran kelajuan gewang.

 

Ketika matahari baru memancarkan sinarnya yang kekuningan, ketika itulah waktu keemasan yang dinantikan. Begahak memulakan aktiviti pagi mengejar anak-anak seluang. Percikan air serta bunyi sambaran mula kedengaran dan gewang pilihan terus menerjah air. Semakin hampir gewang jatuh dengan tempat begahak menyambar, semakin tinggi peratusan gewang disergap.

IKLAN

 

Pak Mat, orang kampung berdekatan yang meminati kaedah casting begitu bersemangat melontar gewang. Beberapa kali lontaran yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil. Gewang taruhan Pak Mat telah disambar dan joran panjangnya melengkung kerana asakkan sang begahak yang membenamkan diri. Joran dipaut dan tali digulung.

 

Begahak bukanlah perenang handalan berdasarkan bentuk badannya di bahagian ekor yang menirus serta ekornya yang kecil. Tidak sebagaimana kelah dan sebarau yang memecut laju setelah membaham gewang. Namun begitu tentangan begahak agak kuat. Taktiknya memberatkan badan dan tarikan padu diperlukan apatah lagi bila saiz 5 kg ke atas yang mengena.

 

Kebiasaannya selepas beberapa minit bertarung ia akan mengikut sahaja tali yang dikarau dengan sesekali ada sedikit perlawanan. Pak Mat akhirnya berjaya mengheret ikan ke tebing. Hasil pertama pada awal pagi itu menggelepar di atas tanah membuatkan senyuman terukir di bibir Pak Mat.

 

(Oleh: Wannazir Wanosman)

 

GALERI

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI