Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Tapi tuah Md Rizal Ismail, datang bergolek tepat jam 9.05 pagi, Isnin lalu apabila joran 5 kaki miliknya berjaya menjerat sembilang 0.730 kilogram sekali gus muncul juara Pancing Santai Pantai Kelanang.
Tempat kedua disandang Simah, dari perkampungan Orang Asli Tongkah, yang menjinakkan gelama papan 0.500 kg, manakala Shariff Wahi berpuas hati di tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.500 kg.
Kemenangan Simah dan Shariff ditentukan oleh masa tangkapan apabila kedua-duanya menaikkan ikan yang sama berat, namun Simah berjaya menaikkan tangkapannya lebih awal iaitu pada jam 8.10 pagi manakala Shariff pada jam 8.25 pagi.
Ads
Dengan kemenangan itu, Md Rizal membawa pulang RM7,000.00, Simah menerima RM3,000.00 manakala Shariff berpuas hati dengan RM1,000.00 serta hamper.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Ads
Dalam ucapan mereka, Hasnul dan Abdullah Sani membayangkan pertandingan memancing Pantai Kelanang akan menjadi acara tahunan, sambil membayangkan acara sama turut akan diadakan di Pantai Morib.
Ads
Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat, khususnya dari kawasan DUN Morib. Namun, menurut mereka yuran yang perlu dibayar bagi menyertai pertandingan memancing itu nanti dijamin tidak akan membebankan peserta.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ketika ahli Team Alucast merancang satu trip ala-ala family day di Marang, Terengganu dalam Whatsapp group team, saya tak ambil kisah sangat.
Lagipun tarikhnya masih lambat. Lebih kurang dua bulan lagi pada waktu itu.
Apabila tentatif program mula direncanakan dalam kemas kini trip tersebut, saya mula tertarik apabila terselit acara cadangan jigging dan mencandat sotong.
Memandangkan majoriti ahli Team Alucast lebih fokus pada cabang mengilat di tasik-tasik sungai maka saya percaya cadangan acara tersebut kurang mendapat sambutan. Terutamanya jigging.
Seminggu sebelum trip family day tersebut bermula, sebagaimana yang dijangkakan hanya cadangan acara mencandat sotong mendapat sambutan.
Itu pun masih belum penuh. Berikutan ada tugasan di Kuala Terengganu pada tempoh waktu itu, saya pun selitkan nama untuk join trip candat sotong.
Melalui ahli Team Alucast yang merupakan anak tempatan Marang, segala urusan dilakukan oleh beliau termasuklah trip mencandat sotong.
Apa yang membuatkan saya agak teruja untuk turut serta kerana inilah julung-julung kalinya Team Alucast yang terkenal dengan Megatrip tahunan ke Tasik Kenyir turun ke laut.
Tanpa disangka trip yang dianggar akan kekurangan korum seramai 8 orang akhirnya bukan saja penuh malah berlebihan pula.
Berikutan ramai ahli trip datang dari luar Terengganu maka agak lewat sikit kami turun mencandat.
Boleh dikatakan bot kami merupakan bot terakhir yang bergerak keluar dari jeti Marang menuju perairan Pulau Kapas.
Hampir jam 8 malam barulah kami memulakan aktiviti mencandat sotong dengan harapan yang menggunung.
Tambahan pula menurut kata tekong yang dikenali sebagai Pok Tar (Mokhtar), pelanggan yang menaiki bot beliau pada hari kelmarin berjaya membawa pulang 40 kg sotong, walaupun lebih ramai yang mabuk laut daripada yang memancing.
Sebaliknya sesi mencandat sotong kami bermula dengan begitu perlahan sekali.
Saya sendiri hampir setengah jam barulah berjaya memperoleh lesen setelah mendaratkan sotong yang pertama.
Sementara yang belum memperoleh lesen mulalah buat perangai sehingga ada yang meminta tekong tolong sentuh joran dan macam-macam lagi.
Begitu pun tekong sangat membantu dengan memberi tunjuk yang sewajarnya.
Walaupun agak perlahan hasil yang dinaikkan namun ia lebih dari mencukupi untuk kami jadikan juadah.
Dan apabila masing-masing mula kekenyangan setelah menjamu sotong sambal dengan nasi putih panas-panas, mata pun mula layu.
Saya sendiri hanya mampu bertahan sehingga jam 1.30 pagi sahaja. Sotong bukan tiada langsung cuma sesekali saja hadir dalam kumpulan yang kecil.
Jadi saya tidur dulu dan bercadang untuk bangkit jam 4 pagi bagi menyambung semula aktiviti.
Tatkala seronok melelapkan mata di ruang sempit belakang bot, terdengar pula enjin bot berderum lama. Takkan nak berpindah lubuk begitu lama.
Rupanya bot sudah menghala ke jeti atas permintaan seorang dua rakan yang dengan alasan tertentu. Saya jam belum pun 3.00 pagi. Setuju tak setuju terpaksa jugalah turut saja.
Perairan Sedili merupakan lokasi pemburuan ikan tenggiri tersohor buat kaki-kaki pancing di selatan Malaysia.
Pada trip kali ini kami telah memilih khidmat tekong Pak Mahmod. Tekong Pak Mahmod memang berpengalaman luas lebih 30 tahun.
Antara lain kelebihannya, beliau mempunyai lubuk unjamnya sendiri lebih kurang dua jam perjalanan dari jeti.
Setibanya kami di lubuk unjam darat milik Pak Mahmod, umpan hidup dilabuhkan belakang bot.
Kami memastikan drag kekili ditetapkan agar tidak terlalu ketat atau terlalu longgar bagi memudahkan umpan direntap ikan tenggiri.
Ikan umpan dilepaskan lebih kurang 20 hingga 30 meter jauh dari bot.
Penggunaan perambut yang disarankan adalah mata kail saiz 1.0/2.0 berkembar menggunakan perambut dawai sejengkal dan disambungkan dengan perambut halimunan flourocarbon kira-kira lima hingga tujuh depa panjang berkekuatan 15-20 lb.
Manakala tali utama tekong menyarankan agar menggunakan tali mono tanpa warna (tangsi) atau tali sulam berwarna hijau gelap sahaja yang berdiameter halus.
Setelah hampir satu jam menanti, saat yang ditunggu telah tiba, umpan yang dilabuhkan telah disambut ikan, rod pancing kami telah melendut akibat ditarik ikan tenggiri kasar,
drag menjerit dan kekili memuntahkan tali dibawa lari oleh sang Tenggiri berskala 9-10 kilogram dan setelah 15 minit bertarung akhirnya ikan dapat didaratkan ke dalam bot.
Kemudian satu per satu joran kami disambar dan ditarik ikan Tenggiri. Memang seronok dan riuh bot dibuat.
Kami berpendapat bahawa, tenggiri di Sedili mungkin semakin bijak. Apa tidaknya ia cukup pandai dan sensitif terhadap cubaan menjeratnya.
Kalau menggunakan set pancing kasar umpan tidak akan diusiknya. Oleh yang demikian kami menggunakan set ultra ringan dan halus untuk memperdayakan tenggiri agar menyambar umpan.
Perlu mempunyai ilmu untuk berhadapan dengannya, jika salah teknik melayan akan berlaku rabut, putus dan ia mudah culas, diludahkan semula umpan dengan mudah dan akhirnya pemancing akan melopong dan berputih mata.
Beberapa panduan atau tip untuk menduga tenggiri Sedili ialah pastikan tali sentiasa tegang semasa melayan larian tenggiri, drag terlalu longgar boleh menyebabkan tenggiri melepaskan diri.
Ada ketikanya bila tengah bertarung dengan ikan, tiba-tiba tali rasa ringan seperti terlucut, kemungkinan besar ikan tenggiri telah memecut ke arah bot, ketika ini anda perlu
bertindak pantas dengan mengarau dengan kadar laju supaya ikan tidak dapat memutuskan tali utama, perkara begini perlu diberi perhatian kerana sering terjadi.
Kalau merujuk kepada nama saintifiknya, berbelit juga lidah hendak menyebut. Tetapi bagi kaki pancing, si perayap dasar ini mempunyai pelbagai nama mengikut dialek masing-
masing seperti pak janggut, jerangkung, sepit biru, agang, adoi-adoi, apek, jenggo dan bermacam-macam lagi.
Udang galah menghuni sungai air tawar dan air payau dari utara tanah air hingga ke selatan tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak.
Ia diburu kerana keseronokan memancingnya selain rasa yang enak dan harga yang tinggi di pasaran.
Selain Rompin yang terkenal dengan udang galah, ibu negeri Pahang juga apa kurangnya iaitu Sungai Kuantan yang begitu meriah terutama di hujung minggu dengan kehadiran bot-bot pemancing dalam misi memburu penghuni bersepit di dasarnya.
Saya juga tidak ketinggalan menduga penghuninya. Jam 8 pagi, saya dan Nazam sudah terpacak di tepi tebing Sungai Kuantan menunggu kehadiran seorang lagi rakan, Azuan, empunya bot.
Setelah memasukkan barang-barang dan set alatan pancing, enjin Mercury 3hp dihidupkan maka bermulalah pencarian sepit biru Sungai Kuantan.
Walaupun enjin sangkut milik Azuan kecil kuasa kudanya namun terbukti mampu memacu bot fiber 12 kaki yang memuatkan kami bertiga.
Faktor arus Sungai Kuantan yang lemah gemalai juga membantu. Kalau arusnya laju memang tidak bergeraklah bot dibuatnya.
Kami yang turun padang bukan pada hujung minggu nyata lega kerana terdapat hanya 3 buah bot sahaja pada pagi itu.
Menyusuri sungai yang airnya kuning kemerah-merahan agak mengusarkan hati. Apakah udang sudi menjamah umpan yang bakal dihulurkan.
“No problem.. saya suka juga memancing kalau air macam ni,” jawapan Azuan menghambat kerisauan di hati.
Sekurang-kurangnya ia dapat menyedapkan hati sendiri.
Lebih kurang 5 minit perjalanan, Azuan selaku tekong mematikan enjin, sauh dilabuhkan dan tunggu apa lagi.
Lima batang joran saya segera memulakan tugas dan mata mula tertumpu pada hujung joran.
Azuan mendaratkan tangkapan pertama bersaiz remaja. Beberapa minit kemudian hujung joran saya bergetar tanda umpan telah dingap.
Kekili dikarau dan hasilnya seekor anak ikan yang tumpang sekaki menjamu selera.
Nazam dan Azuan mempunyai marking lubuk yang banyak untuk dikunjungi. Lepas satu lubuk, satu lubuk dicuba yang mana bot diparkir di tengah sungai dan umpan dilempar ke arah lubuk sasaran.
Apabila kulit mula terasa perit dipanah cahaya matahari, kami beralih ke lubuk yang hampir dengan kawasan rimbunan pokok.
Di lubuk teduh yang pertama kami singgah, suasana menjadi kelam kabut sedikit.
Apa tidaknya, joran Nazam membongkok diasak penghuni sungai yang belum diketahui apakah gerangannya. Yang pasti ia bukannya kerja si udang.
Kekili di karau. Tangsi sekejap tegang, sekejap kendur dan akhirnya mangsa menampakkan muka.
Seekor belida dalam lingkungan 2kg telah meragut umpan. Sayangnya di saat-saat akhir ia berjaya memutuskan perambut.
Kemunculan belida tadi nampaknya berjaya membakar kembali semangat kami yang mula luntur sedikit kerana keletihan setelah berpanas separuh hari.
Makin kerap umpan diperiksa dan ditukar. Umpan isi ikan yang dibiarkan terlalu lama akan menyebabkan ia bertukar warna menjadi kekuningan akibat faktor air.
Sudah pasti udang enggan menghampiri. Dalam erti kata lain, kalau nak dapat hasil kenalah rajin memeriksa umpan.
Lubuk Mengkuang adalah lubuk terakhir dikunjungi sebelum kami bertolak pulang. Dengan hasil tangkapan yang agak lumayan untuk sesi pancingan separuh hari, memang berbaloi turun memancing di Sungai Kuantan.
Bagi mereka yang berani dan untuk lebih mencabar, bolehlah memancing pada waktu malam yang pastinya menjanjikan hasil yang memuaskan hati.
Sememangnya memancing udang galah mempunyai feel dan keseronokan tersendiri.
Merasai henjutan di hujung joran yang lembut menggamit peminatnya turun memancing walaupun ada ungkapan ‘di mana ada udang, di situ ada buaya’.
Kita hanya mencari sedikit rezeki sambil melayan hobi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...