Umpan memancing menggunakan organ haiwan seperti perut ayam mungkin kedengaran agak pelik bagi sesetengah pemancing. Apatah lagi jika pemancing yang tidak pernah cuba pancingan air tawar.
Namun bagi pemancing yang sudah terbiasa dengan pancingan air tawar sama ada sungai, tasik atau kolam, ia merupakan sejenis umpan yang diguna pakai oleh ramai pemancing. Bagi kegunaan di sungai atau tasik semulajadi, ia mungkin tidak ada apa yang ingin dipersoalkan.
Tetapi jika ia turut digunakan di kolam pancing komersial dan tasik rekreasi, terutamanya ketika pertandingan memancing dijalankan, rasanya pasti ada pro dan kontra.
Pada pendapat korang, patut ke organ haiwan seperti perut ayam ini wajar atau tidak wajar untuk terus digunakan?
“Bagi saya… ini hanya pendapat aje. Tidak ada salahnya menggunakan organ haiwan. Nama pun pertandingan. Jadi, mesti ada ketelusan dalam prasyarat tu sebab mereka mengeluarkan yuran pertandingan. Sama ada menang atau kalah, mereka rela untuk menyertainya. Mengapa perlu ada halangan…!? Cuma perlu dititikberatkan tentang kebersihan selepas penggunaannya atau selepas pertandingan.”
Pak Abu
Ads
“Tidak wajar…! Penggunaan organ haiwan akan menyebabkan masalah bau dan mengundang lalat. Jijik tau tak jijik…! Yuckkk!”
Syidi Baik
“Tidak wajar. Sampah pun malas nak buang dalam tong sampah. Ni lagi la organ haiwan yang baunya menusuk kalbu dan non halal pulak tu.”
Shah Zi
“Wajar… sebab kita dah bayar untuk memancing. Kenapa harus sekat umpan para pemancing?”
Halim Bahrin
“Kebanyakan kolam memancing sekarang memang dah tak dibenarkan guna umpan organ dah. Apa lagi kalau waktu pertandingan, marshal dok perati je… ni area Klang Selangor la. Area lain tak tau la.”
Laksamana Awan
Ads
“Wajar… kalau di tempat aku memang lumayan hasil tangkapan. Saiz memang memuaskan… memang terkejut ketika umpan disentap.”
Raymond Ganya
“Boleh jer… jangan banyak syarat kalau pancing kolam bayar. Kalau banyak syarat lama-lama pemancing berkurang… siapa rugi?”
Lan Ruslan
“Tak wajar… boleh menyebabkan kolam ikan berbau busuk. Kenapa nak cemarkan alam sekitar. Sudahlah udara semakin tercemar, kenapa nak tambahkan lagi pencemaran yang sedia ada. Kalau umpan tu berbau wangi tak apalah jugak.”
Mohd Nazim Ismail
“Sangat-sangat tidak wajar digunakan dalam pertandingan. Baunya sangat busuk sehingga mengganggu pemancing. Memang spoil gila kalau orang sebelah guna perut ayam ni. Nak muntah dibuatnya.”
Jefrey Engan
“Wajar… kebiasaannya bab kebersihan dan bau-bauan ini akan menjadi tanggungjawab penganjur. Ada je kolam yang benarkan guna dan takde pun bau-bauan ni.”
Hasrul Hassan
Ads
“Tidak wajar. Kerana, ikan tu kalau dihabitat semulajadi bukan itu makanan dia. Kita sedang mengubah diet ikan tersebut. Siapa tahu puluhan tahun akan datang, ikan tersebut berevolusi? Maka, akan menjadi kesukaran buat spesies ikan yang berkenaan untuk mencari makan. Ikan tu bukan pandai pergi pasar.”
Faizal ejal
“Jijik pada awak, orang lain tak jijik pun. Kalau setakat perut ayam tu apa yang nak dijijikkan. Ayam kita makan, takkan perut ayam nak jijik. Lain la kalau umpan tapa tu, memang potong stim la dia punya busuk… Haha.”
Adam Don
“Wajar… jangan saja baling mata kail kosong. Kalau pancing pakai mata kail kosong saja, seribu tahun tak dapat ikan… hahaha!”
Christ Shorizawa
“Bagi kita… ini hanya pendapat aje. Tidak ada salahnya menggunakan organ haiwan. Nama pun pertandingan. Jadi, mesti ada ketelusan dalam prasyarat tu sebab mereka mengeluarkan yuran pertandingan.
Sama ada menang atau kalah, mereka rela utk menyertainya. Mengapa perlu ada halangan…! Cuma perlu dititikberatkan tentang kebersihan selepas penggunaannya atau selepas pertandingan. Yang sewajarnya TIDAK BOLEH, penggunaan gewang atau umpan tiruan. Maaf ya admin dengan kenkawan di sini, hanya sekadar pandangan kita sahaja.”
LC Man
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kalau tak dapat haruan pun, dapat keli atau tilapia pun jadilah, katanya. Mengenangkan isteri baru mengandung lima bulan, saya gagahkan hati untuk mengikut Pak Tam.
Selain Pak Tam, Rudin dan Nasha turut bersama. Kami bergerak menggunakan Ford Ranger Rudin yang bekerja sebagai penyelia bangunan. Perjalanan menuju ke Lombong Makam Teja memakan masa hampir sejam juga menggunakan jalan pintas yang berbatu kasar.
Sepanjang perjalanan macam-macam topik tentang ikan yang kami bualkan, maklumlah semuanya kaki pancing. Paling menarik adalah pengalaman Pak Tam ketika memancing di Jeram yang terletak di utara tanah air.
Cerita Pak Tam, ketika berkhemah dan memancing di situ selama dua hari satu malam, beliau selalu didatangi oleh seorang wanita cantik yang mengajaknya berkahwin.
Wanita cantik itu memberitahu bahawa beliau merupakan puteri yang menjaga kawasan Jeram Tujuh Tingkat itu. Dia menyukai Pak Tam yang dianggapnya sebagai manusia jujur dan baik hati.
Pak Tam menegaskan bahawa itu perkara biasa dalam dunia memancing namun puteri itu tetap mengatakan bahawa dia sangat terpaut dengan keluhuran hati Pak Tam.
Akhirnya, trip memancing itu terpaksa Pak Tam singkatkan kerana risau dengan masalah mistik yang menimpa dirinya.
Akhirnya Kami sampai juga di Lombong Makam Teja tepat jam dua petang. Saya bersiap-siap untuk memulakan balingan mata kail.
Begitu juga dengan Rudin, Nasha dan Pak Tam. Sebenarnya, Lombong Makam Teja ini merupakan satu kawasan lombong terbiar yang telah dihentikan segala aktivitinya sejak 15 tahun yang lalu.
Pemandangan di sini sangat cantik. Air lombong berwarna kehijauan kerana banyak rumpair yang hidup bebas di dalamnya. Ikan yang ditangkap juga tidak berbau kerana airnya bersih dan mengalir ke luar anak sungai yang berdekatan.
Setiap kali hari cuti, kawasan lombong ini menjadi pilihan kaki pancing untuk mencuba nasib. Jarang mereka pulang dengan tangan kosong. Jika bernasib baik, patin dan rohu juga dapat ditangkap dengan saiz XL.
Namun pada petang itu, kawasan lombong agak sepi. Saya mengambil tempat berdekatan dengan sebatang pokok hutan yang redup. Cuaca petang itu agak suram. Di dada langit, awan gelap sarat berisi air menunggu masa untuk turun ke bumi.
Saya melabuhkan sebatang joran berumpankan anak ikan dan sebatang lagi casting menggunakan katak hidup. Di permukaan air anak-anak ikan bermain dengan bebas dan riang.
Geram pula saya tengok aksi-aksi mereka. Kalau ada tangguk, rasanya mahu saja saya menangkap anak-anak ikan yang cantik itu.
Guruh sudah berbunyi tetapi cuaca masih mendung. Kami sudah berjanji sekiranya hujan belum turun aktiviti memancing akan diteruskan sehingga hujan turun lebat.
Saya memandang ke arah Pak Tam, Nasha dan Rudin. Joran masing-masing sudah mula dimakan ikan. Hanya saya yang termenung menunggu mangsa membaham umpan anak katak di mata kail. Guruh berbunyi agak kuat juga berserta deruan angin yang kuat.
Pokok-pokok di kawasan sekitar bergoyang. Namun saya merasa menggigil setiap kali deruan angin itu menyentuh tubuh saya. Iya, badan saya sekarang berpeluh laju dalam keadaan menggigil kesejukan.
Saya memandang ke tengah lombong. Kalau tadi, pemandangannya adalah deretan bunga dan daun teratai yang cantik terapung, kini ia telah bertukar menjadi sebuah istana yang tersergam indah.
Saya menggosok mata beberapa kali untuk memastikan bahawa saya tidak bermimpi. Benar, di hadapan saya sekarang tersergam sebuah istana besar yang sungguh cantik berwarna hijau!
Saya seperti terpukau melihat keindahan istana itu. Tiba-tiba keluar seorang wanita yang bersisik hijau di seluruh badannya di bahagian balkoni istana tersebut.
Di kepalanya ada mahkota yang menyerupai ikan-ikan kecil dengan pelbagai warna yang indah dan menarik. Wanita itu merenung tajam ke arah saya sambil tersenyum.
Saya cuba membalas senyuman itu namun sebaik sahaja ternampak deretan gigi taring yang tajam pada wanita itu, senyuman saya mati.
Badan saya mula menggigil dan rasa seram sejuk. Saya cuba membaca Al Fatihah atau ayat Qursi namun bacaan saya menjadi tunggang langgang seolah-olah saya seperti tidak pernah menghafal ayat-ayat ini!
Saya melihat wanita bersisik hijau itu melayang turun dari balkoni. Dia menunggang seekor ikan raksasa yang menyerupai haruan. Pandangannya masih tepat ke arah saya.
Saya mengagak tentu wanita itu mahu datang ke tempat saya duduk sekarang. Saya cuba bangun untuk melarikan diri tetapi badan saya seolah-olah sudah terlekat pada permukaan tanah tempat saya duduk itu.
Saya cuba menjerit untuk memberitahu Pak Tam, Nasha dan Rudin tentang keadaan saya sekarang namun suara saya seperti tersekat di halkum.
Wanita bersisik hijau dan haruan tunggangannya semakin menghampiri saya. Akhirnya, saya pasrah, reda dan tawakal dengan apa yang bakal berlaku.
Saya cuba tenangkan diri dan akhirnya saya dapat mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang di dalam hati.
Saya serahkan diri saya yang kerdil ini kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tiba-tiba, terasa bahu saya ditepuk dari belakang. Pak Tam tersenyum sambil menunjukkan jam tangannya mengajak pulang. Saya seperti orang mamai.
Di sebelah, kotak putih yang saya bawa penuh dengan haruan, keli, tilapia dan juga belida. Entah bila saya menangkap ikan-ikan itu, saya sendiri tidak sedar. Di permukaan lombong masih dipenuhi dengan kelopak bunga teratai yang berkembang mekar.
Saya tidak tahu apakah yang saya alami sebentar tadi. Adakah ia realiti atau mimpi, soalan ini masih tidak berjawab hingga sekarang!!!
Bila saya bertanyakan pada Pak Tam, Nasha dan Rudin, mereka hanya melihat saya memancing seperti biasa, sedangkan saya mengalami peristiwa aneh.
Semua orang tahu udang galah memang sedap dimakan tak kira dimasak apa. Tapi ramai yang tak mengetahui bahawa udang galah memiliki banyak manfaat untuk kesihatan jika diambil dengan cara yang sempurna.
Sumber protein yang baik
Udang galah memiliki kandungan protein yang dapat memenuhi keperluan protein tubuh dengan asid amino yang memiliki profil lengkap sehingga mudah diserap oleh tubuh. Apabila Anda ingin menambah otot, pengambilan udang galah dapat membantu anda.
Sumber antioksidan
Udang galah merupakan salah satu makanan laut yang memiliki kandungan aktioksidan yang baik untuk tubuh. Antioksidan dapat membantu tubuh untuk menjaga fungsi kekebalan tubuh, menangkis radikal bebas dan membantu memproduksi antibodi dengan kandungan selenium yang tinggi.
Menurunkan kolesterol jahat
Udang galah bermanfaat untuk menjaga kesihatan kadiovaskular apabila diambil sebagai makanan. Ini kerana udang galah memiliki kandungan asid lemak essential yang berguna untuk menurunkan kolesterol jahat dan mencegah penggumpalan kepingan darah (aterosklerosis).
Mencegah anemia
Anemia merupakan penyakit darah rendah ini dapat anda cegah dengan cara pengambilan udang galah. Dalam menunjang produksi sel darah merah dan membantu mencegah anemia, udang memiliki setidaknya 12% kandungan vitamin B12. Selain itu, konsumsi udang galah juga dapat berperanan dalam proses pembentukan sel darah merah.
Membantu menjaga kesihatan kulit
Pengambilan udang galah dapat membantu tubuh untuk menjaga kesihatan kulit serta mencegah penyakit kulit bersisik (pellagra). Ini kerana udang galah memiliki kandungan vitamin E (aplha tocopherol) dan niasin yang tinggi yang berguna dalam menjaga kesihatan kulit.
Selain itu, udang juga dipercaya memiliki kandungan karotenoid yang disebut astaxanthin yang berguna untuk menjaga kulit tetap sihat dan melindunginya dari penuaan (premature aging).
Membantu memproses lemak
Secara umumnya udang galah memiliki kandungan vitamin B3 (niasin) yang berguna dalam pemprosesan lemak, karbohidrat dan protein hingga menjadi tenaga bagi tubuh manusia.
Membantu mengurangkan risiko depresi
Udang galah juga memiliki kandungan asid lemak essential omega 3 yang mana kandungan tersebut dapat membantu memberikan perlindungan kuat pada risiko depresi serta membantu pula dalam mengembalikan mood seseorang yang telah hilang.
Membantu menguatkan tulang
Udang galah juga memiliki kandungan kalsium dan fosfor yang baik bagi tubuh apabila pengambilan secara teratur. Kalsium dan fosfor merupakan dua zat yang dapat bekerja secara bersamaan untuk membantu membentuk tulang serta gigi yang kuat.
Selain itu, disarankan pula bagi anda untuk memakan udang berserta kulitnya karena kandungan glucosamine pada udang yang berguna bagi tubuh untuk membantu dalam proses pembentukan tulang rawan dan persendian tulang.
Membantu meningkatkan tenaga
Pengambilan udang galah secara teratur dapat membantu meningkatkan tenaga anda setiap hari. Ini kerana udang galah sangat kaya akan zat besi yang dapat membantu meningkatkan tenaga tubuh kita.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...