Semenjak teknik unjun perlahan atau slow jigging (slow pitch) mula menjadi satu fenomena, industri pancingan tanah air yang agak muram kembali bersinar.
Teknik slow jigging yang ternyata berbeza dengan teknik jigging yang sedia ada (fast jigging atau heavy jigging) ini secara tidak langsung juga memberi imbuhan kepada pembekal atau penjual alatan memancing.
Ini kerana kelengkapan memancing yang hampir 100 peratus berbeza. Atau dalam erti kata lainnya, untuk mempraktikkan teknik pancingan slow jigging, anda harus mendapatkan joran, kekili dan jig yang khusus untuk slow jigging.
Mr. Yu
Apabila teknik slow jigging ini semakin popular dan ramai pengikut secara tidak langsung ia turut merangsang pertambahan khidmat sewaan bot memancing.
Dalam masa singkat, perairan Selat Melaka yang menjadi mahligai spesies ikan sasaran dalam teknik slow jigging.
Laluan kapal dagang dari utara ke selatan dan selatan ke utara tanah air yang sedia sibuk bertambah sesak dengan bot dan sampan kecil yang membawa para jigger memburu jenahak dan boron (kerapu).
Bot Red Thunder yang dikemudi oleh Mr. Yu tidak terkecuali mengambil bahagian dalam konsep pancingan yang kian diminati khususnya dari pemancing generasi muda.
Atas tujuan promosi dan penilaian, saya dan beberapa rakan pengamal tegar slow jigging dipelawa untuk turut serta dalam satu trip jigging di perairan laluan kapal.
Boleh dikatakan bot Red Thunder ini merupakan bot terbesar yang berpengkalan di Pelabuhan Klang. Meskipun memuatkan sehingga 9 orang pemancing namun faktor keselesaan ketika berjigging masih terasa.
Kestabilan bot juga menyenangkan sebarang pergerakan meskipun kesemua pemancing berkumpul di sebelah bahagian bot pada satu masa.
Ads
Kecekapan dan komunikasi Mr. Yu mengendalikan bot ketika berhanyut yang menjadi kayu pengukur potensi seseorang tekong ternyata tidak mengecewakan.
Begitu juga dengan lubuk lazim dan lubuk percubaan yang diperkenalkan oleh Mr. Yu amat berpotensi.
Ads
Hanya nasib yang menjadi penentu berikutan ikan-ikan yang dikesan oleh pengimbas fish finder tidak mahu membuka mulut.
Ads
Tatkala trip ujian ini hampir berakhir dengan hasil tangkapan yang kurang memberangsang, jig Papang yang saya gunakan berdekatan kawasan permainan sagai dan gerepoh akhirnya berjaya mendaratkan spesies bernilai tinggi dalam arena unjun perlahan.
Seekor siakap merah dengan skala berat 4 kilogram sehingga kini menjadi tangkapan paling rare bot Red Thunder.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memandangkan keadaan cuaca acap kali hujan dan tidak menentu, maka perancangan memancing hanya tertumpu pada lokasi yang berhampiran sahaja.
Tambahan pula kebanyakan ahli-ahli team berasal dari Lembah Klang lantas kami bercadang untuk memancing di kawasan Kampung Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.
Satu persetujuan telah dicapai dengan tekong Wak Man Sparrow setelah kami menyatakan tujuan untuk menduga perairan berkenaan.
Paling menggembirakan kami ialah, tawaran Wak Man untuk mencuba bot baru milik beliau yang lebih besar dan selesa berbanding bot sebelum ini.
BAGAN TENGKORAK
Kampung Bagan Tengkorak terletak 5 km dari Tanjung Karang Selangor. Kawasan ini terletak di pinggir laut Selat Melaka.
Istilah Bagan bermaksud tepian pantai ataupun jeti di tepi pantai. Kawasan Bagan Tengkorak lebih dikenali sebagai perkampungan Nelayan.
Muara Sungai Tengkorak di sini menjadi lokasi bot-bot nelayan singgah di bagannya. Bot nelayan mudah singgah di sini terutama semasa air pasang.
Sebahagian penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan Cina. Ramai pemancing datang ke Bagan Tengkorak untuk memancing kerana terdapat banyak spesies ikan dan udang yang banyak dan menarik minat mereka.
Terdapat restoran makanan laut yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina dan Melayu.
Perjalanan ke Bagan Tengkorak jika dari Kuala Lumpur tidak mengambil masa yang lama memandangkan keadaan jalan raya dari KL amat selesa.
BLUEFIN SPOT FISHING
Kami tiba di Kampung Bagan Tengkorak pada seawal pagi lagi. Selepas bersarapan kami bergerak ke pasar segar Tanjung Karang untuk membeli stok umpan segar berupa sotong dan ikan tongkol.
Kami juga membeli barang dapur untuk persediaan 3 hari 2 malam di atas bot. Selepas selesai membeli barang keperluan, kami segera menuju ke jeti di mana terletaknya bot milik Wak Man.
Kelihatan bot baru beliau saiznya hampir sekali ganda bot milik beliau yang sebelum ini.
Bot yang dinamakan sebagai Bluefin Spot Fishing amat luas lengkap dengan bilik tidur, dapur dan bilik air yang berlantaikan batu marmar.
Kelihatan ruang dalam bot Bluefin ini amat mewah dengan hasil kerja kayu. Bot ini juga dilengkapi dengan popping deck yang amat luas serta dilengkapi dengan 14 rod holder untuk kemudahan para pemancing.
Selesai memunggah segala peralatan dan barang-barang keperluan, bot segera bergerak menuju ke destinasi.
Kali ini bot dikendalikan oleh anak Wak Man iaitu Ipul yang baru berumur 21 tahun. Walaupun Ipul masih muda, beliau kelihatan cekap mengendalikan bot Bluefin.
Awal-awal lagi kumpulan kami telah memaklumkan kepada Wak Man dan Ipul bahawa ikan sasaran untuk trip kali ini ialah ikan gred A.
Dengan senang hati Ipul bersedia membawa kami ke lubuk terbaik beliau yang dihuni oleh ikan jenahak atau lebih dikenali sebagai bantal emas.
Selepas beberapa jam dilambung ombak akhirnya bot memperlahankan kelajuan.
Kebetulan semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi, kami terserempak dengan apungan.
Apungan ialah istilah tempatan yang membawa maksud sampah ataupun pokok tumbang yang hanyut dibawa arus di lautan.
Peluang ini kami gunakan untuk memancing ikan pecah periuk yang suka tinggal di bawah apungan.
“Kita layan apungan dulu” jerit Tekong Ipul memberitahu kami sambil menuju lokasi apungan yang ditemuinya.
Ini bermakna kami akan memancing ikan pecah periuk sebagai sesi pemanas badan.
Dengan mudah kami berjaya menaikkan beberapa ekor spesies ini yang bersaiz kasar.
Kemudian bot mula bergerak mencari apungan berhampiran yang hanyut dibawa arus. Selepas memanaskan badan dengan hasil tangkapan ikan pecah periuk, bot mula menyambung perjalanan menuju ke lokasi lubuk jenahak.
Perjalanan ke sana mengambil masa beberapa jam lagi.
BANTAL EMAS
Apabila tiba di destinasi yang dimaksudkan, bot mula membetulkan posisi tepat di lubuk. Kami pun menurunkan umpan untuk memancing.
Antara umpan killer yang kami gunakan untuk menjerat ikan jenahak di sini ialah umpan udang lipan hidup yang telah tekong tempah terlebih dahulu dengan harga RM1.50 seekor.
Udang ini mudah didapati di jeti Bagan Tengkorak. Selain itu, sotong hidup juga merupakan umpan power untuk jenahak.
Umpan sotong hidup kami dapati dengan mencandat sementara menunggu ikan memakan umpan. Melihat sonar yang terdapat di dalam bot, lubuk tersebut mempunyai kedalaman 80-90 meter.
Bagi kami yang kebanyakannya menggunakan set manual pasti memeritkan jika memancing dengan kedalaman sedemikian.
Mujur arus yang tidak terlalu laju memberi kelegaan kepada kami. Hanya batu bersaiz 12-14 sahaja yang digunakan disertakan penggunaan tanduk atau ranggung bersama tali perambut berkekuatan 80lb.
Selepas menanti seketika, umpan yang diturunkan mula terasa getuan ikan. Selepas membuat sentapan kemas, salah seorang rakan kami mula bertarung dengan ikan yang memakan umpan.
Melihat dari lentukkan joran, kelihatan seperti ikan besar. Selepas beberapa minit bertarung, akhirnya seekor gerut-gerut berjaya diperolehi.
Kemudian seorang demi seorang ahli trip kami berjaya menaikkan gerut-gerut dalam anggaran berat yang sama sebelum ini. Bayang ikan jenahak masih belum muncul lagi.
Kami meneruskan aktiviti memancing hingga la ke waktu subuh. Apabila fajar mula menjelma, barulah salah seorang rakan kami mendapat ikan sasaran iaitu jenahak.
Namun, melihat saiz ikan berkenaan, ia belum boleh dikategorikan sebagai bantal emas kerana saiznya sekitar 2kg sahaja.
Kemudian seorang lagi rakan kami menerima satu henjutan kuat daripada penghuni di bawah air.
Selepas perlawanan sengit, timbul ikan yang berwarna keemasan di permukaan air. Itu dia! Bantal Emas ataupun jenahak anggaran saiz 5kg yang dicari-cari telah muncul.
Nampaknya jenahak di sini suka memakan umpan pada awal pagi. Maka umpan killer pun diturunkan dengan pantas.
Seekor demi seekor ikan jenahak berjaya dipancing. Kejadian double hook up ikan jenahak juga sering berlaku di kalangan kami.
Selepas fajar meninggi, kelibat jenahak mula menghilang. Tiada lagi hasil yang berjaya dipancing. Tekong Ipul mula menghidupkan enjin bot dan mula beredar ke lubuk lain.
Di lubuk yang lain, hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Hanya beberapa ekor gerut-gerut dan gelama sahaja yang sudi melayan kami.
Tekong Ipul amat rajin bertukar lubuk apabila hasil ikan tidak memberangsangkan.
Selepas hampa dengan hasil pancingan pada waktu siang, tekong Ipul bercadang menuju ke lubuk karang tinggi yang terletak utara Bagan Tengkorak.
Perjalanan ke sana akan mengambil masa beberapa jam dan kesempatan ini kami gunakan untuk tidur dan berehat untuk persediaan berjaga malam pada malam ini.
KAMI BERPESTA
Pada lewat petang kami tiba di lokasi yang dimaksudkan oleh tekong Ipul. Sebelum memancing, makan malam kami siapkan lebih awal.
Selepas solat Maghrib dan makan malam, kami menyambung kembali aktiviti. Mulanya suasana sangat muram sekali. Umpan yang dihulur asyik digetu ikan gelama.
Kehadiran spesies ini merugikan umpan hidup yang kami gunakan. Walaupun begitu kami masih tetap bersabar dan berusaha lagi.
Inilah kelebihan apabila kita menceburi hobi memancing ini. Sifat sabar dapat dipupuk semasa menanti ikan memakan umpan. Memang berbaloi kami bersabar.
Lebih kurang pukul 11.00 malam jenahak yang kami harapkan akhirnya muncul juga.
Kami kemudiannya berpesta jenahak di selang-seli dengan gerut-gerut bersaiz kasar. Jenahak di lubuk ini, rata-ratanya bersaiz melebihi 3kg dan layak digelar sebagai bantal emas.
Selepas lubuk menjadi sunyi, tekong dengan pantas menukar lubuk yang terletak berhampiran.
Kesempatan jenahak yang sedang galak memakan umpan tidak disia-siakan beliau. Di lubuk seterusnya kami masih lagi berpesta dengan hasil ikan jenahak.
Kami meneruskan memancing sehingga stok umpan hidup kami kehabisan. Umpan sotong yang dibeli di pasar juga hampir kehabisan digunakan oleh kami.
Mujur umpan tersebut dapat bertahan sehingga waktu pagi.
TERIMA KASIH TEKONG IPUL
Dengan hasil yang memberangsangkan serta stok umpan yang kehabisan, kami bergerak awal pulang ke jeti.
Nampaknya kunjungan kami memancing di perairan Bagan Tengkorak berjaya lagi. Kami bersyukur dengan rezeki yang diberikan kepada kami.
Kami juga amat berterima kasih kepada anak Wak Man iaitu Ipul yang cukup muda umurnya tetapi amat berpengetahuan luas mengendalikan bot dan berpengetahuan tentang lubuk di sekitar perairan Bagan Tengkorak.
Kami pasti kejayaan trip kami ini di Bagan Tengkorak akan dimasukkan di dalam kalender kami pada tahun-tahun akan datang.
Nama kolam memancing Seri Bayu Tekala mungkin tidak asing penggemar pertandingan memancing kolam air tawar.
Sebaliknya, nama Seri Bayu Batangsi Fishing Pond (Kolam Memancing Seri Bayu Batangsi) mungkin agak janggal meskipun bagi follower kolam Seri Bayu Tekala.
Hakikatnya, jika kolam Seri Bayu Tekali dikenali sebagai kolam pertandingan memancing terbesar di Malaysia, Seri Bayu Batangsi Fishing Pond (SBBFP)pula bakal dinobatkan sebagai kolam casting terbesar tanah air, apabila beroperasi tidak lama lagi.
Sebagai langkah promosi memperkenalkan kolam casting ini kepada peminat teknik mengilat, SBBFP berkolaborasi dengan Silibin Tackle bagi menganjurkan Rapala Casting
Challenge 2019 yang bakal berlangsung pada 14 April (Ahad) ini, bertempat di SBBFP yang terletak di Semenyih, Kajang. Tidak jauh dari Kolam Memancing Seri Bayu Tekala.
Menurut wakil pengurusan kolam, Faizal Khan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam, para peserta yang bakal menyertai pertandingan ini tidak perlu risau tentang saiz kolam dan ikan pelahap gewang yang terdapat di dalam kolam.
Dengan keluasan melebihi dua padang bola, 150 bakal peserta mampu mengilat dengan selesa.
Begitu juga dengan spesies penyambar gewang yang telah ditempatkan. Sekurang-kurangnya sudah terdapat 8 spesies penyambar gewang seperti peacock bass, siakap air
tawar, toman, sebarau, redtail catfish, chaophraya catfish, pacu dan haruan dalam jumlah ribuan ekor sedang membesar dengan sihat.
Bagi sesi tournament merangkap pre launch kolam, beberapa syarat telah ditetapkan.
Dengan yuran penyertaan RM60.00, para peserta akan bertarung selama 4 jam bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Para peserta juga tidak dibenarkan menggunakan gewang selain dari jenama RAPALA, STORM dan TRIGGERX. Hanya penggunaan mata tunggal (SINGLE HOOK) yang dibenarkan pada gewang.Manakala sistem permarkahan dikira dengan jumlah mata tertinggi terkumpul.
Jadi, pastikan anda tersenarai dalam 10 peserta bertuah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan.
Pemancing di Malaysia amat beruntung kerana terdapat banyak spot-spot yang berpotensi dan menarik untuk menjalankan aktiviti pancingan khususnya air tawar.
Selain dari tasik-tasik empangan dan sungai-sungai utama serta taburan lombong-lombong yang terdapat di sekitar tanah air, pemancing kita turut mempunyai kecenderungan untuk melampiaskan gian bertarung dengan ikan idaman di kolam-kolam komersial.
Terdapat banyak kolam berbayar yang diwujudkan bagi menarik minat pemancing-pemancing untuk menduga nasib tidak kiralah sama ada kolam air masin mahu pun air tawar.
Kolam Alang Saleh
Kolam Memancing Alang Saleh yang terletak di Rantau, Negeri Sembilan adalah antara kolam air tawar yang menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Rantau adalah sebuah bandar kecil yang dihuni kira-kira 8000 orang penduduk.
Terletak di antara Seremban dan Port Dickson, Rantau dikelilingi oleh banyak bandar-bandar kecil seperti Kuala Sawah, Siliau, Kg. Sega, Linsum, dan Ayer Kuning, menjadikannya antara bandar utama di Negeri Sembilan.
Jarak pemanduan dari Kuala Lumpur juga tidak jauh hanya memakan masa lebih kurang 45 minit melalui lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan serta lebuh raya Kajang Seremban (LEKAS).
Secara umumnya, kolam ini mengenakan bayaran masuk serendah RM10 untuk 3 jam (boleh rujuk yuran terkini dengan pihak kolam) dan pemancing boleh memancing di kolam utama berhampiran dengan kaunter pembayaran.
Manakala sebuah lagi kolam di bahagian belakang dikhaskan bagi pancingan tangkap dan Lepas (C&R) dengan kadar bayaran RM20 untuk setiap pemancing tanpa sebarang had masa.
Kunjungan Ke Kolam CnR
Bagi sesetengah pemancing pasti akan berpersepsi ‘apa kelas main ikan asrama’. Ada juga yang beranggapan bahawa ikan kolam komersial tidak memberi tentangan yang diharapkan.
Namun, sekiranya kena dengan kolamnya pasti tanggapan anda akan berubah sama sekali. Salah satu kolam yang saya maksudkan tentulah di kolam Alang Saleh ini sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ikan-ikan di kolam ini memang kuat tentangannya.
Telah banyak kes tali utama meletup serta mata kail terkangkang kerana digasak penghuni di sini. Tidak kurang juga dengan kes-kes lost control akibat dibuli oleh gangster-gangster kolam air tawar ini.
Tetapi mengapa ikan-ikan di sini begitu kuat? Tidak dapat saya perjelaskan. Mungkin kerana kualiti airnya yang baik, ataupun kerana ikan-ikan di sini sememangnya bersaiz baik.
Spesies Target
Semasa kunjungan kami ke sini, kami menyasarkan untuk mengilat ikan pacu sebagai target utama kerana pada kunjungan beberapa rakan sebelumnya, pacu di sini begitu ramah meragut gewang dan saiznya begitu mengujakan.
Kami tiba seawal jam 8.00 pagi dan terus memulakan sesi mengilat. Pada pengamatan kami, banyak ikan yang aktif bermain di permukaan air pada waktu ini.
Balingan demi balingan dilakukan, pelbagai gewang telah dicuba namun tiada sebarang sambaran diperolehi selama hampir 2 jam. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menukar strategi.
Mujurlah saya ada membawa 3 buku roti putih yang pada asalnya untuk dijadikan alas perut kami namun bertukar menjadi ‘insurans untuk mendapatkan strike’.
Memandangkan kami tidak membawa sebarang peralatan untuk membottom dan ikan pula masih lagi terus aktif bermain di permukaan air, kami mengambil keputusan untuk mengapungkan roti dengan mengepalnya pada popper yang berperanan sebagai pelampung.
Perubahan taktik membuahkan hasil kerana kami berjaya mendapat sambaran demi sambaran. Patin yang banyak mendominasi tangkapan kami. Perlawanannya begitu menghiburkan dan mendebarkan.
Pacu yang menjadi sasaran juga dapat didaratkan dengan saiz yang begitu mengujakan. Kami berpuas hati kerana masing-masing dapat merasai tarikan padu penghuni kolam pada kunjungan kali ini.
Patuhi Etika Pemancing
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat menjalankan aktiviti yang sihat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh sambaran itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan setiap pemancing.
Hargailah lapangan pancingan kita tidak kiralah sama ada di kolam-kolam komersial mahu pun di lombong, tasik, sungai mahu pun muara dengan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata demi keselesaan bersama.
Sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati.
Tanamkan inisiatif bagi membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Di kolam seperti inilah amalan ‘tangkap dan lepas’ (C&R) dapat diterapkan pada diri setiap pemancing.
Facebook: http://facebook.com/kolampancingalangsaleh
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...