Apabila rakan-rakan dalam `Grup Temoh’ sesekali mengadakan trip meruan atau memancing haruan ke sebuah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan di Temoh, Perak, saya gemar untuk turut serta dalam trip tersebut. Walaupun memancing haruan merupakan misi utama trip namun saya lebih menggemari aktiviti santai pada waktu tengah hari iaitu memancing ikan puyu.
Sebagaimana ikan haruan, puyu turut sama merupakan spesies pengacau yang tidak dikehendaki kewujudannya di kolam ternak tersebut. Justeru saya diberikan lesen penuh malam penyelia kolam ternak tersebut turut sama menyertai saya memancing puyu. Seperkara lain, saya lebih seronok menguji keberkesanan sesuatu umpan yang digunakan berikutan kolam ternak tersebut dihuni pelbagai jenis ikan air tawar.
“Umpan apa pulak kali ni, Mang?” tanya Halim, penyelia kolam ternak tersebut apabila melihat saya mengeluarkan kelengkapan dan peralatan untuk memancing puyu.
Ads
Umpan palet berperisa khusus untuk puyu dan lampam
“Palet, bang… nak test palet khas untuk puyu ni. Katanyalah… tapi palet senang ni nak pakai, terus cucuk kat mata kail tak perlu nak rendam atau campur bahan-bahan perisa lain lagi,” jelas saya panjang lebar sambil menghulurkan bungkusan palet kepada Halim. Tanpa bertanya lebih lanjut lagi, Halim segera mengambil tempat dan memancing bersama. Namun beliau tidak menggunakan palet tersebut, sebaliknya menggunakan umpan yang biasa digunakan, cengkerik.
Ketika kunjungan kami ini, kolam sedang berhadapan dengan masalah cuaca panas yang menyebabkan penurunan paras air dan banyak juga ikan peliharaan yang mati. Ikan-ikan turut menjadi kurang aktif. Ini boleh dilihat dengan lambakan sayuran di dalam kolam yang lazimnya habis dalam masa singkat.
Ads
Namun nasib saya agak baik juga kerana masih ada ikan yang sudi mengambil umpan yang saya gunakan tanpa menunggu lama. Dan lebih menggembirakan saya, spesies yang memakan palet tersebut adalah puyu. Begitu juga dengan spesies kedua dan ketiga yang saya berjaya daratkan. Semuanya puyu walaupun pelbagai spesies diternak termasuklah spesies pelahap seperti tilapia dan lampam.
Ads
Setelah melihat beberapa ekor puyu yang berjaya saya naikkan, Halim mengarau kembali kekilinya dan menukar umpan cengkerik yang langsung tidak disentuh oleh apa-apa jenis ikan kepada palet. Tidak lama kemudian, beberapa orang pemancing tegar haruan yang berteduh kepanasan, seorang demi seorang keluar dari pondok dan menyertai kami memancing puyu.
Jelawat yang turut memakan umpan palet
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip trekking meranduk sungai pergunungan kali ini terjadi gara-gara tak mendapat maklumat lengkap. Tambah pula ia adalah trip menyelit jemputan kawan ke atas kawan. `Hutan Jengka. Trek hardcore. Mancing kawasan campsite.’ Itulah maklumat awal yang penulis dapat sehari sebelum menyertai trip tersebut.
Destinasi dan maklumat sebenar hanya diketahui ketika semua ahli trip berkumpul sebelum konvoi 9 buah pacuan empat roda ke Lepar Utara, iaitu Sanka 4. Trek hardcore. Lubuk mancing kira-kira 4-5 jam meranduk sungai pergunungan dari campsite.
Tiada apa lagi yang boleh dilakukan apabila mendapat tahu status sebenar trip tersebut. Nak tarik diri pun dah tak boleh. Nak tak nak, hadap je la. Sanka merujuk kepada sungai. Sanka 4 membawa makna spot yang menjadi destinasi setelah merentas 4 buah sungai.
Sekitar jam 7 pagi, konvoi sudah pun berada di kemuncak tertinggi di hutan simpan Hulu Lepar. Namun ia baru separuh perjalanan jalan balak sejauh 60 km. Cuaca yang amat baik melancarkan perjalanan konvoi. Trek hardcore hanya akan ditempuhi apabila memasuki simpang ke Sanka 4 atau hulu Sungai Tekai.
Namun, perancangan memasuki hutan seawal jam 4 pagi yang disangka satu langkah bijak ternyata terkebelakang juga. Kesan-kesan tayar yang masih baru di persimpangan ke Sanka 4 menunjukkan ada grup lain yang masuk lebih awal dari kami.
Umpama casting dengan menggunakan bot, apabila sesatu suak atau lubuk itu telah ada bot lain maka wajiblah beredar mencari suak lain pula. Begitulah juga hukumnya apabila Sanka 4 sudah dimasuki oleh grup lain maka tidaklah boleh kami redah juga.
Biarpun secara rohaninya trip ini berakhir, tapi alang-alang sudah jauh ke tengah hutan belantara, kami meneruskan perjalanan ke Sanka 3. Trek ke Sanka 3 merupakan jalan balak yang masih aktif. Meskipun kongsi balak di pinggir sungai utama iaitu Sungai Tekai sudah ditinggalkan namun kerja-kerja mengeluarkan kayu balak masih dilangsungkan.
Namun ketua konvoi memutuskan tidak mendirikan campsite di situ sebaliknya meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menemui anak Sungai Tekai dan di anak sungai dengan paras air setakat tulang kering itulah campsite didirikan!
Setelah mendirikan khemah dan mengalas perut, kurang satu perempat dari ahli trip yang merupakan ‘pemancing’ terpaksa kembali ke Sungai Tekai untuk ekspedisi memancing. Hazani, anak jati Lepar Utara yang merupakan guide kami meranduk ke hulu sungai manakala kami berlima meranduk mengikut arus sungai paling dalam separas paha ke hilir.
Hampir setengah hari mudik dan kemudian meranduk arus kembali tempat asal tanpa tidur pada malam sebelumnya maka dapatlah seekor kelah kurang dari setengah kilo, kejor dan tengas sebesar empat jari dan beberapa ekor sikang dan sebarau yang kesemuanya dilepas dan terlepas kembali ke habitat asalnya.
Namun Hazani yang meranduk ke hulu seorang diri hampir 5 kilometer memperolehi hasil yang baik juga selamat dijadikan juadah kami pada senja tersebut. Hasil yang diperolehi oleh Hazani itu membuatkan kami sepakat untuk mendesak ketua konvoi bertukar campsite ke Sungai Tekai.
Namun apabila kami tiba di campsite, hasrat itu berkubur begitu saja apabila ditayangkan hasil menjala berdekatan campsite di anak sungai Tekai. Macam tak percaya juga ada kelah merah yang agak kasar juga di anak sungai tersebut. Mahu tak mahu, sungai separas tulang kering itu akan diranduk hingga ke hulunya pada keesokan harinya.
Walaupun ada ahli trip yang sudah putus harap namun ada pula ahli baru menyertai ekspedisi meranduk ke hulu anak Sungai Tekai. Bergerak secara berkelompok dan berperingkat, saya bersama seorang rakan bergerak dalam kelompok kedua terakhir.
Meranduk melawan arus sememangnya memenatkan apatah lagi jika hanya memakai sandal. Namun lebih memenatkan setelah setengah meranduk, tiada satu spot pun yang berpotensi untuk melontar gewang.
Sungainya terlalu mendatar tanpa lubuk dalam. Akhirnya setelah satu jam meranduk sungai dan menyusur tebing, saya mula hilang harapan untuk bertemu lubuk dan memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.
Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat berikutan laporan memberangsangkan selain kekecewaan yang dibawa pulang oleh kelompok pertama yang meranduk sehingga ke punca air anak sungai tersebut. Hampir 10 kilometer mereka redah namun tidak ketemui lubuk yang diimpi-impikan selain terkapar kepenatan.
Sejak sekian lama saya telah diapi-apikan dengan cerita tenggiri yang memasuki perairan Pantai Timur. Oleh kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, maka hajat untuk menduga perairan ini terpaksa saya tangguhkan ke tahun ini.
Segala perancangan dibuat bagi mendapatkan waktu yang sesuai untuk menduga perairan ini. Setelah menghubungi semua rakan-rakan kaki pancing tegar, maka tarikh telah ditetapkan pada bulan April untuk menguji perairan Pekan, Pahang.
Seminggu sebelum kami menyertai trip ini, tekong telah memberitahu bahawa ikan tenggiri telah menyerang perairan Pekan, Ini membuatkan kami tidak sabar untuk menduga perairan tersebut.
Pada awalnya kami disertai oleh 10 orang ahli, tetapi pada saat-saat akhir, hanya 8 orang yg mengikuti trip ini.
Trip ini juga disertai seorang otai bagi pancingan laut iaitu Uncle Chong. Beliau banyak memberi tip dan teknik untuk memancing di laut dalam.
Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada pukul 2.30 pagi. Kami tiba di Pekan pada pukul 6 pagi dan terus bersarapan di sana. Pada pukul 7, kami bertemu dengan tekong dan terus membawa kami ke jeti.
Kami menaiki bot sepanjang 36 kaki yang di kemudi oleh tekong Che Min. Tekong Supian bertindak sebagai awak-awak. Ini bermakna dalam trip kali ini kami disertai oleh 2 orang tekong yang mempunyai banyak pengalaman di perairan ini.
HARI PERTAMA
Kami memulakan perjalanan menuju ke Unjam yang terletak 20 batu nautika dari pantai untuk mendapatkan umpan hidup seperti tamban, kembung, selar dan kerisi.
Setibanya di unjam, tekong memberi isyarat untuk menurunkan apollo untuk mengutip seberapa banyak umpan hidup untuk dijadikan umpan untuk ikan tenggiri.
Sedang rancak kami mengunjun mata apollo, tiba-tiba kekili Ryobi Ecusima 6000vi milik Uncle Chong berdesing. Kami sangkakan sambaran tersebut adalah tenggiri, tiba-tiba seekor layaran terbang di permukaan.
Suasana terus menjadi riuh rendah melihatkan aksi layaran beberapa kali terbang di permukaan. Setelah hampir 15 minit bertarung, Uncle Chong berjaya mendaratkan ikan layaran seberat hampir 20 kg.
Selepas sesi bergambar, kami melepaskan semula ikan tersebut oleh kerana ikan layaran adalah spesies dilindungi di perairan Malaysia. Setelah selesai mendapatkan umpan hidup,
kami meneruskan perjalanan menuju Pulau Berhala yang terletak kira-kira 60 batu nautika daripada persisiran pantai.
Setibanya di lubuk yang berhampiran, tekong melabuhkan sauh dan kami terus melempar umpan. Ada juga yang mempraktikkan teknik jigging dan casting.
Sedang kami menunggu, tiba-tiba teknik casting yang dimainkan oleh Solihin mendapat sambaran. Setelah 10 minit bertarung, beliau berjaya menaikkan alu-alu seberat 3.7 kg.
Tidak berapa lama kemudian umpan milik Adrin (Meng) pula mendapat sambaran tenggiri.
Setelah didaratkan, kami mendapati ikan tenggiri dalam lingkungan berat 3 kg tersebut telah dibaham di bahagian ekor. Mungkin dimamah oleh penghuni monster di bawah sana. Pada sebelah petang kami menukar lubuk untuk mencandat sotong.
Hasilnya kurang memberangsangkan, kerana sotong belum berada di perairan Pekan. Tetapi tidaklah mengecewakan. Kami berjaya menaikkan tidak kurang dari 10 ekor sotong bersaiz antara 200-500 gram.
SERANGAN HENDAP
Selepas senja, tekong menyediakan santapan malam untuk mengisi perut kami yang kosong. “Ikan tak mahu makan, kami yang makan”.
Setelah selesai makan, kami meneruskan sesi pancingan kami. Ada yang menghanyutkan umpan dan ada yang mempraktikkan pancingan dasar.
Satu sambaran diterima menyebabkan kekili Banax fx5000 milik saya berdesing, sentapan dilakukan dan pertarungan dimulakan. Beberapa minit kemudian, ‘tasssss”, perambut putus.
Pada malam ini sahaja, banyak umpan yang rabut dikerjakan tenggiri. Pada tengah malam, sedang kami berehat, kami diserang hendap oleh segerombolan ikan cupak. Tidak menang tangan kami dibuatnya.
Selang beberapa minit, pasti ada cupak bersaiz 500 gram -1.5 kg dinaikkan. Banyak juga ikan tetanda bersaiz 200-700 gram berjaya dinaikkan pada malam tersebut.
Dalam pada itu, sekali lagi Uncle Chong mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan cupak bersaiz 2 kg dan kerapu bersaiz 1.5 kg. Ikan todak berskala 2 kg juga berjaya dinaikkan beliau.
HARI KEDUA
Pada awal pagi, kami meneruskan aktiviti pancingan kami di beberapa lubuk sekitar Pulau Berhala. Pada pagi ini, teknik menghanyut mendominasi pancingan kami.
Umpan semakin berkurangan, oleh itu beberapa orang rakan pemancing kembali mencari umpan menggunakan teknik apollo. Kami terus menanti sentapan daripada ikan tenggiri. Tiba-tiba sekali lagi umpan Uncle Chong mengena.
Selang beberapa minit, kelibat tenggiri muncul di permukaan. Tenggiri seberat 3.8 kg berjaya didaratkan. Setelah matahari tegak, kami memulakan perjalanan balik ke jeti.
Dalam perjalanan balik kami sempat singgah di unjam berhampiran untuk mendapatkan sedikit sebanyak ikan kembung, selar, tamban dan kerisi untuk dibawa pulang.
Apabila tiba di lokasi unjam, kami sekali lagi menggunakan teknik hanyut untuk mencuba nasib. sambil memerhatikan rakan yang lain ‘meng-apollo’, umpan saya disentap kuat sehingga menyebabkan separuh tali dari kekili keluar tanpa henti.
Walaupun drag telah diketatkan tali masih lagi keluar. Sedang bertarung, kami sekali lagi menyaksikan seekor ikan layaran melompat di permukaan. Saya terus menggulung tali dan pertarungan telah masuk 20 minit.
Sedang asyik melayan asakan mangsa, umpan milik awak-awak yang hanya menggunakan koyan mendapat sambaran dari seekor lagi layaran. Pertarungan saya hampir ke-30 minit dan mangsa akhirnya berjaya dihela menghampiri bot.
Awak-awak terus menaikkan ikan layaran tersebut dan dianggarkan berat melebihi 35kg. Di sebelah kanan, pertarungan masih lagi berlangsung.
Apabila ikan menghampiri bot, sekali lagi ikan berjaya melepaskan diri. Selepas selesai ‘meng-apollo’, kami meneruskan perjalanan pulang ke jeti.
Apabila tiba di jeti, kami membahagikan hasil tangkapan kami kepada semua pemancing. Kini barulah badan kami terasa letih. Tetapi, bagi kami trip kali ini berbaloi kerana hasil tangkapan memuaskan hati kami.
Lebih-lebih lagi, dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertarung dengan ikan layaran. Bukan sekali tapi 3 kali dapat melihat aksi ikan tersebut melakukan akrobatik di udara.
Selepas ini mungkin kami akan kembali ke sini untuk menduga ikan di dasar pula. Ini kerana banyak lagi lubuk yang masih belum lagi kami kunjungi untuk menguji kekuatan penghuni dasarnya.
Walaupun kurang menjadi destinasi pilihan utama bagi kaki pancing, Melaka masih mempunyai beberapa lokasi pancingan dengan tarikan tersendiri.
Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki pancing di Melaka ialah sekitar perairan Pantai Siring yang terletak dalam kawasan Umbai.
Perairan Pantai Siring mempunyai beberapa buah kelong kecil yang sering menggamit kaki pancing untuk datang ke sini. Kedudukan geografi dengan pantai yang terlindung hasil daripada beberapa buah pulau seperti Pulau Besar, Pulau Serimbun dan beberapa buah pulau kecil lain pula membantu perusahaan kelong di sini.
Selain daripada itu, kedudukan geografi dan pulau-pulau kecil berbatu ini juga menjadikan perairan di sini berpotensi untuk aktiviti mengilat dan light jigging.
Menurut Tekong Abu, aktiviti casting dan light jigging di sini bermula sudah lama jadi tidak hairanlah perairan sekitar pulau-pulau di Pantai Siring ini mampu menjadi daya tarikan utama bagi kaki casting dan light jigging.
Terjah Pantai Siring
Penulis berkesempatan untuk meluangkan masa sehari suntuk menjengah di perairan sekitar pulau-pulau kecil di sini dan melepaskan gian memancing dengan aktiviti light jigging dan mengilat.
Tarikh yang dipilih setelah menerima jemputan trip terjah oleh Tekong Abu ini pula kebetulan jatuh pada tarikh yang sama dengan trip Kelab Pemancing Wanita yang rata-ratanya naik ke Kelong Abu.
Kecoh juga jadinya. Sewaktu mula menaiki bot untuk menerjah ke lubuk yang telah dirancang, kami menyedari keadaan air yang begitu keruh dan juga hujan lebat sejak semalam. Walaupun sedikit hampa, namun apa yang dirancang perlu diteruskan, terjah tetap terjah.
Kami mempertaruhkan jig dan sesudu dengan berat sekitar 25gm hingga 30gm sebagai pilihan utama. Selebihnya kami menduga lubuk dengan menggunakan pelbagai jenis gewang. Seperti diduga ketika awalnya, trip terjah kami sedikit mengecewakan.
Keadaan air yang keruh dan tiupan angin yang tidak menentu sedikit membataskan sesi pancingan. Namun begitu, Tekong Abu yang lebih gemar teknik mengilat berhasil juga menaikkan baby talang dengan sesudu Abu Garcia Koster berwarna perak.
Sejurus selepas itu, jig Saira Braid 30gm yang penukis gunakan disambar kemas pula oleh seekor baby GT uat pengubat trip terjah ini.
Potensi Spot Light Jigging
Walaupun terdapat beberapa henjutan selepas itu namun semuanya gagal dinaikkan. Tiada rezeki nampaknya. Sebenarnya, kawasan sektar pulau-pulau kecil ini cukup berpotensi bagi aktiviti light jigging, casting dan juga popping.
Perairan tidak terlalu dalam dan muka buminya lubuk berbatu cukup meyakinkan kami ada penghuninya.
Penggunaan gewang berwarna perak paling efektif di sini untuk teknik mengilat dan bagi teknik light jigging pula penggunaan jig seberat 25gm hingga 30gm sangat efektif dengan pilihan warna yang terang seperti merah atau biru.
Spesies yang sering dinaikkan pula termasuklah GT, talang, kerapu, ebek, sagai dan lain-lain pula dengan berat sekitar 2kg hingga 5kg. Dengan penggunaan set ringan, pasti cukup mengasyikan melayan asakan spesies tersebut untuk dinaikkan.
Selain itu menurut Tekong Abu, lokasi di sini semakin hari semakin mendapat perhatian kaki pancing untuk mencuba aktiviti dan pakej light jigging dan casting.
Jika air cantik, batu karang dan dasar sekitar Pulau Undan misalnya boleh dilihat dengan jelas. Jangan gunakan jig terlalu berat kerana perairan di sini hanyalah sekitar 15-30kaki.
Kaki pancing harus tahu, berapa jig akan jatuh hingga ke dasar sebelum karauan dan unjunan dilakukan. Ini bagi mengelakkan jig mudah tersangkut di karang.
Potensi lain yang boleh dilakukan di sini adalah menggunakan popper kecil dengan membalingnya di kawasan hempasan ombak yang menghempas batuan tebing pulau.
Kerap kali sebelum ini, kaki pancing yang dibawa Tekong Abu berjaya menaikkan spesies talang dan juga GT.
Selain itu, dengan adanya beberapa buah kelong di sini juga boleh dijadikan lokasi menginap dan pancingan santai. Jika sudah penat dan rentung dengan casting dan light jigging, boleh juga berteduh menghilangkan penat di kelong yang ada di sini.
Penulis tidak hairan jika perairan Pantai Siring ini menjadi lokasi popular bagi aktiviti light jigging jika kawasan ini dijaga dan diurus dengan cekap oleh penduduk, Persatuan Nelayan dan pihak berkuasa tempatan malah mampu menjadi punca pendapatan sampingan penduduk sekitar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...