IKLAN

 

Oleh: Zulkifle Zul

Trip trekking ke Royal Belum ini merupakan trip kedua saya. Ia rentetan ingin mengulangi betapa seronoknya casting dan trekking yang kena dengan jiwa saya.

Dalam trip terdahulu saya telah pun sampai ke Sungai Kebeng.

 

Hajatnya trip kedua ini ingin mengulangi lokasi yang sama, namun atas beberapa halangan terutama kesukaran beberapa orang rakan mengambil cuti, terpaksalah trip kali ini disingkatkan kepada 4 hari 3 malam dan hanya sampai di Sungai Ketir.

 

Selepas solat Jumaat, saya, Zack, Encik Mohd, Pak Abu, Ajak, Zaki dan Acang Kopeng mulai bertolak ke Grik dari Kuala Lumpur.

Sebelum tiba kami sempat berehat dahulu di R&R Sungai Perak sambil berbincang apa yang patut.

 

Kami bermalam di rumah rakan, Pok Jan di Gerik yang juga tekong dan pemandu boathouse di Royal Belum. Malam itu, kami membahagikan barangan sama rata yang akan dibawa.

Sambil perkena air kopi dan biskut, kami rancak berborak terutama mendengar pengalaman guide sambil seorang demi seorang kami akhirnya tertidur.

 

HARI PERTAMA

 

6.00 am

Awal-awal pagi lagi, kami telah bangun dan bersiap dengan barangan masing-masing. Masing-masing memeriksa barangan takut-takut ada yang tertinggal.

Sebelum ke Jeti Tasik Banding, guide terlebih dahulu pergi ke pasar pagi di Pekan Grik untuk membeli barangan keperluan untuk memasak seperti bawang, cili api, halia dan sebagainya.

Tepat jam 7 pagi, selepas semua barang kelengkapan dipunggah ke dalam dua buah bot, terus sahaja di pacu laju meninggalkan jeti.

 

Perkara wajib yang wajib dipatuhi oleh semua pengunjung ke Royal Belum adalah mesti mendaftar permit masuk dan mengisytiharkan segala aktiviti sepanjang tempoh berada di sini.

Sejurus selesai mendaftar permit, terus sahaja tekong memacu bot menuju ke Sungai Kejar. Alhamdulillah perjalanan berjalan dengan lancar dan kami tiba di kuala Sungai Kejar.

IKLAN

 

Dengan lafaz bismillah sekali lagi, saya dan rakan-rakan memulakan langkah meneruskan perjalanan. Dua orang guide iaitu Khairul, Janggut berjalan di hadapan kami.

Manakala dua lagi guide iaitu Along RB dan Gan Craf berjalan di belakang kami.

 

Sebenarnya trek perjalanan di hulu Sungai Kejar ini tidaklah sesukar mana jika ingin dibandingkan dengan trek Sungai Terenggan di Tasik Kenyir.

Ini berdasarkan pengalaman saya yang telah beberapa kali trekking di sana.

Tidak seperti di Sungai Terenggan, trek di sini agak rata dan tidak terlalu bengkang bengkok dan banyak mendaki serta menuruni bukit.

Dalam perjalanan, kami bertemu dengan beberapa kumpulan lain yang turut sama trekking serta kumpulan orang asli yang mendiami sekitar kawasan ini dan juga pokok rambai yang ranum berbuah.

 

3.00 pm 

Kami selamat tiba di Sungai Ketir, iaitu lokasi yang menjadi spot kami selama 4 hari 3 malam.

Guide membantu membina kawasan perkhemahan dengan membina tempat untuk memasak.

Bagi saya, tidur di dalam hammock sudah cukup memadai dan saya merasakan ia paling sesuai seandainya bila di dalam hutan berbanding di dalam khemah tertutup.

 

Beberapa orang rakan, terutamanya Pak Abu, Acang Kopeng dan Ajak melayan bottom di depan khemah, manakala rakan lain termasuk saya masuk tidur awal pada malam itu.

IKLAN

Punyalah semangat nak pergi casting esok hari, malam itu, saya terus memakai kelengkapan terutama baju dan seluar untuk casting.

 

HARI KEDUA

 

6.30 am

Awal pagi lagi, saya dikejutkan dengan riuh rendah di hadapan khemah. Rupa-rupanya, joran pak Abu yang ditambat telah mengena.

Sah… bila melihat Pak Abu menahan asakan lenturan joran, kelah besar yang telah mengena. Akhirnya kelah yang dianggarkan 4 kg berjaya ditewaskan.

Senyum lebar Pak Abu bila umpan sebiji sawit berjaya menggoda kelah.

 

Selesai sarapan, saya, Zack, Encik Mohd dan Ajak bersiap sedia untuk ke bahagian hulu untuk casting. Kami ditemani oleh guide Janggut dan Khairul.

Banyak juga sebarau dan tengas berjaya kami perolehi dan hampir kesemua sebarau yang kami perolehi dilepaskan semula.

 

10.00 am

Tiba di Lubuk Panjang (mendapat nama kerana terdapat lubuk dalam yang panjang), saya yang berada tidak jauh dari Zack telah dikejutkan oleh Zack yang tiba-tiba sahaja kelihatan sedang menahan asakan padu.

Memandangkan dia hanya menggunakan rod Storm Discovery 4-10lb, tali 10lb & perambut 20lb, Zack agak lama bertarung.

Selepas lama dia bergasak, akhirnya dia menjerit keriangan apabila badong rupa-rupanya yang menyambar sesudu jenama Bakau warna tembaga 12 gram yang harganya bawah RM5 sahaja.

 

Kami meneruskan lagi trip berkenaan sehinggalah petang sebelum kembali semula ke khemah.

Malam itu, kami menikmati hidangan ikan kelah bakar dan juga hidangan lain iaitu masak lemak cili api berserta hidangan sayur pucuk paku yang banyak tumbuh di sekitar khemah.

 

HARI KETIGA

 

7.00 am

Kami meneruskan kembali aktiviti, sama seperti pecahan kumpulan semalam. Manakala Zaki, Acang Kopeng dan Pak Abu setia membottom tidak jauh dari khemah sambil, Acai Kopeng dan Pak Abu cuba-cuba juga membottom hingga ke pertengahan Lubuk Panjang.

Apa yang menyeronokkan bagi saya adalah, hari ketiga ini, saya lebih banyak memperoleh tengas menggunakan sesudu.

Asalkan baling sahaja di lubuk dan spot berpotensi, pasti ada tengas yang rata-ratanya sebesar lengan kanak-kanak dan orang dewasa mengena.

 

Bagi saya, Zack dan Encik Mohd, kegilaan tengas menyambar sesudu seperti Abu Island II (warna perak dan tembaga), Bakau dan gewang murah seperti Ofmer membuatkan kami amat seronok, apatah lagi merasai henjutan dari rod yang melentur dan keluarnya tali dengan laju apabila drag dilonggarkan sedikit.

 

HARI TERAKHIR

 

Zack nampaknya seakan mengulangi kejadian hari kedua apabila umpan sawit peram yang dilontarkan di hujung kepala lubuk pada malamnya berjaya menarik perhatian sang kelah.

 

Pada hari terakhir, kami hanya casting sekejap sahaja berhampiran kawasan khemah dan selesai makan tengah hari, kami bertolak pulang semula ke Sungai Kejar di mana tempat bot kami ditinggalkan.

Sesungguhnya, memori casting di hulu Taman Negeri Royal Belum akan terpahat dalam ingatan saya dan saya teramat rindu untuk menjengah lagi ke sini.