“Obor-obor beracun (Portuguese Man O War) dikesan di pesisir Pantai Paka. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati kerana difahamkan racunnya masih aktif walaupun sudah mati.”
Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ masih beracun walaupun sudah mati. Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Dipanggil Portugese Man O’ War kerana sifat tubuh badannya seakan kapal perang yang sedang berlayar di lautan, Spesies ini sentiasa disalah tafsirkan sebagai jellyfish walhal ia sebenarnya siphonophore, haiwan yang terdiri daripada koloni organisma yang bekerjasama. Ia juga dikenali dengan nama ‘bluebottles’ kerana warna mereka yang bewarna ungu-biru.
Ads
Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat dan panjang tentekelnya mampu mencapai seperti manusia dewasa dan sengatannya mampu menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali boleh membawa kepada maut.
Sekiranya anda disengat, anda dinasihatkan bergegas untuk mendapatkan rawatan kerana simptom sengatan oleh haiwan ini dapat dilihat seawal 3 minit. Sehingga kini, masih tiada lagi penawar untuk racun ini dan pakar hanya mampu menyediakan ‘painkiller’ sahaja kepada pesakit untuk melegakan kesakitan.
Kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai Terengganu disebabkan faktor musim monsun timur laut. Setakat ini penemuannya dilaporkan di Pantai Seberang Takir.
Ads
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan laporkan kepada pihak berkaitan jika menemui obor-obor ini.
LAPORAN PEMANTAUAN
Ads
Rentetan: Paparan di akaun media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen petang 23 Jan 2023 tentang kehadiran obor-obor jenis Portuguese Man o’War pihak Angkatan Pertahan Awam Daerah Kuala Terengganu / Kuala Nerus telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dengan Kekuatan 1 Pegawai Pasukan dan 3x Anggota dan telah menjumpai bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.
Hidupan ini juga disifatkan antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya yang mana boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.
Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang altiviti di persisir Pantai Seberang Takir buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Jam 1.30 pagi konvoi kami mula bergerak dari KL. Berhenti rehat seketika di Hentian R&R Temerloh untuk membetulkan urat serta mengisi minyak. Sekitar jam 4.00 pagi kami tiba di pangkalan Tanjung Lumpur lantas terus mencari wakaf untuk melelapkan mata buat seketika.
Usai berjemaah subuh di surau berhampiran, kami sempat ke pasar pagi di Tanjung Api mencari ikan serta sotong segar untuk stanby umpan. Mana tahu kadang-kala apabila sampai di unjam, sesi apollo tidak mendapat sambutan. Bila malam pula candat yang dihulurkan dengan harapan ada sotong yang sudi. Itu pun kalau ada sotong.
Sebaik tiba di lokasi pertama, tekong membunyikan hon sebagai isyarat umpan sudah boleh dilepaskan ke dasar. Borhan yang duduk di bahagian hadapan bot mula-mula mendapat strike. Hujung joran yang melendut-lendut menyerap asakkan hingga mencecah air menandakan mangsa bersaiz kasar.
Kami yang menanti umpan dijamah ikan, memerhati sambil menunggu apakah hasil sulung trip ini yang bakal dinaikkan oleh Borhan. Seekor kerapu minyak berjaya didaratkan ke lantai bot. Semakin berkobarlah semangat kami. Selang beberapa minit sahaja, Khalim pula mendapat strike. Di sebelah kiri bot, kelihatan Rizal pula sedang bertarung.
Wah… meriah betul. Beberapa minit sahaja di lokasi pertama 3 ekor kerapu berjaya dipancing. Saiznya pun boleh tahan besar. Sekitar 15 minit kemudian tekong membunyikan hon 2 kali agar pemancing menaikkan umpan dan bot terus membelah ombak untuk ke lokasi seterusnya.
Lepas dia… dia lagi!
Ini antara situasi yang saya kira pernah dialami semua pemancing. Tidak kiralah sama ada memancing di kolam, tasik, sungai atau laut. Bila mana ‘mamat’ yang memancing bersebelahan kita, dengan peralatan pancing yang alakadar tak henti-henti menaikkan ikan, memang haru jadinya.
Kita yang ‘membangau’ untuk kesekian masa hanya menjeling ‘kepanasan’. Nak kata umpan tak power, tidak juga. Dengan perambut yang sama, umpan yang sama tetap juga ‘orang sebelah’ yang pacak. Semakin kerap kita menukar umpan, semakin menjadi-jadi pula dia menaikkan ikan.
Bila terjadi suasana begini, apa yang dibuat serba tak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Rokoklah yang sering menjadi mangsa. Lepas sebatang,sebatang dicucuh walaupun belum sampai ke puting sudah dibuang. Jiwa kacau!
Ketika trip ini berlangsung, Khalim merupakan pemancing yang ‘hanyir’. Ikan merah terberat serta kerapu bersaiz besar, dia yang naikkan di samping ikan-ikan lain yang menghuni tongnya. Bila bot singgah sahaja di mana-mana lokasi pasti jorannya bergegar dan kekili elektriknya menjerit nyaring. Awak-awak sentiasa berada tidak jauh darinya untuk membantu.
Ini kali dia punya ‘ong’. Akan datang orang lain pula. Kadangkala kita lupa yang kita sudah pun mengalami situasi lepas aku..aku, suatu ketika dahulu. Atau mungkin belum pernah mengalaminya sehingga sekarang. Suatu ketika nanti pasti hari ‘menjadi’ menjelang tiba. Allah Maha Adil dalam pemberian rezekinya.
Ini istimewanya bila memancing menggunakan bot Pok Li ni. Ini kerana botnya bot membawa bubu. Terdapat spot khas untuk diletakkan bubu telah di ‘setting’ dalam GPS. Apabila hampir dengan kawasan tersebut, awak-awak akan menyiapkan bubu dengan meletakkan umpan ikan-ikan yang telah dicucuk serta batu pemberat diikat kemas di sisi bubu.
Pelampung putih pula diikat di hujung tali sebagai tanda untuk memudahkan pencarian bubu ketika mahu mengangkatnya nanti. Hasil bubu akan diserahkan kepada pemancing.
Di pertengahan jalan tiba-tiba enjin bot mati. Beberapa kali cubaan menghidupkan enjin tidak berjaya. Tekong mengarahkan awak-awak menyelam untuk melihat kipas bot. Memang betul kipas telah berbelit dengan tali. Setelah selesai membuang tali, enjin dihidupkan dan kami menyambung kembali perjalanan menuju kapal karam.
Antara spesies yang berjaya ditewaskan seperti ikan merah, kerapu, jemuduk, jebong, kaci serta beberapa ikan lain. Cuaca juga cantik cuma pada malam kedua angin serta ribut kecil melanda. Bila bot dah bergoyang dan hujan yang mencurah, apa pun tak boleh.
Lebih baik masuk ke kabin dan baring. Langsung terlelap. Sedar-sedar ruang kabin dah ‘penuh’ dengan rakan-rakan yang lena.
Keadaan laut kembali tenang, saya merangkak keluar dan kelihatan di birai bot 2 orang rakan sedang bergasak dengan aruan tasik.
Trip kali ini kami hanya memancing di lubuk kapal karam yang hampir. Menurut Pok Li ada sebuah lagi kapal karam yang jauh tapi tidak dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa. Jika tempoh trip lebih panjang pastinya kami akan melenjan penghuninya.
Kampung Beng adalah sebuah perkampungan tradisional berkedudukan di pinggir Empangan Chenderoh, di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di
pertengahan Banjaran Titiwangsa. Maka ia bukan sesuatu yang lucu warga Kampung Beng menterjemahkan Beng sebagai sejuk.
Keunikan Kampung Beng Panorama dan keunikan Kampung Beng telah menarik minat penggiat industri perfileman untuk melakukan penggambaran filem, dokumentari mahupun iklan.
Selain popular dengan perkhidmatan inap desa atau homestay, perusahaan ikan pekasam juga gah di Kampung Beng.
Tasik Beng yang terbentuk dari limpahan air Empangan Chenderoh yang mengalir dari Sungai Perak dan bercantum dengan Tasik Raban melalui Sungai Perak ini mula menarik kaki-kaki pancing khususnya kaki mengilat.
Dengan melabel pakej memancing di Tasik Beng sebagai Mini Amazon Malaysia, usaha penjenamaan Roslan Abd Rahman (Abang Lan) itu ternyata menjadi satu fenomena.
Kaki-kaki mengilat, khususnya peacock bass atau ikan raja menurut panggilan di Perak mula menjadikan Kampung Beng sebagai padang pancing yang wajib dicuba.
Termasuklah saya sendiri yang terpesona melihat panorama suak-suak di Tasik Beng yang ala-ala Amazon.
Agak lama juga saya memantau perkembangan potensi sukan memancing di Mini Amazon Kampung Beng ini.
Khususnya di Facebook namun perancangan bersama rakan untuk ke sana selalu saja tergendala. Akhirnya, tanpa perancangan saya dan Anhar buat trip balik hari ke Kampung Beng!
Jam 3 pagi saya dan Anhar bergerak dari Shah Alam ke Kampung Beng. Penanda ke Kampung Beng tidaklah sesukar mana.
Melalui Jalan Baling-Kuala Kangsar sebelum tiba di Lenggong, ambil simpang menghala ke Galeri Arkeologi dan seterusnya ikut papan tanda arah ke Kampung Beng sehingga habis jalan.
Di penghujung jalan mati, sudah sedia menanti untuk membawa kami ke kediamannya di pinggir Tasik Beng yang juga merupakan pusat operasi fishing charter services yang beliau usahakan.
Selain hidangan nasi lemak sebagai sarapan pagi, yang turut sedia menanti ialah 8 orang caster dari Gombak yang mengambil pakej memancing selama 2 hari.
Usai bersarapan, saya dan Anhar agak bertuah kerana mendapat khidmat Abang Lan sendiri selaku guide meneroka suak-suak di Mini Amazon Malaysia.
Suak-suak limpahan air Sungai Perak rata-ratanya keruh ekoran hujan lebat yang turun kelmarin hari.
Faktor kekeruhan air itu merungsingkan sedikit Abang Lan namun kami yang sudah biasa dengan title kumpau ini tenang-tenang saja.
Cuma berharap bangau yang memayungi kami di Tasik Temenggor dahulu tidak terbang mengekori kami ke Tasik Beng.
Tambah pula kali ini kami bergandingan dengan satu misi; untuk menguji sesudu atau So’do aneka warna Tokwan yang dalam proses ujikaji atau prototype.
Suak Terpa yang juga kawasan takungan air dari limpahan Sungai Perak merupakan suak kedua yang kami susuri dengan bot fiber 12 kaki dengan enjin 15cc.
Di suak ini saya menggunakan so’do 7gram warna putih pula setelah menggunakan warna oren di Suak Cuas.
Setelah dibaling dan dibiarkan tenggelam dalam kiraan 5 dan dikarau laju, satu sambaran dirasakan namun rabut.
Balingan ke kawasan bangkar yang sama untuk kesekian kalinya ada satu lagi sambaran tapi kali ini solid hook-up dan seekor spesis sasaran berjaya didaratkan.
Tidak lama kemudian giliran Anhar pula memperolehi lesen Mini Amazon Kampung Beng.
Setelah beberapa ekor peacock bass berjaya didaratkan di Suak Terpa hasil penggunaan so’do warna putih dan gold plated, Abang Lan membawa kami ke suak-suak lain pula. Namun suak-suak berikut agak kurang berpotensi ekoran air yang lebih keruh.
Menjelang tengahari, sebagaimana yang tertera dalam pakej memancing, pulang ke pengkalan untuk makan tengahari hidangan ala kampung. Tentu saja ikan pekasam buatan Abang Lan sendiri menjadi menu wajib.
Suak Terpa Tepat jam 2.30 petang, sesi memancing disambung kembali. Jika sesi pagi kami mewajibkan penggunaan So’do Tokwan (termasuk Abang Lan dengan sukarela
menggunakannya), sesi petang lebih kepada acara bebas. Bukan saja penggunaan gewang, spesis sasaran juga bebas.
Sebarau dan toman yang berkongsi lubuk sama dengan peacock bass akan turut diburu juga. Suak-suak dan lubuk-lubuk yang sebelum ini tidak pernah mengecewakan Abang Lan diperkenalkan kepada kami.
Namun aksi-aksi boiling langsung tidak kelihatan. Kelibat toman turut sama seperti berwaspada untuk meneguk udara.
Menjelang petang kami request ke Suak Terpa lagi. Hati kembali berbunga apabila menyusuri pintu masuk suak yang sempit kelihatan ada kelibat pemangsa mengerjakan anak-anak ikan.
Namun kegembiraan tidak kekal lama, sejurus memasuki suak kelihatan sudah ada nelayan sungai sedang merentang jaring panjang hingga ke hujung suak.
Spot-spot yang membuahkan hasil pagi tadi juga sudah tidak boleh diakses ekoran sudah direntangi jaring.
Kami memasuki lebih jauh ke dalam suak, pun ada juga nelayan sungai sedang bersantai menanti waktu jaringnya dilanggar ikan untuk dijadikan pekasam.
Sebelum beredar keluar dari Suak Terpa, sempat jugalah kami mencuba mama toman membawa anak.
Nasib ternyata menyebelahi mama toman namun nasib anak-anaknya yang masih merah itu belum dapat dipastikan kerana ada nelayan yang memburu anak toman untuk dijadikan umpan taut sedia menanti dengan kelengkapannya.
Sebelum senja kami kembali ke pengkalan sekaligus mengakhiri trip mengejut ke Kampung Beng.
Meskipun hasil agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca, ia sudah cukup melegakan kami kerana tidak kumpau pada kunjungan sulung.
Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang dapat kami akui keistimewaannya dalam trip ini; pakej memancing yang ditawarkan oleh Abang Lan, potensi Mini Amazon Kampung Beng sebagai destinasi padang pancing yang harus dicuba dan keampuhan So’do Tokwan.
Sebelum menuju spot-spot berpotensi untuk pancingan dasar, unjam-unjam laut di luar kawasan taman laut Pulau Tenggol menjadi persinggahan kami bagi mencari umpan hidup seperti tamban, selar atau kembung.
Namun keterujaan penulis pada hari pertama terhadap potensi pancingan di Pulau Tenggol mula mengendur ekoran untuk mendapatkan seekor umpan hidup sekali begitu sukar. Hasil daripada umpan hidup yang diperolehi, berjayalah juga seekor belitong. Sementara hasil daripada pancingan dasar boleh dikatakan hampir sifar.
Setelah seharian berhanyut memancing kerisi pada hari kedua, menjelang petang kami kembali lagi ke unjam-unjam ini untuk mencari umpan. Sejurus tiba di kawasan unjam, gewang yang dikarau kembali setelah melakukan tundaan secara tiba-tiba disambar secara kasar dan tidak menunggu si belitong atau dorado mempamerkan aksi akrobatik di udara.
Ekoran bateri yang digunakan kehabisan kuasa maka ‘bangla’ terpaksa digunakan secara manual bagi menaikkan dorado tersebut. Setelah menanggalkan gewang dari mulut dorado, bagi tujuan keselamatan penulis mencampakkan kembali gewang tersebut ke air tanpa menyedari spool ‘bangla’ tersebut dalam keadaan free dan bot pula sedang berhanyut.
Perkara itu hanya disedari apabila tali pancing meluru keluar dari ‘bangla’ ekoran gewang dilepaskan hanyut itu disambar seekor dorado lain pula. Selepas beberapa ekor dorado dinaikkan hasil dari gewang yang sama dan hasil dari Apollo turut sama di cukai sang dorado, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjeratnya dengan teknik jigging pula.
Mali jig 18 gm dilontar ke arah unjam dan di karau laju. Hanya sekali balingan saja, sudah mengena namun rabut. Balingan kedua berjaya dan seekor dorado berjaya didaratkan. Balingan seterusnya pula giliran sang pemangsa pula yang berjaya memutuskan perambut sekali gus meleburkan seketul jig.
Tidak sampai lima kali lontaran, jig yang dimainkan secara jigging casting segera disambut. Sebelum mata matahari tenggelam, 3 ekor dorado berjaya penulis daratkan daripada hasil 7 kali sambaran. Sementara rakan-rakan lain yang turut sama berjigging berjaya menaikkan beberapa ekor tongkol dan alu-alu di samping dorado yang mendominasi tangkapan.
Tanpa umpan hidup atau umpan segar dari unjam, aktiviti pancingan malam diteruskan ke spot pilihan tekong. Menggunakan saki baki umpan pasar, spot pilihan tekong ternyata didiami ikan-ikan berstatus mega.
Biar pun hanya seekor mayong bersaiz kasar berjaya dinaikkan, kejadian mata kail 4X yang berjaya diluruskan ikan, tali sulam 80lb dan perambut 100lb yang berjaya diputuskan membukti masih ada monster yang gagal didaratkan di spot tersebut.
Penulis yang lebih banyak berehat ekoran tidak membawa peralatan pancingan dasar tidak mengendahkan sangat kejadian tersebut. Sebaliknya lebih memberikan perhatian terhadap aktiviti bot pukat tunda yang seolah-olah mahu menunda sama bot yang kami naiki yang mengarah ke kawasan taman laut Pulau Tenggol.
Sebelum pulang ke jeti Kuala Dungun keesokan harinya, kami sempat singgah di unjam yang sama. Namun gerombolan dorado yang mendominasi kawasan unjam petang semalam sudah lesap entah ke mana. Ikan-ikan umpan juga menyepi begitu saja. Seolah-olah kawasan tersebut telah dijarah hasil perutnya.
Andaian penulis kawasan tersebut telah dijarah oleh bot-bot nelayan pukat tunda terbukti benar ekoran laporan daripada maklumat rakan pemancing yang kembali ke kawasan tersebut beberapa jam kemudian menyatakan bukan saja ikan sudah tiada, malah buluh-buluh serta pelampung unjam turut sama telah lesap ditelan pukat tunda!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...